Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Mei 2010

Undang Pitbull tempah bala Allah

Posted by epondok di Mei 5, 2010

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Kerajaan sepatutnya menyekat kedatangan ‘sindrom Pitbull’ ke negara ini kerana Islam mengharamkan budaya negatif, kata Exco Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM), Mohd Syahid Mohd Zaini.

Beliau berkata, sekiranya artis Pitbull dibenarkan juga, maka beliau tidak hairan dan terkejut jika jumlah bayi yang dibuang di Malaysia semakin bertambah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) mempersoalkan adakah kerajaan masih mahukan gejala membuang bayi dan gejala sosial semakin berterusan.

Ini, katanya kerana Pitbull adalah artis barat yang terkenal dengan muzik berunsur lucah, menggalakkan amalan seks bebas dan budaya penagihan dadah.

Mohd Syahid menyatakan demikian ketika mengulas mengenai kedatangan artis antarabangsa Pitbull yang diberitakan akan membuat persembahan di sebuah pusat peranginan tanah tinggi di Malaysia pada 15 Mei ini.

 “Kerajaan sepatutnya menyekat kedatangan ‘sindrom Pitbull’ ini ke negara ini,” tegasnya mengenai konsert secara terbuka itu yang ditaja oleh sebuah syarikat arak terkemuka.

Artis Pitbull juga dikatakan bukan sahaja mengadakan konsert terbuka tetapi melibatkan budaya muzik ‘house’ dan ‘techno’ yang memaparkan budaya arak, dadah, seks dan pergaulan bebas.

 “Kami selaku mahasiswa amat dukacita dengan hal ini dan tidak akan teragak-agak untuk membantah kedatangan Pitbull ke Malaysia.

“Kedatangan mereka akan menyebabkan gejala negatif semakin merebak ke dalam jiwa rakyat Malaysia,” tegas Nur Syakilaisma, pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Sesi 2010/2011.

“Adakah kerajaan masih tidak serik atau sudah tidak takut dengan bala bencana dan hukum Allah SWT,” soal Rohayu Rosli, siswi Tahun 1 Akademi Pengajian Islam UM.

Katanya, situasi itu jelas sekali akan mengundang kemarahan umat Islam kerana pengaruh baratlah yang banyak mempengaruhi anak-anak remaja Melayu Islam sekarang.

“Jika keadaan ini tidak dibendung, maka tidak hairanlah remaja sekarang bakal merosakkan nilai-nilai suci agama Islam itu sendiri,” ujar beliau.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tutup aurat bukan hanya bertudung

Posted by epondok di Mei 5, 2010

Oleh Fadly Samsudin

BERFESYEN kini dilihat satu kemestian. Ia begitu sinonim dengan golongan hawa. Memang menarik sekali apabila melihat seorang wanita tampil berjubah atau bertudung kepala dengan pelbagai rekaan menarik.

pix_middle

sebelum  –  selepas

Namun, bertudung bukan sekadar berfesyen, tetapi niat si pemakai adalah menutup aurat.

Islam tidak menetapkan syarat khusus etika berpakaian asalkan bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Siapakah yang mengharamkan (memakai) perhiasan dikeluarkanNya untuk hambaNya dan rezeki (makanan) yang baik-baik? Katakanlah: Semua itu untuk orang yang beriman ketika hidup di dunia dan khusus untuk mereka pada hari kiamat. Demikian Kami terangkan ayat itu untuk kaum yang mahu mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya yang diharamkan TuhanKu, hanya semua yang keji, baik zahir atau yang batin, maksiat dan melampaui batas tanpa kebenaran atau kamu sekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diberi keterangan kepadanya dan kamu katakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui”. (Surah al-A’raaf ayat 32 hingga 33).

Memakai perhiasan (pakaian yang baik dan bersih) sangat besar faedahnya untuk menjaga kesihatan manusia. Begitu juga menjaga kehormatan.

Memakai pakaian yang baik itu melahirkan nikmat Allah dan terima kasih kepada-Nya. Orang mukmin diberikan pahala menerusi niat atas pekerjaan baik itu.

Perhiasan menjadi tidak baik jika ia berlebih-lebihan, seolah-olah hidup hanya untuk tujuan berhias

Malah, tidak keterlaluan dikatakan melihatkan perkembangan fesyen semasa kini ia turut tempias kepada golongan lelaki yang semakin bijak bergaya.

Lelaki metroseksual. Itulah istilah yang digunakan bagi menggambarkan lelaki moden yang menjaga setiap inci penampilan mereka.

Namun, di sebalik perubahan yang dilihat menuju pemodenan adakah Islam melarang umatnya bergaya atau berfesyen?

Jika diteliti setiap orang pasti ingin tampil menarik apabila menghadiri majlis keraian seperti hariraya, perkahwinan, ke tempat kerja atau bersantai.

Islam memandang cara berpakaian mengikut gaya semasa diharuskan asalkan menutup aurat serta sopan, tidak terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh, bersederhana, dapat membezakan antara lelaki dan perempuan serta jangan nipis hingga menampakkan warna kulit atau bentuk badan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka merendahkan pandangan dan menjaga kehormatannya, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka tutupkan tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau anak mereka atau anak suami mereka atau saudara mereka atau anak saudara lelaki mereka atau anak saudara perempuan mereka atau perempuan Muslimat atau hamba sahayanya atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (syahwat) kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan. Janganlah kamu berjalan sambil menggoyangkan kaki supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (gelang kaki). Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan”. (Surah An-Nur ayat 31).

Nabi Muhammad ketika hayatnya suka pakaian berwarna putih terutama untuk solat Jumaat dan menghadiri majlis keramaian.

Ini kerana putih itu asal daripada segala warna lain selain dilihat suci dan bersih. Walaupun Nabi amat suka kepada pakaian berwarna putih, apabila hariraya Nabi memakai pakaian berwarna dan baru (bersih).

Dalam soal berpakaian Rasulullah sendiri bersifat terbuka dengan syarat ia tidak melanggar batas syariah.

Baginda memakai pakaian dari Yaman, Najran dan Mesir. Dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata, “Sesungguhnya Nabi Muhammad memakai jubah Rom- dalam sebahagian hadis disebut jubah Syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua-dua tangan bajunya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai).

Angin peralihan daripada pakaian tradisi seperti baju Melayu bagi lelaki manakala wanita dengan baju kurung dan kebaya yang lebih moden menghakis ciri menutup aurat seperti digariskan dalam Islam.

Dari awal lagi, Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fesyen selagi ia bertepatan dengan hukum agama.

Yang penting, pastikan pakaian itu daripada jenis kain tebal, tidak nipis, jarang atau terlalu ketat. Jika bertudung, pastikan penampilan kemas.

Elakkan terlalu selekeh, comot atau memakai pakaian sehingga berbau dan mengganggu orang lain terutama ketika bersolat.

Kaum wanita boleh memakai seluar jeans yang dipadankan dengan kemeja atau blaus, tetapi perlu memenuhi syarat.

Bagi lelaki, walaupun aurat mereka dari pusat ke lutut, tidak bermakna mereka boleh berpakaian sesuka hati.

Amalan berseluar pendek atau memakai pakaian koyak tidak sesuai dan melanggar peraturan menutup aurat.

Malah, jika seseorang mahu dilihat seorang yang zuhud sehingga mengenakan pakaian yang buruk, koyak serta kelihatan selekeh, ia turut dilarang.

Dari sudut psikologi, banyak kes rogol berpunca daripada cara berpakaian wanita yang terlalu menghairahkan dan seksi.

Jika wanita menjaga aurat, ia membendung nafsu yang tidak terarah itu.
Menurut Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Salam Muhamad Shukri, berkata Islam tidak pernah menetapkan kod pakaian terhadap umatnya.

“Namun, wanita perlu memilih pakaian yang menutup aurat,” katanya.

Abdul Salam berkata, wanita boleh bergaya dan berhias dalam keadaan tertentu, tetapi hanya untuk suaminya.

“Secara fitrahnya, manusia sukakan sesuatu yang cantik dan indah, tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan.

“Menjalani kehidupan sebagai orang Islam, kita sentiasa terikat dengan adab dan tingkah laku,” katanya.

Mengulas berkenaan fesyen dan gaya terkini terutama wanita yang bertudung tapi masih mendedahkan anggota tertentu seperti dada, beliau berkata ia tidak diiktiraf fesyen menutup aurat.

“Fesyen yang digayakan perlu mengikut tatacara dan adab yang menonjolkan wanita Muslimah iaitu menjaga auratnya.

“Seorang wanita itu tidak hanya menjaga maruah dirinya, malah ia membawa imej dan maruah wanita mukmin,” katanya.

Posted in Fokus Isu | 7 Comments »

Kristal milik keluarga Nabi Muhammad dilelong

Posted by epondok di Mei 5, 2010

PEMBURU harta karun, Luc Heymans memegang pisau bersalut emas bertulisan Arab yang ditemui di perairan Cirebon dan dilelong pada hari ini.

 


 

JAKARTA – Sebanyak 24 batu kristal berusia 1,000 tahun yang merupakan antara harta karun yang ditemui dari bangkai sebuah kapal karam di perairan utara Cirebon, Jawa Barat, Indonesia dipercayai milik keluarga Nabi Muhammad SAW pada zaman Dinasti Fatimiyah, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Menurut Ketua Pengarah PT Paradigma Putra Sejahtera, Adi Agung Tirtamarta, batu tersebut akan dilelong pada hari ini bersama semua harta karun itu.

“Di dunia, cuma terdapat 40 batu kristal. Harta karun yang ditemui di Cirebon itu cuma mempunyai 24 batu kristal,” kata Adi yang menyewa sebuah kandang kuda di Pamulang untuk dijadikan tempat simpanan harta karun itu yang ditemui oleh sekumpulan nelayan Indonesia pada 2004.

Syarikat milik Adi itu mengendalikan lelongan harta karun itu secara pukal dan tidak satu persatu.

Harga minimum lelongan itu ialah AS$80 juta (RM254.8 juta).

Adi berkata, batu kristal itu dipercayai berasal dari Dinasti Fatimiyah yang merupakan keturunan keluarga anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Siti Fatimah dan suaminya, Ali bin Abi Talib.

Siti Fatimah merupakan puteri bongsu Nabi Muhammad bersama isteri pertama baginda, Siti Khadijah.

Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.

Namun, seorang pegawai di Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia, Sudirman Saad berkata, pada Isnin lalu tidak ada seorang pun pembida yang telah membayar deposit sebanyak AS$16 juta (RM51.41 juta) atau 20 peratus daripada harga lelongan minimum.

“Terdapat 20 orang yang berminat untuk menyertai lelongan itu termasuk dari luar negara.

“Pembida yang berminat itu datang dari Singapura, Beijing, Hong Kong, Malaysia dan Jepun,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, tidak ada pembida yang meletakkan wang deposit tetapi lelongan itu akan tetap diadakan pada hari ini.

“Jika tidak ada pembeli, lelongan itu akan diadakan buat kali kedua,” katanya.

Pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus hasil lelongan manakala bakinya akan dibahagikan di antara pihak yang terlibat menemuinya termasuk pemburu harta karun, Luc Heymans. – Agensi

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Masjid dibakar pendatang Yahudi?

Posted by epondok di Mei 5, 2010

Penduduk Palestin dan tentera Israel berkumpul di hadapan sebuah masjid di kampung Lubban ash-Sharqiya, selatan Nablus di Tebing Barat yang dibakar dipercayai dilakukan oleh pendatang haram Yahudi, semalam. – AFP

 

RAMALLAH 4 Mei – Sebuah masjid di sebuah perkampungan di Tebing Barat Palestin rosak dalam satu kebakaran hari ini yang didakwa oleh pegawai masjid dilakukan oleh pendatang Yahudi.

Serangan terbaru itu, mungkin boleh menjadi penghalang usaha menyambung semula rundingan damai di Asia Barat.

Menurut tentera Israel, mereka sedang memeriksa laporan kebakaran di kampung Libban al-Sharqia berhampiran bandar Nablus itu.

“Kami melihat berlaku kebakaran di masjid itu sebelum solat subuh dan ia mengambil masa selama setengah jam untuk memadamkan kebakaran.

“Kesemua bahagian masjid itu telah terbakar,” kata pegawai masjid, Majed Daraghmeh kepada Reuters.

Menurut Majed, dia tidak nampak kehadiran pendatang Yahudi tetapi menyalahkan mereka kerana dalam beberapa insiden awal, tanaman dan pokok zaitun di kampung itu telah dimusnahkan.

“Saya tidak melihat pendatang Yahudi, tetapi saya pasti ini kerja mereka kerana mereka sering melakukan serangan ke atas perkampungan ini, sebelum ini,” kata Majed.

Pendatang haram Yahudi yang tinggal berhampiran Nablus menganggap tanah yang dijajah oleh Israel itu pada perang 1967 adalah tamah suci mereka.

Ini merupakan insiden terbaru yang didakwa dilakukan oleh pendatang Yahudi dan berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha keras menjayakan inisiatifnya sebagai pengantara dalam rundingan damai tidak langsung antara Israel dan Palestin. – Reuters

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »