Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Mei 2010

Muallim Abdul Wahid Sungai Udang, Ulama’ Melaka Tersohor

Posted by epondok di Mei 25, 2010

Mohd Fadli Ghani
DI KALANGAN ulama Melaka, tidak ramai yang menjadi tuan guru pondok seperti mana di Kelantan atau Kedah. Hanya beberapa kerat sahaja ulama pondok di negeri Hang Tuah ini yang membuka pondok antaranya ialah Tuan Guru Ahmad Kasim, Tuan Guru Mohd Zain Abdul Rahman, Mufti Jalil Hassan dan Tuan Guru Abdul Wahid Sungai Udang.Di kalangan ulama selepas merdeka, hanya Haji Wahid Sungai Udang atau Muallim Haji Wahid sahaja yang terkenal terutama kerana Madrasah an-Nuriah yang diasaskannya adalah institusi pendidikan Islam terpenting di Melaka sehingga hari ini. Nama sebenar beliau ialah Abdul Wahid bin Othman bin Ningkal dan berketurunan Kerinci, Sumatera. Datuknya berhijrah dari Kerinci ke Melaka pada akhir abad ke-19. Ibunya bernama Siti binti Haji Yusof. Beliau dilahirkan di Kampung Paya Rumput, Rumbia, Melaka pada 1910.Beliau mula dihantar belajar di Sekolah Melayu Tangga Batu sehinga lulus Darjah Lima. Ketika berusia 14 tahun, beliau belajar agama di Palembang, Sumatera di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Sultan. Setahun kemudian, beliau kembali ke Melaka dan memasuki Pondok Paya Rumput dan berguru dengan Tuan Guru Haji Mohd Zain Abdul Rahman.Selepas itu beliau memasuki Pondok Khairiyah, Batu Tujuh, Air Molek di bawah Tuan Guru Haji Abdul Majid. Dua tahun kemudian beliau berguru pula dengan bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Ahmad Kassim sehingga 1931. Setelah itu, beliau mula berkelana ke Kelantan dan sempat berguru dengan ulama-ulama yang terkenal seperti Tok Kenali, Tuan Guru Ahmad Manan Tok Hakim, Mufti Haji Wan Musa Tuan Tabal, Tuan Guru Haji Ali Salahuddin Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Mufti Haji Ahmad Maher, Tuan Guru Haji Omar Nuruddin Sungai Keladi, Mufti Haji Mohd Noor Ibrahim, Tuan Guru Haji Said Kangkung dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payung.Pengembaraan ilmu di beberapa pondok di Kelantan berakhir pada 1940. Antara rakan-rakan seperguruan beliau di Kelantan ialah Tuan Guru Haji Yahya Junid (bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS), Tuan Guru Haji Hussein Rahimi (bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat), Tuan Guru Haji Ghazali Pulau Chondong (bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan), Tuan Guru Haji Othman Yunus (bekas Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayahanda Mursyidul Am PAS) dan Tuan Guru Haji Awang Muhammad Rusila (ayahanda Presiden PAS).

Ketika berada di Pondok Bunut Payung, keilmuan beliau sudah diakui sehingga dilantik menjadi guru pembantu bersama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi.

Selepas menamatkan pengajian pada 1940, beliau kembali berkhidmat di Melaka. Pada 8 Rejab 1358 (12 Ogos 1940), Muallim Haji Wahid telah mendirikan pondoknya sendiri iaitu Madrasah an-Nuriah ad-Diniah di Paya Rumput, Melaka.

Pondok ini telah mendapat sambutan hebat pada 1950-an di mana terdapat hampir 100 buah pondok dengan lebih 350 orang pelajar. Pada 1962, madrasah ini telah mendirikan asrama untuk anak yatim lelaki di Sungai Udang, manakala anak yatim perempuan kekal di Paya Rumput.

Muallim Haji Wahid mengajarkan ilmu fiqh, tasawuf, nahu, saraf, tauhid, tafsir dan hadis di kedua-dua asrama ini. Pada 1971, sistem pengajian akademik diperkenalkan di madrasah ini di sebelah pagi, manakala pengajian pondok pada sebelah petang dan mendapat bantuan Majlis Agama Islam Melaka.

Muallim Haji Abdul Wahid juga terkenal kerana kehidupan sufinya. Beliau dikenali kerana warak, tawaduk dan qanaah sehingga dianggap sebagai wali Allah. Beliau mengamalkan wirid Tariqat Ahmadiyah yang diterima dari gurunya, Mufti Haji Wan Musa di Kelantan.

Antara peristiwa berhubung karamahnya yang diceritakan anak muridnya adalah tindakan beliau mengisi air dalam tangki minyak kereta setelah kehabisan minyak ketika keluar berdakwah.

Beliau juga suka mengembara dan telah melawat beberapa negeri seperti Arab Saudi, Indonesia, Mesir, Turki, Iraq, Kuwait dan India. Dalam kesibukan berdakwah, beliau sempat menghasilkan beberapa buah tulisan seperti Kitab al-Islam, Risalah Ilmu Falak dan risalah-risalah kecil yang melebihi 10 judul.

Selain mejadi seorang tok guru di pondoknya, Muallim Haji Wahid juga tidak ketinggalan dalam menggerakkan usaha dakwah dan politik. Pada peringkat awal, Muallim Haji Wahid menyertai Umno kerana menentang Malaya Union dan aktif dalam Bahagian Agama Umno Melaka sejak 1946.

Beliau kemudian menyertai All-Malayan Islamic Missionary atau Jam�iyah Dakwatul Islamiyah Malaya cawangan Melaka dan menjadi salah seorang jawatankuasanya. Muallim Haji Wahid pernah mewakili jam�iyah ini ke Persidangan Alim Ulama Se-Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950. Persidangan itu merupakan tapak kepada penubuhan PAS pada 23 Ogos 1951.

Menyedari kewajipan berjuang untuk menegakkan agama Allah, Muallim Haji Wahid telah menyertai PAS pada 1956 dan merupakan antara pengasas PAS Melaka. Walaupun tidak pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Melaka, tetapi beliau diberikan peranan besar dalam Dewan Ulama PAS Melaka sesuai dengan keilmuan beliau. Muallim Haji Wahid turut memberikan sumbangan kepada Dewan Ulama PAS Pusat sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Melaka sejak tahun 1960-an hingga 1987. Boleh dikatakan beliaulah tulang belakang kepada Dewan Ulama PAS Melaka dan Madrasah an-Nuriah pula menjadi pusat kegiatan PAS yang penting ketika itu.

Ketika PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Melaka pada 1962, Muallim Haji Wahid merupakan tenaga utama dalam menjayakan muktamar ini.

Setelah lebih 40 tahun menjadi khadam kepada perjuangan agama dan pendidikan anak bangsanya, ulama yang berkebolehan dalam ilmu falak ini telah pulang ke rahmatullah pada 3 Oktober 1991 bersamaan 14 Rabiul Awwal 1411 dalam usia 81 tahun. Beliau dikebumikan di Solok Duku, Masjid Tanah.

Allahyarham telah meninggalkan waris perjuangan iaitu anaknya, Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid, bekas Pesuruhjaya PAS Melaka merangkap bekas Ketua Dewan Ulama PAS Melaka serta anak saudaranya, Ustaz Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Melaka kini.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang kini menjadi Pesuruhjaya PAS Melaka dan Tuan Guru Haji Yaakub Solok Duku. – tajdid _

Posted in Tokoh Ulama' | 17 Comments »

Anak amanah Allah kepada kita

Posted by epondok di Mei 25, 2010

Oleh Hashim Ahmad

 

Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang perlu dididik supaya menjadi insan yang berguna. – Gambar hiasan

 

Sesungguhnya anak yang dikurniakan Allah kepada suami isteri adalah suatu amanah dari Allah SWT. Anak bukanlah hak kita. Ia adalah hak Tuhan. Tuhan yang memberikannya kepada kita.

Sekiranya anak itu hak kita, tentulah apabila kita berkahwin kita akan terus mendapat anak seperti mana yang kita kehendaki.

Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.

Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.

Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai derhaka. Tetapi orang tidak biasa menyebutnya derhaka. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah berlaku zalim.

Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: “Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.

“Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran”.

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran”.

Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu”.

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.

Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.

Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal.

Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.

Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik, dicukur rambutnya dan dibuat akikah.

Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji, ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan solat dan sebagainya.

Dengan kata lain, ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anaknya. Malah lebih dari itu ibu bapa wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim dan Baihaqi)

Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari.

Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-masing.

Sesungguhnya, anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya.

Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.

Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali.

Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.

Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan jawi.

Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak.

Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa runsing dan bimbang dengan anak-anak mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran. Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah begitu rendah sekali.

Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka.

Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen anak-anak yang begitu tinggi.

Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu?

Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di akhirat kelak.

Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua.

Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta ampunkan dosanya.

Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah SWT, maka menganggap barang amanah dengan sambil lewa dan cuai dikira sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.

Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Malaysia mesti tolak Perjanjian Copenhagen

Posted by epondok di Mei 25, 2010

Oleh S M Mohamed Idris

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia supaya menolak Perjanjian Copenhagen yang tidak diterima pakai oleh negara-negara yang menyertai rundingan mengenai perubahan iklim pada Disember 2009. 

Perjanjian Copenhagen pernah menimbulkan kontroversi kerana ia didraf dalam cara yang tidak telus dan tidak demokratik, yang muncul daripada mesyuarat eksklusif 26 pemimpin politik, padahal Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dianggotai oleh lebih 190 negara ahli. 

Kami berasa kesal, khususnya berhubung amalan tidak demokratik dan tidak sah satu kumpulan kecil untuk merangka teks di luar medan rundingan biasa, dengan membelakangkan  sejumlah besar negara anggota lain termasuk Malaysia. 

Perjanjian itu membayangi usaha keras selama bertahun-tahun kumpulan-kumpulan di bawah UNFCCC dan Protokol Kyoto (KP). 

Memandangkan Perjanjian itu tidak diterima pakai dalam Rundingan Pelbagai Pihak di Copenhagen, tetapi sekadar “diambil perhatian”, terdapat pula kempen untuk “mengaitkan” negara-negara ahli dengan perjanjian tersebut. 

Perjanjian itu tidak dapat diterima kerana ia akan mengubah imbangan hak dan tanggungjawab di kalangan negara-negara maju dan membangun yang menganggotai UNFCCC.  

Perjanjian itu menggantikan model mitigasi Protokol Kyoto (iaitu mengukuh dan mencukupkan sasaran agregat dan individual kebangsaan) dengan sistem perakuan sukarela dan unilateral oleh setiap negara maju, tanpa sebarang semakan dibuat mengenai kecukupan sasaran kebangsaan atau implikasi daripada paras agregat mereka. 

Negara-negara maju yang sepatutnya menunjukkan kepimpinan dalam mengurangkan pengeluaran asap ternyata mengabaikan tanggungjawab mereka dalam Protokol Kyoto dengan menggalakkan Perjanjian Copenhagen.

Perakuan yang dibuat oleh negara-negara maju hanya membabitkan 11-19% pengurangan dalam pengeluaran asap sedangkan Panel Antara Negara mengenai perubahan Iklim menuntut sekurang-kurangnya 25-40% pengurangannya menjelang tahun 2020 berbanding paras pada tahun 1990. Banyak negara membangun termasuk Malaysia telah menggesa pengurangan sekurang-kurangnya 40% menjelang 2020 berbanding paras tahun 1990. 

Perjanjian Copenhagen juga meletakkan tanggungjawab mitigasi yang lebih besar ke atas negara membangun berbanding yang dipersetujui dalam Pelan Tindakan Bali atau dalam konvensyen itu sendiri. 

Hanya USD100 bilion telah dipersetujui untuk digerakkan di bawah perjanjian tersebut untuk mengetengahkan langkah-langkah mengawal perubahan iklim tetapi ini jauh daripada apa yang dianggarkan oleh pihak PBB iaitu sekurang-kurangnya dalam lingkungan USD500 hingga 600 bilion. 

Lanjutan daripada rundingan mengenai isu iklim di Bonn April lalu, teks baru untuk mengadakan rundingan telah disiapkan untuk rundingan pada Jun nanti. Banyak perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut sudah tergambar dalam teks baru itu sebagai pilihan untuk pihak-pihak yang terbabit mengadakan rundingan, berikutan desakan negara-negara maju.

Dengan mengaitkan diri dengan Perjanjian tersebut, Malaysia kini mengikat dirinya sendiri dalam proses rundingan. Justeru itu, ia mengurangkan kemampuannya untuk mengambil tempat iaitu demi kepentingan negara. 

Malaysia tidak akan mengalami kerugian jika tidak mengaitkan diri dengan Perjanjian Copenhagen tetapi sebaliknya akan menikmati keuntungan kerana ia lebih berpeluang untuk memutuskan apa yang terbaik untuk negara dan penduduknya dalam usaha mengawal perubahan iklim. 

Tambahan pula, Malaysia tidak akan bersendirian dalam hal ini kerana sejumlah besar negara membangun tidak menyokong perjanjian tersebut. 

Perjanjian Copenhagen tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara, tetapi lebih kepada melemahkan tanggungjawab negara-negara maju yang sedia ada dan sebaliknya mengubah beban itu kepada negara-negara membangun. 

Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada tekanan daripada negara-negara maju tetapi sebaliknya terus kekal menolak Perjanjian Copenhagen itu atau sekurang-kurangnya tidak mengaitkan diri dengannya. 

Jika perjanjian itu diterima, ia akan menjejaskan usaha-usaha untuk menjaga kerjasama di peringkat antarabangsa secara adil dan saksama berhubung perubahan iklim.    
 

S M Mohamed Idris

Presiden

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »