Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 Mei 2010

Kasut Crocs tiruan hina nama ALLAH

Posted by epondok di Mei 27, 2010

 

Kasut crocs yang menjadi trend di Malaysia kini kerana ianya mudah dipakai dan selesa. Di mana-mana orang menjual kasut crocs ni, di pasaraya, di pasar malam malah di tepi-tepi jalan. Ada jer canopy segera dipasang untuk menjual kasut crocs.

Kalau dah di pasar malam tu terang-teranglah ia adalah kasut crocs tiruan. Berhati-hati membeli kasut crocs tiruan ini kerana saya mendapat email berkenaan lambang crocs tiruan ini yang ada iras-iras kalimah Allah. Mungkin orang kata saya ni terlalu sensitif, takpelah bab-bab agama ni kita memang perlu sensitif terutama ianya akan dijadikan alas kaki.

Kalau entri di isuhangat semalam berkaitan kucing ada kalimah Allah, oklah. Ini benda ciptaan manusia yang kemungkinan disengajakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja untuk menghina kesucian Islam

Ini adalah logo crocs yang ori..

 


 


Ini pula logo crocs yang dimaksudkan

kasut crocs

Sebarkan kepada rakan-rakan . Posted @ www.isuhangat.net . 

 

Posted in Fokus Isu | 61 Comments »

Ceramah wakil Palestin lepas solat Jumaat esok

Posted by epondok di Mei 27, 2010

Suatu majlis ceramah berkaitan perjuangan membebaskan Masjid Aqsa dan bumi Palestin oleh wakil Palestin akan diadakan sejurus selesai solat Jumaat esok 28 Mei 2010 di Masjid Pondok Pasir Tumboh

Suatu pameran jualan dan kutipan derma bagi tabung pembinaan sekolah dan bantuan pelajar Palestin turut diadakan.

Seluruh muslimin dan muslimat dijemput hadir

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Agama dunia tentang judi

Posted by epondok di Mei 27, 2010

Oleh Nik Hafiz Hassan

Negara telah dihangatkan dengan kelulusan pihak kerajaan meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 yang menjelang tiba. Tentangan bukan sahaja datang dari pihak parti pembangkang dan orang Islam, bahkan dari pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat bukan Islam.

Saranan dari bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar keputusan kerajaan tersebut dikaji semula amatlah dialu-alukan dan harus diteliti oleh pihak kerajaan.

Ia bukan sahaja dapat mereda suasana dan desakan majoriti masyarakat, bahkan bersesuaian dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di kalangan Negara-negara Islam terutama dalam negara menonjolkan diri sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dan juga Pusat Halal Dunia.

Walaupun lesen judi hanya dibenarkan untuk pelanggan di kalangan bukan Islam termasuk pekerja dan premis, namun judi bukan sahaja mendapat tentangan daripada masyarakat Islam tetapi bukan Islam sendiri. Jika ditelusuri judi di kalangan agama dunia, majoriti merujuk tentang keburukan judi kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam sebagai agama rasmi negara, secara jelas menyatakan haramnya judi.

Allah ta’ala telah berfirman yang mafhumnya: “Wahai orang-orang mukmin. Sesungguhnya arak, judi, berhala, anak panah (judi) adalah najis (kotor) dari kelakuan syaitan. Jauhilah ia supaya kamu beroleh kemenangan. Sesungguhnya syaitan bertujuan menjadikan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat”. Al-Maidah, 90-91. Ayat ini jelas menunjukkan pengharaman ‘khamr’ (arak) dan segala bentuk ‘maysir’ (judi).

Ajaran lama Budha Hinayana, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; ” membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi”.

Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha. Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur ‘Ratapan si Penjudi’ (Gambler’s Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri.

Dalam kitab Budha, ‘Tipitaka’ juga ada menceritakan enam perkara bahaya akibat judi: Pertama bagi yang menang akan mengundang kebencian, kedua bagi yang kalah akan tertekan kerana kehilangan wang, ketiga tidak ada perkataan yang boleh digunakan untuk pembelaannya di mahkamah, keempat dia akan dijauhi oleh rakan dan keluarga, kelima dia akan susah untuk menemui jodoh kerana tiada yang mahu bersuamikan si penjudi dan keenam mencari kekayaan atas pertaruhan menyebabkan kesengsaraan kepada orang lain (yang kalah)’ .

Walaupun ajaran Budha tidak mengharamkan secara jelas aktiviti judi dan membenarkannya sekadar permainan rekreasi dan hiburan seperti permainan ‘mahjung’ atas dasar untung nasib atau ‘ong’. Namun Budha memberi amaran keras bagi yang mempertaruhkan wang dan mengabaikan tanggungjawab keluarga sehingga hilang wang pertaruhan dan sumber mata pencarian.
Apa yang berlaku, aktiviti judi yang sedia ada di negara kita terutama di kalangan yang berpendapatan rendah telah menyebabkan kebobrokan rumah tangga dan ramai terperangkap dengan hutang dengan meminjam melalui ‘Ah Long’ dan ceti haram.

Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang seperti yang disebut di dalam Timothy 6:10 ” Bagi mereka yang mencintakan wang ia adalah punca bagi segala kejahatan. Bagi mereka yang terlalu taksub berlumba mendapatkan wang dan mengabaikan tanggungjawab agama, seolah dia mencucuk dirinya dengan kesedihan di kemudian hari”.

Dalam Hebrew 13:5 pula mengatakan ” Bebaskan dirimu dari kecintaan dunia (wang) dan berpadalah dengan apa yang kamu ada, kerana Tuhan telah mengatakan, ‘ Aku tidak akan tinggalkan kamu dan tidak akan membiarkan kamu (sentiasa menolongmu)’. Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan sebahagian membenarkan loteri kebajikan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga aktiviti judi ‘Bingo’ sebagai akiviti rekreasi yang popular di kalangan warga pesara di negara barat.

Namun begitu majoriti gereja menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar ‘melampau’. Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya ‘seorang dalam sejuta sahaja’ yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan.

Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan.

Usaha kerajaan UK suatu ketika dahulu untuk menubuhkan kasino secara besaran atas alasan untuk menarik pelancong dan menambah pendapat negara mendapat kecaman dari rakyat.

Di Amerika Syarikat pula, walaupun di peringat Federal (Pusat) membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya. Nevada membenarkan lesen judi pada tahun 1931 dan menjadi sumber ekonomi utama negeri, diikuti Atlantic City dan New Jersey pada tahun 1976 dan Mississipi pada tahun 1990. Kebanyakan negeri lain di Amerika Syarikat masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial kecuali loteri kebajikan dan permainan Bingo oleh pertubuhan bukan kerajaan untuk tujuan kebajikan.

Judi secara logiknya adalah permainan orang yang mempunyai lebihan wang dan tidak terasa apabila mereka kalah judi. Oleh kerana itulah pusat perjudian yang terkenal di Eropah, Monaco, rata-rata penghuninya adalah hartawan dan selebriti.

Dalam sesetengah negara berlumba membina pusat-pusat perjudian dengan anggapan ia dapat meningkatkan hasil pendapatan negara, lain pula halnya sebuah negeri kepulauan kecil di Pasifik, Vanuatu, yang berpenduduk hampir 300,000 orang dan majoriti beragama Kristian. Kerajaan Vanuatu telah meluluskan akta pengharaman judi di negara mereka sejak tahun 2006 dan ia tidak mendapat sebarang bantahan dari rakyat malah dialu-alukan.

Sekiranya pungutan suara dilakukan di kalangan awam, juga ketua-ketua semua agama di Malaysia selain Islam, nescaya mereka akan bersetuju tentang kemudaratan judi dan arak kepada masyarakat, melebihi kebaikan.

Semoga acara sukan dan sebagainya tidak dicemari dengan aktiviti yang tidak sihat seperti judi. Ia bukan sahaja menggalakkan mereka yang meminati sukan tersebut berminat untuk berjudi sama, malah menambah masalah judi yang sedia ada di negara kita.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pakistan tarik balik larangan terhadap YouTube

Posted by epondok di Mei 27, 2010

ISLAMABAD: Pakistan menarik balik arahan menghalang laman web perkongsian video popular, YouTube lewat Rabu (waktu tempatan) selepas mengharamkannya susulan kebangkitan rakyat negara itu terhadap kandungan kekufuran.

“YouTube tidak lagi diharamkan, tetapi rangkaian kandungan yang mencabul kesucian Islam kekal tidak boleh diakses di Pakistan,” kata Pihak Bekuasa Telekomunikasi Pakistan. – AFP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Cahaya ganjil di barat Kanada

Posted by epondok di Mei 27, 2010

GAMBAR menunjukkan lingkaran cahaya aneh yang dirakamkan
sebuah kamera milik Steven Murray.

 


 

VANCOUVER – Cahaya aneh dilaporkan muncul di barat Kanada menyebabkan beberapa pakar menyatakan ia adalah penemuan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar.

Cahaya berbentuk bebola itu turut membentuk lingkaran sebelum bersinar dengan terang dan hilang secara tiba-tiba.

Fenomena tersebut yang dirakamkan baru-baru ini oleh seorang lelaki, Steven Murray telah disiarkan oleh sebuah akhbar pada Isnin lepas manakala klip videonya boleh ditonton di laman perkongsian video, YouTube.

“Saya memasang empat kamera untuk merakamkan imej tahi bintang. Kamera nombor tiga yang merakamkan fenomena ini,” kata Murray.

“Saya melihatnya dari pejabat saya semasa sedang bekerja. Objek itu berada di skrin monitor. Apabila saya bergegas keluar, objek tersebut sudah hilang tetapi sejurus kemudian saya mendengar bunyi dentuman yang amat kuat,” tambahnya.

Lingkaran cahaya itu menyerupai lingkaran cahaya di langit Norway pada 9 Disember tahun lalu yang pada awalnya disangka sebagai UFO tetapi ia kemudian dianggap berpunca daripada satu ujian peluru berpandu Rusia yang menemui kegagalan.

Ramai pembaca bagaimanapun, sangsi dengan peristiwa ganjil itu dan tidak kurang yang menyatakan ia adalah palsu dan dibuat dengan menggunakan teknik pengimejan penjanaan komputer. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tarik balik inokulasi HPV kepada pelajar perempuan

Posted by epondok di Mei 27, 2010

Oleh CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkongsi keprihatinan Parent Action Group for Education (PAGE) berhubung usaha kerajaan untuk melaksanakan inokulasi 17,000 pelajar perempuan tingkatan 1 di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menentang Human Papilloma Virus (HPV). 

CAP sejak awal lagi membantah cadangan kerajaan untuk memperkenalkan program vaksinasi untuk kanak-kanak apabila HPV penyebab kanser servik disebarkan hanya melalui hubungan seksual

Pada September 2009, apabila kerajaan mengumumkan niatnya untuk mevaksinasikan kira-kira 300,000 pelajar perempuan yang berusia 13 tahun, kami menyuarakan keprihatinan dan bantahan terhadap cadangan yang tidak munasabah untuk mevaksinkan mereka terhadap Penyakit Jangkitan Seksual (STD) yang biasanya dialami oleh orang dewasa yang melakukan persetubuhan secara rambang.  

Kami sekali lagi mengulangi melaksanakan inokulasi terhadap pelajar perempuan dengan vaksin adalah penyelesaian gejala dan terlalu mudah kepada masalah kanser servik dalam kalangan kanak-kanak yang mungkin mendapat kanser servik akibat aktiviti seksual lebih awal dan persetubuhan secara rambang apabila sebenarnya punca utama dan faktor penyumbang bagi penghidap HPV ialah hubungan seksual dengan ramai pasangan; seharusnya diatasi melalui pendidikan dan agama serta nilai-nilai moral. Kenapa nilai  dan penyelesaian ini tidak digunakan oleh pihak Kementerian kepada generasi muda kita sebagai langkah pencegahan sebagai ganti melaksanakan vaksinasi yang menjadi kontroversi itu? 

CAP bersetuju dengan PAGE bahawa tidak perlu sama sekali bagi kanak-kanak diberikan vaksin HPV. Kami juga menggesa Kerajaan menggunakan peruntukan RM150 juta untuk menerbitkan bahan bacaan dan mendidik orang ramai berhubung bahaya HPV disebabkan oleh hubungan seksual untuk memastikan bahawa anak-anak kita selamat daripada virus dan juga meningkatkan kempen awam bagi PAP Smears dan ujian HPV untuk mengesan tanda-tanda awal kanser servik atau HPV. Ujian HPV untuk mengesan HPV, virus yang boleh menyebabkan perubahan sel ini, satu keadaan yang boleh dirawat manakala ujian PAP Smears untuk melihat perubahan sel awal pada servik yang boleh berkembang menjadi kanser servik. 

Kami juga amat prihatin berhubung keselamatan vaksin ini. Seperti yang dipetik oleh PAGE, Bernama baru-baru ini melaporkan bahawa ujian klinikal vaksin ini telah dihentikan oleh pihak berkuasa berikutan kematian enam kanak-kanak. Sehubungan itu, kami juga mengemukakan fakta bahawa New York Post mendedahkan pada 2008 Gardasil (vaksin HPV yang dikeluarkan oleh Merck) di bawah siasatan terhadap kemungkinan dikaitkan dengan lumpuh, serangan jantung dan 18 kematian.

Pentadbiran Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) mengetahui mengenai hubungan antara vaksin dan Autisme pada 2000. Gardasil juga bertanggungjawab terhadap kadar yang tinggi bagi pitam (syncope) dan pembekuan darah (venous thromboebolic  events) dalam kalangan penerima. Di Amerika Syarikat, pembekuan darah dinyatakan dalam 56 laporan dan termasuk 19 kes saluran arteri utama paru-paru tersumbat (pulmonary embolism), empat daripadanya membawa kematian.  

Pada keseluruhannya, 772 keadaan dijelaskan sebagai serius dan termasuk 32 kematian akibat daripada keadaan itu. Sejumlah kecil kes Guillain-Barre Syndrome (GBS) dilaporkan berikutan vaksinasi dengan Gardasil. Masalah lain yang dikaitkan dengan Gardasil adalah sakit kepala, tindak balas hipersensitiviti, dan ruam (urticaria). Pada Februari 2008, Kementerian Kesihatan Sepanyol menggantung penggunaan satu kelompok Gardasil selepas pihak berkuasa kesihatan di wilayah Valencia melaporkan dua perempuan jatuh sakit selepas menerima suntikan. 

Cervarix, vaksin HPV oleh GlaxoSmithKline dikaitkan dengan kematian. Pada 28 September 2009, seorang gadis berusia 14 tahun di Coventry, England mati sebaik sahaja menerima vaksin Cervarix di sekolahnya sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan. Amat mengejutkan, malah sebelum vaksin ini diluluskan oleh FDA, pihak berkuasa terkenal di peringkat antarabangsa berhubung penilaian keselamatan ubatan, Cervarix diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (PBKD) pada 2007. 

Begitupun vaksin ini tertakluk kepada ujian klinikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menentukan keselamatan atau keberkesanannya sebelum digunakan terhadap anak-anak kita. Kerajaan kita tidak terhalang oleh ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan dan keadaan yang tragik ini dan terus untuk mempromosikan vaksin yang tidak perlu dan amat berbahaya untuk anak-anak kita yang tidak menyangkanya.  

Dengan anggaran 300,000 pelajar perempuan di negara ini dijadikan sasaran untuk vaksinasi oleh kerajaan, kini tiba masanya ibu bapa menyedari risiko yang dikaitkan dengan vaksin ini oleh kerajaan. Sepertimana yang dinyatakan oleh PAGE, pelaksanaan vaksin ini berisiko tinggi kepada anak-anak kita dan tiada manfaat ekonomi kepada negara kita, melainkan kepada pembekal farmaseutikal.                

Bahaya kesihatan daripada vaksin telah menghasilkan lebih banyak kemusnahan dan tidak boleh kembali seperti sediakala berbanding bilangan diagnosis kanser servik sebenar. Memandangkan kepada bahaya yang jelas pada masa kini yang dikaitkan dengan vaksin HPV, CAP menggesa ibu bapa pelajar perempuan yang bersekolah melaksanakan hak untuk membuat keputusan mereka sebagai ibu bapa dalam menolak vaksinasi untuk anak-anak mereka dan sebagai ganti menerapkan nilai agama dan moral serta mendidik mereka berhubung bahaya aktiviti seksual pada peringkat awal sebagai hanya satu-satunya cara untuk mengelakkan daripada dijangkiti dengan virus seperti HPV. 

Kami juga menggesa Kementerian Kesihatan menarik balik dengan segera pelaksanaan seterusnya program yang begitu kejam ini dan kerajaan membatalkan sokongan terhadap skim yang tidak wajar dan berpotensi mengancam nyawa ini dengan segera. 

Kami tidak bersedia untuk melihat anak-anak kita mati dengan sia-sia akibat ketamakan korporat dan sikap berat sebelah kerajaan. 
 
SM Mohamed Idris,

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »