Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Mei 2010

Guru warisi tugas rasul, nabi

Posted by epondok di Mei 24, 2010

KERJAYA guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama.

Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi atau ukhrawi.
Dalam hal ini, Rasulullah membuktikan betapa pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.
Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi. Firman Allah yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang telah mengutuskan daripada kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 2). Selain itu, Baginda juga mengambil inisiatif contoh dengan menghantar Mus’ab ibn ‘Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam.
Secara tidak langsung, Rasulullah turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat Bukhari). Saidina Ali r.a pula pernah berkata: “Jadilah orang yang mencurahkan ilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang suka mendengar ilmu, atau orang yang cintakan ilmu, dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa.” Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Imam Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Ihya ‘Ulum ad-Din yang bermaksud: “Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut).” Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan.
Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Memang ada segelintir guru yang membuat onar tetapi sebahagian besar menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan baik.
Justeru, sempena sambutan Hari Guru yang disambut Ahad lalu, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan saranan Baginda yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis riwayat Bukhari).
Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi. Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20). Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Teori akad dalam kehidupan

Posted by epondok di Mei 24, 2010

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

 

AKAD atau kontrak berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan sama ada yang dapat dilihat (hissiy) mahupun yang tidak dapat dilihat (ma’nawiy).

Daripada segi istilah, akad bermaksud suatu kesepakatan atau komitmen bersama, sama ada secara lisan, isyarat, ataupun tulisan antara dua pihak atau lebih. Ia memiliki implikasi hukum yang mengikat untuk melaksanakannya (rujuk Muhammad Salam Madkur (1963), al-Madkhal al-fiqh al -Islamiyy, Dar al-Nahdah al- ‘Arabiyyah, hlm. 506).

Berdasarkan definisi tersebut, dapat difahami akad adalah perjanjian dan persefahaman yang mengikat pihak yang berakad untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing selagi belum menamatkan akad tersebut.

Akad juga boleh difahami sebagai pertalian antara ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan) yang menimbulkan pengaruh dan kesan kepada subjek terlibat.

Pertalian ijab dan qabul ini mengikat pihak-pihak yang berakad untuk menunaikan kewajipan sebagaimana yang disepakati bersama.

Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan definisi antara akad dan wa’ad (janji). Namun, kebanyakan mereka menyatakan bahawa akad dan wa’ad berbeza.

Dalam akad, segala terma ditentukan secara spesifik sebelum akad itu dimeterai. Wa’ad adalah janji antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Pihak yang memberi janji bertanggungjawab melaksanakan janjinya sedangkan pihak yang kedua tidak memikul apa-apa kewajipan terhadapnya.

Dalam berurusan sesama manusia, masyarakat perlu memahami konsep akad dalam Islam agar semua urusan yang dilakukannya menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.

Sekali gus, kefahaman yang diseiringkan pula dengan kepatuhan terhadap rukun-rukun dan syarat-syarat akan menyebabkan semua hak mereka yang terlibat dalam akad dapat dipelihara.

Kedudukan akad sangat penting untuk membezakan sama ada sesuatu urusan atau urusniaga itu sah atau tidak mengikut syarak. Justeru, penggunaan akad yang tepat untuk melakukan sesuatu urusan perlu diambil berat oleh setiap individu.

Sekiranya akad tersebut sah, maka ia akan mewujudkan tanggungjawab dan hak di kalangan pihak-pihak yang berakad. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menyerahkan sejumlah wang dengan menggunakan akad bai’ (jual beli), maka hendaklah orang yang menerima wang tersebut menggantikannya dengan barang yang diminta oleh pembeli.

Jika individu tersebut menyerahkan duitnya dengan menggunakan kontrak tabarru’, maka ia tidak memerlukan sebarang penggantian dan pertukaran dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Ia adalah percuma dan diberikan mungkin disebabkan derma, wakaf, sedekah, hadiah dan sebagainya.

Jika ia menyerahkan duit dengan menggunakan kontrak qard (pinjaman), maka si penerima perlu membayar balik jumlah duit yang diterimanya tanpa melebihi kadar yang disumbangkan. Kita dapat lihat melalui contoh-contoh tersebut perbezaan yang ketara di antara kontrak-kontrak yang dilaksanakan.

Kontrak-kontrak dalam Islam mengandungi rukun dan syarat yang perlu dipatuhi. Kegagalan memenuhi segala rukun dan syarat tersebut akan memberi kesan buruk kepada akad. Jika akad tersebut tidak sah, maka segala yang berkaitan dengannya juga tidak sah.

Sebagai contoh, sekiranya seorang yang kurang siuman mendermakan sejumlah wang, maka derma tersebut tidak sah kerana syarat orang yang memberikan sumbangan adalah daripada orang baligh dan berakal.

Akad hanya boleh terbentuk sekiranya cukup rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh Islam. Menurut majoriti ulama, akad terbentuk melalui tiga rukun iaitu:

l Al-‘aqidain: Dua pihak yang berakad. Iaitu semua pihak yang terlibat secara langsung dengan akad seperti penjual dan pembeli dalam akad bai’ (jual beli) serta penyumbang modal dan pekerja dalam akad mudharabah.

l Mahallul aqd: Subjek akad iaitu sesuatu yang hendak diakadkan seperti kereta dalam akad sewa dan beli (Aitab) atau rumah dalam akad Bai’ Bithaman Ajil (BBA)

l Sighah: iaitu ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan). Ia dilafazkan secara lisan atau bertulis oleh mereka yang berakad. (rujuk Wahbah Az-Zuhaili. 1989, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu,. Damaskus: Dar al-Fikr. IV: 92).

Para ulama fikah dalam Mazhab Hanafi berbeza pandangan dengan majoriti ulama. Bagi mereka, rukun akad hanya satu sahaja iaitu sighah (ijab dan qabul). Al-aqidain dan mahallul aqd adalah syarat akad kerana ia bersifat dalaman (dakhiliy) dan teknikal.

Pandangan ini didasari oleh kefahaman mereka bahawa rukun adalah sesuatu yang tunjang dan menjadi faktor utama terjadinya sesuatu akad.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »