Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 Mei 2010

Pahala berkekalan sedekah jariah

Posted by epondok di Mei 21, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

DALAM menempuh kehidupan dunia, kita begitu ghairah memburu kejayaan dan kekayaan. Usaha meningkatkan taraf ekonomi diri itu memang dituntut namun persoalannya, ramai yang terlalu ‘berkira’, materialistik dan mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira kesusahan orang lain.

BINA MASJID...wakaf dikira sebagai amal ibadat yang pahalanya  akan  dinikmati secara berterusan walaupun seseorang itu sudah  meninggal dunia. - Gambar hiasan
BINA MASJID…wakaf dikira sebagai amal ibadat yang pahalanya akan dinikmati secara berterusan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. – Gambar hiasan

sebelum  –  selepas
BESAR MANFAAT....pemilikan harta seperti tanah yang luas boleh  diwakafkan untuk dijadikan  kawasan perkuburan. - Gambar hiasan KEPENTINGAN BERSAMA...anak yatim adalah golongan asnaf yang  mendapat manfaat besar terhadap pemilikan harta wakaf. - Gambar hiasan

Menerima amat mudah tetapi bagaimana untuk memberi terutama sesuatu benda yang kita sayang.
Untuk menginfakkan harta atau mewakafkan harta benda, ganjarannya amat besar tetapi berapa ramai yang sanggup melakukan amalan mulia itu.
Kebanyakan kita apabila memberikan sesuatu mereka mahukan balasan atau imbuhan tetapi dalam Islam, pahala atau sahamnya hanya diterima di akhirat kelak.
Memang sukar untuk menerima sesuatu yang tidak nampak tetapi jika mereka percaya bahawa pemberian mereka sama ada harta atau wakaf itu akan berkekalan, pasti mereka sanggup melakukannya.
Jadi, salah satu usaha umat Islam untuk terus berbakti kepada sesiapa saja melalui ibadah wakaf.
Ibadah wakaf menuntut ‘kerelaan’ individu atau keluarga untuk memindahkan harta milik mereka kepada pihak lain yang dilihat sumbangan besar di sisi syariat.
Firman Allah yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya” (Surah Ali-Imran ayat 92).

Menerusi wakaf, umat Islam dapat menjalankan perintah Allah dengan memindahkan sebahagian kecil harta kesayangannya itu kepada orang lain.
Wakaf adalah salah satu cabang undang-undang Islam yang amat penting kerana ia mempunyai pertalian antara hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.

Wakaf bermula sejak zaman sebelum Rasulullah. Ia adalah amalan yang dituntut kerana ia memainkan peranan penting mengatasi masalah kemiskinan.
Ia termasuk dalam kategori sedekah jariah yang membolehkan seseorang seseorang memperoleh pahala secara ‘berkekalan’ selagi ia terus dimanfaatkan penerima wakaf.

Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan ada tiga perkara (yang tidak terputus); iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan ibu bapanya”. (Hadis riwayat Muslim).
Kita sering mendengar individu yang bergelar hartawan mewakafkan hartanya seperti tanah, sekolah, rumah anak yatim atau asrama bagi pelajar menimba ilmu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.
“Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang dibelanjakannya itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita”. (Surah al-Baqarah 261 hingga 262)

Pada zaman moden ini, manfaat yang boleh disalurkan untuk kebajikan bagi dinikmati masyarakat boleh diperoleh daripada pelbagai sumber.
Malah, di peringkat global, wakaf mampu membantu menangani krisis ekonomi yang membelenggu dunia.

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lainnya.” (Ungkapan hikmah Nabi Muhammad riwayat Bukhari dan Muslim).
Allah berfirman yang bermaksud: “Jika kamu nampakkan sedekah itu, maka itulah sebaik-baiknya, dan jika kamu sembunyikan dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka itulah yang lebih baik bagimu dan Dia akan menutupi kesalahanmu, dan Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Baqarah ayat 271).
Selain itu, menerusi firman Allah di dalam Surah at-Taghaabun ayat 16 yang bermaksud: “Takutlah kamu kepada Allah sekadar tenagamu dan dengarkan dan ikutlah dan berdermalah, nescaya lebih baik bagi dirimu. Barang siapa yang memelihara dirinya dari kebakhilan, maka merekalah yang menang.”

Kisah lain juga ada menyebut daripada Saad bin Ubaidah r.a bahawa dia bertanya kepada Rasulullah yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Ummu Saad telah mati; maka apakah sedekah yang paling banyak pahalanya?” Baginda menjawab: “Air”, kemudian Saad menggali perigi dan katanya: “Perigi ini pahalanya bagi Ummu Saad.”

Daripada hadis berkenaan, sahabat berlumba-lumba melakukan sedekah jariah iaitu dengan wakaf yang berkekalan pahalanya sebagai menyahut seruan Allah.
Harta wakaf pada prinsipnya tidak boleh dijual, dibeli, digadaikan, dipusakai atau dihadiahkan kerana ia akan menghilangkan kewakafannya.
Apabila pewakafnya meninggal dunia, ia tidak boleh dijadikan warisan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya harta wakaf itu tidak boleh dijual belikan dan dialihkan serta diwarisi, dan bersedekahlah dengannya kepada fakir miskin serta sanak keluarga dan orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu, tidaklah mengapa bagi yang mengurusnya untuk memakan hasilnya dengan ala kadarnya serta tidak pula menjadikannya milik peribadinya.”

Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Dr Sohaimi Mohd Salleh berkata, masyarakat Islam perlu sedar kepentingan wakaf kepada pembangunan sosioekonomi serta pemilikan aset umat Islam di negara ini.

“Tamadun terdahulu membuktikan kejayaan yang dibina melalui instrumen kewangan Islam ini amat membanggakan.
“Matlamat kita hidup di dunia ini untuk mendapat keredaan serta keberkatan daripada Allah. Malah, Allah s.w.t menjanjikan nikmat serta ganjaran yang amat besar kepada mereka yang mampu berbakti kepada orang lain,” katanya.
Sohaimi berkata, Jawhar dan Majlis Islam Negeri (Mains) kini bekerjasama erat membangunkan sistem wakaf di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melaksanakan wakaf.

“Jawhar mengelola beberapa projek pembangunan seperti pembinaan rumah anak yatim, unit rumah kedai serta kompleks perdagangan sebagai usaha memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik menikmati hidup yang lebih terjamin.

“Justeru, kami mengharapkan usaha ini terus berlangsung lancar,” katanya.
Beliau berkata secara umumnya wakaf terbahagi kepada dua iaitu wakaf ahli (wakaf keluarga) dan wakaf khairi.
“Wakaf ahli adalah manfaat kepada ahli keluarga yang ditentukan oleh pewakaf manakala wakaf khairi adalah wakaf kebajikan).

“Wakaf khairi pula terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am diwujudkan pewakaf bagi manfaat keseluruhan umat Islam mengikut hukum syarak. Contohnya, kemudahan atau pembangunan ekonomi umat Islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan berasaskan hukum syarak,” katanya.
Sohaimi berkata, jika berpeluang untuk melaksanakan ibadah wakaf, individu itu perlulah menyatakan wakaf berkenaan secara wakaf am.
“Contohnya jika seseorang itu mempunyai tanah, maka tanah berkenaan untuk kebajikan umat Islam secara keseluruhannya tanpa menetapkan cadangan untuk tujuan sesuatu.
“Secara rasionalnya jika dia menetapkan untuk mewakafkan tanah berkenaan untuk membina masjid tetapi dalam kawasan terbabit sudah pun ada beberapa masjid, maka eloklah wakaf berkenaan dilakukan secara wakaf am. Jadi, tanah berkenaan boleh digunakan untuk kepentingan lain seperti membina sekolah agama, rumah anak yatim atau premis perniagaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Jawhar sudah melancarkan sistem elektronik e-Wakaf bagi mempercepatkan perkhidmatan jabatan berkenaan serta memperkemaskan sistem pengurusan berkaitan wakaf, zakat dan haji antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Antara perang dan intifadah pembebasan

Posted by epondok di Mei 21, 2010

Oleh – Suhainmi Mokhtar

Selepas peristiwa 11 September 2001 atau lebih dikenali dengan 9/11, serangan dengan kapal terbang penumpang yang membawa runtuh dan hancurnya menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, seluruh dunia diperkenalkan dengan perang menentang keganasan atau war on terror oleh George W.Bush, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu.

Sehingga kini, lebih Sembilan tahun kemudian, suasana perang menentang keganasan tiada tampak akan berakhir segera, walaupun Presiden AS, Barack Obama yang menggantikan Bush dan mewarisi legasi perang Bush telah mengisytiharkan untuk menamatkan perang, apabila tentera AS akan dikeluarkan dari bumi Iraq dan Afghanistan, pada Julai 2011.

Setelah dua negara umat Islam yang terlibat dalam kancah perang menentang keganasan itu diperkenalkan dengan demokrasi dan perubahan regim serta bantuan berbilion dollor AS untuk melengkapkan pasukan keselamatan masing-masing-tentera dan polis, tentera AS akan dikeluarkan untuk membolehkan pasukan keselamatan masing-masing negara mengambil alih tugas dan tanggungjawab keselamatan masing-masing.

Perang menentang keganasan selama lebih sembilan tahun adalah panjang. Ia bermula apabila tentera AS dan sekutu baratnya membantu menukar rejim di Afghanistan, apabila Kerajaan Taliban yang digambarkan begitu kontroversial sekali ditumbangkan pada 2001 dan diikuti dengan pertukaran rejim di Iraq pada 2003, apabila rejim Saddam Hussien yang dikatakan memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) ditumbangkan.

Rejim-rejim ini ditumbangkan dengan dibentuk regim boneka AS dan barat. Hamid Karzai di Afghanistan dan Nouri Maliki di Iraq. Apa yang berlaku dan dialami di Afghanistan dan Iraq membuktikan testimoni bahawa negara-negara seperti Iraq dan Afghanistan telah ditakluki dan dijajah.

Perang menentang keganasan tidak terhenti didua negara umat islam ini sahaja. Ia melibatkan lebih banyak negara umat islam meliputi Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan, Somalia dan beberapa buah negara umat Islam yang lain.

Agenda perang menentang keganasan sebenarnya merupakan alasan atau pretex design besar AS dan barat semata-mata. Hakikatnya ia adalah penjajahan bentuk baru kuasa-kuasa AS dan sekutu baratnya untuk menguasai negara-negara umat Islam supaya tunduk kepada acuan dan kehendak mereka.

AS dan sekutu baratnya juga menggunakan kaedah perang proxy melalui negara-negara umat Islam yang menjadi sahabatnya, bahkan dikongkongnya dengan mendapat bantuan kelengkapan dan peralatan perang serta bantuan ekonomi berjumlah berbilion dollar AS untuk menjadi proxy dalam perang menentang keganasan ini.

Inilah agenda penguasaan AS dan barat terhadap negara umat Islam, menjadikan negara umat Islam bukan sahaja berterusan terjebak dalam penjajahan pemikiran AS dan barat sejak sekian lama tetapi menjadi sekutu rapat mereka untuk membendung dan sekali gus menghancurkan sebarang kebangkitan Islam di mana-mana jua.

George Bush semasa era pentadbirannya selama lapan tahun yang berakhir pada akhir 2008, ketika melancarkan perang menentang keganasan memberi kata dua kepada negara-negara umat Islam, semada ada bersama AS dan barat atau sebaliknya. Negara-negara umat islam, majoritinya menyahut kata dua AS dan barat itu dengan bernaung dan berada bersama mereka bersama-sama melancarkan perang menentang keganasan.

Satu contoh paling ketara ialah negara Pakistan, di bawah teraju pemerintahan diktator tentera Presiden Parviz Musharaf telah bersekutu dengan AS dan barat melancarkan perang menentang keganasan dan natijahnya sehingga kini Pakistan berada dalam kancah perang tersebut yang tidak nampak bagi Pakistan untuk berundur lagi, biarpun kini Pakistan telah bertukar rejim di bawah Presiden Asif Ali Zardari, suami Benazir Bhutoo yang dibunuh dalam kempen pilihan raya Pakistan.

Presiden Obama di permulaan seratus hari pentadbirannya kelihatan menghulurkan tangan melalui pendekatan rundingan dengan negara-negara umat Islam termasuk Iran dan Syria yang disifatkan oleh pentadbiran Bush sebagai pengganas atau exis of evil, tetapi ternyata akhirnya akur dengan kehendak situasi yang wujud dengan meneruskan legasi perang menentang keganasan atau war on terror.

Sejak lebih setahun pentadbirannya, Obama semakin terdesak untuk mencapai kemenangan dalam kempen perang menentang keganasan, sebelum mengatur jadual pengundurannya pada julai 2011. Jadual pengunduran itu dengan meraih kemenangan telebih dahulu mungkin tidak akan tercapai kerana keadaan peperangan di beberapa medan perang yang dibuka oleh AS dan sekutunya masih tidak berubah.

Keganasan sebagaimana anggapan AS dan sekutu Natonya terutama di Afghanistan, Iraq, Pakistan, Samolia dan di tempat-tempat lain bumi umat Islam semakin memuncak dan tiada tampak ia akan kendur dan reda, walaupun tentera AS dan sekutunya terus melakukan operasi menggempur wilayah-wilayah yang dikenal pasti sebagai kubu kuat pejuang Taliban dan Al-Qaeda.

Di Afghanistan ,Obama yang mengalihkan keutamaan peperangan menentang keganasan dari Iraq ke Afghanistan dengan menghantar tentera tambahan yang kini berjumlah 140,000 sedang menghadapi tentangan yang lebih berani oleh para pejuang. Semakin kuat tingkatan serangan, semakin kuat tingkatan kebangkitan. Inilah lumrah dan fitrah perjuangan dan kebangkitan yang memiliki ciri-ciri Islam.

Pejuang Taliban terus meningkatkan perjuangan nya dan ramai penganalisis tentera dan pertahanan dari kalangan mereka sendiri beranggapan bahawa AS dan tentera Nato tidak akan mencapai kemenangan melalui ketenteraan di Afghanistan. Pentadbiran Obama mengubahsuai taktik perangnya dengan turut memainkan peranan di bidang ekonomi dan sosial bagi memenangi hati-nurani rakyat dan dengan cara ini sahaja dikatakan mereka berupaya untuk berjaya.

Bagaimanapun dengan serangan-serangan yang dilakukan melalui udara dengan kapal terbang tidak berpemandu, drone, ia telah menyebabkan ramai orang awam terbunuh menyebabkan kemarahan rakyat. Dari usaha untuk memenangi hati nurani rakyat, ia menjadi kebencian rakyat dan pihak pejuang Taliban kian mendapat tempat dan simpati menjadi makin dekat di hati rakyat.

Sedang peperangan di Afghanistan kian meruncing, peperangan menentang keganasan di Iraq tambah meningkat dan berterusan. Angka terkorban terus meningkat di kedua negara umat Islam itu. Serangan berani mati, bom kereta dan pelbagai cara serangan diguna pakai oleh pejuang bagi mencapai angka terkorban ke maksimum mungkin.

Di Somalia, pergerakan Al-Shabab (Pemuda) terus menguasai keadaan menentang rejim boneka sementara yang dibantu oleh AS dan barat. Di Pakistan pula, pejuang Taliban terus memberi pukulan maut kepada tentera Pakistan dan pasukan keselamatan di sebalik anggapan bahawa tentera Pakistan telah berjaya membebaskan kawasan-kawasan seperti Lembah Swat dari kehadiran pejuang Taliban.

Pakistan pada peringkat awal perang menentang keganasan, walaupun bersama AS dan barat, tidaklah terlalu terjebak dalam perangkap perang menentang keganasan, tetapi lama kelamaan, Pakistan tejebak terlalu jauh yang tidak mudah untuk berpatah balik, selain dari meneruskan perang menentang keganasannya.

Anggapan AS dan barat yang melancarkan perang menentang keganasan bahawa mereka sebenarnya melancarkan perang pembebasan ,tetapi pada anggapan pejuang pula, merekalah yang berjuang untuk menegakkan pembebasan dari negara-negara kuasa seperti AS dan barat dan mereka (AS dan barat) adalah negara pengganas yang menakluki, menjajah bumi umat Islam.

Para pejuang bukan pengganas, mereka berjuang untuk satu kebangkitan, intifadah untuk pembebasan ummah dan negara-negara kuasalah sebenarnya yang merupakan negara pengganas. Masakan perjuangan untuk membebaskan wilayah bumi umat Islam dari belenggu penjajahan boleh disenaraikan sebagai pengganas dan mengganas sedangkan yang menjajah menerima pujian sebagai pejuang pembebasan. Kebenaran tidak sama dengan kebatilan dan begitulah sebaliknya.

Perjuangan pembebasan dan kebangkitan yang diperjuangkan oleh pejuang adalah perjuangan kebenaran dan penjajahan dalam bentuk apa pun adalah perjuangan kebatilan dan merekalah yang berjuang berlandaskan keganasan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Keluarga, pengikut selisih masalah ‘Abuya kembali’

Posted by epondok di Mei 21, 2010

RAWANG: Keluarga dan pengikut Asaari Muhammad atau Abuya mula berbalah berhubung kepercayaan kononnya bekas pemimpin pergerakan Al-Arqam yang diharamkan itu tidak meninggal dunia dan akan kembali dalam masa terdekat.

Menantu Asaari, Sheikh Lokman Hakim Abdul Rahim Pfordten, yang mendakwa mewakili keluarga Allahyarham semalam secara terbuka mengakui kepercayaan itu tidak benar dan disebarkan semata-mata untuk menenangkan emosi pengikut Abuya demi menyelamatkan empayar perniagaan Global Ikhwan Sdn Bhd yang diasaskan bekas pemimpin Al-Arqam itu.

//

Bagaimanapun, Penasihat Ekonomi dan Korporat Global Ikhwan, Dr Aziz Hashim, mempertahankan kenyataannya kelmarin bahawa Abuya cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat.

//

“Siapa Sheikh Lokman Hakim untuk menafikan perkara ini. Adakah pangkatnya lebih besar daripada Fakhrur Razi (anak sulung Asaari dan pemangku Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan).

“Apa yang didedahkan adalah kebenaran dan konsert yang diadakan pada Isnin dan Selasa lalu bertujuan mengharapkan Abuya kembali dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Terdahulu, pada sidang media di Ibu Pejabat Global Ikhwan, Sheikh Lokman Hakim, menjelaskan keluarga Asaari menerima hakikat kematian Allahyarham, malah menyaksikan Abuya menghembuskan nafas terakhirnya pada 13 Mei lalu.

“Bagaimana kami dikatakan tidak dapat menerima hakikat kematian Allahyarham, sedangkan kami menyaksikan sendiri Abuya menghembuskan nafas terakhirnya.
“Arwah kemudian dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Pilin, Rembau. Pada kami, Abuya memang sudah tiada, tetapi ramai sangat mengharapkan kematian itu tidak berlaku,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri anak keenam Asaari, Muhammad Iqramullah merangkap Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan dan seorang lagi menantu Allahyarham, Dr Rohaya Mohammad.

Bagaimanapun, Fakhrur Razi tidak hadir, dipercayai mempunyai urusan perniagaan di luar Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Fakhrur Razi dalam ucapannya pada hari pertama konsert ‘Kalahkan Nafsu Abuya Pulang’, Isnin lalu, dilaporkan berkata bapanya hanya pergi sementara dan akan kembali dengan jasad yang hidup untuk memimpin umat Islam.

Beliau berkata, kegembiraan ditunjukkan pengikut Asaari pada konsert itu membuktikan mereka yakin bekas pemimpin Al-Arqam itu tidak meninggal dunia.

“Umumnya, kumpulan ini menunggu jawapan yang boleh menenangkan mereka. Kami perlu berhati-hati kerana tidak mahu lebih banyak masalah timbul. Jika kami mengatakan Abuya meninggal dunia, kami bimbang Global Ikhwan akan menjadi lesu dan kehilangan pekerja, sedangkan inilah legasi perjuangan ditinggalkan arwah untuk diteruskan pewaris dan kakitangannya,” katanya.

Justeru, katanya, selepas mengkaji semua aspek, keluarga Allahyarham mengambil jalan selamat dengan memaklumkan bahawa Asaari ghaib dan akan kembali meneruskan perjuangannya.

“Ini bukan bermaksud kita berkuasa menghidupkan semula orang yang sudah mati. Kita hanya manusia biasa yang banyak kelemahan dan kekurangan. Allah jua yang maha segala-galanya.

“Kami akui masih ada (pengikut) tidak boleh menerima hakikat Abuya sudah tiada. Ada yang masih terkejut. Ini semua memerlukan masa, malah kami sendiri masih dalam kesedihan. Lebih menyedihkan bila keluar cerita sebegini,” katanya.

Merujuk kenyataan kononnya Abuya cuma ghaib, beliau berkata, kisah seperti itu ada dinyatakan dalam al-Quran seperti peristiwa Nabi Isa, Nabi Khaidir dan Ashabul Khafi.

“Namun, siapalah arwah untuk disamakan dengan mereka. Mengenai pantomin ‘Kalahkan Nafsu Abuya Pulang’ tidak sama sekali bermaksud arwah akan hidup semula.

“Pulang ialah kembali ke ‘negara asalnya’ dari mana kita datang. Hidup yang kekal sebenarnya ialah di akhirat. Janganlah merujuk kepada pantomin untuk berhujah kerana ia lakonan semata-mata. Ia cuma program motivasi untuk menaikkan semangat kakitangan kami yang disalah tafsir pihak tertentu.

“Penganjuran program motivasi tempoh hari juga mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Justeru, isu ini tidak sepatutnya timbul hingga mengelirukan orang ramai,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Lukis nabi cetus perang di Facebook

Posted by epondok di Mei 21, 2010

Warga Pakistan bantah idea kempen kartunis Amerika

SEATTLE: Idea kartunis Amerika Syarikat, Molly Norris, mengisytiharkan 20 Mei (semalam) sebagai ‘Everybody Draw Mohammed Day!’ (Hari Melukis Muhammad) menyebabkan beribu-ribu orang mengambil bahagian selain mencetuskan bantahan lebih ramai lagi menyebabkan Pakistan menyekat laman web Facebook.

Norris asalnya mengemukakan cadangan itu sebagai membantah keputusan rancangan Comedy Central menapis episod South Park memaparkan Nabi Muhammad dalam kostum beruang.

//

Cadangannya bulan lalu kemudian menyebabkan ramai pengguna Facebook mengambil bahagian dengan melukis wajah nabi di laman web itu.

//

Sehingga kelmarin, lebih 41,000 pengguna Facebook menyokong karikatur nabi di laman mereka, manakala 56,000 lagi membantah.

Sementara itu, Pakistan mengarahkan pembekal perkhidmatan internet menyekat Facebook kerana menggalakkan pengguna menyiarkan imej Nabi Muhammad
Kemarahan disuarakan di Pakistan dan negara lain kerana Islam melarang penyiaran imej Nabi. Kerajaan Pakistan bertindak selepas sekumpulan peguam Muslim memperoleh arahan mahkamah supaya menyekat Facebook sehingga 31 Mei.

Petang kelmarin, akses kepada laman berkenaan tidak menentu kerana pembekal perkhidmatan internet mula melaksanakan arahan itu.
Di Karachi, kira-kira 2,000 pelajar mengadakan perhimpunan dan mendesak Facebook diharamkan kerana membenarkan karikatur nabi disiarkan.

Berpuluh-puluh pelajar berhimpun di kawasan berhampiran sambil memegang papan tanda menggesa jihad terhadap penghina nabi.

Beberapa negara lain seperti China sudah mengharamkan Facebook buat selama-lamanya. – AP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »