Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Mei 2010

Pelukis hina Nabi Muhammad diburu rasa takut

Posted by epondok di Mei 17, 2010

LARS VILKS

 

STOCKHOLM – Seorang pelukis Sweden, Lars Vilks, yang bertanggungjawab melukis gambar Nabi Muhammad SAW bersama badan seekor anjing sehingga menaikkan kemarahan orang Islam menyatakan dia berasa tidak selamat semasa berada di rumahnya pada waktu malam.

Dia membuat kenyataan itu semalam seminggu selepas diserang oleh seorang lelaki semasa dia sedang menyampaikan syarahan di sebuah universiti di negara berkenaan.

Vilks berkata, dia mula tidur di kawasan lain selepas terdapat satu percubaan untuk membakar rumahnya pada Jumaat lalu di Nyhamslage, selatan Sweden.

Pada minggu lalu, laman webnya turut digodam oleh penggodam.

Vilks berkata, dia memutuskan untuk tidur di tempat lain sebagai langkah berjaga-jaga mengenai keselamatannya.

“Semasa waktu siang, saya tidak fikir berlaku situasi berbahaya kerana saya boleh menjaga diri saya sendiri,” kata Vilks. – AP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

‘Bukan Islam jadi peguam syarie’ perlu kajian

Posted by epondok di Mei 17, 2010

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad, berkata satu kajian perlu dibuat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur membenarkan seorang peguam bukan Islam mendapatkan semakan kehakiman bagi membolehkannya menjadi peguam syarie.

 

 

 

 Katanya, ini kerana Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan yang dikuatkuasakan sejak 1982 dan enakmen pentadbiran Mahkamah Syariah yang digunapakai oleh semua negeri sekarang tidak membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes yang membabitkan undang-undang syariah.

“Kajian atau penelitian perlu dibuat bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung perkara itu berdasarkan perundangan dan Perlembagaan Negara.

“Isu membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes-kes yang membabitkan mahkamah syariah, adalah sesuatu yang agak luar biasa,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas mengenai seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lalu dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.

Sehubungan itu, Daud meminta pihak yang tidak memahami undang-undang supaya tidak mempersoalkan perkara ini sehingga menimbulkan isu kontroversi kerana ia membabitkan undang-undang.

– Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Definisi sufi dan tasauf

Posted by epondok di Mei 17, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

 

Imam Al Ghazali seorang tokoh sufi yang berpengaruh.

 

 

SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.

Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.

Di antaranya:

1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.

Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).

Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan suf iaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma’arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.

Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda’ kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.

Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.

Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.

Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepada Sufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah.

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:

“Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

“Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi”.

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)

Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah, Iqaz al Himam. H: 24) Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.

Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: “(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina”. (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)

Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: “Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu”. (Al-Kalabazi, al-Ta’aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa’adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)

Imam al-Syazuli r.a pula berkata: “Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya”. (Al-Mafakhir al-‘Aliyyah, H: 111)

Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: “Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana’) dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa’)”. (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma’arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-Qudsiyyah Jilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah

Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.

Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah

Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai Zauq

Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.

Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:

  • Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.
  •  

  • Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.
  •  

  • Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.
  •  

    Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)

    Kesimpulan

    Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.

    Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

    Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.

    Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

    Belia Bertaqwa Negara Berjaya

    Posted by epondok di Mei 17, 2010

    Golongan perlu dibimbing secara berhikmah supaya taat beribadah, bentuk jati diri mulia

    BELIA adalah aset berharga kerana merekalah tonggak kekuatan generasi serta pewaris kepemimpinan masa depan negara. Pada masa ini golongan belia dianggarkan 11.9 juta atau 41.5 peratus daripada keseluruhan 28 juta penduduk negara.

    Berdasarkan peratusan besar ini dan selari wawasan belia pemacu pembangunan satu ummah, wajarlah golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia Ulul Albab.

    Umumnya generasi belia Ulul Albab merujuk kepada belia yang bertakwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif lagi berupaya menyelamatkan dirinya dari-pada pengaruh hidup budaya berdosa serta mampu menjadi pemangkin supaya orang lain juga berubah ke arah sedemikian.

    Kehebatan generasi belia seperti ini menjamin kemakmuran dan kemajuan negara pada masa depan, ia selari tema sambutan Hari Belia Negara tahun, ‘Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara’.

    Persoalan besar ialah bagaimana usaha melahirkan generasi belia Ulul Albab. Berdasarkan sejarah Islam, pembabitan pendakwah berjiwa besar memberi sumbangan penting membentuk remaja dan belia Ulul Albab.

    Rasulullah selain sebagai pemimpin umat, adalah seorang ketua pendakwah negara yang memberi penekanan khusus membimbing belia sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani yang membawa kepada kesempurnaan peribadi.
    Bimbingan ini akan mencorakkan jati diri beramanah dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (Hadis riwayat Ahmad)

    Pemuda salih adalah individu yang menerima amanah paling baik sehingga kelihatan coraknya pada akhlak mereka. Generasi pemuda salih terus lahir seperti Khulafa’ al-Rasyidin, pemimpin tentera, pemimpin kerajaan di zamannya juga bertindak sebagai pendakwah negara.

    Mereka berdakwah, mentarbiah dan temu mesra dengan kumpulan sasar serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat khususnya belia.

    Sejarah juga merakamkan kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyah dan kepemimpinan awal kerajaan Othmaniah Turki untuk menawan Kota Constantinople (Istanbul) tetapi gagal.

    Namun, tampil seorang anak muda iaitu Sultan Kerajaan Othmaniah Turki, Sultan Muhammad Al-Fateh, menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun, baginda berjaya menawan semula Constantinople daripada Rom. Antara penyebab kejayaan itu tertanam kekuatan, pintar dan kreatif.

    Kota itu menjadi laluan dan pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Constantinople ialah: “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku.”

    Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh lagi. Demikianlah contoh kepemimpinan pendakwah negara di mana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.

    Corak tingkah laku golongan belia masa kini adalah cerminan masa depan sesebuah negara. Oleh itu, demi membentuk akhlak mulia golongan belia, tugas dakwah membimbing mereka perlu dilaksanakan dengan hikmah.

    Jangan dibiarkan api mendekati minyak kerana ia akan menyemarakkan lagi api. Begitu juga penyebaran budaya yang menyemarakkan gelojak nafsu lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan dan teknologi mudah diakses.

    Ingatlah dan insaflah hawa nafsu dan syahwat adalah ujian yang besar untuk manusia, lebih-lebih lagi golongan remaja dan belia. Jika punca dan tempat menaikkan nafsu tidak dibendung atau ditutup, maka selagi itulah gejala keruntuhan akhlak dan moral akan terus berleluasa.

    Pembabitan dengan penagihan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan gejala sosial lainnya berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu yang boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf binatang.

    Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Surah al-Kahfi: 13-14)

    Oleh itu, golongan belia perlu memastikan kehidupan di dunia ini mendapat perlindungan Allah kerana antara tujuh golongan dilindungi Allah di akhirat ialah pemuda yang hidup beribadah kepada Allah.

    Semoga generasi belia negara sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah seterusnya berjaya memainkan peranannya memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah.

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »