Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Mei 2010

Kem Remaja Islam ( Cuti Sekolah)

Posted by epondok di Mei 19, 2010

Pelbagai masalah sosial menimpa masyarakat seperti gejala mencuri, meragut, penagihan dadah, rogol, samseng sekolah, lumba haram, lepak dan pembunuhan. Remaja pada hari nampaknya sudah tidak gerun dengan undang-undang negara malah tidak takut jika dipenjarakan dan memandang remeh terhadap permasalahan ini. Masyarakat kini melahirkan rasa bimbang dengan masalah gejala sosial khususnya membabitkan remaja.

KEM REMAJA CEMERLANG(ala pengajian pondok di Pdg Temu , Melaka) dengan suasana kampung memfokuskan kearah “Kecemerlangan Akhirat Melalui Prestasi Hidup Di Dunia” dan bermatlamatkan kearah pembangunan Rohani, Jasmani, Intelektual, Emosional dan Sosial golongan remaja. Modul program akan diperkasakan dengan Modul Sahsiah, Modul Ibadah dan Ikhtiar Hidup agar mengetahui potensi diri dan berinteraksi secara sihat. Panduan pemakaian,  penampilan diri, adab juga akan dikongsikan dan diamalkan. Slot solat pula akan memberi fokus kepada panduan berwudhu’, tertib solat, bacaan dalam solat dan PALING PENTING MAKNA DALAM BACAAN SUPAYA MENDATANGKAN KEFAHAMAN AYAT – AYAT DIBACA(Kusyuk) dan terdapat aktiviti-aktiviti kecergasan serta kepimpinan.

KENAPA ANAK ANDA PERLU MENYERTAI PORGRAM INI
  1. Menterjemahkan bahawa pakej Islam adalah sesuai dalam pembentukan peribadi remaja Islam kini.
  2. Mengaplikasikan tuntutan berdakwah mengikut landasan yang sebenar melalui penjagaan syariat, membudayakan majlis ilmu dan gerakkerja dalam satu organisasi yang mantap dan selaras dengan Sunnah Rasulullah.
  3. Pengisian kem berteraskan Teori , Amali, dan Amal

Keterangan lanjut sila lawat web site kami di http://WWW.PMKT.COM.MY atau email di zulpmkt@yahoo.com atau telephone di 0176439769  , 017-2451379 , 017-2921132 dan 013-2619765

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Belia hebat, cemerlang mesti bijak pilih rakan

Posted by epondok di Mei 19, 2010

Oleh Wan Muhd Rozlan

Generasi muda tonggak masa depan bantu pertahan kesucian, kedaulatan agama

BELIA adalah kumpulan yang menjadi tenaga utama dalam sesebuah negara. Malah jika ditelusuri sejarah syiar Islam sejak era Rasulullah lagi, golongan pemuda atau belia adalah tonggak dalam membantu perjuangan menegakkan agama Islam. Di samping itu, al-Quran banyak menceritakan perjuangan Nabi dan Rasul yang semua daripada kalangan pemuda. Kata Ibnu Abbas: “Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan Allah, melainkan ia dipilih dalam kalangan pemuda (belia) iaitu yang berumur antara 30-40 tahun. Begitu jugalah tidak seorang alim yang diberikan ilmu, melainkan ia dari kalangan pemuda.”

Kita selalu membaca kisah golongan belia yang dipaparkan al-Quran seperti Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud. Misalnya Ashabul Kahfi, al-Quran menceritakan nilai iman dan ketakwaan golongan belia yang melarikan diri daripada pemimpin Mustakbirin yang hanya mementingkan aspek material dan keduniaan semata-mata.

Mereka berbuat demikian bukan kerana takut sebaliknya kerana ingin memelihara dan menjaga iman dan takwa kepada Allah. Dalam sejarah Rasulullah, sahabat Baginda yang sentiasa membantu dan berada di barisan hadapan mempertahankan Islam adalah belia. Walaupun ada kalangan mereka itu masih muda dan remaja, namun kecintaan mereka terhadap Nabi begitu tebal. Tiada masa dibuang percuma, melainkan dipenuhi dengan amalan yang bermanfaat. Pada zaman Nabi, tidak pernah terdengar atau terbaca catatan menggambarkan golongan muda yang suka melepak dan membuang masa dengan hal yang menyusahkan orang lain. Jauh sekali mereka melakukan sesuatu perbuatan terlarang. Inilah zaman terbinanya generasi belia yang berkualiti tinggi lengkap dengan pakej iman dan takwa yang padu.

Menurut asy-Syeikh Fathi Yakan, usia muda generasi belia adalah usia yang penuh dengan cita-cita unggul yang mengalir darah yang gemuruh serta memiliki idealisme yang luas. Selain itu, mereka berupaya tinggi menabur jasa malah bersikap berani serta cepat mengambil peluang. Jika dilihat pada pendapat Syeikh Fathi, belia adalah aset berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, tanda pemuda-pemudi Islam yang berhemah tinggi adalah suatu generasi yang mempunyai sifat yang dinyatakan dengan jelas bagi sesiapa yang membaca al-Quran atau mempelajari sunnah Nabawiyyah.

Katanya, antara sifat itu ialah percaya kepada realiti dan mementingkan ilmu pengetahuan, suka beramal dan hidup berjemaah yang kukuh. Selain itu, mereka ikhlas melaksanakan sesuatu amal kebajikan, saling berinteraksi dengan komuniti serta hidup dalam keseimbangan dunia akhirat yang sejati. Mereka mengamalkan hidup bersederhana dan qanaah dengan apa yang dikurniakan Allah.
Namun kini, arus pemodenan dan globalisasi semakin mencengkam jiwa golongan belia, kekukuhan rohaniah dan sahsiah mereka terhakis sedikit demi sedikit sehingga berlaku pelbagai gejala negatif. Banyak sebab terjadi fenomena sedemikian. Antaranya kerana pengaruh rakan sebaya. Mereka gagal memilih rakan yang baik dan beragama sempurna. Kebanyakan gejala negatif seperti melepak dan merempit malah penyalahgunaan dadah kebanyakannya berpunca daripada pengaruh rakan.

Ingatlah pesanan Nabi Muhamad yang bermaksud: “Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberimu sedikit ataupun kamu membeli daripadanya sedikit, ataupun kamu dapat mencium daripadanya bau-bauan yang wangi. Adapun tukang besi sama ada dia membakar bajumu, ataupun kamu mencium daripadanya bau-bauan yang busuk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Inilah pesanan Nabi kepada kita semua supaya bijak memilih rakan kerana kesannya sangat buruk terhadap masa depan dan pembentukan sahsiah.

Daripada pengaruh rakan juga maka merebak nilai negatif seperti pergaulan bebas yang berakhir dengan perlakuan zina. Rakan yang buruk akhlak akan menjebak seseorang memiliki jiwa tidak takut Allah dan tidak ingat kepada kematian.

Sebaliknya jika seseorang itu memiliki rakan yang soleh, sudah pasti akan membawa kepada pembinaan iman dan pemantapan takwa yang utuh sekali gus memperkasakan jati diri sebagai seorang mukmin yang unggul. Jadi, kepada golongan muda belia Islam, diharap bijak memilih rakan supaya diri tidak terjerumus ke lembah yang bertentangan agama.

Belia seharusnya segera bangkit membina sahsiah diri terpuji. Jadilah generasi yang mampu mendokong tamadun ummah dan negara. Bangkit menjadi golongan yang bermanfaat kepada orang lain dan memberikan pengaruh baik dalam lingkungan sekitarnya dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Contohilah peribadi Hassan al-Bana, yang memimpin gerakan Ikhwanul Muslim ketika baru berusia 23 tahun.

Teladani jati diri Usamah bin Zaid yang pada usia baru mencecah 18 tahun sudah dipilih memimpin barisan perang. Ikutilah jejak mulia Saidina Ali bin Abi Talib serta Zubair bin Awwam yang ketika berusia 8 tahun pintar, cerdas akal fikiran malah berani di medan perang. Inilah beberapa contoh generasi muda yang hebat. Bagaimana dengan anak muda belia kita sekarang?

 //

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Halal judi rosak aqidah dan moral

Posted by epondok di Mei 19, 2010

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 18 Mei –  Datuk Dr Haron Din menyifatkan kelulusan lesen judi oleh pemimpin negara sebagai suatu keputusan yang amat malang bagi masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Apabila usaha yang dilakukan untuk mengajak ummah kepada nilai murni khususnya penerapan nilai Islam telah berkecai apabila kerajaan dengan rasa tidak bertanggunggjawab meluluskan lesen judi tersebut.

“Perkara sebegini ingin dipandang remeh oleh sebahagian orang, tetapi ianya amat besar kepada umat yang berjiwa besar, menghormati dan menjunjung hukum Allah,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Haron menyifatkan tindakan tersebut merupakan simbol kehancuran nilai kehidupan yang paling asas, iaitu dengan meruntuhkan lambang ketaatan kepada Allah dan dengan sengaja mempamerkan keangkuhan terhadap hukum Allah.

Perlu difahami bahawa keruntuhan akhlak yang sepatutnya menjadi fokus pemerintah di saat gejala sosial dan perlakuan yang menunjukkan rendah moral manusia telah ditambah dengan perkara sebegini tambah beliau. 

Tindakan tersebut akan menjadikan kehidupan manusia lebih parah.

“Judi adalah satu amalan yang ditolak oleh semua agama malah oleh seluruh masyarakat manusia yang menghormati nilai keharmonian hidup berumahtangga. 

“Walau apa pun alasan, kita tetap tidak boleh lari daripada hukum Allah. Kita perlu memahami membiarkan perkara yang haram tinggal haram dengan memejamkan mata itu berbeza dengan menghalalkan yang haram”.

“Menghalalkan perkara yang haram dengan sengaja boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Seolah-olah manusia itu lebih pandai dari Allah,” jelas Dr Haron Din.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya ketika dihubungi menyifatkan tindakan kelulusan lesen judi tersebut tidak menggambarkan pentadbiran sebuah negara Islam.

“Tindakan tersebut bercanggah dengan hukum syarak. Dalam Al-Quran dan hadis jelas mencatitkan perkara yang jelas haram antara lain adalah judi, arak dan zina,” katanya.

Hashim menyeru kepada NGO Islam dan pertubuhan tanpa mengira latar belakang politik dan pendirian untuk bangkit dan membantah kelulusan lesen judi tersebut. 

Kata beliau ini jelas mencemarkan nama Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam contoh.

“Jika kita tidak membantah, seolah-olah kita bersetuju dan bersekongkol dengan tindakan tersebut. Kalau unsur judi yang tersembunyi pun kita bantah, apatah lagi yang diadakan secara terang-terangan dan lesen diberikan secara rasmi” katanya lagi.

Beliau mencadangkan kepada Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu ini. 

Beliau turut memohon kepada Majlis Raja-Raja untuk bersidang dan membincangkan perkara ini kerana ia memberikan kesan langsung kepada kehidupan umat Islam.

“Sebagai penaung kepada orang Melayu dan ketua Islam, Majlis Raja-Raja diharap dapat memberikan pembelaan kepada orang Islam,” kata Hashim.

Beliau optimims bahawa pembatalan lesen judi tersebut akan dipersetujui oleh ramai pihak.

“Bahkan ramai orang bukan Islam yang turut menentang cadangan usaha tersebut”, katanya lagi.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »