Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Mei 2010

Hukuman tukar pakaian jika pakai seksi

Posted by epondok di Mei 26, 2010

Polis agama diberi 20,000 skirt

FATIMA berbalah dengan seorang anggota polis agama selepas dia diminta menukar seluar jean yang dipakainya dengan skirt panjang di Kampung Lambalek, Aceh Barat semalam.

 

MEULABOH, Indonesia – Polis Islam di Aceh akan menerima 20,000 skirt panjang untuk diberikan kepada wanita yang melanggar etika pakaian Muslim, kata seorang pegawai, Ramli Mansur semalam.

“Mulai hari ini, saya akan menyerahkan kira-kira 20,000 skirt kepada polis syariah di Aceh Barat,” katanya yang merupakan Ketua Daerah Aceh Barat.

Menurutnya, pesalah-pesalah wanita akan menukar seluar panjang dengan skirt panjang dan longgar jika polis syariah menangkap mereka.

Mansur berkata, pada suatu hari, dia terpaksa menjawab soalan daripada Tuhan apakah yang telah dilakukannya untuk menguatkuasakan undang-undang Islam.

“Kami akan meningkatkan serbuan terhadap pesalah undang-undang syariah di sini. Tuhan akan bertanya kepada saya untuk bertanggungjawab terhadap apa yang telah saya lakukan semasa saya berkhidmat di Aceh Barat,” katanya.

Polis pencegah maksiat semalam menyoal 30 wanita mengenai pakaian yang dipakai mereka di sebuah kampung di Aceh Barat semalam.

“Apakah silapnya dengan pakaian saya? Undang-undang manakah yang telah saya langgar? Adakah saya seorang pengganas yang menyebabkan saya diminta menunjukkan kad pengenalan saya?” kata seorang wanita berumur 40 tahun, Fatima yang ditahan oleh polis agama.

Namun, protesnya tidak didengari dan dia menutup seluar jeannya dengan skirt yang dibawa dari rumah.

Polis agama itu tidak mempunyai kuasa untuk menangkap wanita kerana melanggar etika pakaian tetapi mereka diminta menukar pakaian yang tidak sesuai dengan ciri-ciri Islam. – AFP

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Poligami ikut syarak, adil jamin bahagia

Posted by epondok di Mei 26, 2010

Oleh Asyraf Ismail

Tidak patuhi syarat ditetapkan Islam punca pandangan negatif masyarakat

POLIGAMI, adalah satu perkataan yang bila disebut akan membuatkan sesetengah manusia tersenyum manakala sesetengah yang lain berkerut dahi. Poligami adalah antara perkara yang disyariatkan harus dalam Islam. Poligami juga adalah larangan keras dalam ajaran agama lain. Poligami sudah menjadi amalan umat manusia sebelum kedatangan Islam lagi.

Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. (Surah An-Nisa’, ayat 2)

Penulis tidak ingin membincangkan lebih lanjut syarat itu secara khusus, namun ingin membawa pembaca melihat kepada realiti semasa atau permasalahan semasa berkaitan poligami.

Poligami sering dilihat jijik, dipersalahkan dan dihina berdasarkan keadaan sekeliling yang memaksa masyarakat memandangnya begitu. Masyarakat sering dihidangkan dengan pelbagai adegan dan pemasalahan konflik poligami sama ada secara realiti atau lakonan di kaca televisyen.

Realitinya, masyarakat sering dihidangkan dengan keluarga poligami yang berpecah belah, tidak adil, isteri ditinggalkan, anak-anak terbiar dan sebagainya. Lakonan filem dan drama tidak kurang membuat paparan serupa malah lebih hina lagi apabila ia dijadikan bahan jenaka. Salahkah masyarakat berfikiran begitu? Mungkinkah jika mereka diberi hidangan yang lain mengenai poligami, maka mereka akan berubah fikiran?.

Pengamal poligami kebanyakannya bukanlah mereka yang layak seperti disyaratkan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 3 itu. Mereka mungkin bersedia dari sudut fizikal tetapi bagaimana pula dengan mentalnya (rohani)? Bersediakah mereka dengan ilmu? Bersediakah mereka dengan kesedaran bahawa Allah akan menyoal setiap amanah yang mereka pikul?

Sunnah Nabi SAW sering dijadikan alasan dan sandaran rapuh bagi golongan ini yang kononnya ingin mengamalkan sunnahnya. Kebanyakan mereka tidak menyedari sunnah ini disandarkan kepada hukum keharusan bersyarat yang Allah SWT nyatakan. Syarat-syarat ini sering dikesampingkan demi mencapai cita-cita berpoligami yang menjadi idaman sejak sekian lama.
Nafsu dan syahwat berlegar menguasai hati dan minda supaya terus menempuhnya tanpa perlu direnung lagi. Akibatnya, terjadilah poligami yang hina dan dihina. Wanita yang mengharapkan poligami dapat menyelamatkan mereka, terus hampa.

Namun, di sana ada begitu ramai kalangan wanita yang perlukan kasih sayang, perlukan suami, perlukan perlindungan daripada seorang lelaki. Bilangan wanita yang terus melebihi lelaki semakin bertambah saban tahun. Nisbah ini semakin ketara apabila dilihat secara lebih dekat di menara gading atau pusat pengajian lain.

Kebanyakan wanita yang berjaya sukar mendapatkan pasangan sesuai bagi mendirikan rumah tangga apatah lagi menginginkan pasangan yang baik. Lebih ketara lagi kepada janda (ibu tunggal) yang bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Ramai di kalangan mereka muda serta masih mengimpikan sebuah keluarga.

Namun hakikatnya, mendapat pasangan yang masih bujang ketika mereka sudah bergelar janda dengan sejumlah anak, impian ini semakin sukar. Apakah jawapannya? Tentulah poligami. Dilema ini semakin menjadi rumit apabila memikirkan hakikat poligami semasa serta pandangan serong masyarakat terutama kalangan wanita sendiri terhadap amalan ini.

Kemungkinan besar, derita ibu tunggal ini akan berterusan terpaksa dipendam tanpa sempat menikmati hidup berkeluarga atas halangan terbabit. Wanita ini terus hampa. Ke mana perginya lelaki yang baik? Ke mana perginya ustaz yang begitu lantang menyampaikan dakwah? Mengapa mereka tidak tampil dan mengamalkan poligami sebenar sebagai contoh seumpama sunnah Nabi SAW?

Persoalan ini kerap timbul dan dibahaskan, ditambah ingatan bahawa sesungguhnya dakwah Nabi SAW berjalan serentak antara bil hal dan bil lisan (dengan perbuatan dan dengan perkataan). Nabi SAW tidak hanya mengajak umatnya ke masjid berjemaah tanpa Baginda terlebih dulu menunjukkan contoh. Begitulah dalam hal poligami yang diharuskan Allah SWT, Rasulullah adalah contoh teladan yang patut diikuti sepanjang zaman.

Mungkin kebanyakan lelaki baik ini mempunyai seribu satu alasan yang munasabah mahupun yang direka-reka. Antara alasan munasabah yang paling kerap diutarakan ialah berkaitan dengan undang-undang mengenai poligami. Undang-undang dilihat terlalu sulit lagi menyulitkan bagi mereka yang ingin berpoligami.

Pemohon perlu membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Syariah yang namanya sudah menimbulkan gerun. Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia pula mempunyai bilangan hakim yang terhad sehinggakan kadangkala menunggu giliran perbicaraan, rumah tangga yang dibina sedia kala menjadi retak menunggu belah mahupun terus berderai.

Mahkamah pula akan memanggil isteri pemohon, di samping bakal isteri serta walinya. Perbicaraan biasanya dibuat dalam mahkamah terbuka yang sedikit sebanyak menyebabkan ramai yang terbantut memikirkan kemungkinan aib yang bakal didengari orang lain. Perbicaraan biasanya akan membabitkan keterangan isteri yang peratus menolaknya sangat tinggi.

Maka keterangan ini kebiasaannya akan membabitkan kelemahan atau kekurangan suami sebagai menguatkan hujah menolak permohonan itu, sama ada ia benar atau mungkin ditambah-tambah. Mana mungkin orang baik lagi terhormat sanggup menghadapi keadaan ini sedangkan mereka dihormati dan disanjung masyarakat.

Akhirnya, mereka hanya memendamkan hasrat poligami demi kerana baiknya mereka dan tidak sanggup menanggung malu. Wanita yang memerlukan pembelaan atau perlindungan lelaki yang layak dan baik, sekali lagi hampa.

Kesimpulannya, poligami adalah jalan penyelesaian yang disediakan Allah untuk hamba-Nya. Hamba-Nya sebagai khalifah, haruslah mengatur jalan ini supaya cantik dan sesuai. Semua syaratnya harus dipenuhi dan dipelihara tanpa dihujani tambahan perkara yang menyulitkan. Kekeluargaan adalah permulaan sebuah ketamadunan. Sistem Islam adalah penyelamat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Assobiyah penghancur masyarakat silam dan sekarang

Posted by epondok di Mei 26, 2010

Oleh Muhammad Hazwan

Masyarakat tak dapat bekerjasama majukan negara selagi dibelenggu assabiyah, fahaman sempit

KETIKA Islam muncul, dunia berada dalam keadaan berpecah-belah. Tiada sebarang ikatan selain ‘assabiyah’ perkauman atau fahaman etnik, puak dan kabilah sempit. Apa yang wujud ketika itu hanya perkauman Arab, Parsi, Tauran dan beberapa kaum lain.

Perkauman pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, Asyuriyin di Iraq dan Lubnan, Firaun di Mesir serta bangsa Barbar di Maghribi.

// <![CDATA[//

Keadaan berubah apabila datang seruan Islam. Semua umat manusia diseru meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disaran bersatu membentuk satu ummah.

// <![CDATA[//

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.” (Surah al-Anbiya: 92)

Begitulah Islam berjaya mengatasi sikap taksub bangsa dan warna kulit sebaliknya menyeru semua bangsa bersatu menjadi satu ummah bersaudara serta tidak lagi mengenal kelebihan kepada sesuatu bangsa kecuali berdasarkan kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Rasulullah sudah mengambil langkah amali ke arah merealisasikan perpaduan yang menyeluruh antara orang Islam pelbagai kaum dan orang Islam dengan bukan Islam. Langkah bijak Rasulullah dilihat sebaik saja baginda berhijrah ke Madinah.

Baginda menyatupadukan antara Muhajirin (orang yang berhijrah bersama baginda dari Makkah) dengan Ansar (penduduk Kota Madinah). Tindakan Rasulullah menghapuskan fahaman assabiyah perkauman menjadi asas pembinaan sebuah negara Islam, seterusnya sebagai empayar Islam yang unggul dan terbesar.
Sikap taksub kepada kabilah sendiri, asyik bermusuhan dan berperang antara kabilah menyebabkan bangsa Arab sebelum ini lemah serta tidak mempunyai tamadun seperti bangsa lain di sekeliling mereka.

Dengan adanya perpaduan sesama umat Islam, lahir perpaduan serta muafakat dalam membuat kebaikan dan ketaatan kepada pemimpin. Bangsa Arab yang sebelumnya mundur dan jahil, dapat membina empayar Islam meliputi Sepanyol di Barat hingga ke sempadan China di Timur.

Bagi memperkukuhkan lagi negara yang dibina itu, Baginda berusaha membuat persepakatan dan kerjasama dalam hal dibenarkan syarak, antara umat Islam dengan bangsa Yahudi yang tinggal dalam negara itu.

Proses penyatuan dan kerjasama itu dilaksanakan melalui Perlembagaan Madinah dengan cara diplomasi dan bijaksana. Melalui perlembagaan itu, hak asasi manusia tanpa mengira agama, bangsa dan darjat diberi jaminan oleh Rasulullah.

Sebenarnya, umat Islam diharuskan menjalin perhubungan baik dan positif dengan bukan Islam. Perhubungan itu harus dipupuk dengan persefahaman dan kerjasama yang sihat, semoga suasana harmoni serta stabil dapat dicapai untuk meningkatkan lagi pembangunan masyarakat.

Namun demikian, sejarah mengajar supaya sikap berhati-hati tidak dilonggarkan, sehingga persediaan kita untuk bertindak memulihkan kekeruhan dan ketegangan yang berlaku terjejas daya keberkesanannya.

Elemen perpaduan dilaungkan kerajaan selama ini wajib diberi perhatian serius semua pihak. Ia bukan perkara yang hanya boleh direka atau dipermainkan kerana ia adalah syariat Islam.

Realitinya, kebanyakan umat Islam kini masih belum menghayati dan mengamalkan ajaran murni itu. Sebagai bukti, umat Islam kini terlalu taksub kepada parti politik, kaum dan kedudukan pangkat masing-masing, sehingga lupa seruan perpaduan Islam.

Kadang kala, sifat taksub itu menjadi penghalang terlaksananya perpaduan yang diusahakan. Jadi bagaimanakah akan wujudnya sebuah negara Islam yang bersatu, mempunyai matlamat untuk dikongsi bersama, aman, berintegrasi hidup harmoni dan bekerjasama secara adil?

Sebagai seorang Islam mengaku beriman kepada Allah, tidak seharusnya menjadikan perbezaan fahaman politik dan kedudukan pangkat sebagai punca perpecahan. Agama lebih penting daripada parti politik dan ideologi ciptaan manusia.

Usaha menerapkan nilai perpaduan rakyat Malaysia khususnya, perlu dilakukan melalui saluran yang ada. Pada peringkat sekolah umpamanya, pelajaran Pendidikan Islam perlu menekankan aspek penghayatan elemen perpaduan ummah. Pemikiran seperti ini juga atau yang lebih bersifat sejagat dan kemanusiaan bagi bukan Islam perlu dimasukkan dalam pelajaran Pendidikan Moral.

Di samping itu, kerajaan disaran menubuhkan Kelab Perpaduan di semua sekolah sebagai kegiatan kokurikulum pelajar. Di samping dapat mempereratkan hubungan sesama Islam, kelab ini juga dapat memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.

Selain itu, generasi muda negara ini perlu diberi kefahaman segera mengenai konsep persaudaraan Islam dan perpaduan antara kaum yang menjadi teras kemajuan dan kemakmuran negara.

Remaja kini memandang ringan isu perpaduan, sehingga mereka menganggapnya perkara yang boleh dibuat sesuka hati. Maksudnya ada ketika mereka bersatu dan pada ketika lainnya mereka bermusuh. Sikap sebegini menyebabkan perpaduan tidak bernilai.

Kesimpulannya, kita seharusnya mengembalikan zaman kegemilangan perpaduan ummah seperti dibina Rasulullah sejak 1421 Hijrah. Beberapa langkah bijak yang dilakukan Rasulullah seharusnya dijadikan contoh dan panduan untuk membina sebuah negara yang stabil dan makmur.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kesal batal diskaun saman

Posted by epondok di Mei 26, 2010

Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

TINDAKAN polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tidak lagi memberikan diskaun kepada pesalah trafik telah mengundang reaksi yang pelbagai. Di satu pihak, ia mendapat sokongan yang jitu demi meningkatkan pematuhan undang-undang di jalan raya. Manakala di pihak lain, tentulah pengguna jalan raya itu sendiri yang berasa tertekan. Sudahlah mereka tertekan dengan kenaikan harga minyak, cukai jalan, insurans dan sebagainya, kini saman pula pastinya menekan mereka.

Dari segi fundamental utama terhadap penguatkuasaan undang-undang, ia lebih kepada proses pematuhan serta pelaksanaan, bukannya jumlah saman ataupun amaun yang dikenakan. Sekiranya ini tidak difahami, perbuatan mengenakan denda maksimum hanya menjadi satu kezaliman yang tidak mempunyai justifikasi dan lebih bersifat melepas geram kepada golongan pengguna.

Pada hal, proses saman itu sendiri belum lagi memberikan hak kepada pihak berkuasa berkenaan untuk memaksimumkan penalti secara mandatori sekiranya ia belum diwartakan atau tidak diputuskan oleh mahkamah. Secara tidak langsung, mana-mana individu yang disaman akan menjadi mangsa kerana tidak diberikan hak melalui perundangan yang sedia ada untuk memperoleh fasiliti-fasiliti mereka seperti yang sepatutnya.

Di manakah perginya slogan yang dicanangkan oleh kerajaan bahawa rakyat didahulukan itu diterjemahkan sebagai satu realiti dalam kes ini?

Bagi aktivis pengguna, kami melihat tindakan memaksimumkan denda itu adalah satu sikap semberono agensi yang tidak dilaksanakan dengan cara yang bijak. Implikasinya, rakyat memandang serong bahawa dengan mengizinkan perkara itu berlaku, maka kerajaan bersetuju bahawa rakyat perlu ditindas dengan justifikasi mudah untuk mengajar mereka mematuhi peraturan jalan raya.

Mengajar, menghukum dan mendenda mempunyai definisi yang berbeza. Kerana itu, ia tidak boleh diterjemah sebagai satu kelompok dengan satu jenis kefahaman sahaja. Janganlah memindahkan kegagalan kita melaksanakan penguatkuasaan serta amanah yang diberi sehingga mendorong tindakan serta agenda itu diambil, seolah-olah membalas dendam.

Kumpulan rakyat negara ini sudah memasuki fasa matang dalam erti kata memahami hak-hak mereka dan tahu mempertahankannya. Kerana itu, agensi penguatkuasa perlu mempunyai keprihatinan yang lebih sebelum melaksanakan sebarang keputusan supaya tidak mendatangkan ketegangan atau menyusahkan orang ramai.

Pepatah ada mengatakan bahawa jangan sering tuding jari kerana satu jari yang dituding kepada orang lain akan menunjukkan empat jari lain yang menuding diri sendiri. Tentu ada cara lain untuk membantu pengguna menjadi orang yang patuh kepada undang-undang. Hukuman dan kekerasan bukan menjadi budaya yang baik dalam negara yang bertamadun. Sebab itu, imej pegawai penguatkuasa tercemar teruk apabila berlaku kes menembak suspek akhir-akhir ini.

Tentu mesej daripada rakyat itu perlu difahami, bahawa hak mereka tidak boleh diperlekeh.

Perspektif pematuhan, penguatkuasaan dan penalti sebenarnya jauh berbeza. Ia seperti yang ditegaskan di atas tidak boleh dirangkum menjadi satu. Kegagalan menguatkuasa sebenarnya tidak boleh dipindahkan kepada pengguna. Proses penambahbaikan perlu berlaku di pihak agensi yang berkaitan kerana pengguna adalah kumpulan yang sama sejak zaman berzaman.

Mungkin pegawai penguatkuasa kita perlu mempelajari sesuatu dari agensi yang sama di negara maju yang mana, karisma dan kepatuhan masyarakat pengguna tidak perlu dipinta tetapi mampu diwujudkan. Ini kerana imej tidak mampu dijana tanpa asas yang teguh.

Oleh itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia melihat bahawa tindakan kedua-dua agensi itu sebenarnya tidak akan memberi apa-apa impak terhadap tahap pematuhan undang-undang di jalan raya. Dikhuatiri pada masa yang sama, impak yang lebih buruk akan tempias kepada negara dan kepimpinan yang ada sekarang.

Penulis ialah Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »