Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 Mei 2010

Kegembiraan orang beriman di hari akhirat

Posted by epondok di Mei 22, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menambahkan keterangan secara terperinci mengenai keadaan hari kiamat berserta malapetakanya yang mengerikan. Semua itu diterangkan kepada manusia sebagai dorongan agar merenung dalil yang menunjukkan ke-Esaan dan kekuasaan Allah SWT.

Kebenaran hari kebangkitan berserta segala kejadian hari kiamat yang disampaikan melalui lidah rasul-rasul-Nya supaya mereka membekalkan diri dengan amalan soleh sebagai pelita untuk menerangi kegelapan hari kiamat itu.

Allah SWT menerangkan bahawa manusia ketika itu terbahagi kepada dua golongan:

l Golongan yang sentiasa tersenyum, riang gembira seperti orang yang bertemu kekasihnya. Mereka itu adalah orang yang benar-benar percaya kepada kebenaran dan mengamalkannya.

lGolongan yang mukanya berdebu, ditutupi asap hitam. Mereka adalah penentang Allah SWT dan rasul-Nya, menolak kebenaran yang dibawa dan enggan berbuat baik sesuai dengan perintah Islam.

Firman Allah SWT: Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat.

Ibn Abbas berkata: al-Shakhah merupakan salah satu daripada nama hari kiamat yang diagungkan Allah SWT dan selalu diperingatkan pada hamba-Nya.

Ibn Jarir berkata: Boleh jadi ia merupakan nama bagi tiupan sangkakala.

Sedangkan Syed Qutb berkata: Perkataan shakhah ialah bunyi yang gegak gempita hampir menembusi telinga ketika ia membelah udara sampai ke dalamnya dengan bunyi yang kuat dan mendesak.

Dengan nada yang keras ini, al-Quran mengadakan persediaan untuk menayangkan pemandangan selanjutnya iaitu pemadanan setiap individu lari dari orang yang paling dekat dengannya.

Firman Allah SWT: Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan ibunya serta bapanya, dan isterinya serta anak-anaknya.

Ibn Kathir berkata: Maksudnya dia mengetahui justeru, dia lari dan menjauh dari mereka kerana keadaan yang sangat menakutkan dan suasana yang tidak tenteram. Dalam hadis sahih disebutkan berkenaan dengan masalah syafaat.

Jika setiap Rasul di kalangan Ulul Azmi diminta memberikan syafaat di sisi Allah, maka dia akan mengatakan: “Saya pun bimbang nasib diriku ini”.

Bahkan Nabi Isa a.s sendiri mengatakan: “Aku tidak meminta kepada-Nya kecuali untuk diriku sendiri bahkan aku tidak mampu meminta untuk Maryam walaupun dia ibu kandungku sendiri”. Oleh yang demikian, Allah SWT berfirman seperti ayat di atas.

Firman Allah SWT: Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

Debu kehinaan

Al-Maraghi berkata: Itulah kejadian yang sebenarnya dan masing-masing diserang rasa ketakutan.

Ketakutan terhadap bencana dan perhitungan amalan merupakan urusan yang menyibukkan dan memalingkan dirinya daripada kaum kerabatnya disebabkan dia tidak mempunyai fikiran dan kekuatan lain lagi untuk menolong orang lain.

Perkara ini juga boleh diertikan bahawa kesedihan yang dideritainya itu disebabkan oleh dirinya sendiri dan kesibukan ini menyebabkan dia sesak dada.

Oleh itu dia tidak mempunyai sebarang kesempatan untuk memerhatikan kesedihan orang lain.

Firman Allah SWT: Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria. Inilah gambaran mereka yang mendapat keredaan Allah SWT. Kedudukan mereka yang selamat daripada huru-hara pada akhirat kelak.

Firman Allah SWT: Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.

Al-Maraghi berkata: Pada hari itu terdapat orang yang wajahnya ditutupi debu kehinaan dan gelap kerana kesedihan. Itulah wajah orang kafir, orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan ajaran-ajaran yang dibawa rasul-Nya.

Mereka melanggar ketentuan syariat, melakukan dosa dan kejahatan. Dari keterangan di atas, dapat dinyatakan pada hari itu manusia terbahagi kepada dua golongan:

lGolongan yang ketika di dunia mencari kebenaran, berpegang kepada dalil yang tepat dan mengamalkan kebenaran tersebut. Dia tidak lemah, kerana sedikitnya pengikut dan ramainya pembangkang. Mereka bersikap tenang sehingga bertemu Allah SWT dan bergembira disebabkan memperoleh hasil daripada amalan yang dilakukan. Tanda-tanda kegembiraan itu terlihat pada wajah-wajah mereka.

lGolongan yang rendah akalnya, mengabaikan nikmat-nikmat Allah SWT kepadanya, senang mengambil tindakan yang bodoh dan tidak mahu berfikir kerana mengikut warisan daripada nenek moyangnya. Dia selalu mengikut hawa nafsunya yang jahat dan akidah yang rosak. Mereka akan mengamalkan sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu, kerana itu nampak pada dirinya rasa kecewa dan gagal. Wajah-wajah mereka pula dipenuhi debu dan asap hitam disebabkan mereka ketika di dunia kafir lagi derhaka.

Syed Qutb berkata: Dengan susunan itu, selaraslah gambaran bahagian pertama dengan yang akhir.

Bahagian pertama menjelaskan hakikat nilai atau neraca dan bahagian akhir menerangkan hasil penilaian neraca itu.

Surah yang pendek ini menjadi satu surah yang tersendiri atau unik dengan pengemblengannya yang mengandungi berbagai-bagai hakikat yang besar, pemandangan-pemandangan, nada-nada dan saranan yang beraneka ragam yang memberi penjelasan yang cantik dan halus.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Peranan guru mampu lahirkan generasi pintar berperibadi mulia

Posted by epondok di Mei 22, 2010

Oleh Nik Salida Suhaila

TIDAK lahir seorang guru tanpa gurunya. Walaupun setiap individu yang berjaya mempunyai sejarah kecemerlangan berbeza, mereka pasti bersatu pendapat tanpa guru, mereka tidak akan berilmu. Ada langsung tidak mengenal huruf, sehingga mereka mengenal guru.

Sambutan Hari Guru saban tahun tidak mencukupi bagi menzahirkan penghargaan terhadap jasa guru. Lebih daripada itu, guru hanya mengharapkan muridnya menjadi insan berguna untuk berbakti kepada ibu bapa, bangsa, negara dan agama.

//

Kerjaya guru mulia dan dihormati. Bukan saja sedia berkhidmat, guru sanggup mengorbankan keluarga sendiri demi pendidikan setiap murid. Ada kala guru mencurahkan kasih lebih daripada seorang ibu atau bapa, semata-mata untuk memastikan semua anak yang didiknya berjaya.

//

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan orang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah tujuan.” (Hadis riwayat Anas bin Malik)

Kerana perumpamaan itu, setiap guru nekad menjadi pembimbing bukan saja menyampaikan ilmu malah memindahkan apa saja mereka tahu kepada setiap murid supaya generasi berilmu tidak akan berkurang, malah lebih baik daripada mereka.

Rasulullah adalah contoh guru terbaik kerana selain menyampaikan ilmu, Baginda mendidik, membimbing dan berjaya memindahkan segala pengetahuan daripada Allah tanpa kurang sedikit pun, sehingga ilmu sama masih dipelajari kini dan diamalkan umat Islam yang patuh.

Aspirasi negara dalam bidang pendidikan untuk membina masyarakat sejahtera, harmoni serta mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Maka bagi mencapai hasrat itu, tuntutan kepada ilmu bersepadu antara fardu ain dan fardu kifayah adalah utama supaya dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Firman Allah bermaksud: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat serta orang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-Imran: 18)

Itulah kaedah pengajaran setiap guru, bukan saja mengajar kira-kira tetapi memastikan murid tahu menghitung pahala dan dosa, begitu juga apabila memberi kefahaman mengenai sejarah. Bukan saja membelek warisan nenek moyang, tetapi mengetahui asal usul manusia dan hubungan dengan Tuhannya. Guru juga mengajar peta serta sempadan dunia supaya muridnya tahu akhirat dan kehidupan di sana.

Cuma kadangkala guru teruji dengan perilaku murid yang tidak sepatutnya, tetapi tidak langsung mematahkan semangat menabur bakti, bahkan menganggap ia berlaku satu dalam seribu. Itulah sebab menjadikan guru bersemangat membentuk akhlak pelajar masa kini. Gejala sosial yang semakin parah, malah sikap ibu bapa menyerahkan tanggungjawab kepada guru semata-mata adalah cabaran semasa yang harus dihadapi.

Masyarakat harus berganding bahu dengan guru untuk menjadikan sekolah pusat melahirkan modal insan cemerlang akademik dan sahsiah. Biarpun ramai anak bertuah yang dibimbing ibu bapa dengan sempurna, masih ada diabaikan rohani mereka. Justeru gurulah yang bertanggungjawab dalam segenap segi memastikan generasi berilmu hari ini bukan saja pintar tetapi juga berperibadi mulia.

//

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Remaja perempuan bertukar jadi lelaki

Posted by epondok di Mei 22, 2010


 

DESA TAMBAKSARI KIDUL, Indonesia – Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun di sini, Maemunah (gambar) mendakwa kemaluannya berubah menjadi lelaki, lapor beberapa media semalam.

Dia kini telah mengubah namanya menjadi Mei Purnomo dan berhasrat untuk mengesahkan identitinya sebagai lelaki dalam surat beranak.

Namun, pihak berkuasa di kampungnya di Jawa Tengah enggan mengesahkan dia sebagai lelaki sebelum mendapat bukti pengesahan rasmi daripada agensi kesihatan.

“Sehingga kini nama remaja itu yang tercatat di desa ini masih Maemunah. Kami menunggu keputusan pengadilan mengenai status kelaminnya,” ujar Ketua Kampung Desa Tambak Sari Kidul, Joko Suryanto.

Seorang ketua badan kesihatan di kampung itu, Dr. Widayanto MKes berkata: “Dia (Maemunah) perlu menjalani ujian deosiribonukleik (DNA). Kromosomnya perlu dilihat sama ada dia lelaki atau perempuan.”

Menurut ibu remaja itu, anaknya semasa dilahirkan mempunyai jantina perempuan.

“Bidan yang membantu saya melahirkannya mengatakan anak saya perempuan,” ujar ibunya, Sarni.

Namun, menurut remaja itu, semasa berumur 10 tahun, dia berasa terdapat perubahan pada tubuhnya yang menunjukkan dirinya seorang lelaki.

Remaja itu mengakui bahawa dia turut mempunyai perasaan meminati wanita dan bukannya lelaki.

– Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Misteri penemuan makhluk aneh di Kanada

Posted by epondok di Mei 22, 2010

GAMBAR menunjukkan wajah makhluk aneh yang ditemui di tepi sebuah tasik di Ontario, Kanada.

 

TORONTO, Kanada – Satu bangkai makhluk ganjil ditemui selepas seekor anjing menariknya ke tepi sebuah tasik di bandar Kitchenuhmaykoosib di Ontario, Kanada, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut sebuah laman web di bandar itu, ia pada mulanya ditemui oleh seekor anjing yang bernama Sam the Dog pada minggu pertama bulan ini.

Anjing itu milik salah seorang daripada dua jururawat yang sedang berjalan di tepi tasik tersebut.

Haiwan itu menarik bangkai makhluk aneh itu dari dalam air selepas ia menghidu sesuatu di tasik berkenaan.

Kedua-dua jururawat itu merakamkan gambar makhluk ganjil tersebut sebelum meninggalkannya.

Namun, apabila sejumlah penduduk tempatan memutuskan untuk kembali ke tempat bangkai tersebut selepas mereka mengetahui penemuannya, makhluk aneh itu didapati telah hilang.

Makhluk aneh tersebut mempunyai rambut panjang dan orang ramai mula membuat spekulasi mengenai spesies ganjil itu.

Kebanyakan orang menganggap ia mungkin raksasa Montauk kerana terdapat persamaan dengan satu lagi mahkluk ganjil yang ditemui di Montauk, New York pada 2008. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »