Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perkahwinan tidak ikut syarak dorong perceraian

Posted by epondok di Mei 1, 2010


Oleh Mohammad Isa

Pernikahan mesti patuhi lunas syariat, undang-undang negara elak masalah kemudian hari

PERKAHWINAN adalah suatu ibadah murni yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Hikmah sesebuah perkahwinan adalah sangat besar dan banyak manfaatnya. Selain menunaikan perintah Allah dan mengikut sunnah Rasulullah, ia adalah saluran sah dan suci untuk mengembangkan zuriat keturunan.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa perkahwinan adalah ibadah yang sangat terpuji dan mempunyai banyak hikmah. Justeru, majlis perkahwinan mestilah dikendalikan mengikut lunas-lunas syarak. Lazimnya masalah berlaku apabila sesuatu perkahwinan yang berlangsung tidak menepati apa yang digariskan oleh syariat yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Malah, dalam keadaan tertentu boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana berkahwin dengan tidak mengikut saluran undang-undang. Tanpa kita sedari atau tidak, wujud kesalahan berkaitan perkahwinan yang sengaja dilakukan oleh masyarakat masa kini sehingga ada perkahwinan yang dijalankan memberi kesan kepada kesahan sesuatu perkahwinan sekiranya pernikahan itu tidak memenuhi rukun serta syarat digariskan hukum syarak.

Sebagai contoh seseorang yang berkahwin lagi satu tanpa mendapat kebenaran mahkamah serta seseorang yang menikahkan anaknya yang masih di bawah umur dengan alasan bahawa syarat rukun pernikahan sudah dipenuhi sedangkan wujud undang-undang yang mengatur peraturan tertentu yang mereka pandang remeh.

Hakikatnya di dalam akta mahupun Enakmen Undang-Undang Keluarga setiap negeri, ada memperuntukkan kesalahan membabitkan perkahwinan serta menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tertentu.

Sekiranya kita merujuk kepada peruntukan undang-undang sebagai misalnya, Seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya seseorang itu mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan tanpa ada kebenaran berkahwin.
Keadaan ini berlaku apabila seseorang itu sama ada imam jurunikah tanpa mengira imam itu mempunyai tauliah atau tidak atau bapa kepada wanita yang hendak dikahwinkan atau sesiapa saja yang menjalankan sesuatu pernikahan atau menjalankan upacara perkahwinan. Perbuatan itu adalah tanpa kebenaran undang-undang dan menjadi kesalahan yang perlu dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan ini dikira sebagai kesalahan di dalam dua keadaan. Keadaan pertama adalah sekiranya akad nikah itu dijalankan di hadapan imam jurunikah terbabit tanpa kehadiran dua saksi yang boleh dipercayai dan dua saksi itu hendaklah tidak termasuk orang yang mengakadnikah itu.

Ini bermakna sesuatu perkahwinan itu mesti dihadiri dua saksi yang boleh dipercayai dan sesuatu pernikahan itu tidak boleh dijalankan tanpa kehadiran dua saksi kerana dua saksi adalah rukun kepada perkahwinan selain daripada suami isteri, wali serta ijab kabul.

Keadaan kedua pula adalah apabila akad nikah itu dijalankan tanpa kebenaran jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin dalam Negeri Selangor. Persoalannya apakah yang dimasukkan dengan tanpa kebenaran itu?

Dimaksudkan dengan tanpa kebenaran itu adalah apabila sesuatu perkahwinan dijalankan tanpa mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (Pendaftar). Dimaksudkan dengan kebenaran adalah di dalam keadaan pendaftar berpuas hati bahawa sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu dari segi rukunnya serta di dalam keadaan seseorang lelaki itu sudah berkahwin bahawa suatu kebenaran mahkamah untuk lelaki itu berpoligami, diberikan.

Sesuatu akad nikah dikira sebagai tidak mendapat kebenaran pendaftar sekiranya sesuatu kebenaran tidak diberikan jika pendaftar tidak berpuas hati dengan keadaan di atas. Selain itu juga suatu perkahwinan tidak dikira sebagai mendapat kebenaran di dalam keadaan antaranya jika suatu perkahwinan yang dicadangkan itu membabitkan pasangan bawah umur minimum untuk perkahwinan.

Di bawah umur minimum ini bagi lelaki adalah kurang daripada 18 tahun dan bagi perempuan kurang 16 tahun. Di dalam keadaan ini kebenaran hakim syarie diperlukan dan tanpa kebenaran hakim syarie ini, tiada kebenaran untuk berkahwin boleh diberikan. Rujukan kepada dan tindakan oleh hakim syarie ini juga diperlukan di dalam keadaan jika pihak perempuan tidak mempunyai wali daripada nasab mengikut hukum syarak.

Setiap perkahwinan ditetapkan syarat dan undang-undang yang perlu dipatuhi agar perkahwinan itu sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang. Oleh yang demikian, sesuatu perkahwinan tidak boleh berlawanan dengan Bahagian II ini yang menggariskan panduan bagi tujuan perkahwinan iaitu orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan, umur minimum untuk perkahwinan, pertalian yang melarang perkahwinan, orang dari agama lain, perkahwinan tak sah, perkahwinan seseorang perempuan dan lain-lain lagi.

Kini ramai pasangan mengambil jalan mudah dengan tidak ambil peduli akan kesan melakukan kesalahan berkaitan perkahwinan ini. Kita bukan saja mahukan perkahwinan yang bertepatan pada hukum syarak semata-mata tetapi juga perkahwinan mengikut undang-undang negara ini agar segala urusan akan dipermudahkan. Undang-undang perlu bagi mengatur hidup manusia agar kita tidak membuat suatu perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: