Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Mei 2010

Cara Islam selesai masalah masyarakat

Posted by epondok di Mei 16, 2010

Islam tangani kemelut sosial

Keluarga ialah institusi penting yang menjadi teras dan tunjang pengukuhan sesebuah masyarakat.

Umpama tiang penegak sebuah rumah, andai goyah tiang, sekilas dilanda badai pasti rumah bukan sahaja tersungkur tetapi akan musnah. Sementelah punah keluarga, berkecailah nusa dan bangsa!

Gejala sosial, termasuk penagihan najis dadah, minum arak, sumbang mahram, zina, keganasan rumah tangga serta pembuangan bayi yang semakin banyak dilaporkan tidak mustahil bertukar menjadi lumrah kehidupan masyarakat akhir zaman jika ia tidak ditangani dengan bijak mulai dari sekarang.

Justeru, di tengah-tengah fenomena yang dibimbangi akan terus mencemar kesucian institusi keluarga Islam negara, pendekatan agama dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani kemelut gejala sosial sebelum ‘retak menjadi belah’ dan ‘sebelum nasi menjadi bubur’.

Fahami Islam

“Umat Islam perlu diberi kefahaman apa dia Islam sebenarnya. Kita dulu faham Islam sebagai Ad’din, iaitu cara hidup tetapi perlu sedar ia meliputi pelbagai aspek bukan solat dan puasa sahaja.

“Ada orang bersolat tetapi dia tidak faham falsafah solat dan apa matlamat solat. Hal sama dengan puasa dan haji.

“Begitu juga membaca al-Quran. Kita membaca bertaranum, bertajwid lepas itu menghafal tetapi kita tidak mengkaji Quran untuk mengambil panduan daripadanya,” demikian menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan di pejabat Ikim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyusun masyarakat

Nik Mustapha menekankan bahawa agama Islam sebenarnya berperanan menyusun kehidupan manusia baik di peringkat individu dan masyarakat.

Beliau berkata, pada dasarnya dalam organisasi masyarakat, apa yang diperlukan ialah mewujudkan sebuah masyarakat yang berperadaban, serba berkemajuan, hidupnya aman serta mendukung keluhuran undang-undang.

“Bayangkan jika tidak ada peraturan jalan raya, jika lampu trafik rosak,               huru-hara akan berlaku. .

“Dalam masa sama hidup kita mesti ada keceriaan, hobi, rekreasi kerana semuanya itu ialah sebahagian daripada keperluan hidup. Kalau kita memahami semuanya itu, barulah nampak hidup ini luas dan semua aspek kehidupan itu agama,” katanya.

Kemelut peradaban

Kemelut yang mengacau-bilaukan masyarakat hari ini lebih kepada kemelut peradaban bukan kemelut ekonomi, demikian pandangan Nik Mustapha.

Beliau merujuk kepada keadaan ekonomi Barat yang disandarkan kepada ideologi yang bercanggah dengan tabiat kemanusiaan, kehidupan masyarakat yang menganjurkan kepada kewujudan masyarakat yang permissive, bebas tanpa institusi keluarga yang sempurna.

“Macam mana tamadun Barat tak runtuh. Kehidupan mereka banyak kepincangan, perkahwinan mereka tolak. Berkahwin tidak mempunyai erti bagi mereka kerana kalau pun berkahwin, ada pasangan masih mengamalkan pergaulan bebas dengan lelaki atau perempuan lain.

“Akhirnya ramai memilih untuk bersekedudukan, tidak ada ikatan perkahwinan,” kata Nik Mustapha.

Menurutnya, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di dunia Barat dan membina kembali peradaban baru dengan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.

Menjadi rapuh

Tekanan hidup dilihat sebagai antara faktor institusi keluarga menjadi rapuh. Tekanan hidup juga mendorong sesetengah orang membunuh diri!

Penghuni kota metropolitan Kuala Lumpur umpamanya bergelut dengan tekanan hidup amat hebat. Kos sara hidup begitu tinggi memaksa sesetengah warga kota terutama yang berpendapatan rendah melakukan lebih satu pekerjaan.

“Lepas balik jam 5, keluar balik kerja lagi sampai jauh malam semata-mata untuk membiayai keperluan hidup dan isteri juga turut terpaksa keluar bekerja. Di mana masa untuk anak-anak?

“Kita bercakap tentang kemuliaan hidup dunia dan akhirat. Macam mana hendak mulia kalau nak makan pun tak ada, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kemuliaan di dunia termasuk aspek ekonomi,” kata Nik Mustapha.

Beliau turut menyentuh aspek keselamatan banyak menggugat kesejahteraan hidup masyarakat hari ini.

“Mengapa berlaku ragut? Sebab tak ada kerja. Jadi kena fikir. Sebab itu dalam Islam harta mesti mengalir. Dasar Kewangan mesti mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan menghapuskan kemiskinan. Sistem pendidikan juga perlu mampu menambah nilai kepada pekerjaan seseorang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sistem penyusunan masyarakat yang tidak bersandarkan kepada nilai keadilan dan kasih sayang akan lahirkan kepincangan.

“Di sinilah pentingnya institusi keluarga yang akan mempengaruhi kelakuan dan penyusunan sesebuah masyarakat,” katanya. – Bernama

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Doakan guru tanda kasih sayang

Posted by epondok di Mei 16, 2010

Oleh Amran Zakaria

Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta

TARIKH 16 Mei tiap tahun penting dan cukup bermakna kepada negara. Hari yang diraikan khusus untuk mengingati segala budi dan jasa guru dalam menggerakkan masyarakat ke arah pembinaan bangsa dan negara. Merujuk istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris. Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata pelajaran.

Pemimpin negara hari ini sememangnya pernah menjadi murid yang menerima tunjuk ajar serta didikan seorang guru. Begitu juga dengan agamawan, ahli korporat, golongan profesional dan pelbagai peringkat masyarakat pernah menerima khidmat sekumpulan guru yang dipertanggungjawabkan menyampaikan ilmu.

Ilmu yang diterima itu berperanan meneropong kehidupan masa depan mereka. Rasulullah bersabda maksudnya: “Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat Abu Daud dan At -Tirmizi).

Sepatutnya, sebagai warga yang rasional dan waras, kita sentiasa dalam apa jua keadaan perlu mengenang kembali erti pengorbanan guru yang pernah mendidik dan membantu membina sahsiah. Mereka yang mengajar sehingga kita berupaya membaca dan menulis serta kelangsungan membuka minda, membajai daya dan menyusur keupayaan akal kita.

Akhirnya menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini. Oleh itu tarikh keramat ini tidak wajar dilupakan sesiapa sama ada seorang pemimpin yang berkuasa atau pun hanya seorang rakyat jelata.

Allah berfirman maksudnya: “Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Majadalah: 1)
Guru sebenarnya melaksanakan tanggungjawab amat besar dalam menyampaikan risalah ilmu kepada manusia keseluruhan. Peranan mereka mengeluarkan masyarakat yang rendah minda dan pengetahuan kepada masyarakat yang berilmu, kreatif dan berinovasi sewajar dihormati serta mendapat penghargaan tinggi dari negara.

Sebagai murid yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan keilmuan yang mereka miliki. Segala pangkat dan kedudukan kita hendaklah dibatasi adat dan nilai yang dituntut agama.

Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya.”

Betapa Saidina Ali seorang yang terkenal dengan alim dan berilmu itu memberi penghormatan dan menganggap orang yang hanya mengajar satu huruf adalah guru dan baginda rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada guru itu. Sewajarnya kita yang memang cetek dan serba kekurangan dalam bidang ilmu pengetahuan serta banyak menerima pengajaran akan lebih memberi sanjungan, penghargaan dan kemuliaan setinggi-tingginya terhadap mereka yang banyak berjasa itu
Imam Ahmad ibn Hambal pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar: “Aku tidak akan duduk kecuali di sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru kita.”

Rasulullah bersabda bermaksud: “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat Abu Hurairah)
Guru adalah sebagai model terhadap orang di bawah pimpinan. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal.

Guru membina sahsiah dan membentuk nilai manusia melalui penjanaan modal insan. Oleh itu, kita sendiri tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru kita. Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dulu dia adalah guru kita, mungkin sekarang dia adalah guru kepada keturunan kita. Tidak ada satu anugerah walau sebesar manapun dapat membalas jasa guru, hatta dibayar dengan segunung harta mahupun sejumlah wang ringgit membalas setiap ilmu yang diterima.

Seiring kemajuan dan pembangunan zaman, derap langkah guru mengembangkan amanah negara dalam mempertahankan nilai budaya menjadi tugas yang semakin utama serta amat mencabar. Tugas ini bukan mudah untuk disempurnakan melainkan dilakukan dengan cekal dan sabar terutama dalam melayani kerenah murid yang mempamerkan pelbagai watak yang amat berbeza dari semasa ke semasa.

Dari generasi ke generasi selepas merdeka, didapati berlaku kesinambungan tugas dan tanggungjawab yang dipikul generasi guru tanpa bantahan dan kerenah yang boleh menghalang matlamat pendidikan. Ertinya mereka melakukan tugas dengan penuh amanah dan integriti.

Kita mesti mengingatkan diri supaya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Jangan sekali-kali akibat kemewahan pembangunan negara yang dikecapi ini, kita dengan mudah memadamkan jasa guru kepada kedudukan kita kini.

Jangan sesekali kita lupa bahawa guru yang meletakkan asas pendidikan yang ulung di negara ini sehingga warganya mampu menggerakkan landasan pembangunan negara kini. Namun tanpa kita sedari, sebahagian daripada mereka telah meninggalkan kita. Meninggalkan jasa dan nama yang sukar dipadamkan.

Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan atas usaha guru yang telah meninggalkan kita. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali pun kita berusaha.

Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka.

Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi meninggalkan kita.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »