Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 Mei 2010

Cuka wain tetap haram

Posted by epondok di Mei 12, 2010

SHAH ALAM: Semua pihak terutamanya pengusaha dan pengeluar makanan perlu mempunyai kesedaran sendiri berhubung penggunaan cuka wain dalam industri makanan yang difatwakan haram pada 2006.

Mufti Selangor Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata walaupun fatwa mengenai pengharamannya dibuat pada 2006, namun masih ramai yang kurang prihatin malah ada yang tidak faham langsung berhubung larangan penggunaan bahan itu dalam penyediaan makanan halal.

Beliau berkata penguatkuasaan berhubung penggunaan bahan itu dalam makanan di kalangan pengusaha dan pengeluar makanan termasuk di hotel-hotel sukar dilakukan kerana ia merupakan bahan yang sukat dikesan.

“Biasanya cuka wain ini digunakan pada makanan seperti kek dan biskut termasuk di hotel, mungkin bertujuan supaya makanan yang dihasilkan tahan lebih lama atau mungkin juga bagi tujuan menyedapkanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penerangan Fatwa Hukum Cuka Wain di sini hari ini.

Katanya sehubungan itu kesedaran adalah faktor penting di mana pengusaha dan pengeluar makanan perlu mengisytiharkan penggunaan cuka wain jika ia terdapat dalam produk yang mereka pasarkan, atau mereka boleh terus mengambil inisiatif tidak menggunakan bahan itu lagi dalam produk mereka.

“Sebab itu saya kata kesedaran, kerana jika mereka rahsiakan maka sukar untuk diketahui kebenarannya, melainkan dengan melakukan kajian secara saintifik,” katanya.

Tamyes berkata memandangkan ada pengusaha makanan halal dalam negara yang turut dikeluarkan oleh orang bukan Muslim, maka pemahaman mengenai larangan cuka wain ini amat penting untuk disebarkan. – Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Unsur judi jejas pembangunan sukan

Posted by epondok di Mei 12, 2010

Oleh Mohamad Isa

Usaha membenar pertaruhan untuk apa tujuan dilarang syarak

PIALA Dunia kembali lagi. Di sebalik keghairahan menanti aksi pemain bola sepak ternama dunia serta semangat penyokong fanatik mereka, timbul isu membabitkan kumpulan yang mengambil kesempatan daripada temasya suka gilang-gemilang itu.

Mereka ialah orang yang mempertaruhkan wang bagi tujuan perjudian. Isu judi atau pertaruhan bukan baru kerana sering dikaitkan dengan penganjuran acara besar seperti Piala Dunia. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90) Judi adalah pertaruhan harta ataupun nilai. Dalam perjudian, yang kalah permainan mesti membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang. Ada banyak jenis permainan yang boleh dianggap sebagai perjudian seperti membeli nombor ekor, menyabung ayam dan judi bola sepak.

Lazimnya, perjudian dianggap sebagai amalan buruk kerana ia satu bentuk pengagihan harta secara tidak adil. Dalam perjudian, pihak yang menang akan mendapat harta tanpa melakukan apa-apa kerja tetapi bergantung kepada nasib.

Perjudian dilarang kerana banyak perkara mudarat timbul daripadanya seperti menyebabkan ketagihan hingga sanggup mengabaikan kerja, keluarga selain memerlukan modal.

Lebih teruk, mereka akan mengaitkan segala yang berlaku sebagai nasib kerana menganggap kehidupan adalah suatu perjudian besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah tidak berlandaskan kepada akal logik.
Sesetengah mereka sanggup melakukan perbuatan syirik dengan mencari bantuan ghaib untuk kejayaan. Contohnya, mendapatkan bantuan ‘keramat’ memuja pokok, busut dan pelbagai lagi kerana percaya pemujaan itu akan meningkatkan tuah mereka.

Tanpa disedari, perbuatan itu bukan saja membazir wang dan masa malahan memesongkan akidah kerana pemikiran dipengaruhi unsur ghaib kerana percaya dapat membantu mereka menang dalam pertaruhan.

Selain itu, perjudian mendorong kepada aktiviti meminjam wang daripada ceti haram bagi tujuan mendapatkan modal atau untuk membayar hutang. Kesan teruk ialah apabila hutang kepada ceti haram gagal dibayar hingga berlaku jenayah tidak diingini.

Judi juga menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompak, curi dan samun kerana mereka ini berkehendakkan wang untuk tujuan berjudi atau menebus hutang dengan ceti haram.

Justeru, Islam mengharamkan judi kerana kesan amat buruk kepada diri dan masyarakat serta barang siapa yang dapat menjauhkan diri daripadanya adalah tergolong dalam orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Perbuatan judi bertentangan tuntutan agama dan menjadi satu kesalahan mengikut akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri di Malaysia.

Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Namun demikian, Seksyen 17 (2) memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh tidak disabitkan atas kesalahan seperti di atas jika ia dapat memuaskan hati mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa rumah itu ialah rumah judi.

Dalam mentafsirkan apa dimaksudkan dengan rumah judi, peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 (3) mentafsirkan rumah judi adalah mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai sama ada terbuka atau tertutup yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh undang-undang lain sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Jelas, judi adalah perkara terlarang daripada sudut hukum syarak serta undang-undang syariah. Oleh itu, sebarang usaha mana-mana pihak mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 adalah tindakan tidak wajar dan perlu dibantah.

Sebarang bentuk pertaruhan adalah judi walau apapun alasannya sama ada bagi mengawal aktiviti perjudian dan hasilnya digunakan untuk pembangunan sukan.
Hakikatnya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram hukumnya dalam Islam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Menunggu saat kemerdekaan bumi Palestin

Posted by epondok di Mei 12, 2010

Oleh SUHAIMI MOKHTAR

Selama lebih enam dekad sejak 1948, perjuangan rakyat Palestin bagaikan tiada penyelesaiannya dan terowong cahaya pembebasan bumi Palestin yang dijajah, ditakluki dan diduduki Zionis Yahudi, bagaikan tiada penghujungnya.

Sudah ramai yang menjadi syuhada’, tetapi cahaya kemenangan di hujung terowong bagaikan tidak akan kunjung tiba. Bahkan rejim Zionis Yahudi yang menjajah dan menakluki dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) dan barat terus mengganas, membunuh, menyekat dan menzalimi rakyat Palestin dengan peralatan senjata yang canggih yang dibekalkan oleh kuasa AS dan sekutu baratnya

Rakyat Palestin telah berjuang dengan kekuatan seadanya dan tidak mampu melawan peralatan canggih kelengkapan perang rejim Zionis Yahudi yang mempunyai bukan sahaja ketangkasan di udara tetapi juga di darat dan laut.

Pada tahap awal perjuangan, pejuang-pejuang Palestin hanya mampu membaling batu, melastik musuh, tetapi mutakhir ini sudah mampu menghantar reket buatan sendiri yang jarak jauhnya sudah boleh menakutkan penduduk rejim Zionis Yahudi di selatan bumi Pelastin yang dirampas dan dijajahnya dan dijadikan sebagai negaranya.

Pejuang Palestin telah mengubah corak dan taktik perjuangan dengan melahirkan pejuang-pejuang berani mati yang menyelinap masuk ke kawasan penduduk Yahudi dan ia telah memberi satu tamparan dan kesan yang menakutkan kepada penduduk Yahudi.

Tindak balas rejim Zionis Yahudi ialah membina tembuk pemisah dengan memisahkan wilayah-wilayah yang diperuntukkan kepada Palestin di Tebing Barat dan di Semenanjung Gaza yang dikenal pasti sebagai wilayah Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang bakal menjadi Negara Palestin bersama dengan wilayah Baitulmuqaddis Timur, yang terkandung dalam pelan damai sebagaimana yang dirangka pembroker pelan damai terdiri dari AS, Perancis, United Kingdom, Rusia dan PBB.

Pelan damai penyelesaian dua negara dengan Negara Palestin wujud beriringan dengan rejim zionis Yahudi yang dilahirkan British dan didukung bersama AS sejak lebih enam dekad lalu adalah sebahagian perjanjian yang terkandung dalam pematerian Kem David dan Oslo, dengan negara-negara Arab mengiktiraf kewujudan rejim Zionis. Setakat ini Mesir, Jordan dan beberapa buah negara Arab yang lain seperti Moroco telah mengiktiraf kewujudan rejim Zionis.

Setelah tembuk pemisah yang dipanggil sebagai Tembuk Aparthied oleh mantan Presiden AS Jammy Carter,dan pelbagai pusat kawalan dan pemeriksaan yang banyak dibina, pergerakan pejuang Palestin mampu dibendung rejim Zionis, tetapi serangan roket dari Gaza tidak dapat dibendung sepenuhnya menyebabkan rejim Zionis melancarkan perang terhadap Gaza selama 22 hari tahun lalu. Sebenarnya wilayah-wilayah yang dikenal pasti sebagai wilayah Pihak Berkuasa Palestin ini pun masih di bawah penaklukan rejim Zionis.

Kejayaan Pergerakan Hamas dan pergerakan Islam lain mempertahankan Gaza dengan iltizam politik yang hebat, menangani sengsara dan penderitaan 1.5 juta rakyatnya, memberi pukulan politik kepada rejim Zionis mengenai keupayaan ketenteraan mereka di sebalik dengan segala kecanggihan peralatan perang yang mereka miliki.

Rejim Zionis boleh melakukan apa sahaja, membina penempatan baru Yahudi di Tebing Barat, di Baitulmuqaddis Timur dan sebagainya tetapi tidak mampu membendung serangan roket. Rejim Zionis mahu menjadikan seluruh Baitulmuqaddis sebagai ibu negara rejim Zionis dan pusat pentadbirannya menggantikan Tel Aviv.

Isu-isu ini membelenggu dan menghalang rundingan pelan damai. Sejak lebih setahun apabila Barack Obama menduduki Rumah Puteh, tiada satu rundingan damai dapat diadakan, baik secara langsung atau tidak langsung.

Obama yang menghantar seorang diplomat handal dan cekap, George Mitchele untuk berulang alik antara pusat pentadbiran rejim Zionis di Baitulmuqaddis dengan Ramallah, pusat pentadbiran PA gagal bagi menggerakkan pelan damai yang telah tertangguh lebih setahun.

Dalam menggerakkan pelan damai , Mantan Presiden Bush lebih berjaya, tetapi tiada hasil konkrit berjaya dicapai. Ia setakat menggerakkan rundingan untuk mengabui dunia negara-negara umat Islam, seolah-olah Negara Palestin akan lahir tidak lama lagi. Hakikatnya ia adalah latihan perhubungan awam semata-mata.

Baru-baru ini rundingan damai tidak langsung yang dibroker oleh AS melalui George Mitchele hampir dapat diadakan, tetapi ia gagal diadakan pada saat-saat akhir apabila rejim Zionis mengumumkan pembinaan 16,000 unit rumah orang Yahudi di Baitulmuqaddis Timur dan pembinaan lain di Tebing Barat.

Pihak Berkuasa Palestin melalui Lega Arab membatalkan rundingan dan bertegas tidak akan meneruskan sebarang rundingan selagi pembinaan penempatan Yahudi diteruskan dan sehingga kini tiada satu rundingan pun dapat digerakkan.

Selain permasalahan penempatan Yahudi di wilayah yang dikenal pasti sebagai wilayah untuk dilahirkan Negara Palestin, beberapa isu lain menghalang rundingan antaranya ,isu hak rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk pulang, isu ibu negara rejim Zionis, Baitulmuqaddis yang terdapat di dalamnya Mesjid AlAqsa, kiblat pertama umat Islam dan masjid yang disebut dalam Al-Quran yang mencatat peristiwa Isra’ Maaraj Rasullullah.

Isu lain, termasuk sempadan sebelum perang bulan Jun 1967 masih tidak dapat dirumuskan dan Pihak Berkuasa Palestin mahu menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, apabila Negara Palestin dilahirkan dalam penyelesaian damai dua negara.

Melihat semua ini, tidak mungkin pelan damai akan berjaya dicapai. Ia sesuatu yang hampir mustahil, apalagi dasar-dasar AS dan barat tidak pernah berubah terhadap isu Palestin dan kuasa-kuasa ini terus mendukung rejim Zionis. Terlalu banyak permasalahan yang membalut dan membelenggu untuk dicari jalan penyelesaian yang adil dan saksama.

Keseluruhan percaturan di Palestin yang melibatkan terlalu banyak pihak yang berkepentingan terutama AS dan barat telah mengheret tiga agama iaitu Islam Kristian dan Yahudi dalam kancah pertembungan. Nampaknya tiada penyelesaian dapat dicapai tanpa melalui perjuangan pembebasan.

Rakyat Palestin yang berjuang untuk pembebasan melalui pendekatan faham nasionalis Arab telah gagal ,walaupun dengan rampasan kapal terbang oleh Laila Khalid pada era Palestin di bawah pimpinan Yassir Arafat. Apa yang berlaku rejim Zionis terus mencengkam dengan angkuh dan sombong dan kini telah masuk fasa kedua cengkaman dan keangkuhan Yahudi, apabila perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan mengambil pendekatan Islam.

Pendekatan ini akhirnya akan beroleh kemenangan sebagaimana yang dijanjikan Allah. Apabila rejim Zionis meningkatkan kesombongan dan keangkuhan mereka dengan pelbagai kezaliman yang dilakukan termasuk menyekat makanan dan keperluan harian rakyat Palestin menyebabkan rakyat Palestin mati kelaparan dan kebuluran, maka ketika itu kebangkitan berada di peringkat tertinggi yang tidak dapat dibendung lagi.

Dengan kezaliman ini dan tekad serta iltizam politik berterusan , rakyat Palestin mampu menghadapi ujian getir ini. Ia menimbulkan dimensi baru kebangkitan seluruh umat Islam di dunia berganding bahu menghulurkan tangan bantuan untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Bantuan melalui badan bukan kerajaan ini, kerana rejim-rejim umat Islam hanya mampu berpeluk tubuh, menjadikan perjuangan Palestin bersifat universal dan mencapai momentum baru.

Perjuangan Palestin kini didukung oleh seluruh umat Islam dunia, bukan lagi rejim negara umat Islam. Inilah jalan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah apabila perjuangan pembebasan Palestin menjadi perjuangan ummah.

Perjuangan Palestin tidak akan mencapai kemenangan hanya dengan jihad pejuang Palestin, tetapi dengan jihad seluruh ummah yang menginfakkan harta benda, tenaga dan nyawa sekalipun, seperti yang berlaku sekarang apabila badan bukan kerajaan (NGO) mengambil daya utama mengumpul dana, barang keperluan, makanan, ubatan untuk dihantar ke Palestin melalui laut dari Pelabuhan di Turki ke Gaza, bagi menyelamatkan mereka yang sedang dizalimi.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan alpa persiapan hari pembalasan

Posted by epondok di Mei 12, 2010

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Kesembilan)

 

selain berusaha kita disuruh bermunajat kepada Allah memohon keampunan dan kebaikan hidup di dunia dan akhirat. – gambar hiasan

 

Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan al-Quran sebagai kitab yang mengandungi peringatan dan nasihat. Ia dengan menerangkan kesanggupan manusia untuk memanfaatkannya apabila menghendaki seterusnya Dia mengemukakan keterangan bahawa tidak layak bagi manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak dan berkedudukan tinggi berlagak sombong.

Iaitu mengikut hawa nafsunya tanpa memikirkan kesudahan di kemudian hari malah tidak bersyukur terhadap kenikmatan yang dianugerahkan kepadanya.

Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian melalui peringkat yang tertentu dalam pelbagai bentuk. Manusia tinggal di bumi hanya untuk sementara waktu, kemudian kembali menjadi tanah dan dikuburkan sehingga tiba saat yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? Ibn Abbas berkata: Terkutuklah manusia dan itulah jenis manusia yang suka berbuat dusta kerana terlalu banyak mendustakan hari akhirat.

Ibn Juraij mengatakan: Sungguh parah kekafirannya, sedangkan Ibn Jarir berkata: Apakah yang membuatnya menjadi kafir dan mendustakan hari akhirat?

Firman Allah SWT: (tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).

Ibn Abbas berkata: Dia memudahkan keluarnya dari perut ibunya. Syed Qutb berkata: Allah memudahkan jalan kehidupan atau jalan hidayah. Di samping itu, memberikannya kemudahan bertindak dengan sifat-sifat, bakat dan kesediaan yang ada pada dirinya sam ada untuk perjalanan hidupnya atau untuk mencari hidayah dalam hidupnya.

Sesudah tamat perjalanannya, ia akan kembali kepada kesudahan yang diterima oleh setiap yang hidup tanpa pilihan dan tanpa kesempatan melarikan dirinya.

Saidina Ali r.a berkata: Mengapa manusia banggakan diri sedangkan dia telah keluar melalui saluran kencing dua kali?

Firman Allah SWT: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

Al-Maraghi berkata: Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas, tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.

Apabila Allah SWT menghendaki akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk dihitung dan diberi pembalasan pada suatu saat yang hanya Allah SWT sendiri mengetahuinya.

Dalam perkataan idhasha, tersirat pengertian bahawa hari kiamat itu tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT.

Dia sahaja yang mengetahuinya, berkuasa untuk mempercepatkan atau melewatkan kedatangannya, berkuasa menghidupkan, mematikan, membangkitkan dan mengumpulkannya serta memberi balasan terhadap amal yang telah dikerjakannya sama ada baik mahupun buruk.

Firman Allah SWT: Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Manusia umumnya, baik secara individu mahupun generasi belum lagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT hingga akhir hayat.

Itulah saranan yang disampaikan oleh ungkapan tidak sekali-kali begitu. Manusia masih cuai, tidak menunaikan kewajipannya, tidak mengingatkan asal-usul kejadiannya dengan ingatan yang sebenar, tidak bersyukur dan tidak membuat persediaan menghadapi hari pembalasan.

Beginilah keadaan manusia pada keseluruhannya sedangkan kebanyakan mereka pula menolak dan menentangnya.

Firman Allah SWT: (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya).

Ibn Kathir berkata: Terkandung juga dalil tumbuhnya tumbuhan dari bumi yang gersang sebagai bukti jasad-jasad yang sebelumnya berupa tulang belulang yang hancur di tanah boleh dihidupkan kembali.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan.

Ibn Kathir berkata: Kami tempatkan air di sana yang masuk ke lapisan tanah selanjutnya menumbuhkan tanaman di permukaan bumi.

Firman Allah SWT: Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, dan buah anggur serta sayur-sayuran.

Sebahagian ulama menafsirkan qadbhan sayur-sayuran yang dimakan dengan mentah oleh binatang sedangkan Hasan Basri berkata: “Ia bermaksud makanan binatang”.

Firman Allah SWT: Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, dan taman-taman yang menghijau subur. Al-Maraghi berkata: Gambaran demikian ini mengandungi petunjuk bahawa kenikmatan yang dapat diambil dari pohon-pohon itu tidak hanya terbatas kepada buahnya sahaja.

Bahkan ia dapat digunakan untuk membuat perabot rumah, bangunan dan alat-alat kraftangan dan industri. Kayunya juga dapat dimanfaatkan untuk memasak makanan dan digunakan untuk melebur besi dan benda-benda logam yang lain.

Firman Allah SWT: Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Syed Qutb berkata: Demikianlah kisah makanan dan semuanya adalah ciptaan tangan kudrat yang menciptakan manusia itu sendiri. Manusia tidak boleh mendakwa ada kekuasaan yang lain turut serta dalam penciptaan itu baik di peringkat perkembangannya, biji-bijian dan benih yang ditabur bukan dari ciptaan dan rekaannya.

Mukjizat dalam ciptaan benih-benih di luar kefahaman dan tanggapan manusia. Tanah di hadapannya sama sahaja, tetapi benih dan bijian berlainan dan masing-masing mengeluarkan buahnya di petak bumi yang berdekatan.

Semuanya dijirus dengan air yang sama tetapi dengan kudrat Ilahi telah mempelbagaikan tumbuh-tumbuhan dan buahan itu dan memelihara dalam biji benih yang kecil itu segala sifat-sifat ibunya yang melahirkannya. Kemudian sifat ini dipindahkan kepada anak yang dilahirkannya.

Semua sifat itu tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Mereka tidak mengetahui rahsianya dan tidak pula membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Mereka tidak pula dirundingi dalam mana-mana urusannya. Inilah kisah makanan yang dikeluarkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Penutup

Terlalu banyak kurniaan Allah SWT dan nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dengan kurniaan tersebut, maka mudahlah meneruskan kehidupan.

Ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada manusia, dan sewajarnya dibalas dengan ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada-Nya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »