Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Mei 2010

Reformasikan pasukan polis

Posted by epondok di Mei 11, 2010

OLEH ABDUL AZIZ BARI

Tragedi yang mengorbankan nyawa pelajar berumur 14 tahun Aminulrasyid Amzah yang ditembak oleh polis di Shah Alam pada awal pagi 26 April lalu begitu banyak diperkatakan aspek politiknya. Tetapi bagi saya ia adalah isu yang berkait dengan soal keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban. Pihak polis, yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam di bawah Perlembagaan Persekutuan, memainkan peranan penting dalam menjaga dan memperkasa kedudukan dan hak asasi rakyat. Bukan sebaliknya.

Apa yang menyedihkan ialah bahawa tragedi di Shah Alam itu bukanlah yang pertama. Sebelum itu ada beberapa insiden yang serupa berlaku. Ia termasuklah kematian dalam lokap A Kugan dan tindakan polis menembak ibu tunggal Norizan Salleh. Dalam pada itu ada beberapa kes lain yang tidak dilaporkan dengan meluas yang dibangkitkan ekoran kejadian terbaru di Shah Alam itu.

Respons pihak kerajaan dan polis nampaknya sama: apa yang berlaku ialah satu kesilapan dan siasatan dalaman akan dilakukan. Apa yang menimbulkan kemarahan dalam insiden di Shah Alam itu ialah tuduhan polis bahawa budak yang ditembak itu penjenayah dan di dalam kereta yang dipandunya ada sebilah parang. Ini dinafikan dan beberapa bukti dikemukakan oleh keluarga si mati dan mereka yang menyaksikan kejadian.

Ini membuat pihak polis senyap tetapi terus menyerang: ahli-ahli Pakatan Rakyat yang memperjuangkan isu itu dikatakan mencari publisiti murahan. Ini kelihatan dalam kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar. Sementara itu Barisan Nasional cuba menunjukkan simpati kepada keluarga Aminulrasyid tetapi dalam masa yang sama cuba membela pihak polis.

Seperti yang dilaporkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa bahawa pelantikan Pengerusi DAP Karpal Singh sebagai peguam keluarga si mati telah mempolitikkan isu berkenaan.

Saya tidak berasa perlu untuk memberi komen tentang dakwaan Khir itu kerana jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat tragedi Shah Alam itu juga tidak bebas daripada politik; khususnya keterlibatan UMNO kerana ia dipengerusikan oleh Datuk Abu Seman Yusop, seorang timbalan menteri dari parti itu. Apabila Khir mempersoalkan kedudukan Karpal perkara yang sama juga boleh dibangkitkan tentang Abu Seman.

Kita tidak habis-habis bergelut dengan isu seperti itu kerana kita gagal melaksanakan penubuhan IPCMC – sebuah suruhanjaya bebas memantau pasukan polis – sebagaimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Dzaiddin Abdullah pada 2005. Pada mulanya Tun Abdullah Ahmad Badawi hendak mengikut cadangan tetapi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar, mengugut kerajaan: sekiranya kerajaan berbuat demikian anggota-anggota polis akan mengundi pembangkang dalam pilihan raya.

Tidak dapat dipastikan sama ada Bakri hanya berlakon dengan Abdullah atau benar-benar serius dalam membuat ugutan itu. Tetapi saya tidak begitu percaya dengan ugutan itu kerana kalau Pakatan menubuhkan kerajaan saya fikir polis teruk menerima akibatnya. Ini kerana dalam laporannya, selain IPCMC, Suruhanjaya Dzaiddin turut membangkitkan masalah polis yang kronik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan juga kedudukan cawangan khas yang suruhanjaya berasa perlu untuk disemak dan diperbetulkan.

Selama ini kita semua tahu polis banyak membantu Barisan, walaupun ia tidak selaras dengan undang-undang. Contohnya di Terengganu ketika Pas memerintah antara 1999-2004. Ketua Polis Negeri ketika itu, Datuk Othman Talib, terang-terang melawan kerajaan negeri. Ini termasuklah keengganannya melaksanakan undang-undang yang diluluskan oleh DUN Terengganu. Ini bertentangan dengan Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa tugas polis ialah melaksanakan undang-undang; tidak kira undang-undang persekutuan atau negeri. Kita juga melihat bagaimana gelagat polis di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan; termasuk di Perak dan Selangor.

Dalam beberapa insiden tertentu polis membuat keputusan yang saya fikir salah di sisi perlembagaan. Dua bulan lalu Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Bukit Aman (KDNKA) Datuk Hussin Ismail membuat kenyataan bahawa polis enggan menyertai APMM; sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk mengawasi perairan negara. Sebagai sebuah cabang perkhidmatan awam adalah salah untuk Husin berbuat begitu: dia boleh diambil tindakan disiplin kerana ingkar keputusan kerajaan.

Untuk mengurangkan berlakunya tragedi seperti di Shah Alam itu saya fikir polis perlu balik kepada fungsi asalnya iaitu membasmi jenayah. Fungsi lain termasuk menyertai operasi pengaman di luar negara patut dihentikan. Itu kerja angkatan tentera. Polis juga tidak perlu campur tangan dalam memantau perhimpunan awam: peruntukan undang-undang yang berkenaan, sebagaimana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Dzaidin Abdullah perlu dimansuhkan. Isu-isu seperti yang berlaku di Shah itu itu menandakan bahawa polis masih belum berjaya dalam melaksanakan tugas dengan baik. Tugas membasmi jenayah perlu tumpuan dan latihan yang mencukupi.

Saya setuju dengan komen ahli akademik Wong Chin Huat yang berkata bahawa polis tidak harus diletakkan di bawah kerajaan persekutuan. Format yang ada sekarang adalah legasi British yang jelas dibuat untuk kepentingan mereka. Kedudukan dan kuasa polis sudah banyak yang tidak selari dengan ideal perlembagaan.

Apa pun kelihatannya Barisan Nasional (BN) tidak berminat untuk mereformasi pasukan polis. Ini jelas dalam sikap dolak-dalik pentadbiran Abdullah Badawi dalam melaksanakan cadangan suruhanjaya yang dikatakan tadi. Ini tidak berubah di bawah pentadbiran yang ada sekarang. Sebab itu saya tidak terkejut apabila Dewan Negara menolak usul untuk membincangkan isu tembakan Aminulrasyid. Kalau membincang pun tidak mahu bolehkah kita mengharapkan sesuatu yang lebih mendasar?

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hayati maksud surah al-Fatihah

Posted by epondok di Mei 11, 2010

Oleh Zawawi Yusoh

DOA terkadang tidak serupa minta, minta lain tapi buat lain, malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta dan sebut “amiin”.

Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, “amin” tidak tahu dan faham apa yang imam berkenaan baca.

Doa sebenarnya permintaan, ia perlu difahami kemudian baru ia dapat masuk ke dalam hati.

Kalau main minta atau main angkat tangan saja tetapi tidak memahami apa-apa isi kandungan doa berkenaan ia dianggap sebagai bermain-main ketika berdoa.

Sudah berpuluh tahun kita meminta perkara sama tetapi masih tidak dapat-dapat. Sebenarnya, bukan Allah tidak perkenankan tetapi kita sendiri hanya pandai meminta tetapi tidak pandai mencari.

Minta tetapi tidak mencari sama halnya dengan berangan-angan. Antara yang wajib kita minta setiap hari adalah ayat “ihdinassiratal mustaqim” yang dibaca 17 kali setiap hari.

Maksudnya adalah tunjuklah kami jalan yang lurus. Kita wajib membacanya setiap kali sembahyang. Besarnya makna doa ini adalah ia tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah terlebih dahulu.

Bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia itu adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Doa ini tidak didahulukan ia, melainkan setelah kita berikrar mengaku sebenar-benarnya bahawa hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Setiap hari minta “jalan yang lurus” tahukah kita apa jalan yang lurus itu? Kalau tidak tahu kena belajar dan membaca. Jalan yang lurus itu sangat penting.

Setengah remaja hanya tahu jalan betul saja, jumpa jalan betul terus merempit. Orang Palestin mati di jalan Allah tetapi kita mati di jalan betul.

Kalau kita perhatikan sebaik saja meminta jalan yang lurus, “ihdinassiratal mustaqim” Allah mentafsirkan jalan lurus itu adalah Allah sudah berikan nikmat-Nya kepada orang yang terdahulu. Siapakah orang-orang ini?

Mereka adalah Rasul, Nabi, sahabat dan Aulia’ . Apakah itu nikmat? Itulah nikmat Iman, Islam dan Ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus.

Rasul, Nabi, sahabat dan Aulia melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah.

Jalan yang lurus inilah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah ini, minta dijauhkan kita daripada dua jalan yang tidak sampai kepada Allah.

Itulah dia jalan orang yang Allah dimurkai dan jalan orang yang sesat yang tidak mempercayai Allah seperti Namrud dan Firaun.

Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang mendapat laknat Allah. Jalan orang yang sesat pula adalah Yahudi dan Nasrani (kristian).

Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui itu adalah bertentangan dengan kehendak Tuhan. Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan.

Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah mereka yang mengikuti jalan yang lurus. Jalan ini ditempuh oleh Nabi, Rasul, Sahabat, Tabiin dan juga wali Allah sebelum ini.

Maka, kita mengharapkan belas kasihan agar Allah tunjukkan kita jalan supaya kita boleh sampai kepada Allah. Dinyatakan tadi jalan itu adalah Iman, Islam dan Ihsan.

Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Allah berikan jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat jalan yang lurus.

Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi. Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh ketika berkomunikasi dengan Allah.

Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah ia selari seiring dan sejalan. Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pitbull: Puspal tidak jawab konsert 12 jam

Posted by epondok di Mei 11, 2010

 Nasharuddin Mat Isa   

 

 

 Kenyataan balas dari Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menyebut, “Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui Puspal sentiasa mengambil pandangan berat mengenai kemasukan artis luar ke negara ini supaya ianya sentiasa selari dan mematuhi nilai-nilai budaya dan tatasusila rakyat Malaysia”.

“Justeru itu, semua permohonan yang dikemukakan untuk membawa masuk artis luar akan melalui proses penapisan yang ketat sebelum ianya diluluskan. Agen yang mewakili pihak artis luar dan diri artis yang berkenaan harus menandatangani surat persetujuan untuk mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk mengadakan persembahan di Malaysia. Antara yang terpenting dalam peraturan ini ialah melarang sebarang tingkah laku, percakapan, lirik lagu dan juga pakaian yang mengaibkan atau bersifat lucah. Pitbull berjanji tidak akan melakukan sebarang tindakan, percakapan dan berpakaian yang tidak senonoh jauh lagi menyanyi lagu-lagu berunsur lucah”.

Dari kenyataan balas tersebut ternyata kelulusan dibuat tidak berlandaskan apa yang termaktub di dalam syarat ketetapan kemasukan artis luar. Juga kita sedia maklum bahawa peminat akan mengharap artis kesayangan mereka di dalam sesebuah konsert untuk menyanyikan lagu hit yang mereka gemari.

Ini jelas bercanggah dengan kenyataan Puspal “jauh lagi menyanyi lagu-lagu berunsur lucah”.Yang pasti pihak Puspal tidak menjawab persoalan kami yang bertanyakan, kenapa membenarkan konsert berlangsung selama 12 jam tanpa henti dari 7 malam hingga ke 7 pagi hari berikutnya, yang mana ianya telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert.

Seperti yang sedia termaktub, sesebuah persembahan konsert di tempat awam tidak boleh melebihi jam 12 malam dan jika mempunyai sebab-sebab tertentu mungkin dibenarkan sehingga 1 pagi. Juga bagi sesebuah kelab hiburan dan disko, ianya dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 1 pagi ataupun 2 pagi. Juga bukankah pengharaman promosi di tempat awam terbuka diharamkan kepada jenama minuman keras? Penaja dan tema utama Konsert 12 Jam ini ialah LIVE WITH CHIVALRY. Penaja utama ialah jenama arak CHIVAS REGAL. Untuk acara ini menggunakan nama samaran LIVE WITH CHIVALRY.

Kita sedia maklum lagu hit Pitbull ialah Hotel Room Service, I Know You Want Me. Ini bermakna Pitbull sudah semestinya mempersembahkan kedua-dua lagu ini di pentas konsert. Bayangkanlah muda-mudi kita berhibur sambil menyanyikan lirik tersebut dengan penuh penghayatan selama 12 jam tanpa henti sambil dikelilingi oleh pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang sudah pasti menimbulkan rangsangan sesama mereka.

Mari kita renungi petikan lirik dua lagu Pitbull.

Budaya seks bebas dan menggalakkan sesi seks beramai-ramai.

Forget about your boyfriend 

And meet me at the hotel room

You can bring your girlfriends 

And meet me at the hotel room (x2)

Bring your girls, whatever the night

Your man just left, I’m the plumber of the night

I’ll check your pipes, oh, you’re the healthy type

Well, here goes some egg whites

Now gimme that sweet, that nasty gushy stuff

Let me tell you what we gon’ do

2 plus 2, I’m gonna undress you

Then we’re gonna go 3 and 3,

you gon’ undress me

Then we’re gon’ go 4 and 4,

we gon’ freak some more, but first

(Lagu: Hotel Room Service)

Menggalakkan budaya hisap ganja dan pengambilan dadah sebagai rekreasi

I Smell That Sticky Icky 

Who Got That Sticky Icky 

I Got That Sticky Icky, Icky, Icky 

Who Got That Sticky (Me Too) 

U Know Tha Drill 

Break It Up 

Roll It Up 

Light It Up 

Smoke It Up 

Now Puff, Puff Pass Wit Yo Punk Ass 

U Messin Up The Rotation 

That Thang There Burnin Fast 

This Ain’t A Joke, Stop PlayinMessed Up 

High As A Kite 

Now Roll The Next One 

And Pass Me The Light 

Cuz We Ready (Fa Sho) 

Ready (To Go) 

Ready (To Blow) 

Let’s Roll It’s Heavy Cake And Druggin It 

So Heavyweight We Smuggle It 

Puff, Puff Pass Wit Yo Punk Ass

(Lirik lagu Sticky)

Proses kelulusan kemasukan artis luar dan kesesuaian mereka untuk membuat persembahan di negara kita memang terletak di tangan Puspal. Ahli-ahli Jawatankuasa Puspal bukan sahaja terdiri daripada kakitangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tetapi terdiri daripada beberapa agensi kerajaan yang lain yang mana di antaranya ialah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri; Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Melihat kepada barisan ahli jawatankuasa yang disenaraikan, ianya diwakili oleh mereka-mereka yang arif dan memahami baik dan buruk sesuatu persembahan mahupun permohonan.

Adalah difahamkan dari sumber kami, sebenarnya pihak Puspal telah menolak Pitbull dari mengadakan konsert di Malaysia dari penghujung tahun lepas lagi. Permohonan telah dibuat oleh sebuah syarikat yang lain dan bukan penganjur sekarang.

Apabila syarikat kedua (yakni penganjur konsert kali ini) membuat permohonan, difahamkan pihak Puspal sekali lagi menolak hasrat mereka sepertimana yang dilakukan terhadap syarikat pertama. Tetapi apa yang kami fahamkan, pihak syarikat kedua telah membuat rayuan yang mana Jawatankuasa Rayuan telah menggunakan kuasa mutlak/veto mereka untuk membatalkan keputusan majoriti Puspal lalu membenarkan konsert ini berlangsung.

Telah berulang kali Jawatankuasa Puspal tidak meluluskan permohonan Pitbull tetapi Jawatankuaa Rayuan yang terdiri daripada Ketua Setiausaha KPKK ;Timbalan Ketua Setiausaha  (Kebudayaan) KPKK dan  Urus Setia – Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan  KPKK telah mempergunakan penetapan tatacara sendiri untuk membatalkan keputusan majoriti lalu membenarkan Konsert Pitbull ini untuk terus diadakan.

Persoalannya, kenapa permohonan dan rayuan syarikat kedua diluluskan sedangkan syarikat pertama memohon terhadap artis yang sama, double standard (pilih kasih?).

Mungkin rasional untuk meluluskan permohonan syarikat kedua ialah seperti kenyataan balas Puspal ialah “Pitbull adalah hanya satu daripada kumpulan-kumpulan artis yang akan membuat persembahan dalam Festival Muzik yang akan diadakan di Genting Highlands pada 15 Mei 2010.  Festival Muzik ini melibatkan persembahan daripada DJ dan artis tempatan serta DJ antarabangsa lain.  Dalam Festival Muzik ini, persembahan Pitbull hanya 1 jam 30 minit”.

Yang menghairankan; walaupun dengan segala fakta kandungan lirik lagu Pitbull yang secara jelas berlandaskan unsur-unsur negatif; tetapi masih lagi mendapat kelulusan dari pihak Jawatankuasa Rayuan? Juga Konsert 15 Mei selama 12 jam yang akan berlangsung di Arena Tertutup Bukit Kiara bukan sekadar konsert tetapi melibatkan budaya muzik house dan techno yang membawa budaya arak, dadah, seks dan pergaulan bebas. Penglibatan secara terbuka penaja utama iaitu jenama minuman keras yang menggunakan tema LIVE WITH CHIVALRY.

Merujuk kenyataan lepas Timbalan KSU Datuk Mohammed Mohd Daud di akhbar MALAY MAIL 13 Julai 2009.

http://www.mmail.com.my/content/7864-conflicting-rules-concert-organisers

Deputy secretary-general of Information, Communication and Culture Datuk Mohammed Mohd Daud said there is nothing vague about the ruling and that it had always been that way since Puspal was established. (Puspal is the Central Agency for the Application for Filming and Performance by Foreign Artistes set up in 2001). Mohammed’s confirmation took the floor by surprise considering that many concerts in the country had international acts that were sponsored by liquor or tobacco companies. Asked how these events were allowed, Mohammed said this was because Puspal did not have any knowledge about the type of sponsorships these concerts had.”If we are not informed that these events are sponsored by these companies, then how are we to know?” he told Malay Mail. .”We can act accordingly if Puspal has knowledge that a concert has breached its guidelines.”He pointed to R&B singer Akon’s concert in Kuala Lumpur, which has been rescheduled from July 2 to Oct 24. Mohamed said the Akon show was ordered stopped by Puspal after it had confirmed that Chivas sponsored the concert. Akon can go on, he said, provided that no liquor or tobacco companies are involved.

Beliau berkata bahawa yang pihak beliau dan Puspal  tidak mendapat maklumat terperinci berkenaan penaja konsert sebelum ini. Kami boleh bertindak jika dimaklumkan lebih awal. Satu contoh ialah penangguhan konsert AKON dari Julai 2 ke Oktober 24, 2009 lalu apabila mendapat kepastian bahawa Chivas menjadi penaja konsert tersebut. Persoalan masa kini dengan Pitbull. Bukankah nyata yang Tema LIVE WITH CHIVALRY adalah tema “samaran: kepada penaja sebenar konsert ini? Bukankah makluman awal telah dilakukan untuk pihak Puspal membuat siasatan dan pemantauan?

Apa yang difahamkan ianya berkonsepkan konsert terbuka dengan persembahan utama ialah DJ memutarkan lagu untuk pesta tarian sambil diselang seli dengan persembahan artis seperti Pitbull ini. Memang kita sebuah negara liberal tetapi ini akan mengulangi peristiwa konsert terbuka 2008 yang bertemakan Festival World Muzik di tepi pantai di Port Dickson tetapi sebenarnya mempunyai konsep yang sama seperti yang ingin diadakan di KL May 15 ini. Festival Muzik Port Dickson ini telah dicemari oleh perlakuan minum arak dan amalan dadah juga pergaulan seks secara terbuka.

Amatilah petikan lirik lagu Pitbull dan rakan-rakannya untuk membayangkan pengaruh dan kesannya terhadap pengunjung acara tersebut. Bayangkanlah juga muda-mudi kita berhibur sambil menyanyikan lirik tersebut dengan penuh penghayatan sambil dikelilingi oleh pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang sudah pasti menimbulkan rangsangan sesama mereka. Untuk durasi 12 jam apa-apa boleh berlaku.

Petikan artikel dari akhbar The Star May 12 , 2008. http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2008/5/12/central/21218783

Residents of Port Dickson are unhappy that the seaside town is being used by certain quarters to promote booze, drugs and promiscuity among the young. Port Dickson assemblyman M Ravi said a recent wild party at the seaside was a real shocker to him and the community here. The two day event themed ‘2 Days of Freedom’ was supposed to be a ‘fusion of music, visual arts, cuisine and beach activities’.He said that such parties did more damage to the young than promote tourism. “I made a surprise visit to a so called world music event in the wee hours of Saturday morning and what I saw was shocking. “Thousands of teenagers, many drunk and wearing skimpy clothing were misbehaving and some were even involved in substance abuse,” he claimed.

Penduduk Port Dickson tidak gembira bahawa bandar tepi pantai ini dipergunakan oleh sesetengah pihak untuk mempromosikan arak dan pergaulan bebas sesama anak-anak muda. Ahli assembli Port Dickson, M Ravi berkata parti liar yang baru berlaku memberi kejutan kepada beliau dan masyarakat setempat. Acara 2 hari yang bertemakan “2 Hari Penuh Kebebasan” pada dasarnya bertemakan “Gabungan muzik, seni visual, pemakanan dan aktiviti tepi pantai”.

Parti sedemikian lebih membawa kemudaratan kepada muda-mudi daripada mempromosikan pelancongan. Saya telah membuat pemantuan ke acara yang diwar-warkan sebagai Acara Muzik Sejagat (world) di hening pagi Sabtu dan apa yang saya lihat ialah ribuan muda-mudi dalam keadaan mabuk dan berpakaian menjolok mata dan buruk perilakunya dan ada juga terlibat dengan penyalahgunaan bahan perangsang.

Persoalannya, adakah Peristiwa Port Dickson Akan berulang di bumi Kuala Lumpur Mei 15 ini? Durasi 12 Jam dari sebelum Maghrib dan terbit fajar selepas Subuh mengundang situasi yang lebih meruncing dari Port Dickson.

Kami ingin merakamkan sekalung tahniah kepada Resorts World Genting kerana membatalkan acara 15 Mei ini diatas sebab teknikal. Juga kemungkinan ianya tidak dapat diadakan kerana tidak mendapat kelulusan dan persetujuan dari pihak Majlis Daerah Bentong.

Jika inilah sebab teknikal yang menyebabkan pembatalan konsert ini di bumi Genting Highlands maka pihak PAS memberi sanjungan dan penghargaan kerana pihak-pihak ini bukan sekadar mementingkan keuntungan tetapi mempertahankan kesejahteraan dan ketenteraman rakyat Malaysia supaya tidak didedahkan kepada elemen-elemen dan unsur-unsur negatif yang boleh memudarat dan memesongkan akhlak mereka.

Jika ianya boleh berlaku di bandar Port Dickson; apatah lagi Kuala Lumpur yang lebih terdedah kepada elemen budaya metropolitan, mengulangi peristiwa sedemikian. Dengan ini kami amat mengharap kebijaksanaan dan kewibawaan DBKL untuk tidak membenarkan Konsert 12 jam ini di mana-mana jua lokasi di Kuala Lumpur demi memelihara masyarakat muda ibukota dan negara amnya dari elemen budaya negatif ini walaupun kelulusan Jawatankuasa Rayuan Puspal menjadi faktor untuk membenarkan mereka mengadakan Konsert 12 Jam ini.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Siasat pemilik laman sosial `Ayah Pin’

Posted by epondok di Mei 11, 2010

 Salmah Mat Husain   

 

 

KOTA BHARU, 10 Mei: Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitmedia Malaysia (SKMM) diminta menyiasat pemilik sebenar laman sosial facebook ‘Ayah Pin’ kerana laporannya dibimbangi mempengeruhi masyarakat khususnya umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi berkata laman sosial berkenaan dengan jelas begitu berani dan mempersendakan ajaran Islam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan laman sosial itu yang kini semakin menjadi perhatian masyarakat.

“Kami dapati laman sosial Ayah Pin begitu berani serta turut memuatkan kenyataan ajaran Islam yang dipesongkan.

“Perkembangan ini amat membimbangkan kita khususnya pada golongan muda takut terpengaruh dengan ajaran itu,” ujarnya lagi.

Kata Nasrudin lagi, tindakan tegas terhadap pemilik tersebut seharusnya diambil oleh kerajaan khususnya di bawah suruhanjaya terbabit.

Beliau bagaimanapun bersyukur ekoran tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS di beberapa buah negeri membuat laporan polis terhadap laman yang sama dimiliki ‘kafir bangga’ sehingga laman itu telah ditutup.

Untuk itu, ujarnya demi maruah Islam, laman-laman sosial yang menghina ajaran Islam seharusnya dihapuskan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »