Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Mei 2010

Aktivis pujuk orang Islam murtad

Posted by epondok di Mei 28, 2010

sebelum  –  selepas
<strong>IKLAN di bas New York menyasarkan orang Islam tajaan  Geller.</strong> <strong>Pamela Geller</strong>
IKLAN di bas New York menyasarkan orang Islam tajaan Geller.

Pemimpin anti-Islam guna 30 bas New York papar iklan sasar Muslim

NEW YORK: Seorang aktivis Amerika Syarikat yang mengetuai pertubuhan ‘Stop Islamization of America’ (Henti Islamkan Amerika) melancarkan kempen menggalakkan orang Islam supaya murtad dengan meletakkan iklan di 30 buah bas setiap bulan di Kota New York, menyuruh sesiapa yang berminat menghubungi sebuah laman web tajaannya.

Pamela Geller mendakwa, laman web itu, RefugefromIslam.com memberi penerangan kepada mereka yang mahu keluar dari agama Islam serta menyifatkan langkahnya sejajar dengan kebebasan beragama meskipun beliau dituduh sebenarnya menyembunyikan agenda anti-Muslim.

Iklan itu mula dilihat pada bas pada 14 Mei lalu, menggunakan soalan berbunyi ‘Leaving Islam’ (Mahu keluar daripada Islam?), ‘Fatwa on your head?’ (Anda diancam fatwa?) dan ‘Is your family threatening you?’ (Adakah keluarga mengancam anda?).

Geller berkata, iklan pada bas itu berharga AS$8,000 (RM26,400) dan turut disumbangkan pembaca blognya selain laman web lain termasuk Atlas Shrugs.
Ada juga iklan berkenaan dilihat pada bas di Miami. Geller juga mengakui, beliau merancang meletakkan iklan sama di bandar lain.

“Iklan itu tidak mencetuskan kemarahan orang Islam, ia sejajar dengan kebebasan beragama. Iklan itu tidak menyasarkan orang Islam yang mengikut ajaran agama mereka. Iklan itu tidak berkata ‘keluar’ tetapi ‘mahu keluar’ dengan simbol tanda tanya,” katanya.
Pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) berkata, iklan Geller itu sudah dikaji dan tidak melanggar garis panduan MTA dan belum ada aduan diterima mengenai iklan pada bas berkenaan.

Semua iklan diperiksa terlebih dulu, kebanyakannya oleh syarikat yang mengendalikan permohonan iklan MTA tetapi ada yang dihantar kepada MTA untuk kelulusan muktamad, kata jurucakap agensi itu, Aaron Donovan.

Bulan lalu, syarikat pengangkutan Miami-Dade Transit menarik iklan itu daripada 10 bas kerana memutuskan ia mungkin mencetuskan kemarahan orang Islam, lapor akhbar The Miami Herald.

Tetapi, agensi berkenaan membuat keputusan membenarkannya diguna semula selepas mengkaji iklan itu bersama pejabat Peguam Negeri.

Anggota Majlis Perbandaran beragama Islam, Robert Jackson, mempertikai kriteria MTA membenarkan iklan itu serta tidak bersetuju dengan isi kandungannya khususnya Amerika adalah negara yang menyokong kebebasan beragama.

“Ini adalah kempen pelampau berhaluan kanan yang menentang agama Islam. Warga New York memahami perkara ini,” katanya.

Wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam di sini, Faiza Ali, berkata iklan itu menggunakan alasan palsu bahawa seseorang itu dipaksa kekal dalam Islam sedangkan orang Islam percaya pihak yang dipaksa memeluk kepercayaan tertentu bukan penganut sebenar.

“Geller bebas berkata apa yang dia suka tetapi anggota masyarakat lain juga bebas mengkritik motif beliau. Geller sudah lama bersikap anti-Muslim dan iklan itu menyembunyikan latar belakang berkenaan,” katanya lagi. – AP

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Kerajaan tidak patut sokong ‘pembekal kematian’

Posted by epondok di Mei 28, 2010

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’ berhubung penangguhan mengharamkan pek kecil rokok. 

Sehubungan itu, CAP sangat terkejut dan kesal dengan pengumuman bahawa kerajaan akan menangguhkan pengharaman pek kecil rokok itu. 

Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, melalui laporan media Edge Financial Daily hari ini, kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pengharaman tersebut sementara tidak ada tarikh baru diberikan. 

Keputusan bagi mengharamkan pek 14 batang rokok itu diambil sebagai salah satu langkah untuk menurunkan kadar bilangan perokok terutama dalam kalangan remaja.

Katanya, kadar epidemik merokok di Malaysia tidak patut dipandang ringan kerana lebih daripada 50 lelaki lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok sementara kira-kira 50 kanak-kanak negara ini di bawah umur 18 tahun mula merokok setiap hari.

Sementara itu, ujarnya terdapat kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan merokok, menjadikannya salah satu pembunuh utama di negara ini. 

“Kami memandang berat perkara ini kerana selepas 10 tahun kerajaan menjalankan kempen anti-merokok, hanya terdapat penurunan sebanyak 2 peratus dalam jumlah perokok. 

“Kami menganggap kerajaan bersikap serius apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tahun lalu bahawa tidak ada lagi kelewatan dalam pengharaman terbabit dan pada Jun 2010, selepas tertangguh selama lima tahun, pek 14 batang rokok itu akan disingkirkan dari pasaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 

Beliau berkata, nampaknya rakyatlah yang tersingkir, keuntungan yang diraih oleh segelintir pihak lebih penting daripada kesihatan penduduk amnya. 

Menurutnya, Seksyen 16(1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2000 jelas menyebut: “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam bungkusan yang mengandungi tidak kurang daripada 20 batang rokok”.

“Kini kerajaan melanggar peraturannya sendiri. Kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’. Pengharaman itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan,” ujarnya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Judi pencetus gejala sosial, rosak akidah ummah

Posted by epondok di Mei 28, 2010

Oleh Mohd Shukri

Amalan pertaruhan dorong sikap tamak sekali gus memusnahkan keharmonian masyarakat

PADA masa kini, isu berkaitan perjudian sering dipaparkan media. Keadaan ini mempamerkan bahawa ia bagaikan sesuatu yang sukar dibendung. Ia muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa. Malah ia menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan untuk menarik minat ramai orang

Dengan bermatlamatkan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai mengenai larangan syarak. Dalam al-Quran jelas wujud larangan berjudi

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor, keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah ayat 90)

Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Ia sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad serta merosakkan perangai dan budi pekerti seseorang.

Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah babi. ” (Riwayat Muslim).

Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada ia sedikit atau banyak dan kecil atau besar. Walaupun judi diberi nama yang bermacam-macam, berbagai-bagai rupa dan cara seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dan dosa besar.
Walaupun agama Islam awal-awal lagi mengharamkan judi, masih ada di kalangan orang Islam yang membabitkan diri dengan judi. Seperti membeli tiket loteri semata-mata untuk mendapatkan harta atau wang yang banyak dengan cara mudah atau ingin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

Mereka terpikat dengan hadiah atau ganjaran tinggi. Misalnya, dengan membuat pertaruhan sebanyak RM10, mereka berpeluang mendapat wang berpuluh-puluh ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, pergi melakukan pemujaan di kubur lama dan pokok besar.

Ada juga yang mendapatkan nombor kenderaan yang terbabit dalam kemalangan, mendapatkan nombor daripada mimpi dan sebagainya. Pada tanggapan mereka, hal ini dapat mendatangkan tuah dan keuntungan. Demikianlah keadaan seseorang yang sudah menjadi kaki judi atau hamba judi, mereka sanggup melakukan apa saja walaupun ia bertentangan dengan agama demi mencapai hasratnya.

Allah SWT menerangkan bahawa judi adalah satu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa. Perbuatan yang menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus yang boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.

Selain itu, judi adalah punca kepada dendam, permusuhan, pergaduhan dan membawa kepada bunuh diri. Tabiat pemain judi itu, jika ia kalah pada kali yang pertama, ia akan berasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi.

Apabila beroleh kemenangan pula ia akan terus bertambah tamak dan gemar berjudi sehingga menjadikan judi sebagai darah dagingnya. Soal kalah dan rugi tidak dipedulikan, yang penting seronok main judi sehingga sanggup bergadai dan berhutang walaupun dapur rumah tidak berasap.

Judi itu amat jijik, kerja maksiat dan dosa besar bahkan dianggap najis dan perbuatan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan dan menghalang daripada ingatkan Allah SWT. Wang judi itu bukan hanya haram dimakan malah juga haram digunakan untuk segala-gala hal seperti membeli pakaian, membina rumah dan sebagainya.

Ingatlah bahawa harta dan wang yang diperoleh daripada hasil perjudian tidak akan berkekalan dan tidak berkat. Wang judi tidak menjadikan kita seorang hartawan atau jutawan, tetapi sebaliknya menjadikan kita seorang yang suka berdusta, pemarah dan tidak amanah. Ia juga mendorong kita supaya suka berhutang, tetapi tidak mahu membayarnya dan bermacam-macam lagi sifat yang tercela.

Amat mendukacitakan apabila masih ada umat Islam yang masih gemar berjudi meskipun mereka ketahui keburukan berjudi. Lebih menyedihkan apabila ada di antara mereka yang menjadikan judi sebagai pekerjaan tetap atau sumber mata pencarian.

Oleh itu, marilah kita jauhi diri kita daripada terpedaya dengan godaan syaitan dan tidak membabitkan diri dengan perjudian. Mudah-mudahan kehidupan kita mendapat berkat dan diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?” – (Surah al-Ma’idah ayat 91)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »