Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 April 2010

Ramai peminum arak sakit urat saraf, gila

Posted by epondok di April 26, 2010

Oleh Wan Marzuki

Perjuangan melawan hawa nafsu kekang tabiat mabuk perlu ketahanan

ISLAM mengharamkan arak sejak 14 abad lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar.

Ada juga di kalangan segelintir Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda: ‘Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit.’ (Riwayat Muslim).

Berbicara mengenai arak, kata Aisyah, isteri Rasulullah yang dipetik oleh Imam Bukhori bermaksud: ‘Sekiranya al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab agar jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata; ‘tidak, kami tidak akan patuh’.

Al-Quran terus menyampaikan ke dalam hati mereka rasa takut dan kasih kepada Allah. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh, seksaan api neraka bagi yang ingkar sehingga hati mereka menjadi lembut, selepas itu mereka diperintahkan berhenti meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi dan mereka mematuhinya.” (Riwayat Bukhori).

Walaupun begitu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Orang Islam mula bertanya perihal arak seperti dinyatakan oleh al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 219 bermaksud: ‘Mereka bertanya kepadamu mengenai khamar dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Ayat ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada orang yang kuat iman dan beramal salih untuk terus meninggalkan arak dan judi. Bagaimanapun larangan ke atas arak tidak dinyatakan dengan jelas.

Perintah lain yang diturunkan adalah dalam peristiwa seorang sahabat bersolat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan besar ketika membaca ayat suci al-Quran. Peristiwa ini diceritakan al-Quran melalui surah an-Nisa’ ayat 43 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.”

Larangan ini sangat mustahak kerana tabiat mabuk diperkatakan buat kali pertama bersama sembahyang yang difardukan di waktu tertentu dalam masa sehari iaitu bermula solat subuh hingga Isyak. Ini menimbulkan konflik di antara perintah baru dengan adat resam orang Arab jahiliah yang meminum arak di awal pagi dan permulaan malam.

Perjuangan melawan hawa nafsu bagi mengekang tabiat meminum arak menagih kesabaran dan ketabahan oleh peminumnya. Pada peringkat awal untuk menghilangkan ketagihan arak peminum arak yang aktif mungkin terkena ‘sawan’ atau tabiat meracau yang berpanjangan.

Perintah akhir larangan meminum arak diturunkan dalam satu majlis jamuan yang diadakan di antara orang Muhajirin dan Ansar dengan arak menjadi salah satu bahan hidangan. Apabila ramai yang mabuk, mereka mula bermegah-megah dan kemudiannya bergaduh sesama sendiri dengan melontar ketulan tulang yang ada dalam hidangan makanan.

Apabila rasa mabuk sudah hilang, mereka mula menyesal, insaf dan berasa berdosa atas tindakan mereka itu. Pada waktu itulah, al-Quran menyatakan bahawa judi dan khamar adalah dilarang kepada semua umat Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud:

“Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum arak dan berjudi dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan solat; maka berhentilah kamu ) daripada melakukan perbuatan itu).”

Anas bin Malik disebut sebagai menyatakan: ‘Apabila khamar (arak) dilarang, orang Arab masih menyukainya dan ada yang amat berat untuk mematuhinya. Tetapi akhirnya mereka berjaya mematuhi perintah Allah dengan setiap peminum arak akan membawa arak di rumah masing-masing ke jalan raya dan membuangkannya. Jalan dan lorong di Madinah dipenuhi dengan bau arak sehingga beberapa hari.

Sejak peristiwa itu sehinggalah ke saat ini, orang Islam di seluruh dunia menjadi orang yang paling kurang berdepan masalah ketagihan arak. Sudah jelas, sesetengah jenayah yang berlaku dalam masyarakat di antara lain berpunca daripada gejala arak. Kajian ilmiah sama ada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukkan bahaya arak.

Al-Quran awal-awal lagi memberi ingatan seterusnya amaran bahawa mudarat arak lebih banyak daripada manfaatnya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhamad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Keburukan yang akan dirasai peminum arak adalah lebih besar daripada kebaikan dan manfaatnya, di antaranya:

  • Apabila diminum dengan banyak, arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam lain-lain bahagian tubuh manusia, terutama sekali jantung dan buah pinggang;
  • Meminum dengan banyaknya juga boleh menjadikan seseorang itu mendapat sesak nafas yang membawa kepada alat pernafasan terganggu;
  • Juga boleh menyebabkan kematian mengejut akibat kuat tekanan alkohol dalam arak itu kepada hati dan jantung, dan
  • Meminumnya ketika perut kosong atau sebelum makan pagi boleh menyebabkan berlakunya barah dalam perut.Profesor AJ Arberry pula mengatakan: “Peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat penyakit ahmar atau lumpuh. Selain itu seorang yang mabuk akibat arak akan hilang pertimbangan akalnya. Secara tidak sedar dia membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”

    Profesor Muhammad Farid Wejdi, penyusun Ensiklopedia Islam menjelaskan: “Tidak pernah manusia menerima pukulan paling hebat seperti pukulan arak. Orang yang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak. Jikalau dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan oleh arak.”

  • Advertisements

    Posted in Fokus Isu | 3 Comments »

    Suburkan budaya membaca

    Posted by epondok di April 26, 2010

    Oleh Mohd Shahrizal Nasir

    MEMBACA adalah amalan mulia dan dipandang tinggi dalam Islam kerana ia membentuk masyarakat berilmu yang membebaskan daripada lingkungan dunia kejahilan.

    Hal ini dijelaskan Allah apabila menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w mengenai kepentingan membaca. Firman Allah yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 1-5) Tanpa ilmu manusia dalam kegelapan dan menjadi mangsa tipu daya kehidupan dunia.
    Memang ada perbezaan antara orang yang menuntut ilmu dengan serius dan mencari ilmu untuk tujuan tertentu. Bagi mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, membaca menjadi satu tabiat yang sukar dipisahkan. Semakin banyak buku dibaca, terasa kurangnya ilmu diterokai.
    Hanya dengan ilmu pengetahuan manusia dapat mencipta kejayaan dan membentuk tamadun terbilang. Inilah yang ditunjukkan tokoh ilmuan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Al-Haitham, Al-Biruni dan Al-Khawarizmi. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah akan meninggikan martabat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11) Bagi memupuk semangat suka membaca dikalangan individu, peranan ibu bapa penting. Pelbagai kaedah boleh dilakukan seperti bagi menarik minat membaca seperti memberi hadiah berbentuk buku ilmiah yang ringan kepada anak-anak.
    Sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah boleh membina suasana membaca serta membudayakan ilmu yang lebih selesa dan kondusif. Pemilihan bahan bacaan berkualiti juga perlu dititik beratkan dalam proses membina identiti Muslim berilmu dan berakhlak mulia. Lambakan bahan bacaan di pasaran memerlukan ibu bapa bersikap lebih memilih bahan bacaan terbaik dalam proses menggalakkan anak-anak membaca. Kehebatan dunia teknologi pada zaman yang mencabar ini menjejaskan minat remaja memilih buku sebagai bahan bacaan utama. Kebanyakan mereka gemar terperap di hadapan komputer untuk melayari Internet atau berchatting berbanding membaca buku.
    Justeru, usaha kerajaan menganjurkan “Kempen Bulan Membaca” setiap tahun perlu dimanfaatkan rakyat negara ini.
    Dinyatakan di dalam kitab “Nashr Thoy at-Ta’rif” karangan Muhammad Abd Ar-Rahman bin Umar bin Muhammad bahawa Imam Syafi’e pernah berkata yang maksudnya: “Sesiapa yang hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu.” Keghairahan menerokai ilmu pengetahuan dan membaca bahan ilmiah jangan sesekali menjadi alasan kita meninggalkan al-Quran sebagai bahan bacaan seharian. Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas umpama hamparan lautan. Menjadi kewajipan kepada hamba-Nya untuk menimba seberapa banyak ilmu itu semata-mata untuk mengenali dan mendampingi Allah.
    Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahf, ayat 109)

    Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »