Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 7 Mei 2010

Umat Islam Norway tertindas

Posted by epondok di Mei 7, 2010

KUALA LUMPUR: Generasi kedua umat Islam di Norway kini bukan saja mengalami krisis identiti, malah menjadi mangsa prejudis dan penindasan di tempat kerja serta sekolah, kata seorang penyelidik dari negara itu.

“Semakin ramai umat Islam di Norway menjadi penganggur, menyandang jawatan dengan gaji lebih rendah dan berada dalam golongan miskin, manakala sesetengah yang lain pula menjadi mangsa penindasan kaum dan sikap prejudis serta dipandang rendah oleh majikan. Masalah ini juga dihadapi umat Islam di negara Eropah lain,” kata Nora Sunniva Eggen.

//

Eggen, felo penyelidikan PhD di University of Oslo dan sedang menyiapkan tesis tentang pandangan pemikiran Islam, berada di negara ini sebagai tetamu Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Beliau menyampaikan syarahan tentang Islam di Scandinavia, khususnya di Norway, anjuran IAIS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Eggen berkata, Norway membenarkan kebebasan beragama serta pembinaan masjid dan laungan azan bagi solat Jumaat, selain menyediakan dana bagi masyarakat Islam.

“Lawatan Raja Norway ke beberapa masjid tempatan baru-baru ini menjadi bukti jelas bahawa tidak wujud sentimen anti-Islam dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Norway, tetapi persoalan berkaitan identiti generasi kedua umat Islam di Norway tetap menjadi isu penting,” kata Eggen.

Beliau berkata, kerajaan negaranya perlu segera menangani masalah penindasan dan amalan berat sebelah yang dikenakan terhadap umat Islam dalam mencari pekerjaan.
Norway menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia, kebanyakannya untuk mencari pekerjaan dan melanjutkan pelajaran.

Masyarakat Islam di negara itu lebih diterima oleh masyarakat tempatan, berbanding di kebanyakan negara lain, katanya.

Eggen mencadangkan supaya kerajaan Norway menambah jumlah sekolah, kemudahan perbankan Islam, tanah perkuburan dan saluran pengedaran makanan halal bagi umat Islam di negara itu. – Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

CAP mahu motosikal 70cc dikembalikan

Posted by epondok di Mei 7, 2010

Kategori mangsa kemalangan jalan raya yang paling terjejas teruk di Malaysia ialah mereka yang berada dalam kumpulan berusia 16 hingga 25 tahun yang menunggang motosikal dan memandu kereta.

Mereka memerlukan paling banyak perhatian dan kefahaman yang lebih baik berhubung kesedaran keselamatan. Rancangan sedang dijalankan untuk mendidik mereka yang berada dalam kumpulan kategori ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pihak berkuasa terhadap usaha mereka ini tetapi menggesa pihak berkuasa untuk tidak berkompromi atau terlalu berlembut terhadap kumpulan ini.

CAP juga sebelum ini telah mencadangkan agar had usia 17 tahun dinaikkan kepada yang lebih tinggi sebelum seseorang itu layak untuk menunggang motosikal dengan kapasiti enjin maksimum 70cc sahaja.

Apabila penunggang mencapai usia 21 tahun barulah mereka layak untuk menduduki ujian bagi melayakkan mereka menunggang motosikal dengan kapasiti enjin yang lebih tinggi.

Motosikal dengan kapasiti enjin 70cc perlu diperkenalkan semula. Memandangkan remaja cenderung untuk memecut, had ini akan membataskan mereka. Perkara ini diamalkan di beberapa negara barat.

Langkah oleh pihak berkuasa pengangkutan jalan untuk mengurangkan bayaran bagi pelajar untuk mendapatkan lesen menunggang motosikal tidak akan membantu untuk mencegah kemalangan jalan raya.

Ini dilakukan dengan harapan remaja tidak akan menggunakan kenderaan ibu bapa mereka secara tidak sah.

Sebagai ganti lesen memandu seharusnya menjadi sukar untuk diperolehi. Pemandu yang sedang belajar perlu menjalani tempoh latihan yang lebih panjang sebelum mereka menduduki ujian memandu dan ujian memandu juga mestilah dibuat dengan lebih sukar.

CAP sekali lagi menggesa pihak berkuasa supaya bertindak tegas dengan penunggang dan pemandu muda, dengan meningkatkan had usia kelayakan untuk menunggang dan memandu, menghadkan mereka kepada kapasiti enjin yang lebih rendah dan menjadikan kesukaran untuk mendapatkan lesen.

//

 

Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »