Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 22 April 2010

Mahkamah bebas pelajar pondok pakai serban

Posted by epondok di April 22, 2010

 Muhammad Yusri Amin   

 

 

 TUMPAT, 22 April: Mahkamah Majistret di sini pagi ini membebaskan kelima-lima pelajar Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah Pondok Banggol Naim, Pasir Mas yang dituduh menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa ditahan polis pada 27 April 2008 lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat semasa membuat keputusan itu mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munsabah.

Peguambela Amir Syafiq Venkadesh Narayanan ketika bercakap kepada media di luar mahkamah berkata kelima-lima ‘orang kena saman’ (OKS) itu telah dilepaskan dan dibebaskan.

“Majistret memutuskan pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munasabah. So, saya fikir ini menjadi satu prosiding,” katanya.

Lima pelajar OKS dari ‘Pondok Gelang Mas’ yang dibebaskan itu ialah Adli Ab Halim, 23, Afizul Mohamed, 23, Ahmad Hafidz Saari, 24, Che Mohd Noor Che Soh, 28, dan Mohd Azam Mohd Arifin, 24.

Mereka ditahan kira-kira pukul 12.00 tengah malam semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri sembahyang jenazah di Masjid Jar Besar, Tumpat  pukul 10.00 malam sebelum menghadiri ceramah Israk dan Mikraj di Surau Geting, Tumpat.

Mereka dituduh di bawah Kaedah 4 (motorsikal topi keledar keselamatan) 1973 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang dibaca bersama Seksyen 128 (1) Akta yang sama.

Sepanjang tempoh perbicaraan kes itu sejak 2008, seramai 11 orang saksi telah memberikan keterangan bagi pihak pembelaan, manakala pihak pendakwaan mengemukakan empat saksi.

Kelima-lima OKS semasa ditahan polis, semuanya menunggang motosikal dengan masing-masing membawa pembonceng tanpa memakai topi keledar tetapi sebaliknya hanya memakai serban dan berjubah putih.

Menurut Amir Syafiq, di bawah undang-undang, ada pengecualian di mana seseorang itu tidak perlu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal iaitu golongan ‘Haji’, ‘Hajah’, ‘Lebai’ dan ‘Sikh’. “Namun dalam undang-undang itu tidak dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘lebai’, yang (undang-undang itu) terpakai sejak digubal oleh Parlimen,” katanya.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Pelajar berserban enggan bertopi kaledar dibebaskan

Posted by epondok di April 22, 2010

Mahkamah Majistret Tumpat hari ini membebaskan dan melepaskan lima pelajar sebuah sekolah pondok atas kesalahan tidak memakai topi keledar tetapi sebaliknya memakai serban ketika menunggang motosikal, dua tahun lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.

Sebaik sahaja Raja Norshuzianna Shakila selesai membacakan penghakimannya, kelima-lima pelajar itu Adli Abd Halim, 22, Ahmad Hafiz Shaari, 24, Mohd Hafizul Mohamad, 22, Mohd Azam Mohd Arifin, 24, dan Che Mohd Noor Che Soh, 28, kelihatan sebak dan beberapa daripada mereka mengalirkan air mata.

Kelima-lima pelajar Pondok Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Gelang Mas, di Tumpat
ditahan dalam sekatan polis di Kampung Geting, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam, 28 April, 2008, semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri upacara sembahyang jenazah di sebuah masjid.

Mereka didakwa mengikut Kaedah 4 (motosikal topi keledar keselamatan) 1973 dan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ketika di luar mahkamah, Mohd Hafizul berkata mereka tidak menyangka akan dilepaskan sebaliknya akan dikenakan perintah denda atau penjara.

“Jadi kami sangat terkejut dan gembira dibebaskan oleh majistret dan keadilan telah ditegakkan oleh mahkamah,” katanya.

Terdahulu itu, sebelum memasuki mahkamah, lebih 50 rakan mereka yang turut hadir sempat membacakan doa selamat.

Kelima-lima pelajar itu diwakili peguam Amir Syafiq Venkadesh Narayanan manakala pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa ASP Mohd Azmi Mohd Ali.

– Bernama

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

5 Pelajar Pondok bebas kes saman serban

Posted by epondok di April 22, 2010

Tumpat 22 April – Allahu Akbar itulah antara ucapan kegembiraan mengiringi keputusan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang memutuskan di Mahkamah Majistret Tumpat pagi tadi bahawa 5 pelajar Pondok Gelang Mas dibebaskan daripada saman kes pakai serban semasa memandu motosikal. Kes ini berlarutan selama 2 tahun iaitu mereka disaman dalam perjalanan pulang dari mendengar ceramah di Tumpat pada bulan April 2008 yang lalu. Kini Allah telah memakbulkan doa memandangkan setiap kali kes ini dibicarakan maka solat hajat dan doa mengiringi perjuangan 5 pelajar tersebut

Keputusan ini begitu menggembirakan dan memberi sinar kembali terutama bagi pejuang sunnah yang selama ini dipandang serong dan tidak dipedulikan nasib mereka sebagaimana kes 2 pelajar sekolah yang dipecat kerana berserban dan pelajar Pondok Pasir Tumboh yang penjara kerana berserban ketika menunggang motosikal pada Januari 2009 serta beberapa kes yang lain.

Kita harapkan semoga peratutan jalanraya sendiri yang mengecualikan golongan tertentu yang dibenarkan memakai serban termasuk haji, lebai dan sikh

Kita doakan juga semoga anggota polis trafik yang anti serban tidak lagi dihantar untuk bertugas di Kelantan bagi memastikan syiar gelaran Serambi Mekah termasuk pemakaian serban tidak dihapuskan

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Arak, judi ubah sifat manusia normal

Posted by epondok di April 22, 2010

Oleh Amran Zakaria

Perbuatan paksi segala kejahatan, akal tak berfungsi dan tindak-tanduk berubah luar biasa

AMAT malang sekali jika ada di antara Muslim yang mengakui dirinya biasa mengambil alkohol dalam minuman dan menganggapnya tidak ada apa-apa yang perlu diulas. Apalagi kalau ia menjadi amalan berterusan dalam kehidupan sehingga hilang fokus kepada dosa yang disebut oleh agama. Lebih hina lagi apabila minuman syaitan itu dianggap sebagai pelengkap kepada imej profesional dibawanya yang dirasai hebat dan gah, setanding dengan budaya barat yang dipujanya.

Harus dijelaskan bahawa arak adalah sejenis alkohol dalam bentuk ‘ethyl alcohol’. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau ‘yeast cells’ yang bertindak ke atas karbohidrat yang ada di dalam buah-buahan dan biji-bijian. Dalam pasaran, ada tiga jenis arak yang popular iaitu bir yang diperbuat daripada biji-bijian dan mengandungi tiga hingga enam peratus alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11 hingga 14 peratus alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai liquor.

Liquor dihasilkan dengan memeram atau mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan ia mengandungi 40-50 peratus alkohol.

Peminum arak dan kaki judi tidak pernah memikirkan mudarat pembaziran harta benda. Mereka sanggup membazirkan apa saja bentuk harta benda semata-mata untuk mendapat hiburan dan kesenangan jiwa melalui arak dan judi yang mereka anggap lambang status sosial yang mesti dibanggakan.

Mereka yang terperangkap dengan gejala penagihan arak ini akan hilang karektor sebagai Muslim sejati. Individu seperti ini sukar akur dan patuh kepada perintah agama. Bahkan mereka yang tegar sebagai peminum arak ini memiliki sifat angkuh dan sombong kerana beranggapan berada pada status lebih tinggi.
Mereka juga tidak bersedia menerima teguran kerana beranggapan dirinya hebat. Sahsiah dan keperibadian Islam semakin hilang. Cahaya keimanan juga makin malap dalam diri individu ini. Karektor mereka sebagai individu Muslim berubah seperti berubahnya alkohol daripada bentuk asal.

Golongan peminum tegar ini tidak berupaya memberi manfaat kepada manusia keseluruhannya. Sesungguhnya mereka yang ketagih arak akan hilang maruah diri dan tidak diyakini lagi berkaitan keupayaan peribadinya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Ibnu Abbas menyebut bahawa Islam mengharamkan arak kerana ia boleh menjadikan manusia rosak akal dan hilang maruah diri. Seterusnya ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan (baca).” (Surah an-Nisa’, ayat 43)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang minum khamr (arak) seteguk, Allah tidak menerima amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal? Ketika ditanya: Ya Rasulullah apakah Nahrul Khabal itu? Baginda Rasul menjawab: Darah bercampur nanah ahli neraka.” (Hadis Riwayat at-Thabrani)

Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dalam persoalan arak ada 10 orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya.” (Riwayat Tirmizi)

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”(Surah Al-Maa’idah, ayat 91)

Arak dan judi adalah paksi segala kejahatan. Kedua-duanya adalah perosak akal, badan, jiwa dan harta benda. Seseorang yang mabuk arak, akalnya tidak akan dapat berfungsi seperti biasa dan segala tindak-tanduknya berubah menjadi luar biasa. Segala perasaan malu dan rasa hormat akan hilang ketika itu.

Seorang ilmuwan Barat, Profesor AJ Arberry, pernah menjelaskan; “peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malah mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat angin ahmar atau lumpuh. Selain itu, seorang yang mabuk arak juga akan hilang pertimbangan akal. Secara tidak sedar dia akan membuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”

Pelbagai bentuk bencana yang akan terhasil daripada minuman keras dan judi. Kedua-duanya lebih cenderung ke arah memporak perandakan kehidupan manusia dan makhluk ciptaan Allah yang lain.

Bertambah buruk lagi kesan negatif yang bakal diterima jika seseorang individu itu kaki arak dan judi pada masa sama. Disamping itu, arak dan judi juga boleh menimbulkan permusuhan sesama manusia serta merosakkan maruah mereka, lantaran itu Islam mengharamkan arak dan judi.

Islam memperingatkan manusia bahawa syaitan mempergunakan al-Maisir atau perjudian itu sebagai tempat untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara manusia, juga menjadi penghalang pelakunya daripada mengingati Allah dan menunaikan sembahyang.

Harus diingatkan dalam diri bahawa berjudi itu kerja maksiat. Wang yang diperoleh daripada judi adalah haram, tidak boleh digunakan apatah lagi jika digunakan untuk makan minum anak isteri.

Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa setiap suap yang dimakan daripada sumber yang haram itu, api neraka adalah lebih utama baginya. Daripada Kaab bin Ujrat menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka lebih utama untuk membakarnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Punca dan cara atasi buang bayi

Posted by epondok di April 22, 2010

Oleh Marlina Amir Hamzah

Semua pihak perlu kerjasama bendung masalah jejas imej generasi muda masa depan

SEBELUM ini kita sering memperkatakan permasalahan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat.

Kini kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi yang semakin berleluasa sehingga melangkaui norma kemanusiaan yang tidak dapat diterima akal. Ia boleh terjadi dalam masyarakat Malaysia yang terkenal dengan nilai ketimuran dan ajaran Islam yang menjadi pegangan. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini bukan hanya berlaku di bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Ini jelas terbukti apabila sejak akhir-akhir ini, kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di luar bandar.

Sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007, membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36 peratus.

Statistik di atas jelas menunjukkan betapa nazak dan dahsyatnya permasalahan buang bayi yang melanda masyarakat kita saban hari tanpa menunjukkan kadar penurunan.

Pelbagai saranan dan cadangan diutarakan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi dan menangani permasalahan ini yang jelas bertentangan nilai yang ada dalam Islam khasnya dan norma kemanusiaan sejagat amnya.
Di antaranya dengan menubuhkan pusat menerima bayi daripada perbuatan zina, menyediakan rumah perlindungan perempuan yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan memberi pendidikan seks kepada pelajar sekolah.

Namun timbul persoalan di sini iaitu sejauh manakah penyelesaian yang dicadangkan mampu menangani gejala buang bayi secara keseluruhannya.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara bagi 2000 hingga 2008, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa dan yang lebih menyedihkan lagi bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

Cuba bayangkan dalam keadaan cadangan penyelesaian di atas belum dilaksanakan sepenuhnya, sudah ada 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan tanpa nama bapa, apatah lagi sekiranya cadangan penyelesaian itu dilaksanakan sepenuhnya, pasti jumlah tersebut akan bertambah berlipat kali ganda yang seterusnya membawa kepada permasalahan yang lain.

Penulis amat tertarik dengan saranan Timbalan Dekan, Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, yang mengatakan: “Jika semua pihak terutama kerajaan serius dalam menangani isu pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan, tumpuan perlu diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor yang merosakkan nilai murni.”

Satu usaha bersepadu dan berterusan haruslah diambil secepat mungkin oleh semua pihak seperti agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memastikan segala punca kepada berlakunya masalah pembuangan bayi ini dapat dikenal pasti dan dihapuskan daripada terus menghantui masyarakat pada hari ini.

Firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 20-22 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintahnya dan janganlah kamu menjadi sebagai orang munafik yang berkata: “Kami mendengar, pada hal mereka tidak mendengar. Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk di sisi Allah ialah orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar atau memahami kebenaran iaitu orang yang tidak mengerti).”

Perlakuan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan dan pelbagai lagi permasalahan yang melanda masyarakat wajar dibanteras secara bersepadu dengan berpandukan kepada panduan Illahi bukan hanya berlandaskan akal semata-mata dan penyelesaian jangka pendek yang hanya mengundang masalah selanjutnya yang tidak berkesudahan.

Masalah pembuangan bayi adalah salah satu natijah buruk yang terhasil akibat pelbagai masalah masyarakat yang melanda dan kini menjadi barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita.

Justeru, cara sewajarnya bagi menangani permasalahan buang bayi adalah membanteras segala punca yang menjadi sebab kepada permasalahan ini.

Kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga harus diperbetulkan demi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai murni yang membawa kepada terlahirnya generasi muda yang mempunyai daya tahan tinggi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang di zaman yang serba canggih dan moden ini.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Presiden Perancis mahu haram purdah

Posted by epondok di April 22, 2010

PARIS: Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, mengarahkan rang undang-undang diluluskan bagi mengharamkan wanita daripada memakai pakaian menutup muka di tempat terbuka dan bangunan awam, merujuk kepada burqa dan niqab.

Jurucakap kerajaan, Luc Chatel, berkata Sarkozy membuat keputusan supaya kerajaan membentangkan rang undang-undang mengharamkan pakaian umpama burqa di Parlimen pada Mei selepas mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

“Pengharaman terhadap pakaian menutup wajah wajar membabitkan setiap inci ruang awam kerana maruah wanita tidak boleh diragui,” kata Chatel. – AP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ulama sokong pergaulan bebas dipecat

Posted by epondok di April 22, 2010

RIYADH: Ketua polis agama Arab Saudi memecat ketua cawangannya di Makkah kerana menyokong pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, kata pegawai, kelmarin.

Ahmed Qassim al-Ghamidi dalam temu ramah akhbar minggu ini mencadangkan lelaki dan wanita dibenarkan bergaul bebas yang secara langsung bertentangan matlamat utama pasukan itu.

“Pergaulan (antara jantina) adalah semula jadi dan tiada alasan baik melarangnya,” kata al-Ghamidi dalam temu ramah itu. Beliau dipecat sejurus selepas itu, kata seorang pegawai pasukan itu yang enggan dikenali.

Polis agama yang beroperasi mengikut arahan Suruhanjaya Mempromosi Nilai dan Pencegahan Maksiat bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang mengikut ajaran Islam di Arab Saudi secara ketat yang melarang pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Kenyataan al-Ghamidi yang juga anggota kanan polis agama serta ulama kanan, mendedahkan perubahan besar mengenai pengasingan jantina yang perlu dipantau agensi itu. – AP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »