Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 10 Mei 2010

Mother’s Day. Hari Dewa Rhea !

Posted by epondok di Mei 10, 2010

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Sememangnya kini kita berada dalam jaringan lubang dhab yang dalam dan berserabut hasil peninggalan penjajah Barat dan kesan weternisasi. Seolah-olah perkembangan pola pikir kita berlandskapkan permasalahan yang sama yang dideritai oleh barat. Akibatnya kita menelan segala pil yang dicipta barat bagi menyelesaikan segala permasalahan mereka. Seumpama orang yang berpenyakit yang terpaksa menelan pelbagai jenis pil yang ditetapkan doktor untuk penyembuhan tetapi si anak yang diterangkan transkripsi ubat oleh sang doktor untuk diberi kepada ibunya yang sakit turut menelan ubat yang sama. Beliau tidak menghadapi penyakit tersebut tetapi kerana terpesona dengan penerangan dan penjelasan atau kagum dengan si doktor. Betapa bodohnya dia.

Inilah yang dihadapi oleh umat Islam khususnya para pemerintah mereka. Seolah-olah terkapai-kapai tanpa sumber dan panduan. Mereka menelan semua pil barat untuk menghadapi penyakit-penyakit yang melanda Barat sedangkan segala virus dan punca penyakit tersebut juga mereka bawa dan datangkan dari barat. Sebenarnya mereka bercelaru dari segi welstanchaungnya (world view). Inilah juga yang menimpa kepada rakyat dan umat Islam.

Di barat, institusi keluarga menjadi hancur lebur. Kebanyakan mereka lebih memilih untuk bersekedudukan daripada mengamalkan institusi kekeluargaan. Lebih 50% bahkan sesetengah negara barat mencecah 2/3 rakyat mereka adalah lahir daripada anak luar nikah. Apabila mereka berusia 18 tahun, mereka bebas tanpa ikatan daripada keluarga mereka. Dasar materialisme dan individualistik amat mencengkam masyarakat mereka. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Negaralah yang menguruskan anak-anak dan ibu-bapa yang bermasalah dan golongan tua. Krisis nilai dan akhlak jatuh melebihi tahap binatang. Hubungan kekeluargaan amat rapuh. Seolah tiada ikatan anatara anak serta ibu-bapa, antara isteri dan suami. Apatah lagi jiran tetangga maupun adik beradik, ipar duai. Kamu.. kamu, aku.. aku.

Sebab itulah mereka memperkenalkan pelbagai jenis hari. Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Pekerja, Hari Guru, Hari Jururawat… dan seribu jenis hari perayaan dan pelabagai cuti demi mengingatkan dan menghargai pelbagai golongan tersebut. Ini berlaku kerana krisis akhlak dan nilai moral yang sudah hilang. Tiada lagi ingatan, penghormatan, penghargaan yang diamalkan secara normal bahkan memerlukan ingatan secara paksaan. Dalam masa yang sama mereka juga mempunyai agenda dalam meng’kudus’kan icon-icon tertentu untuk memperkukuhkan kehendak dan perancangan agama dan kehendak pemerintah mereka. Apatah lagi agenda Yahudi-Nasara ini yang cuba untuk menglobalkan pemakaian cara hidup mereka atas dunia ini khususnya dunia Islam.

Dunia Islam sepatutnya tidak menghadapi isu korup aqidah dan akhlak yang amat menjijikkan ini. Bukan sekadar kita diikat dengan syaraiat dan akhlak Islam tetapi juga batas budaya dan kesopanan bangsa. Tetapi kini ia mula mencair akibat dunia kita diletakkan dalam parit dan saluran barat, yang mau tak mau, seluruh rakyat menuruti kehendak massa yang terdorong mengikuti life-stail barat yang penghujungnya adalah septik-tank yang penuh dengan tahik-tahik barat.

Dalam Islam isu-isu kekeluargaan, hak-hak sepatutnya tidak berbangkit. Tidak memerlukan HAM (Hak Asasi Manusia-PBB) untuk ditegak dan dipraktikkan. Islam yang dibawa oleh Rasulullah Saw mengatasi tarikh dan kewujudan PBB itu sendiri. Apa yang dibawa oleh Baginda bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri apatah ianya diturunkan oleh Pencipta manusia dan Pemilik dunia dan cakrawala ini.

Sepatutnya tidak perlu satu hari khusus untuk Ibu dan satu hari khusus untuk Bapa. Di Barat mungkin ya. Tetapi tidak untuk umat Islam apatah lagi dia seorang mukmin. Setiap hari bagi si mukmin adalah hari ibu dan hari bapa. Sebab selagi mana ia tidak syirik kepada Allah selagi itulah dia mengikatkan ikatan syahadahnya itu untuk berbuat baik terhadap ibu-bapanya sendiri. Ini difirmankan Allah:

أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Jangan sesekali kamu syirik kepada Allah dan kepada dua ibu-bapa kamu hendaklah berbuat baik
Ada 4 tempat didalam al-Quran yang menggabungkan ayat tauhid dan taat ibu-bapa ini. Dan pastinya seorang mukmin tidak berlaku akhlak buruk yang melupakan ibu-bapa ini kecuali dia adalah muslim saduran.

Kalau Barat sendiri Hari Ibu mesti datang dari asal-usul dan punca kepercayaan mereka sendiri. Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati Dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari tersebut.

Peringatan Mother’s Day di sebagian negara Eropah mendapat pengaruh dari kebiasaan memuja Dewi Rhea, istri Dewa Kronus, dan ibu para dewa dalam sejarah Yunani kuno. Maka, di negara-negara tersebut, peringatan Mother’s Day jatuh pada bulan Mac. Di Amerika Syarikat dan lebih dari 75 negara lain, seperti Australia, Kanada, Jerman, Itali, Jepun, Belanda, Singapura, Taiwan, Hongkong termasuk Malaysia peringatan Mother’s Day jatuh pada hari Minggu kedua bulan Mei kerana pada tarikh itu pada tahun 1870 aktivis sosial Julia Ward Howe mencanangkan pentingnya perempuan bersatu melawan perang saudara. Dan kini, masing-masing cuba menjadikan hari ibu sebagai hari memperingati tokoh-tokoh negara mereka. Malah di China, sesetengah rakyat China sedang mula memupuk Hari ibu sebagai memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius.

Dalam Islam, pengajaran yang menukilkan tentang si ibu ini diungkapkan dalam al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasulullah Saw semenjak 14 abad yang lalu dan berjaya mewujudkan satu tahap manusia yang memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap ibu-ibu mereka. Apatah lagi isu kewanitaan telah diangkat martabat mereka semenjak kedatangan Islam setelah sekian lama wanita menjadi status hamba kepada kaum lelaki, sebagai kilang untuk melahirkan anak-anak mereka maupun sebagai sembahan kepada tuhan-tuhan yang anggapan mereka adalah lelaki yang memerlukan wanita-wanita. Sehingga ke hari ini tahap wanita masih lagi sebagai ikon seks mereka dan sebagai agen pengiklanan untuk mempromosi barangan yang diletakkan nilai dan harta seumpama barangan semata. Ianya masih lagi pemilikan kepada individu tetapi dalam bungkusan envelope moden.

Dalam Islam bebanan Ibu-bapa amat berat sehingga ibu-bapa mereka ini sebagai tanggung-jawab taklif terhadap mukmin keatas setiap batang tengkok si anak itu sendiri sehingga dosa penderhakaan itu hampir mencapai tahap syirik kepada Allah sebagaimana firman Allah Swt dalam surah al-Isra’ : 23
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Mengikut pandangan ulama, sudah cukup dikira derhaka jika dalam sehari ia tidak mendoakan kesejahteraan buat ibu-bapanya. Selayaknya seorang mukmin sentiasa mendoakan mereka setiap kali selepas sembahyang dengan doa yang ma’thur yang diajar oleh Rasulullah Saw. Itulah sebai-baik ‘wish’ dan ucapan buat ibu maupun bapa. Dengan apa yang diajar dan diucapkan oleh lidah yang mulia, iaitu Rasulullah Saw. Setiap hari 5 kali sehari semalam. Bukannya setahun sekali. Setiap kali bertemu dikucupnya tangan mereka maupun selepas tiap kali ada peluang. Bukannya tunggu hariraya sekali setahun. Sentiasalah berbuat baik kepada mereka dengan adab dan akhlak Islam. Tidak cukup sekadar sekeping kad dan setangkai bunga.

Rasulullah Saw bersabda:
قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى مِيقَاتِهَا قُلْتُ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Berkata Abdullah bin Mas’ud r.a: Aku bertanyakan rasulullah Saw. “ Ya Rasulullah. Apakah amalan yang afdhal? Sabda Baginda: “Sembahyang ketika waktunya”. Kemudian apa lagi. Jawab Baginda: “Berbuat baik kepada ibu-bapa”. Aku bertanya lagi, kemudia apa? Jawab Baginda: Jihad sabilillah. Riwayat Bukhari.
Tuntutan dalam memenuhi keperluan si ibu dilebihkan oleh Islam berbanding si ayah. Faktor kelemahan fizikal, usia dan betapa perlunya ia menerima kasih-sayang dan bantuan, apatah lagi di usia emas mereka. Sehingga Rasulullah Saw mensabdakan beberapa potong hadis. Antaranya:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ
Daripada Abu Hurayrah r.a berkata: Telah datang seorang lelaki dan bertanya. Ya Rasulullah siapakah orang yang lebih berhak untuk aku santuninya dengan terbaik? Rasulullah bersabda : ibu kamu, kemudian siapa? Sabda Baginda : ibu kamu, kemudian siapa? Bersabda Rasulullah : ibu kamu, kemudian siapa? Ayah kamu. Riwayat Bukhari

Ianya dikuatkan dengan firman Allah dalam surah Luqman ayat: 14

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).

Hadis riwayat ibn Majah pula menyebut tentang seorang lelaki yang acapkali bertanyakan soalan untuk keluar berjihad tetapi disuruh oleh baginda menjaga ibunya itu lebih afdhal.
عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ جَاهِمَةَ السُّلَمِيِّ قَالَ : أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ أَرَدْتُ الْجِهَادَ مَعَكَ أَبْتَغِي بِذَلِكَ وَجْهَ اللَّهِ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ قَالَ وَيْحَكَ أَحَيَّةٌ أُمُّكَ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ ارْجِعْ فَبَرَّهَا
Daripada Muawiyyah bin Jahimah al-Sulami berkata: Aku mendatangi Rasulullah Saw dan berkata: Ya Rasulullah. Aku ingin keluar berjihad bersama kamu untuk mencari keredhaan Allah dan Hari Akhirat. Sabda Baginda: Adakah ibu kamu masih hidup?. Jawabku: Ya. Sabda Baginda: Pulanglah dan jagalah ibumu sebai-baiknya.
Kita juga tahu akibat daripada tingkah laku sebaliknya. Bagaimana fitnah yang dihadapi oleh Juraij akibat tidak menyahut panggilan ibunya ketiaka beliau melakukan solat-solat sunatnya. Apa yang ditimpakan terhadap Alaqamah yang tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah ketika hampir matinya akibat ia mendahulukan isteri daripada ibunya. Kecualilah jika ibunya mendorong dan menyuruh kepada kekufuran atau kemaksiatan. Apabila bertembung taat makhluk dengan Allah ketahuilah bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul itu adalah mutlak. Seperti apa yang diriwayatkan dalam Hadis Muslim kisah Saad bersama ibunya yang mengadu kepada Rasulullah Saw yang cuba memaksanya meninggalkan Islam dan meninggalkan Rasulullah Saw. Ia mengugut untuk tidak makan dan minum sehingga mati kecuali jika Saad murtad. Allah Swt menurunkan firmanNYa:
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, Kemudian Hanya kepada-Kulah kembalimu, Maka Kuberitakan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan. Surah Luqman: 15
Berdasarkan diatas, jika mereka seorang yang benar-benar beriman, nescaya tidak berlakunya kelompangan akhlak terhadap ibu-bapanya. Tidaklah ia menjadi masyarakat kurang ajar terhadap mereka yang melahirkannya kecualilah ibu-bapa mereka itu juga buruk akhlak dengan tuhannya atau buruk akhlak dengan datuk dan nenek mereka. Nescaya kemana ditumpahkan kuah kalau tidak ke nasi. Di harapkan tidak lagi terjadi kecelaruan umat Islam yang teraba-raba seperti sibuta kehilangan tongkat. Ikut tercapai dek tangan meskipun kayu berduri dan berbisa. Ingatlah kita ada al-Quran serta Hadis sebagai rujukan. Cukuplah Islam sebagai ubat dan penawar kepada ummah. Selagi tak kembali kepada panduan suci itu, selagi itulah umat Islam tidak lepas daripada penyakit serta virus yang diciptakan itu.
Habis bagaimana dengan sambutan ‘Hari Ibu’ yang disambut kini. Setengah ulama  ada yang membid’ahkan sambutan tersebut kerana setiap hari raya yang bertentangan dengan hari raya yang disyariatkan adalah bid’ah dan tidak dikenal pada masa salafushalih. Apatah lagi pencetusnya bukan kaum muslimin, sehingga di dalamnya ada bid’ah menyerupai musuh-musuh Allah. Hari raya-hari raya yang disyariatkan sangat dikenal oleh pemeluk Islam, yaitu Idul Fitri dan Idul Adha, serta Idul Usbu’ (hari Jum’at). Dalam Islam tidak ada hari raya lain selain tiga hari raya tersebut, maka setiap hari raya yang diadakan di luar tiga hari raya itu ditolak, bid’ah dan batil menurut syariat Allah, karena Nabi Saw bersabda:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Barang siapa yang mengadakan sesuatu amalan baru dalam urusan (ibadah) kami yang bukan daripadanya (Nabi) maka ia tertolak.” (HR Muttafaqun alaihi).
Memandangkan masyarakat hari ini yang terjebak jauh dalam pengamalan-pengamalan Yahudi dan Nasara, yang bukan sekadar sejengkal bahkan sudah berada dalam lubang biawak mereka. Di harapkan umat Islam mengambil pelbagai pendekatan untuk memberi penjelasan serta mengislamisaikan pengamalan hari ini agar selari dengan tuntutan Islam. Gunakan majlis serta atur-cara yang ada untuk berdakwah serta menyampaikan konsep dan pandangan Islam agar mereka dapat membezakan antara susur galur Islam dan lainnya.
Kita perlu menjelaskan kembali status ibu dalam al-Quran. Peranan mereka dalam melahirkan generasi spesisi manusia ini. Hatta melahirkan para nabi, sahabat dan ulama. Bermula dengan Ibu manusia iaitu Hawa maupun Ibu Nabi Musa a.s, Maryam sebagai ibu Nabi Isa, Isteri Imran, Hajar dan Sarah, maupun Aminah, ibu Rasulullah dan isteri-isteri Rasulullah Saw. Para sohabiah yang berjuang bersama baginda. Bukan sekadar kisah tetapi tautan aqidah, syariah serta akhlak dan siri-siri perjuangan mereka dalam menegakkan Islam. Silih-gantikan dengan coretan dan kisah ibu-ibu dan wanita derhaka sebagai iktibar dan pengajaran seperti isteri nabi Noh, Isteri nabi Lut maupun isteri Abu lahab. Hidup mereka yang sentiasa merintangi syariah dan perjuangan Islam bahkan yang berada di barisan hadapan sebagai penentang kebenaran dan penegak kejahatan.
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ
Para mukmin lelaki dan mukminah perempuan sebagai pemimpin antara mereka
Mereka adalah kepimpinan yang sentiasa bahu membahu sesama mukmin untuk berkerja dan berjihad dijalan Allah. Bekerja untuk berdakwah kepada masyarakat agar kembali kepada Islam yang syumul yang telah lengkap segala-galanya dan tak terkurang walau satupun. Bukan ianya sekadar teori tetapi realiti dan praktikal dan telah terbukti kehebatannya semenjak 14 abad yang lalu.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan sakiti Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Mei 10, 2010

Oleh SYEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI

 

SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.

Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” (Riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu’ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud“. Ibnu ‘Abbas r.a, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An’aam:131, al-Syu’araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.

Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An’aam : 74). Ada juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn ‘Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta’dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-‘Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum’ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Penulis ialah Ali Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Judi tetap haram walaupun berlesen

Posted by epondok di Mei 10, 2010

Oleh Zainul Rijal

Cadangan Timbalan Menteri benar pertaruhan Piala Dunia cemari imej negara Islam

JIKA minggu lalu saya mengupas cadangan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara supaya bapa kepada bayi yang dibuang dikenakan hukuman ‘kasi’ bagi mengajar lelaki terbabit supaya bertanggungjawab, minggu ini saya mengupas mengenai pertaruhan haram.

Dilaporkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala Dunia, awal Jun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata keputusan mengenainya akan diumumkan sebelum kejohanan Piala Dunia bermula. Beliau mengakui sudah ada pihak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen pertaruhan.
Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, pertaruhan haram tetap dijalankan tanpa pemantauan pihak berkuasa. Awang Adek juga dilaporkan berkata, dengan pengawalan kerajaan aktiviti pertaruhan dapat dilakukan lebih teratur dan pada masa sama kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan pelbagai sukan di negara ini.

Saya bimbang dengan cadangan sebegini apatah lagi ia datang daripada seorang Timbalan Menteri beragama Islam. Jelaslah cadangan ini langsung tidak mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan malah meminggirkan jati diri kebangsaan bagi rakyat Malaysia yang berteraskan kepada Agama Persekutuan itu.

Rasional pertimbangan kerajaan dalam meluluskan lesen pertaruhan sebegini amat dibimbangi dan tidak bersandarkan kepada kehendak masyarakat Islam arus perdana. Akan muncul suatu ketika nanti sebahagian masyarakat ketagih berjudi sehingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi tabiat buruk mereka itu. Tidak kurang juga nanti sesetengah golongan menjadi muflis kerana kalah judi.
Menghalalkan perkara yang jelas haram termasuk dalam kategori mengubah hukum Allah walaupun dengan pengeluaran lesen. Walaupun ada kemungkinan lesen yang akan dikeluarkan itu dikenakan syarat bahawa orang Islam tidak dibenarkan berjudi tetapi dasar negara hendaklah digarap dengan mengambil kira kedudukan agama Islam dan sumpah Yang Di-Pertuan Agong mempertahankan Islam pada setiap masa.

Cukuplah dengan pusat perjudian yang wujud di negara ini dan dua pusat perjudian di negara jiran yang baru dibuka. Jangan ditambah lagi dengan lesen perjudian lain. Sedangkan perjudian yang dilesenkan sekarang pun tidak dapat dipastikan sama ada berjaya dijauhi umat Islam, apatah lagi pertaruhan yang berselindung di bawah nama sukan seperti kejohanan bola sepak Piala Dunia ini.

Seharusnya, jika Timbalan Menteri itu sudah mengakui kegagalan kementerian membanteras perjudian haram, segala usaha patut ditumpukan ke arah melipatgandakan program membanteras pertaruhan dan perjudian haram.

Bukan dengan memberi lebih banyak lesen perjudian yang akhirnya akan menambahkan lagi implikasi negatif kepada negara. Saya merasa pelik dengan pendekatan diambil Timbalan Menteri itu berkaitan isu ini. Apakah semata-mata ingin mengaut cukai dan pendapatan yang lebih, pihak kerajaan rela wang haram digunakan bagi pembangunan masyarakat dan negara?

Berjudi bukan amalan yang sihat. Ia menjadikan seseorang ketagih judi, membuang masa, mengabaikan keluarga serta punca kepada gejala sosial dan jenayah setempat. Masyarakat akan menjadi terumbang-ambing jika lesen perjudian diberikan secara berleluasa.

Oleh itu, cadangan sebegini sudah tentunya tidak dialu-alukan masyarakat Islam. Bukan itu saja, ia pasti mencemarkan imej negara yang terkenal sebagai model Negara Islam kepada dunia.

Perjudian yang diberi lesen dan perjudian tidak mendapat lesen – kedua-duanya haram di sisi Islam. Umat Islam tidak harus terpedaya dengan pengeluaran lesen ini. Jika dikatakan lesen diberikan kepada orang bukan Islam saja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh orang Islam.

Apabila ia menjadi budaya, orang ramai akan gagal melihat betapa hina dan jelek perjudian itu. Mungkin sesetengah pihak akan melihat perjudian sebagai norma masyarakat. Apabila perkara sedemikian berlaku, maka orang ramai tidak lagi berasa segan silu untuk berjudi atau bertaruh.

Cukuplah dengan ketidakseimbangan sosiobudaya dan masyarakat sekarang. Ia akan menjadi lebih punah jika institusi keluarga dan masyarakat pula dirobek dengan kesan perjudian. Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula pertimbangan mengeluarkan lesen pertaruhan baru ini. Walaupun mungkin kerajaan memperoleh pendapatan yang lebih, ia hanya akan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi saya, perjudian harus dibanteras hingga ke akar umbi bukan diberikan lesen bagi menghalalkan operasinya. Sekali lagi saya merayu kerajaan mengkaji semula pertimbangan memberikan lesen bagi pertaruhan atau perjudian ini. Tidak ada faedah seseorang itu berjudi. Adalah lebih baik baginya membuat kerja halal dan mendapat manfaat daripada usaha dan titik peluh sendiri. Tiada jalan pintas untuk kaya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Terima kasih atas jasa ibubapa

Posted by epondok di Mei 10, 2010

Oleh Abdurrahamn Haqqi

Rasulullah beri peringatan keras terhadap individu abai tanggungjawab kepada orang tua

ANDA mungkin tahu sebuah hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan Imam al-Syafie dan Abu Daud bermaksud yang mana baginda pernah berkata kepada seseorang: “Kamu dan hartamu adalah milik ayahmu.”

//

Namun bagaimanakah jalur ceritanya sehingga baginda berkata demikian? Sungguh mengharukan. Mari kita lihat dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam al-Tabrani dalam dua buah kitabnya al-Jami’ al-Saghir dan al-Ausath daripada Jabir ibn Abdullah.

Jabir meriwayatkan, seorang lelaki datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku ingin mengambil hartaku….” Dan perintah baginda: “Pergilah kamu membawa ayahmu ke sini.” Pada masa sama malaikat Jibril AS turun menyampaikan salam dan pesan Allah kepada baginda. Jibril berkata: “Wahai Muhammad, Allah Azza wa Jalla mengucapkan salam kepadamu, dan berpesan kepadamu, kalau orang tua itu datang, engkau harus menanyakan kepadanya apa-apa yang dikatakan dalam hatinya dan tidak didengar oleh telinganya.

Ketika orang tua itu tiba, maka Nabi pun bertanya kepadanya: “Mengapa anakmu mengadu mengenai kamu? Apakah benar engkau ingin mengambil wangnya?” Lelaki tua itu menjawab: “Tanyakan saja kepadanya, wahai Rasulullah, bukankah saya menafkahkan wang itu untuk beberapa orang ibu saudara sebelah ayahnya dan pihak ibunya, atau untuk keperluan saya sendiri?”

Rasulullah bersabda lagi: “Lupakanlah perkara itu. Sekarang ceritakan kepadaku apa yang engkau katakan di dalam hatimu dan tidak pernah didengar oleh telingamu!” Maka wajah kerepot lelaki itu tiba-tiba menjadi cerah dan nampak bahagia, dia berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, dengan ini Allah SWT berkenan menambah kuat keimananku dengan kerasulanmu. Memang saya pernah menangisi nasib malangku dan telingaku tak pernah mendengarnya …”

Nabi mendesak: “Katakanlah, aku ingin mendengarnya.” Orang tua itu berkata dengan sedih dan air mata yang berlinangan: “Saya mengatakan kepadanya kata-kata ini: “Aku mengasuh kamu sejak bayi dan memelihara kamu waktu muda. Semua hasil jerih perih kau minum dan kau teguk puas. Bila kau sakit pada malam hari, hatiku gundah dan gelisah, lantaran sakit dan deritamu, aku tak dapat tidur dan resah, bagai akulah yang sakit, bukan kau yang menderita. Lalu air mataku berlinang dan meluncur deras. Hatiku takut engkau disambar maut, padahal aku tahu ajal pasti akan datang. Setelah engkau dewasa, dan mencapai apa yang kau cita-citakan, kau balas aku dengan kekerasan, kekasaran dan kekejaman, seolah-olah kaulah pemberi kenikmatan dan keutamaan. Sayang…, kau tak mampu penuhi hak ayahmu, kau perlakukan aku seperti jiran jauhmu. Engkau selalu menyalahkan dan membentakku seolah kebenaran selalu berada pada dirimu, seakan-akan kesejukan bagi orang yang benar sudah dipasrahkan.”
Selanjutnya Jabir berkata: “Pada saat itu Nabi langsung memegang hujung baju pada leher anak itu seraya berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu!”

Hak ibu bapa tidak pernah dipenuhi oleh anak mereka walau apa pun yang mereka lakukan apatah lagi hanya dengan meraikannya sehari dalam setahun. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqman: 14)

Sungguh agung hak ibu bapa kita sehingga ia disamakan dengan hak Allah SWT ke atas manusia yakni “bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” Apa yang menariknya lagi daripada ayat ini adalah peringatan mengenai kiamat selepas mengingatkan kita kepada hak orang tua iaitu kepada Allah SWT juga tempat kembali untuk menerima balasan.

Ini ditegaskan oleh baginda SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya mengenai peranan kedua-dua orang tua. Baginda lalu menjawab, “Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Dengan pengertian kalau anak berbuat baik kepada mereka, dia masuk syurga dan kalau bersikap derhaka kepada mereka, dia masuk neraka.

Malah satu peringatan keras sudah disampaikan baginda dalam hadis lain bermaksud: “Jangan mengabaikan (membenci dan menjauhi) orang tuamu. Barang siapa mengabaikan orang tuanya maka dia kafir.” (Hadis riwayat Muslim) ‘Kafir’ dalam hadis ini bermakna kufur nikmat, bukan kufur akidah.

Pengertian syukur adalah mengucapkan terima kasih dan memperlakukan pemberian sesuai dengan fungsinya. Oleh itu, tanda terima kasih kita kepada orang tua kita mesti dibuktikan dengan tujuan mereka melahirkan kita untuk membimbing kita menjadi anak yang salih dan sentiasa berbuat baik kepada mereka sebagai mana tersirat dalam firman Allah dalam Surah Maryam, ayat 12 hingga 14.

Ada lima sifat anak yang mesti dipupuk menurut ayat-ayat ini yakni ilmu, salih (takwa), berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak sombong serta derhaka. Menjiwai dan mengamalkan kelima-lima sifat ini adalah lebih mustahak daripada membawa kedua-dua ibu bapa kita ke hotel, restoran dan mana-mana tempat atau apa-apa cara keraian. Wallahu alam

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »