Oleh Muhamad Razak Idris
Langkah KTMB perkenal Koc Merah Jambu bagi jamin keselesaan kaum hawa perlu dipuji
LANGKAH Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini memperkenalkan Koc Merah Jambu khusus untuk penumpang wanita adalah usaha murni yang perlu mendapat pujian semua pihak. Langkah ini sebagai usaha penting bagi mengangkat martabat wanita di negara ini.
//
Ia juga selari pandangan agama Islam mengenai kedudukan wanita sebagai ciptaan Allah yang mulia dan diamanahkan tugas serta tanggungjawab setara lelaki selaku pasangannya. Apabila Allah mengangkat tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini atau makhluk yang diamanahkan untuk mengurus tadbir urusan kehidupan di dunia ini, seruan-Nya meliputi wanita dan lelaki. Dalam erti kata lain, selaku insan, lelaki dan wanita berkongsi amanah bagi menjayakan tanggungjawab kekhalifahan di muka bumi.
//
Pengiktirafan Allah terhadap wanita sebagai khalifah di muka bumi sejajar seruan lain berkaitan urusan kehidupan yang pelbagai di dunia ini. Dalam Islam, wanita mempunyai kedudukan dan hak saksama dengan lelaki dalam mem-peroleh ganjaran kebaikan bagi segala usaha mulia yang disempurnakan mereka.
Ringkasnya, tidak ‘diskriminasi pahala’ dalam proses penyempurnaan ibadah kepada Allah. Begitu juga dari aspek pembalasan terhadap perbuatan yang tidak baik. Lelaki dan wanita harus menanggung akibat masing-masing pada hari akhirat terhadap keterlanjuran hidup di dunia ini sekiranya mereka tidak bertaubat.
Begitulah antara beberapa ulasan bagi menggambarkan prinsip kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta tanggungjawab mereka dalam kehidupan di dunia ini. Martabat dan kedudukan mereka amat tinggi sekali selaku khalifah Allah di muka bumi.
Namun, walaupun lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab kekhalifahan atau kepemimpinan secara saksama, mereka diberi keistimewaan yang tersendiri dalam proses penyempurnaan amanah ini. Secara realiti, lelaki dan wanita mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.
Jika ditelusuri seruan al-Quran, wanita mempunyai keistimewaan yang banyak sekali bagi memastikan mereka menyempurnakan tanggungjawab kekhalifahan di dunia sejajar realiti kejadiannya atau sesuai dengan kekuatan dan kelemahan dimilikinya.
Konsep keistimewaan wanita dapat dilihat dalam konteks perintah beribadah secara khusus. Dalam hukum bersolat dan berpuasa sebagai contoh, wanita tidak diwajib menunaikan ibadah itu jika sedang dalam haid atau bersalin. Keistimewaan ini Allah beri kepada wanita kerana realiti fizikalnya yang dalam keadaan lemah apabila melalui dua proses itu. Memandangkan lelaki tidak melalui proses biologi sedemikian, mereka tidak mendapat keistimewaan ini daripada Allah.
Keistimewaan wanita juga dilihat dalam urusan sosial lain. Keistimewaan wanita dalam kehidupan rumah tangga juga amat terserlah. Tanggungjawab mutlak bagi mendapatkan sumber nafkah terletak di bahu lelaki. Namun, wanita tidak dihalang berbakti dan membantu membangunkan kehidupan keluarga apabila keadaan fizikalnya dalam keadaan sihat dan kuat.
Keistimewaan yang diberi oleh agama kepada wanita tidak harus dicemburui lelaki. Ia sebahagian dari proses bagi mewujudkan keharmonian antara lelaki dan wanita dalam mereka saling berusaha menyempurnakan tugas kekhalifahan di dunia ini. Menerusi proses keharmonian ini yang tercerna menerusi pengenalan keistimewaan tertentu kepada lelaki dan wanita akan menjadikan mereka saling lengkap melengkapi. Proses ini jika dijayakan secara menyeluruh dan sempurna akan menghasilkan suasana kehidupan yang sungguh produktif bagi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup sesama manusia.
Justeru, langkah KTMB memperkenalkan koc khas untuk wanita harus ditelusuri menerusi konsep keistimewaan dan keharmonian seperti yang dihuraikan tadi. Sesungguhnya langkah ini bertepatan sekali dengan roh dan semangat Islam bagi mewujudkan suasana hidup sejahtera.
Langkah sebegini perlu digalakkan untuk diterjemahkan dalam sektor lain dan penting memandangkan kita kini berada pada era baru peralihan zaman. Wanita kini mendapat peluang pendidikan yang saksama dan peluang pekerjaan yang merata. Mereka sebahagian tonggak pembangunan negara. Realiti baru ini memberi keupayaan baru dan tersendiri kepada wanita dalam menyempurnakan tugas kekhalifahan di dunia dalam bidang yang serius dan mencabar.
Dalam mendepani realiti baru wanita kini, amat wajar sekali keistimewaan khas kepada mereka ditingkatkan secara menyeluruh.
Pengenalan koc wanita adalah satu bentuk keistimewaan kepada wanita di Malaysia dari sudut memberi keselesaan dalam perjalanan dan menjamin ketenteraman perasaan daripada sebarang bentuk ancaman kepada keselamatan mereka. Keistimewaan lain kepada wanita dari aspek kesihatan, kebajikan dan pembangunan diri wajar diteliti secara berterusan.
Permintaan wanita mendapatkan tempoh masa lebih panjang selepas bersalin sebagai contoh, wajar dilaksanakan dengan kadar segera. Antara isu lain berkaitan dengan hal ini ialah kemudahan prasarana penjagaan anak di pejabat, sistem jadual anjal dalam pekerjaan dan penyediaan ruang khas untuk wanita di tempat awam seperti di stadium, taman rekreasi dan pengangkutan awam hendaklah diteliti.
Aspek kebajikan wanita lain yang perlu diberi perhatian ialah sistem bantuan saraan bagi wanita yang kematian suami, bercerai atau kekurangan upaya terutama golongan suri rumah. Wanita perlu memperoleh peluang dan bantuan perundangan yang wajar dalam mengatasi permasalahan rumah tangga dan pertikaian penjagaan anak.
Selain itu, kita perlu tegas dengan tindakan sesetengah pihak mengeksploitasi wanita bagi tujuan perniagaan dan keuntungan. Iklan imej wanita yang menghairahkan di tempat awam hendaklah dibataskan, manakala undang-undang gangguan seksual juga perlu digubal secara tegas.
Langkah satu usaha mulia dalam rangka menjadikan wanita sebagai aset istimewa negara. Oleh itu, usaha memperkenalkan program bersifat mesra wanita perlu dipergiatkan semua pihak kerana usaha memberi keistimewaan itu antara seruan agama dan ibadah tertinggi kepada kita semua.