Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kepentingan wali dalam perkahwinan

Posted by epondok di April 29, 2010


Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

PERKAHWINAN adalah amanah Allah S.W.T yang dilaksanakan demi menambah zuriat di muka bumi ini. Bagi menyempurnakan amanah Allah itu, lima rukun ditetapkan dan wajib dipatuhi iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua orang saksi dan sighah ijab kabul.

Jika kekurangan satu daripada rukun itu, perkahwinan tidak sah. Antara isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah bidang kuasa wali.

Terdapat kes seperti kahwin lari, akad nikah dua kali, kahwin paksa, bapa tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan pemuda pilihan, bapa angkat bertindak sebagai wali kepada anak angkatnya dan sebagainya apabila semuanya berkisar mengenai kuasa wali.

Persoalan yang timbul ialah apakah bidang kuasa wali yang sebenarnya untuk menyempurna dan memuliakan amanah Allah itu.

Antara dalil yang menunjukkan amat mustahaknya wali ialah Firman Allah:
“Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan kamu dengan lelaki musyrik (kafir) hingga mereka beriman”. ( Al-Baqarah : 222)

Daripada hadith Nabi saw:

“Daripada Abi Musa r.a. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali”. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)

Hakim Mahkmah Tinggi Syariah Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus, ketika berceramah di Seminar Wali dan Perundangan anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan baru-baru ini, mengulas isu wali dalam Islam.

Kira-kira 400 peserta menghadiri ceramah itu.

Beliau berkata, dalam konteks perkahwinan Islam, ia tidak boleh diteruskan tanpa wali manakala status wali dengan bakal pengantin perempuan sangat penting.

Beliau berkata, antara syarat sah wali ialah Islam, baligh (sekurang-kurangnya berusia 15 tahun), berakal, lelaki (perempuan tidak sah menjadi wali) dan merdeka.

Jika pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali, ia akan dinikahkan menggunakan wali hakim. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Beliau berkata, jika bapa kandung masih ada dan menepati syarat sah nikah, perkahwinan boleh dilangsungkan tanpa masalah.

“Bagaimanapun, jika bapa kandung meninggal dunia, hak wali berpindah kepada datuk sebelah bapa atau moyangnya jika ada.

“Namun, ada umat Islam kurang memahami kedudukan wali, memilih abang kandung atau bapa saudara menjadi wali selepas bapa kandung meninggal dunia.

“Inilah yang perlu diperbetulkan kerana isu ini amat penting kerana ia membabitkan generasi masa depan dan bagi mereka yang kurang arif mengenai isu ini, rebutlah peluang dengan menghadiri seminar ini untuk mendapat maklumat tepat berkenaan wali ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman meminta pasangan yang ingin berkahwin jangan mengambil mudah soal wali kerana bimbang ikatan perkahwinan menjadi tidak sah.

Beliau berkata, jika perkahwinan tidak sah, seumur hidup pasangan itu bergelumang dengan dosa.

Sebagai contoh, katanya, jika bapa meninggal dunia dan anak perempuannya akan melangsungkan perkahwinan hak wali secara automatik berpindah kepada datuk lelakinya dan perkara ini yang kurang diberi pendedahan.

“Kebiasaannya kita hanya tahu wali itu digantikan dengan saudara kandung lelaki atau bapa saudara, tetapi ramai yang tidak tahu atau tidak mengambil berat isu hukum ini.

“Selepas datuk, jika moyang lelaki mereka masih hidup dan waras serta mencukupi syarat sebagai wali, dia lebih berhak dan bukan adik-beradik,’ katanya.

Beliau berkata, jika menggunakan wali dalam kalangan bapa saudara atau adik-beradik lelaki sedangkan datuk kepada bakal pengantin perempuan masih hidup, perkahwinan itu tidak sah di segi hukum syarak.

“Bakal pengantin perlu merujuk kepada pejabat kadi untuk menentukan kedudukan sebenar dan keputusan mengenai status perkahwinan mereka ditentukan mahkamah.

“Mahkamah Syariah berhak membubarkan perkahwinan itu dan pasangan terbabit akan dinikahkan semua mengikut peraturan yang ditetapkan hukum syarak,” katanya.

Imam Masjid Cherating, Mustafa Yusoff, 61, menyambut baik usaha Jaip mengadakan seminar mengenai wali bagi memberi kefahaman kepada umat Islam hak wali dalam perundangan Islam berkaitan perkahwinan.

“Kita tidak mahu ada kekeliruan timbul berhubung isu wali ini pada masa depan kerana ia akan menjejaskan sesebuah institusi perkahwinan,” katanya.

Satu Respons kepada “Kepentingan wali dalam perkahwinan”

  1. siti said

    salam…
    umtuk pengetahuan tuan, saya akan melansungkan perkahwinan pada bulan jun ini. saya ingin tanya pendapat tuan, apa tindakan yang perlu saya ambil sedangkan saya tahu bapa saya yang akan menjadi wali saya terjebak dlm perjudian dan jarang-jarang menunaikan sembahyang lima waktu…adakah saya perlu menggunakan abang saya sebagai wali? dan apakah ciri2 menjadi saksi?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: