Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 April 2010

Pilih pemimpin berpandukan agama

Posted by epondok di April 25, 2010

Nilai kejujuran ibarat mutiara yang indah harus diamalkan dalam diri setiap insan

PEMIMPIN adalah suatu amanah yang harus diserahkan kepada seseorang yang ahli untuk memimpin. Kerana bila kepemimpinan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, akan mengalami kegagalan bahkan kerosakan serta kehancuran yang akan dialaminya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Merujuk hadis di atas, dapat difahamkan dengan jelas Islam menganjurkan, apabila memilih seorang pemimpin hendaknya harus diketahui kemampuan dan kejujurannya memimpin. Kejujuran sebagai kata lawan daripada kedustaan yang memang mudah untuk diucapkan, tetapi payah untuk dilaksanakan. Nilai kejujuran adalah ibarat mutiara yang indah harus diamalkan dalam diri setiap insan kerana kejujuran akan membawa kedamaian dan rasa aman dalam masyarakat. Ertinya, siapapun yang menjadi pemimpin yang mempunyai sifat jujur akan dapat melahirkan kedamaian dan rasa aman sejahtera.

Seorang pemimpin yang jujur pasti akan disayangi rakyat, kerana mereka menikmati rasa aman, damai, dan mendapatkan perlindungan daripada penindasan dan penganiayaan.

Sebaliknya pemimpin dusta akan dibenci dan dicemuh oleh rakyatnya, kerana mereka berasa tidak aman daripada penindasan dan ketidakadilan.
Mereka sentiasa menunggu pemimpin itu jatuh daripada kerusi kepemimpinannya.
Antara kriteria pemimpin yang terbaik itu ialah:

  • Mencintai rakyat dan dicintai rakyat. Seorang pemimpin yang baik akan dicintai oleh rakyatnya disebabkan perilakunya yang baik, bertanggungjawab dengan jabatannya sebagai pemimpin dan ia bekerja gigih dengan mencurahkan segenap tenaga serta fikirannya untuk mendatangkan kemaslahatan terhadap rakyatnya.Beliau sangat disayangi rakyat sehingga terjalin ikatan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pemimpin ialah yang kamu sayangi dan sayang pada kamu, dan kamu doakan mereka dan mereka mendoakan kamu.” (Hadis riwayat Muslim).

    Seterusnya, pemimpin yang baik itu akan didoakan oleh rakyatnya semoga ia sentiasa dilimpahkan Allah dengan rahmat dan pertolongan-Nya, kesihatan dan kekuatan dalam menjalankan tugasnya sebagai pemimpin yang penuh bertanggungjawab untuk kemaslahatan rakyatnya. Dengan demikian saling mendoakan kebaikan antara pemimpin dan rakyatnya.

  • Memiliki teladan (uswah hasanah) yang baik. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya sudah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).
  • Bersifat istiqamah (konsisten). Jika ada peraturan, undang-undang ditetapkan, maka harus dipatuhi bersama. Peraturan itu harus konsisten di laksanakan. Bagaimana rakyat boleh mematuhi kepada pemimpin atau undang-undang, kalau undang-undang yang dibuatnya itu sering diubah tanpa kompromi atau musyawarah dengan sesuka hatinya oleh yang berkuasa hanya untuk kepentingan kekuasaannya. Pemimpin yang baik selalu melaksanakan kejujuran dan istiqamah dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang yang dibuatnya
  • Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

    Ingat Allah hiburan golongan beriman

    Posted by epondok di April 25, 2010

    Oleh Zawawi Yusoh

    MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman.

    Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.
    Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.

    Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling.
    Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.
    Ada tiga kategori hiburan:

    i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.

    Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.

    Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang.”

    ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.

    Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.
    Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.
    Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.
    iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini.
    Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.
    Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.
    Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.

    Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.

    Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.

    Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

    Gambaran Qiamat di Eropah

    Posted by epondok di April 25, 2010

    Oleh Abdurrahman Haqqi

     

    Letusan Eyjafjallajokull di Iceland mengingatkan manusia kekuasaan Yang Maha Esa

    NAMANYA agak janggal dalam perbendaharaan bahasa kita, Eyjafjallajokull. Janggal daripada susunan huruf, sebutan ucapan dan penglihatan mata, tetapi susunan kata itulah yang menggusarkan negara Eropah dan berimbas ke seluruh dunia selama hampir dua minggu yang bermula pada 14 April lalu.

    Eyjafjallajokull nama gunung berapi di Iceland, utara Britain, yang menghamburkan debu setinggi 11 kilometer ke udara dan menghalang banyak penerbangan ke Eropah. Selama enam hari larangan itu, penerbangan dunia mengalami kerugian AS$1.7 bilion. Belum lagi kerugian lain dikaitkan dengan perkhidmatan penerbangan. Eyjafjallajokull satu nama daripada ribuan nama yang diberikan kepada ciptaan Allah SWT yang bernama gunung. Gunung adalah penyeimbang bumi di mana tanpanya bumi akan beroleng (bergerak) tidak tentu arah. Inilah satu fungsi gunung yang didedahkan al-Quran lebih 1,400 tahun lalu.

     

    KILAT terbentuk dalam asap letusan akibat geseran antara partikel di dalamnya.

     


    Al-Quran menyebutnya bermaksud: “Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya.” (Surah al-Naba: 7) Dalam ayat lain yang bermaksud: “Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapkannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu, dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” Surah al-Nahl: 15)

    Al-Quran menyebut gunung dengan dua perkataan bahasa Arab. Yang pertama kata jamak ‘jibal’ dan disebut sebanyak 33 kali, manakala kata tunggal ‘jabal’ disebut enam kali dan yang kedua kata ‘rawasi’ yang diulang sebanyak 10 kali.

    Menurut Rosihan dan Fadlullah, istilah jabal lebih bersifat umum, sedangkan rawasi kemungkinan dimaksudkan khusus untuk menyebutkan gunung yang berfungsi sebagai pasak bumi. Hal ini dikuatkan pula oleh makna dasar dari-pada kata berkenaan. Kata rawasi bermakna sesuatu yang dapat membuat benda yang bergoncang menjadi diam, dalam hal ini benda yang bergoncang adalah bumi.
    Penyebutan rawasi juga selalu didahului dengan kata alqa bererti ‘mencampakkan’, atau ‘meletakkan sesuatu yang belum ada sebelumnya di tempat itu.’ Makna ini bersesuaian dengan huraian ilmiah mengenai gunung. Gunung-ganang yang berada di batas lempeng (divergence mahupun convergence) sememangnya tidak muncul bersamaan dengan pembentukan daratan, melainkan harus melalui proses tektonik terlebih dulu.

    Penggunaan isim makrifat (al) yang mendahului kata ard dalam Surah Al-Nahl ayat 15. Isim (kata benda) ini menunjukkan pengkhususan, dalam hal ini pengkhususan bahagian tertentu daripada bumi. Ini bererti ‘gunung’ dimaksudkan dalam ayat berkenaan tidak terdapat di seluruh permukaan bumi, akan tetapi hanya pada wilayah tertentu. Wilayah berkenaan kemungkinan adalah batas-batas lempeng.

    Bahagian lain setelah kata rawasi dalam ayat ini adalah perkataan an tamiida bikum yang bermakna ‘supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu.’ Perkataan ini mungkin menunjukkan ‘gunung’ yang dibicarakan dalam ayat itu ialah gunung berada dekat dengan permukiman manusia, yakni gunung-gunung di batas lempeng konvergen. Gunung di bawah laut (batas lempeng divergen) mungkin tidak termasuk dalam ‘gunung’ yang dibicarakan ayat ini.

    Dalam al-Quran disebut gunung 49 kali mempunyai tujuan tertentu. Dengan bilangan sebanyak itu, sudah tentu gunung mempunyai kedudukan tersendiri dalam senarai makhluk ciptaan Allah. Kita boleh mengkategorikan pembahasan gunung dalam 49 ayat itu kepada pembahasan mengenai hakikat gunung sebagai kata kiasan; kepentingan sejarah manusia; tempat berlaku mukjizat; tempat berlindung manusia dan haiwan; penyeimbang bumi; keagungan penciptaan gunung, gambaran komposisi geologi; fakta bahawa gunung bergerak; supernatural dan nasib gunung pada hari kiamat.

    Dari segi sains, gunung berapi adalah suatu proses geologi yang membabitkan pembentukan daratan yang dijana daripada letusan menerusi permukaan planet dipanggil magma, batuan cair yang meleleh keluar dari bahagian dalam (interior) planet.

    Gunung berapi ada dalam beberapa bentuk sepanjang kitaran hayatnya. Gunung berapi yang aktif mungkin bertukar menjadi separuh aktif, menjadi pendam, sebelum akhirnya menjadi tidak aktif atau mati. Bagaimanapun, gunung berapi mampu menjadi pendam selama tempoh 610 tahun sebelum bertukar menjadi aktif semula. Oleh itu, sukar untuk menentukan keadaan sebenar sesuatu gunung berapi itu, sama ada sesebuah gunung berapi itu berada dalam tempoh pendam atau telah mati.

    Apabila gunung berapi meletus, magma yang terkandung di dalam kamar magma di bawah gunung berapi meletus keluar sebagai lahar atau lava. Selain daripada aliran lava, kemusnahan oleh gunung berapi disebabkan melalui pelbagai cara seperti aliran lava; letusan gunung berapi; aliran lumpur; abu; kebakaran hutan; gas beracun; gelombang tsunami; dan gempa bumi.

    Kejadian fenomena alam abu gunung Eyjafjallajokull sedikit sebanyak mengingatkan manusia mengenai kekuasaan Sang Maha Pencipta yang tidak ada tolak bandingnya. Dia boleh melakukan apa saja tanpa ada campur tangan dari sesiapa pun. Manusia sebagai makhluk ciptaannya hanya boleh menerimanya secara sukarela mahupun secara terpaksa demi kebaikan mereka.

    “Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?” (Surah al-Nahl: 17)

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »