Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 Mei 2010

Kartunis Sweden hina Nabi diserang

Posted by epondok di Mei 13, 2010

 

STOCKHOLM – Kartunis Sweden, Lars Vilks, yang mencetuskan kemarahan penganut Islam kerana melukis karikatur Nabi Muhammad, diserang seorang lelaki ketika sedang menyampaikan syarahan mengenai kebebasan bersuara di sebuah universiti.

Rakaman video disiarkan laman-laman web akhbar tempatan menunjukkan aksi orang ramai memarahi Vilks dalam dewan kuliah University Uppsala, 70 kilometer dari Stockholm.

Seorang anggota polis kelihatan menggunakan penyembur lada ke arah seorang lelaki.

Vilks mendakwa diserang oleh seorang lelaki, yang duduk di barisan hadapan, dengan menggunakan kepala.

“Dia menyerang saya menggunakan kepala. Saya terjatuh dan cermin mata saya hilang,” katanya.

Rakaman video selepas serangan menunjukkan dewan kuliah dipenuhi berpuluh-puluh orang yang sedang memekik marah.

Media Sweden melaporkan insiden berlaku apabila Vilks mula menayangkan video yang memaparkan imej seksual dan agama.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kurang tarbiyah punca gagal kawal nafsu zina

Posted by epondok di Mei 13, 2010

HIKMAH larangan berzina sudah dimaklumi umum. Akibat buruknya juga terbukti hari ini, kes pembuangan bayi serta pembunuhan pasangan kekasih adalah bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah.

Walaupun Islam sudah menggariskan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek, ada segelintir pihak mahu melanggarnya. Maka timbullah pelbagai kejadian tidak diingini dan tidak dapat diterima fitrah manusia. Zina adalah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan pada bumi. dan dapat dilihat dalam perkembangan sosial sekarang, hubungan intim tidak lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden.

Akibatnya, janin digugurkan dan anak yang tidak sah taraf lahir, dibuang merata malah dibiarkan mati. Perbuatan ini boleh disamakan dengan pembunuhan yang balasannya juga adalah nyawa, mengikut hukum Tuhan.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” (Surah al-Israa’: 33)

Berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf juga meninggalkan implikasi lain yang bersifat jangka panjang terhadap anak terbabit seperti rosaknya nasab. Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan.” (Surah Al-Israa’: 32)

Buruknya zina dapat dinilai melalui amaran Allah dalam ayat itu supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong kepada zina.

Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu tetapi tidak berusaha menjauhinya. Apa lagi yang mampu mengelakkan golongan ini menjauhi zina melainkan kesedaran beragama dan pemantauan orang di sekeliling?
Memang benar, sekiranya empunya badan tidak berusaha kembali ke pangkal jalan, sudah tentulah tidak ada apa yang boleh merubah keadaan. Di negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak menjadi sebab perbuatan jahiliyah ini semakin berleluasa. Apatah lagi ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap golongan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga tarbiyah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang daripada terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh menjadi pedoman meskipun mampu berfikir.

Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk membetulkan keadaan. Sebaliknya, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku di mana-mana, baik di rumah sendiri, bilik hotel, dalam semak atau di rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah yang terbaik untuk mengatasinya.

Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 104)

Individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan berpegang ajaran inilah manusia tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, seperti sabda Rasulullah: “Dari Ibni Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah – Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Jenayah menjadi-jadi, hukum Allah penyelamat manusia

Posted by epondok di Mei 13, 2010

DARI sehari ke sehari, kita amat-amati jenayah semakin menjadi-jadi. Kes-kes yang dilaporkan luar biasa termasuk yang membabitkan keganasan rumah tangga. Ada suami mencurah asid ke muka isteri, mengelar kemaluan dan membunuh pasangan sendiri.

Kes bunuh menjadi kebiasaan. Mangsa termasuklah bayi yang dibiar mati dalam tong sampah. Kita menjadi bimbang dan bingung, apa sebenarnya telah menimpa negara kita yang didakwa pemimpin sebagai paling pesat pembangunannya malah menjadi contoh terbaik di kalangan negara-negara Islam.

Apabila disebut negara contoh, sewajarnya jenayah dalam negara terkawal tetapi perkembangan semasa membuktikan sebaliknya. Dari sehari ke sehari keadaan menjadi semakin buruk, oleh itu kita berpendapat adalah penting untuk semua pihak termasuk pemimpin negara bermuhasabah, melakukan semakan agar negara tidak terjerumus ke lembah hina. Kita tidak ingin apa yang kita bina bersama selama ini hancur berkecai disebabkan kealpaan dan kesombongan kita sendiri.

Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Kenapa anggota polis boleh menembak (atau tertembak) seorang pelajar berusia 15 tahun? Kenapa orang boleh membunuh dan membuang bayi sesuka hati?

Jawapannya kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak di negara ini. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.

Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)

Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, seorang suami yang mencurah asid ke muka isterinya akan menerima pembalasan yang sama manakala yang mengelar kemaluan mangsa, akan dikelar juga kemaluannya.

Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.

Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Dusta bawa kepada jadi munafik

Posted by epondok di Mei 13, 2010

Oleh Wan Muhd Ruzlan

Insan dapat menjaga lidah daripada berbohong termasuk golongan mukmin berakhlak mulia

ANTARA perbuatan sangat ditegah Islam ialah berdusta. Jika minum minuman keras dikatakan induk segala keji maka berdusta pula faktor utama kerosakan akhlak dan kesesatan. Dusta atau bohong juga dikategorikan Rasulullah sebagai tanda orang munafik. Ini jelas seperti sabda Baginda: “Tanda kemunafikan ada tiga, iaitu jika berkata berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika dipercayai berkhianat.” (Hadis riwayat Muttafaqalaih)

//

Sebenarnya, seseorang yang suka berbohong memiliki peribadi buruk yang tidak melambang seorang mukmin sejati. Allah berfirman bermaksud: “Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.” (Surah An-Nahl: 105)

Inilah peringatan Allah untuk kita mengenai kedudukan orang yang berdusta.
Hindari perbuatan berbohong itu malah jika kita tinjau dalam masyarakat Melayu ada pepatah berbunyi: “Siakap senohong, gelama, ikan duri, cakap bohong, lama-lama mencuri.”

Begitulah pekanya masyarakat kita dalam soal mendidik anak bagi mengelakkan perbuatan berbohong itu.

Umar al-Khattab ada berkata: “Kejujuran yang membuatku dihina itu lebih aku cintai daripada kebohongan yang membuatku dihormati. Namun, sedikit sekali yang melakukannya.”
Orang yang selalu berdusta dalam percakapan seharian itu melambang manifestasi iman yang goyah. Apa tidaknya, orang yang senang berdusta akan menganggap dosa itu remeh malah boleh dianggap sebagai insan yang tidak takut azab sengsara neraka.

Dusta adalah antara sifat mazmumah yang wajib ditinggalkan kerana ia amat dilarang Allah berdasarkan firman-Nya: “Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Surah asy-Syu’araa: 221-223)

Demikian juga dengan penegasan Allah ini: …Serta jauhilah perkataan-perkataan dusta.” (Surah al-Hajj: 30) Berpandukan ayat Allah itu, jelas bahawa perbuatan berdusta sangat ditegah Islam.

Sesungguhnya, berdusta dikategorikan sebagai dosa besar iaitu selepas dosa syirik (menyekutukan Allah) dan menderhakai ibu bapa. Ini seperti ditegaskan Rasulullah bermaksud: “Nabi pernah menyatakan berkenaan dosa-dosa besar. Kata baginda, menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berdusta.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jadi, taraf dusta itu di tempat keempat dalam kategori besar. Namun manusia mudah lupa dan jarang peduli kepada dirinya sendiri mengenai dosa besar yang wajib dijauhi. Kita sangat prihatin dan peka kepada daging babi dan lebih melebihkan takut daging itu lebih daripada takutkan Allah. Demikian juga dengan rasuah. Tanpa ragu ada segelintir manusia bergelumang dengan dosa merasuah dan menerima rasuah. Masya-Allah, kita nampaknya boleh memilih dosa besar. Ada yang boleh dilakukan dan ada yang sangat takut. Fikir dan renungilah ayat Allah dalam al-Quran berkenaan dusta supaya lidah kita menjadi kelu untuk berbicara di luar batasan agama.

Sebenarnya bercakap dusta itu membawa seseorang mukmin bercirikan munafik. Hal ini jelas seperti sabda Rasulullah: “Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka ia adalah orang munafik. Sesiapa (juga) yang memiliki salah satu daripada empat sifat tersebut bererti dia bersifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya. Empat sifat tersebut ialah apabila bercakap dia berdusta, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila pertikaian dia melampaui batas.” – (Hadis riwayat Bukhari).

Demikian penegasan Rasulullah mengenai ciri munafik dan sifat suka berdusta itu satu daripadanya. Justeru, sama-sama kita hindari dengan memelihara lidah sebaik mungkin dengan tutur kata jujur dan bermanfaat.

Banyak impak negatif dusta terhadap seseorang insan. Antaranya, membawa punca rasa kurang senang atau kemarahan orang yang mendengarnya. Juga, si pendusta apabila kemudian terbukti segala tutur katanya dusta, ini akan menghilangkan kewibawaannya pada pandang orang lain. Misalnya jika dia seorang ayah dan kerap berdusta pada isteri dan anak maka lambat laun mereka bersikap kurang hormat sekali gus mengikis kualitinya sebagai ayah berwibawa. Jika dia pemimpin negara atau masyarakat tetapi katanya penuh dusta maka orang ramai tidak akan menghormatinya lagi sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan disokong.

Jika dia seorang peniaga dan urusan jualannya diselaputi dusta maka ia akan mendatangkan kesan buruk bukan saja kurang dipercayai pelanggan tetapi apa yang pasti Allah akan membalasnya dengan azab di akhirat.

Rasulullah bersabda: “Keimanan seseorang itu tidak sempurna sehinggalah dia meninggalkan pembohongan sama ada semasa bergurau senda atau berbalah.” (Diriwayatkan Abu Hurairah)

Jelas, seorang insan yang dapat mengawal dan memelihara lidahnya daripada mengucapkan kata dusta sebaliknya sentiasa menuturkan kata yang baik dan berfaedah maka dia tergolong dalam mukmin yang berakhlak mulia. Ingatlah, melalui lidah kita akan mendapat bahagia dan melalui lidah juga sengsara dunia dan azab neraka akan menimpa kita

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »