Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Antara perang dan intifadah pembebasan

Posted by epondok di Mei 21, 2010


Oleh – Suhainmi Mokhtar

Selepas peristiwa 11 September 2001 atau lebih dikenali dengan 9/11, serangan dengan kapal terbang penumpang yang membawa runtuh dan hancurnya menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, seluruh dunia diperkenalkan dengan perang menentang keganasan atau war on terror oleh George W.Bush, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu.

Sehingga kini, lebih Sembilan tahun kemudian, suasana perang menentang keganasan tiada tampak akan berakhir segera, walaupun Presiden AS, Barack Obama yang menggantikan Bush dan mewarisi legasi perang Bush telah mengisytiharkan untuk menamatkan perang, apabila tentera AS akan dikeluarkan dari bumi Iraq dan Afghanistan, pada Julai 2011.

Setelah dua negara umat Islam yang terlibat dalam kancah perang menentang keganasan itu diperkenalkan dengan demokrasi dan perubahan regim serta bantuan berbilion dollor AS untuk melengkapkan pasukan keselamatan masing-masing-tentera dan polis, tentera AS akan dikeluarkan untuk membolehkan pasukan keselamatan masing-masing negara mengambil alih tugas dan tanggungjawab keselamatan masing-masing.

Perang menentang keganasan selama lebih sembilan tahun adalah panjang. Ia bermula apabila tentera AS dan sekutu baratnya membantu menukar rejim di Afghanistan, apabila Kerajaan Taliban yang digambarkan begitu kontroversial sekali ditumbangkan pada 2001 dan diikuti dengan pertukaran rejim di Iraq pada 2003, apabila rejim Saddam Hussien yang dikatakan memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) ditumbangkan.

Rejim-rejim ini ditumbangkan dengan dibentuk regim boneka AS dan barat. Hamid Karzai di Afghanistan dan Nouri Maliki di Iraq. Apa yang berlaku dan dialami di Afghanistan dan Iraq membuktikan testimoni bahawa negara-negara seperti Iraq dan Afghanistan telah ditakluki dan dijajah.

Perang menentang keganasan tidak terhenti didua negara umat islam ini sahaja. Ia melibatkan lebih banyak negara umat islam meliputi Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan, Somalia dan beberapa buah negara umat Islam yang lain.

Agenda perang menentang keganasan sebenarnya merupakan alasan atau pretex design besar AS dan barat semata-mata. Hakikatnya ia adalah penjajahan bentuk baru kuasa-kuasa AS dan sekutu baratnya untuk menguasai negara-negara umat Islam supaya tunduk kepada acuan dan kehendak mereka.

AS dan sekutu baratnya juga menggunakan kaedah perang proxy melalui negara-negara umat Islam yang menjadi sahabatnya, bahkan dikongkongnya dengan mendapat bantuan kelengkapan dan peralatan perang serta bantuan ekonomi berjumlah berbilion dollar AS untuk menjadi proxy dalam perang menentang keganasan ini.

Inilah agenda penguasaan AS dan barat terhadap negara umat Islam, menjadikan negara umat Islam bukan sahaja berterusan terjebak dalam penjajahan pemikiran AS dan barat sejak sekian lama tetapi menjadi sekutu rapat mereka untuk membendung dan sekali gus menghancurkan sebarang kebangkitan Islam di mana-mana jua.

George Bush semasa era pentadbirannya selama lapan tahun yang berakhir pada akhir 2008, ketika melancarkan perang menentang keganasan memberi kata dua kepada negara-negara umat Islam, semada ada bersama AS dan barat atau sebaliknya. Negara-negara umat islam, majoritinya menyahut kata dua AS dan barat itu dengan bernaung dan berada bersama mereka bersama-sama melancarkan perang menentang keganasan.

Satu contoh paling ketara ialah negara Pakistan, di bawah teraju pemerintahan diktator tentera Presiden Parviz Musharaf telah bersekutu dengan AS dan barat melancarkan perang menentang keganasan dan natijahnya sehingga kini Pakistan berada dalam kancah perang tersebut yang tidak nampak bagi Pakistan untuk berundur lagi, biarpun kini Pakistan telah bertukar rejim di bawah Presiden Asif Ali Zardari, suami Benazir Bhutoo yang dibunuh dalam kempen pilihan raya Pakistan.

Presiden Obama di permulaan seratus hari pentadbirannya kelihatan menghulurkan tangan melalui pendekatan rundingan dengan negara-negara umat Islam termasuk Iran dan Syria yang disifatkan oleh pentadbiran Bush sebagai pengganas atau exis of evil, tetapi ternyata akhirnya akur dengan kehendak situasi yang wujud dengan meneruskan legasi perang menentang keganasan atau war on terror.

Sejak lebih setahun pentadbirannya, Obama semakin terdesak untuk mencapai kemenangan dalam kempen perang menentang keganasan, sebelum mengatur jadual pengundurannya pada julai 2011. Jadual pengunduran itu dengan meraih kemenangan telebih dahulu mungkin tidak akan tercapai kerana keadaan peperangan di beberapa medan perang yang dibuka oleh AS dan sekutunya masih tidak berubah.

Keganasan sebagaimana anggapan AS dan sekutu Natonya terutama di Afghanistan, Iraq, Pakistan, Samolia dan di tempat-tempat lain bumi umat Islam semakin memuncak dan tiada tampak ia akan kendur dan reda, walaupun tentera AS dan sekutunya terus melakukan operasi menggempur wilayah-wilayah yang dikenal pasti sebagai kubu kuat pejuang Taliban dan Al-Qaeda.

Di Afghanistan ,Obama yang mengalihkan keutamaan peperangan menentang keganasan dari Iraq ke Afghanistan dengan menghantar tentera tambahan yang kini berjumlah 140,000 sedang menghadapi tentangan yang lebih berani oleh para pejuang. Semakin kuat tingkatan serangan, semakin kuat tingkatan kebangkitan. Inilah lumrah dan fitrah perjuangan dan kebangkitan yang memiliki ciri-ciri Islam.

Pejuang Taliban terus meningkatkan perjuangan nya dan ramai penganalisis tentera dan pertahanan dari kalangan mereka sendiri beranggapan bahawa AS dan tentera Nato tidak akan mencapai kemenangan melalui ketenteraan di Afghanistan. Pentadbiran Obama mengubahsuai taktik perangnya dengan turut memainkan peranan di bidang ekonomi dan sosial bagi memenangi hati-nurani rakyat dan dengan cara ini sahaja dikatakan mereka berupaya untuk berjaya.

Bagaimanapun dengan serangan-serangan yang dilakukan melalui udara dengan kapal terbang tidak berpemandu, drone, ia telah menyebabkan ramai orang awam terbunuh menyebabkan kemarahan rakyat. Dari usaha untuk memenangi hati nurani rakyat, ia menjadi kebencian rakyat dan pihak pejuang Taliban kian mendapat tempat dan simpati menjadi makin dekat di hati rakyat.

Sedang peperangan di Afghanistan kian meruncing, peperangan menentang keganasan di Iraq tambah meningkat dan berterusan. Angka terkorban terus meningkat di kedua negara umat Islam itu. Serangan berani mati, bom kereta dan pelbagai cara serangan diguna pakai oleh pejuang bagi mencapai angka terkorban ke maksimum mungkin.

Di Somalia, pergerakan Al-Shabab (Pemuda) terus menguasai keadaan menentang rejim boneka sementara yang dibantu oleh AS dan barat. Di Pakistan pula, pejuang Taliban terus memberi pukulan maut kepada tentera Pakistan dan pasukan keselamatan di sebalik anggapan bahawa tentera Pakistan telah berjaya membebaskan kawasan-kawasan seperti Lembah Swat dari kehadiran pejuang Taliban.

Pakistan pada peringkat awal perang menentang keganasan, walaupun bersama AS dan barat, tidaklah terlalu terjebak dalam perangkap perang menentang keganasan, tetapi lama kelamaan, Pakistan tejebak terlalu jauh yang tidak mudah untuk berpatah balik, selain dari meneruskan perang menentang keganasannya.

Anggapan AS dan barat yang melancarkan perang menentang keganasan bahawa mereka sebenarnya melancarkan perang pembebasan ,tetapi pada anggapan pejuang pula, merekalah yang berjuang untuk menegakkan pembebasan dari negara-negara kuasa seperti AS dan barat dan mereka (AS dan barat) adalah negara pengganas yang menakluki, menjajah bumi umat Islam.

Para pejuang bukan pengganas, mereka berjuang untuk satu kebangkitan, intifadah untuk pembebasan ummah dan negara-negara kuasalah sebenarnya yang merupakan negara pengganas. Masakan perjuangan untuk membebaskan wilayah bumi umat Islam dari belenggu penjajahan boleh disenaraikan sebagai pengganas dan mengganas sedangkan yang menjajah menerima pujian sebagai pejuang pembebasan. Kebenaran tidak sama dengan kebatilan dan begitulah sebaliknya.

Perjuangan pembebasan dan kebangkitan yang diperjuangkan oleh pejuang adalah perjuangan kebenaran dan penjajahan dalam bentuk apa pun adalah perjuangan kebatilan dan merekalah yang berjuang berlandaskan keganasan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: