Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 April 2010

Bahtera Nabi Nuh ditemui

Posted by epondok di April 28, 2010

PEGAWAI Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh.

 


 

HONG KONG – Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

“Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu,” kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Taati Allah ubat gelisah

Posted by epondok di April 28, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

INGAT ALLAH...amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu  yang bersih jiwanya.
INGAT ALLAH…amalan membaca al-Quran dapat melahirkan individu yang bersih jiwanya.

TENANG...hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama  serta kebesaran Allah.
TENANG…hati akan tenteram jika setiap masa berzikir memuji nama serta kebesaran Allah.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat Allah sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan Allah menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga Allah menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa.

Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan.

Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat Allah sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa.

Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan ‘songsang’ seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan Allah begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan Allah. Inilah ubat ketenangan.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra’d ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati Allah. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati Allah siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada Allah. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Baginda bersabda yang maksudnya: “Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”. (Hadis riwayat Al-Nasa’ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati Allah pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci” (Surah al-Baqarah ayat 222).

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, Allah sentiasa membantu. Firman Allah yang bermaksud: “Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Fathu ayat 4).

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman Allah yang bermaksud: “Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan Allah? Ingatlah, bahawasanya pertolongan Allah itu hampir tiba.” (Surah al-Baqarah ayat 214).

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana Allah mempunyai perancangan di sebaliknya.

Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, Allah menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata tiada cara lain ‘mengubati’ penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah Allah.

“Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada Allah s.w.t yang pasti mempunyai perancangan buat manusia.

“Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan,” katanya.

Zamihan berkata, manusia perlu ‘sibuk’ berurusan dengan Allah kerana Dia memberikan segala-galanya termasuk kesenangan.

“Dengan mengingati nama Allah, hukum serta qada dan qadar mampu menjadikan jiwa manusia lebih kuat dan tenang.

“Insya-Allah, dengan zikrullah hati akan sentiasa lapang. Jika Allah uji dengan kematian insan tersayang misalnya mereka perlu bersedia dan menerima takdir itu dengan hati terbuka. Daripada situ akan timbul sifat reda menerima ketentuan yang Allah janjikan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang berada dalam kekusutan perlu meleraikan dahulu masalah yang dihadapi dan tidak membiarkan kegelisahan itu menguasai fikiran.

“Reda dan pasrah terhadap ketetapan dan ketentuan Allah akan mententeramkan hati manusia daripada segala macam kegelisahan jiwa yang timbul.

“Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?” katanya.

Selain itu, Zamihan berkata orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan Allah s.w.t dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran Allah.

“Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan Allah di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.

“Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji Allah,” katanya.

Beliau berkata bebanan masalah tidak boleh disimpan dan ia perlu dibawa berbincang dengan mereka yang boleh menyelesaikannya.

“Kadangkala kesusahan hati seseorang tidak digambarkan melalui riak wajahnya kerana mereka dilihat bersahaja. Sebab itu mereka lebih selesa memendam perasaan. Namun, itu bukan cara terbaik bagi menyelesaikan masalah kerana dibimbangi ia akan memudaratkan diri sendiri.

“Elok rasanya kita meminta pandangan orang yang boleh dipercayai kemudian berbincang bagaimana masalah itu boleh diselesaikan,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tidur ubat paling mujarab

Posted by epondok di April 28, 2010

Oleh NURUL IZZA ROSLY


 

“SAYA pernah hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu pulang ke kampung kerana mengantuk.

“Saya juga kerap bermimpi seperti lemas dan tiba-tiba terbangun,” ujar Zulfikar Ali Bhatto Mohd. Sidik menceritakan masalah mengantuk yang dihadapinya.

Pada awalnya dia menyangka fenomena itu disebabkan dia kurang vitamin dan tidal bersenam. Namun, pemeriksaan doktor mendapati Zulfikar Ali menghidap sleep apnea (nafas terhenti ketika tidur) hingga kualiti tidurnya berada pada paras 30 peratus sahaja.

Dia sering terjaga secara tiba-tiba disebabkan otaknya telah memberikan signal supaya bangun. Jika tidak, keadaan itu boleh menyebabkan maut kerana nafas berhenti untuk tempoh yang lama.

Bagi mengatasi masalah itu, doktor menasihatkan Zulfikar supaya menjalani pembedahan.

Namun, memandangkan Zulfikar mempunyai masalah tonsil, doktor menyarankannya menggunakan mesin tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 bagi membolehkannya mendapat tidur yang berkualiti.


 

Zul’Aida Zulkifli, 27, pula memberitahu dia baru sahaja mengalami gangguan tidur sejak bulan lalu kerana tekanan bekerja.

“Walaupun mengantuk, saya tidak boleh tidur. Pukul 5.30 pagi baru saya dapat melelapkan mata tetapi kemudian terpaksa bangun pada 7 pagi dan bersiap-siap ke tempat kerja.

“Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa sakit kepala selama satu jam sebaik bangun daripada tidur. Pernah juga terdetik untuk mengambil pil tidur bagi mengatasi masalah ini tapi khuatir ia akan mendatangkan kesan sampingan pada badan saya kelak” katanya.

Sepanjang berjaga, Zul’Aida menghabiskan masa dengan membaca buku, melayari Internet dan menonton televisyen.

Tidur merupakan satu-satunya waktu privasi untuk merehatkan badan dan minda. Ia juga satu keperluan asas biologi manusia.

Seseorang yang tidak mempunyai waktu tidur yang men cukupi cenderung untuk mengantuk.

Mengantuk bukan sahaja terjadi berikutan waktu tidur tidak mencukupi malah disebabkan gangguan tidur yang dialami oleh seseorang individu.

“Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.

“Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena,” kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Lebih segar

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.

Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.

SLEEP apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur.


 

Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

“Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

“Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tidur tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Kemalangan

Adakah kemalangan yang berlaku pada dinihari di lebuh raya berpunca daripada mengantuk?

“Pemandu mengantuk adalah salah satu faktornya selain keadaan lebuh raya yang lurus agak membosankan sehingga pemandu memandu sambil lewa.

RAWATAN tradisional akupuntur boleh dicuba bagi mengatasi masalah tidur.


 

“Sebaiknya jika seseorang mahu memandu jauh pada waktu dinihari, sebaiknya latih diri seminggu lebih awal supaya tubuh dapat menyesuaikan keadaan,” jelasnya kopi dan mengunyah gula-gula tidak membantu seseorang mengatasi rasa mengantuk.

Penawar terbaik untuk hilang mengantuk ialah tidur selain mendapat rehat yang mencukupi. Akibat tidak cukup tidur seseorang akan cepat letih, cepat marah, mengantuk dan kurang konsisten manakala pengeluaran hormon stres dan steroid semula jadi meningkat.

Seseorang yang mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

“Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

“Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang,” katanya.


MENGANTUK sering dikaitkan sebagai punca kemalangan.


 

Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

“Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

“Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi,” katanya.

Kegagalan organ

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.


 

Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

“Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

“Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.

“Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu,” jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »