Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 April 2010

Rayuan Derma Asrama Pondok Sungai Durian

Posted by epondok di April 24, 2010


PROPOSAL

PEMBINAAN ASRAMA PELAJAR (Lelaki)


Madrasah Muhammadiah

Pondok Sungai Durian 

18000 Kuala Krai 

Kelantan Darul Naim

e-mail: mmpsd@yahoo.com Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

 

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

261. Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (QS. 2:261)

The likeness of those who spend their wealth in Allah’s way is as the likeness of a grain growing seven ears with a hundred grains in every ear; and Allah multiplies for whom He pleases; and Allah is All-Embracing, All- Knowing.

 

“ Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaat dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (riwayat Muslim).

   

 PENGENALAN PONDOK SUNGAI DURIAN

Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian juga dikenali dengan Pondok Haji Abdul Rahman oleh penduduk setempat. Ia diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman (1923M-1988M) secara rasminya pada 4 Jun 1958 di Kg. Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.

Pada asalnya pondok ini mula beroperasi di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai, pada tahun 1957. Tetapi pada 1958 ianya terpaksa dipindahkan kerana lokasi tersebut tidak sesuai, lebih-lebih lagi dengan bertambahnya bilangan pelajar. Ianya dibina di atas sebidang tanah seluas 4 ekar kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai dengan jarak kira-kira 3 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 66 kilometer dari bandar Kota Bharu.

Kawasan yang dahulunya hanya 4 ekar, kini telah bertambah kepada 12 ekar hasil pembelian dari jiran-jiran sekitar pondok.

Sekembalinya Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman ke Rahmatullah, pentadbiran dan pengurusan pondok diteruskan oleh adiknya Haji Ismail dan isteri Almarhum, Ustazah Hajjah Fatimah binti Sheikh Daud bersama anak-anak Almarhum. Sehingga sekarang terdapat lebih kurang 250 orang pelajar lelaki dan perempuan serta 350 orang dewasa dan warga emas.

SISTEM PENGAJIAN

Pondok Sungai Durian merupakan salah satu pusat pengajian pondok yang menggabungkan di antara dua aliran iaitu secara tradisional dan moden. Kedua-dua aliran ini adalah cetusan pemikiran Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman sendiri, walaupun cara ini berbeza dari sistem pondok yang sedia ada. Tujuan Beliau ialah untuk mengatasi masalah pelajar disamping memaju dan memperbaharui pusat pengajian pondok. Sistem pondok trandisional merupakan sistem pengajian kitab-kitab silam oleh para ulama’ terkemuka sama ada dalam bahasa jawi dan arab manakala sistem sekolah (moden) pula menggabungkan sukatan Pondok Sungai Durian sendiri dengan sukatan Yayasan Islam Kelantan.

Secara umumnya, sistem pengajian di Pondok Sungai Durian terbahagi kepada 4 tahap mengikut tahap kemampuan pelajar iaitu:

1)  Kelas Rendah

2)  Kelas Peralihan

3)  Kelas Menengah

4)  Kelas Umum

INFRASTRUKTUR

Di antara kemudahan asas dan infrastruktur PSD ialah:

1.Masjid.

Masjid ini baru sahaja siap pembesaran dan pembinaan semulanya pada tahun 2008. Ia boleh menampung pada satu masa seramai 3,000 orang jemaah. Ia merupakan pusat ilmu dan tempat ibadat di PSD. Masjid tersebut juga menjadi tempat solat Jumaat bagi penduduk Mukim Sungai Durian dan sekitarnya.

2.Bangunan Madrasah (sekolah).

Terdapat dua buah bangunan sekolah tiga tingkat. Salah satunya untuk pelajar lelaki dan satu untuk pelajar perempuan.

3.Bangunan Madrasah lama

Bangunan ini telah dijadikan pejabat, perpustakaan dan dewan makan. Juga terdapat musalla lama sebagai tempat aktiviti pelajar.

4.Penempatan pelajar

Pelajar lelaki tinggal di pondok-pondok kecil dan beberapa buah rumah yang dijadikan asrama. 

Begitu juga pelajar perempuan, mereka ditempatkan di beberapa buah pondok serta beberapa buah rumah yang dijadikan asrama.

Manakala orang-orang tua pula mendiami pondok-pondok secara berkongsi atau sendirian.

KEWANGAN

PSD tidak mempunyai sumber pendapatan atau kewangan yang tetap sebagaimana pusat-pusat pengajian lain. Oleh itu derma ikhlas, bantuan dan sumbangan kewangan dari mana-mana pihak amatlah diperlukan bagi menguruskan pentadbiran pondok dengan lebih tersusun dan cekap lagi.

CADANGAN PROJEK

Membina sebuah asrama tiga tingkat yang melengkapi keperluan semasa dan memberi keselesaan kepada para pelajar. Ini kerana beberapa faktor berikut:

Memandangkan keadaan pondok-pondok yang sedia ada sudah uzur dan tidak teratur serta asrama yang ada pula tidak lengkap dan serba kekurangan.

Bilangan penempatan yang sedia ada tidak dapat menampung bilangan permintaan pelajar pada hari ini.

Kedudukannya yang berteraburan dan tidak tersusun, menyulitkan pihak pentadbiran / disiplin mengadakan kawalan disipilin ke atas pelajar

Kawalan dari sudut keselamatan.

Beberapa aktiviti berkala pada musim cuti untuk pelajar luar juga tidak dapat diadakan disebabkan faktor penempatan.

ANGGARAN KOS

 

Mengikut anggaran kos bagi pembinaan bangunan asrama 3 tingkat sepanjang 105 kaki. Jumlah keluasan keseluruhan ialah 11,133 kaki. (3,711 kaki x 3 tingkat).

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:

Sumbangan dan derma bolehlah disalurkan melalui akaun berikut:

Nama : Madrasah Muhammadiah


No. Akaun : 03-072-01-011983-9.


Bank : Bank Islam Malaysia Berhad (Kuala Krai)

Kerjasama dari semua pihak, kami didahului dengan ucapan terima kasih.

PENASIHAT PROJEK


Ustaz Haji Ahmed Shukri bin Haji Abdul Rahman


H/P: 019-6955960



PENGERUSI PROJEK


Ustaz Dr Haji Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman


H/P: 019-9441881


SETIAUSAHA PROJEK


Ustaz Haji Abdul Latiff bin Haji Abdul Rahman


H/P: 019-9565665


BENDAHARI PROJEK


Ustaz Haji Fakhrulrazi bin Haji Abdul Rahman


H/P: 013-9337257

  

LAKARAN PELAN



Posted in Pondok Sungai Durian | Leave a Comment »

Di mana kita ketika sambutan 62 tahun yahudi Israel

Posted by epondok di April 24, 2010

Oleh Ust. Saiful Bahri

Israel telah mengadakan perayaan sambutan negara Yahudi Israel ke-62. Semenjak itulah bermulanya agenda Zionis yang melakukan pelbagai kejahatan, pengkhianatan, pembunuhan dan kerosakan keatas bumi Palestine. Perebutan antara tiga agama akan berterusan sehingga ke hari kiamat.

Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Di tanah inilah saksi kepada jihad yang mengorbankan umat Islam bagi mengembalikan gah Palestine. Bagi Yahudi. Bumi tersebut merupakan “Tanah Yang Dijanjikan Tuhan” kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka dan bagi Nasara pula juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib.

Sejak zaman nabi Ibrahim lagi yang merupakan moyang kepada keturunan Bani Israel dan Bani Ismail telah mendiami Palestine. Meskipun mereka mendakwa Palestin sebagai tanah warisan Yahudi tetapi Allah sendiri menafikannya:-


مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Tidaklah nabi Ibrahim itu Yahudi dan bukannya juga Nasrani tetapi dia adalah orang yang lurus, bersih (dari syirik dan sesat) dan muslim (berserah diri kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik.. Surah al-Imran :67

Di zaman nabi Yusuf mereka berpindah ke Mesir dan menguasai pemerintahan. Setelah masa yang lama mereka melakukan pengkhianatan yang menyebabkan bangkitnya kuasa Qibti dan kemudiannya Firaun melakukan penindasan dan kezaliman terhadap mereka kembali. Allah memerintahkan supaya Nabi Musa membawa mereka kembali ke Palestine dan hanya berjaya memasukinya dizaman Talut. Kisah-kisah Nabi Daud dan Sulaiman yang silih berganti mempunyai sejarah tersendiri di bumi Palestine. Ia didiami oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin ditakluki oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar dari bumi Palestine maka tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.

Sejak dari itu, bumi Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang berpusat di Constantinople dan mengalami Kristianisasi. Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan Empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Seterusnya empayar Islam semakin berkembang, dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi ketika pemerintahan Umar al-Khattab. Palestin menjadi milik umat Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang dalam Perang Salib (Crusades) bagi merampas Palestine. Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Ia berterusan sehingga ke zaman Salahuddin Al Ayyubi yang menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibunegara Palestin berjaya ditawan kembali. Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah dan kemuncaknya kejayaan umat Islam menguasai kota Constantinople.

Teodore Herzl, pengasas kepada Jews State telah memulakan kempen mendapatkan Palestine. Hasrat itu terbuka apabila zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat. Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.

Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan diatas kubur Salahuddin – “hari ini, perang salib sudah berakhir”. Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.

Tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti – sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki. Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Akhirnya mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.

Britain mula berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948. Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden US ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan PBB lalu PBB (resolusi 181) mendeklarasi pengkhianatan terhadap Palestin dengan penyerahan 55% kepada orang Yahudi. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama – Chaim Weizmann dan perdana menterinya ialah David ben Gurion.

Perang Arab Israel 1948 menyebabkan 77% tanah Palestine terlepas kepada Yahudi dan selepas perang 6 hari Oktober 1967 menyebabkan Palestine hilang dari peta dunia. Baitul Maqdis, Tebing Barat, Gaza, Bukit Gholan dan Sinai di kuasai yahudi. Pada 17 September 1978, satu perjanjian iaitu Camp David telah diadakan antara Anwar sadat dan Menachem begin sebagai pengiktirafan Yahudi di Israel. Perjanjian untuk kepentingan ekonomi dan Mesir semata-mata itu merupakan pengkhianatan terhadap Palestine dan mendapat penentangan daripada negara-negara Arab sehingga Anwar Sadat sendiri dibunuh pada tahun 1981 oleh tenteranya sendiri.

Penentangan terhadap Yahudi tidak membawa kemana. PLO yang ditubuhkan semenjak 1964 dengan dasar nasionalisme tidak digeruni oleh Yahudi sehinggalah bangkitnya Intifadhah Islam pada tahun 1987. Mereka mula bimbang dan menekan serta memaksakan perjanjian Oslo tahun 13 Disember 1993 di Washington antara Yizark rabin dan Arafat. Selepas itu beberapa siri perjanjian demi perjanjian untuk keamanan Asia barat tetapi semuanya itu helah Yahudi dan Barat bagi mengambil secara total negara Palestine. Melebihi 87 perjanjian dan ketetapan diperingkat PBB tentang Palestine tetapi tiada apa-apa tindakan. Badan-badan seperti OIC dan Liga Arab hanya pentas untuk para pemimpin Islam bergambar dan berdeklarasi tetapi tanpa ada apa-apa tindakan. Mereka dikuasai sepenuhnya oleh Yahudi dan Amerika Syarikat.

Amat malang apabila penduduk Yahudi di Israel hanya berjumlah 5.6j dan Yahudi seluruh dunia hanya berjumlah 13j orang sedangkan umat Islam seluruh dunia berjumlah 1.57billion dan umat Islam arab yang melingkungi Israel sahaja berjumlah 350j orang. Kenapa mereka gagal menyelesaikan masalah tersebut. Tidak lain dan tidak bukan kerana para pimpinan negara-negara umat islam bersekongkol dengan para Yahudi dan barat demi kepentingan mereka semata-mata dan mereka sanggup membelakangkan ajaran Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah Saw. Penyelesaian terakhir yang merupakan sebaik jalan adalaj Jihad fi Sabilillah semata. Kerana itulah sejak tahun 1970an mula bangkit semangat jihad Islam yang dipelopori oleh gerakan Ikhwan Muslimin Mesir dan mula berkembang apabila bangkitnya Intafadhah pertama pada tahun 1987. Di tahun yang sama ia lebih marak apabila Hamas ditubuhkan oleh Syeikh Ahmad Yasin.

Disamping perjuangan jihad bersenjata, Hamas memasuki pilihanraya dan menguasai Parlimen Palestine pada tahun 2006. Meskipun mendapat sokongan rakyat tetapi dunia luar terus menekan pemerintahan Palestine sehingga konflik Gaza-Israel 2008/2009 berlaku yang menyaksikan pengeboman dan kemusnahan Palestine oleh penganas Zionis. Amat malang apabila Negara-negara umat Islam tidak melakukan apa-apa bahkan turut sama menutup pintu-pintu sempada Palestine daripada mendapat bantuan luar.

Sudah hilang ciri-ciri persaudaraan seIslam. Membiarkan Palestine keseorangan telah menghilangkan ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi rukun bai’ah.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. Al-Hujurat : 10

النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada an-Nu’man bin Bashir berkata: Rasulullah Saw telah bersabda: “ Orang mukmin dilihat pada berkasih-sayang dan ikatan hati mereka seperti satu jasad. Jika mengadu sakit sebahagian anggotanya nescaya seluruh jasadnya mengaduh dan berjaga”


Telah hilang juga semangat jihad yang merupakan taring umat Islam. Ummah yang ramai tetapi bak buih dilaut. Dimanakah Umar ibn al-Khattab. Dimanakah Salahuddin al-Ayubi dan dimanakah Sultan Abdul Hamed atau kita terpaksa menunggu kehadiran imam al-Mahdi Muntazar maupun Nabi Isa? Kalau begitu amat malanglah umat Islam kini. Betapa peyakit Wahn telah berakar umbi. Kecintaan dunia yang membuak-buak dan takut mereka kepada mati yang teramat sangat sedangkan mati pasti sedang menanti. Apakah Perang Salib sudah berakhir?

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »

Bumi dicipta untuk manfaat manusia

Posted by epondok di April 24, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Keindahan dan kemudahan yang ada di muka bumi adalah untuk kebaikan dan manfaat manusia. – Gambar hiasan


Mukadimah

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menceritakan kisah Nabi Musa a.s dan Firaun kepada orang musyrik, berikutnya ditunjukkan bahawa kaum Nabi Musa tidak dapat dilemahkan oleh perancangan jahat Firaun.

Allah SWT mengazabnya dan menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran kepada orang lain. Kisah ini untuk menghiburkan hati rasul-Nya agar baginda tidak susah hati kerana didustakan dan tidak diimani oleh kaumnya berhubung dengan apa yang disampaikannya.

Selanjutnya Allah SWT berfirman kepada golongan yang menolak adanya hari kebangkitan. Dia mengingatkan mereka tidak layak mengingkarinya sebab kebangkitan itu amat mudah bagi-Nya apabila dibandingkan dengan mencipta langit yang kukuh dan tersusun sebagai bukti betapa luas ilmu Allah SWT dan kekuasaan-Nya.

Firman Allah SWT: (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya.

Syed Qutb berkata: Pertanyaan ini tidak mempunyai jawapan yang lain melainkan jawapan menyerah kalah dan mengaku bahawa langitlah yang lebih sukar diciptakan.

Ini tidak dapat dipertikaikan lagi dan yang demikian, mengapa kamu masih tertipu dengan kekuatan kamu sedangkan langitlah yang lebih sukar diciptakan dari kamu, dan yang menciptakan langit lebih gagah dari langit? Dan ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.

Disebutnya siang sebagai dhuha kerana ia merupakan waktu yang paling baik dan bersih. Kesegaran jiwa hanya terdapat pada waktu itu dan tidak terdapat pada waktu lain seperti kata al-Maraghi.

Firman Allah SWT: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).

Syed Qutb berkata: Diratakan permukaannya supaya sesuai untuk berjalan di atasnya. Prof. Zaglul al-Najjar mengemukakan teori bahawa hamparan bumi dan pembentukan kulitnya lalu pemecahannya serta pergerakan oasis dan pembentukan benua-benua, gunung-gunung serta sungai-sungai dan lain-lain hanya terjadi pada fasa kelima dari enam fasa penciptaan alam buana.

Pada fasa keenam pula iaitu yang terakhir barulah terjadi pembentukan kehidupan dalam bentuknya yang paling sederhana hingga kepada penciptaan manusia.

Alam buana ini dianggarkan usianya antara 10 hingga 15 bilion tahun. Sedang batu-batu yang terdapat di bumi tertua dianggarkan terbentuknya sekitar 4.6 bilion tahun.

Ini serupa dengan hasil penelitian berkenaan batu-bata yang terdapat di bulan dan aneka benda angkasa yang jatuh ke bumi. Kesan kehidupan di bumi yang tertua dianggarkan sekitar 3,800 juta tahun.

Jika demikian, masa bumi untuk dapat dihuni oleh makhluk yang hidup dianggarkan sekitar 800 juta tahun. Sedangkan kehidupan makhluk yang bernama manusia dianggarkan wujud sekitar 100,000 tahun yang lalu.

Firman Allah SWT: Ia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya), (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Ayat ini menggambarkan ciptaan Allah untuk manusia bagi melangsungkan kehidupan termasuk binatang ternakan mereka.

Dalam tafsir al-Misbah menyebut: Perkataan mar’aha pada mulanya bererti tempat penggembalaan. Tetapi ia juga dapat difahami dengan makna rumput dan makanan binatang.

Agaknya kata itu dipilih walau yang dimaksudkan ayat di atas adalah tumbuhan secara umum baik yang dimakan oleh manusia mahupun binatang.

Ini kerana konteks ayat ini berbicara berkenaan golongan yang kafir lagi menolak kepercayaan hari kiamat. Mereka itu seperti binatang bahkan lebih sesat dari binatang.

Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur memperolehi kesan dari penyebutan kata yang hanya khusus digunakan untuk binatang ternak itu, bahawa ini menunjukkan rahmat Allah yang demikian luas kepada makhluknya kerana kepada binatang sahaja Dia telah menyiapkan bahan makanannya apatah lagi kepada manusia.

Penutup

Syed Qutb berkata: Itu ialah sebab-sebab hayat atau faktor-faktor hidup adalah cukup di bumi. Ukurannya cukup sesuai, jarak jauhnya sederhana dan strukturnya adalah sesuai untuk menemukan anasir-anasir benda pada nisbah yang boleh mencergaskan kegiatan hidup.

Ukuran bumi yang sesuai itu adalah perlu kerana kekalnya udara dingin di sekeliling bumi bergantung kepada daya tarikan yang ada pada bumi.

Dengan menukilkan pendapat Ustaz al-Aqqad melalui bukunya Aqaid al-Mufakkirin berkata: Kedudukan bumi merupakan satu kedudukan yang paling sesuai untuk menyempurnakan syarat-syarat tersebut yang pasti untuk pertumbuhan hayat dalam bentuk yang kita ketahui dan sehingga sekarang tiada bentuk hayat yang lain diketahui oleh kita.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berfikir pada kejadian Allah SWT, seterusnya dapat ma’rifatullah. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »