Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 20 April 2010

Antara Politik DiRedhai dan DiMurkai Allah

Posted by epondok di April 20, 2010

Oleh Muhammad Razak Idris

Pemimpin dipilih mesti laksana amanah kepemimpinan tanpa pilih kasih antara rakyat

DALAM Islam, segala amalan dan perbuatan adalah ibadah apabila dilakukan secara ikhlas untuk memperoleh keredaan Allah dan disempurnakan mengikut aturan atau tatasusila nilai yang mulia.

Menerusi kacamata ini, berpolitik ialah satu bentuk amalan atau perbuatan yang dikategorikan sebagai ibadah jika pembabitannya dilakukan dengan penuh ikhlas dan berakhlak.

Kedudukan kegiatan berpolitik dalam struktur nilai ibadah dalam Islam amat tinggi. Kedudukan yang tinggi ini disebabkan kepentingan peranannya menentukan kesejahteraan urus tadbir sesebuah masyarakat. Satu daripada urusan terpenting dalam kegiatan politik ialah fungsinya sebagai saluran atau wahana menentukan tonggak kepimpinan sesebuah masyarakat.

Oleh itu, dalam sejarah tamadun Islam, urusan berpolitik dalam konteks memilih dan menetapkan kepemimpinan dalam sesebuah masyarakat perlu didahulukan daripada urusan lain apabila berlaku kekosongan kepemimpinan akibat kematian atau peralihan.

Dalam hal ini, barangkali kita selalu mengikuti perbahasan dalam sejarah awal Islam setelah kewafatan Nabi Muhammad, masyarakat Islam mendahulukan majlis untuk memilih pemimpin baru atau khalifah sebelum baginda dikebumikan. Semangat kepentingan terhadap urusan ini juga dapat dilihat dalam amalan pemerintahan Islam sehingga hari ini.

Kenapakah urusan politik atau tugas memilih pemimpin begitu mustahak dalam kehidupan? Pemimpin adalah keperluan asasi sesebuah masyarakat. Peranan pemimpin amat besar dan tanggungjawabnya berat.

Masyarakat memerlukan pemimpin kerana mereka memerlukan seseorang yang boleh dipercayai bagi memastikan urusan kehidupan seharian seperti hal ehwal keselamatan, sumber makanan dan kebajikan sentiasa terjamin. Adalah menjadi peranan dan tanggungjawab pemimpin, apabila terpilih untuk menjaga segala urusan kehidupan ini secara bijaksana dan amanah.
Oleh itu, dalam beberapa perbahasan mengenai takrif politik, sebahagian sarjana menyatakan politik ialah satu bentuk seni kepemimpinan bagi mengatur dan mengurus percaturan hidup sesebuah masyarakat. Oleh demikian, tugas seorang pemimpin meliputi tanggungjawab mengendalikan seluruh urusan kehidupan masyarakatnya secara hikmah dan berseni bagi memastikan setiap warga mendapat ruang saksama dan berpeluang maju serta bangkit membangun secara berterusan.

Justeru, beberapa perbahasan dalam teks klasik oleh sarjana Muslim berkaitan kepemimpinan, kriteria yang amat ketat diletakkan untuk memilih seseorang pemimpin masyarakat. Sarjana seperti al-Farabi menyatakan, seseorang pemimpin itu perlu memiliki watak mulia dan terpuji, kebijaksanaan yang tinggi, ikhlas dan beramanah selain bertanggungjawab dan memiliki tahap kerohanian berkualiti. Dengan memiliki watak dan ciri kepemimpinan ini, seseorang pemimpin itu akan berupaya membawa masyarakatnya menuju kesejahteraan dan kemakmuran.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk memilih kepemimpinan terbaik yang mampu mengurus tadbir percaturan kemasyarakatan dan kenegaraan secara adil serta saksama.

Di negara ini, proses memilih pemimpin harus melalui kegiatan berpolitik. Sejak merdeka, kita bersepakat menerima sistem demokrasi sebagai cara memilih pemimpin masyarakat dan negara. Menerusi sistem ini, semua orang yang merasakan dirinya layak hendaklah mencalonkan dirinya menerusi sebuah institusi pemilihan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Seseorang yang ingin mencalonkan diri sebagai pemimpin boleh melakukan sama ada secara individu atau menerusi parti politik berdaftar secara sah. Bagi memperoleh sokongan pula, setiap calon perlu berkempen untuk meraih undi dalam pilihan raya.

Seperti dijelaskan sebelum ini, politik adalah satu bentuk ibadah yang tertinggi daripada perspektif agama. Bagi tujuan memastikan segala amalan menerusi kegiatan politik dinilai sebagai satu bentuk ibadah di sisi agama, kita ingin menganjurkan beberapa tatasusila berikut dipatuhi.

Pertama, hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah iaitu dengan menyedari bahawa pembabitan kita dalam kegiatan politik bertujuan menyempurnakan ibadah kepada-Nya iaitu bagi menjalankan tugas memilih pemimpin terbaik untuk masyarakat dan negara.

Kedua, hendaklah menjaga tatasusila akhlak dan etika dalam berpolitik. Dalam hubungan ini, kita hendaklah mengelakkan daripada terjebak perbuatan bertentangan dengan prinsip akhlak Islam seperti menipu, merasuah, mencerca, mengaibkan, memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain dalam kempen politik sama ada menerusi ucapan mahupun tulisan.

Ketiga, hendaklah menjaga hubungan silaturahim dan ukhwah sesama kita sepanjang berpolitik. Kita jangan bermusuhan sehingga kepada pergaduhan dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Tugas menjaga kesatuan dan perpaduan masyarakat dan Ummah juga adalah satu bentuk ibadah yang tertinggi menurut perspektif agama yang perlu dijaga oleh kita semua.

Keempat, hendaklah berlaku adil dalam memberi ruang yang saksama kepada semua pihak dalam berpolitik. Semua calon perlu diberikan hak mereka dalam menyampaikan hasrat dan cita kepemimpinannya untuk dinilai oleh masyarakat.

Kelima, rakyat hendaklah memilih calon terbaik yang mampu mewakili inspirasi politik yang terbaik untuk negara kita.

Keenam, hendaklah reda dengan keputusan pemilihan yang diputuskan secara bersama oleh seluruh pengundi yang layak dilaksanakan secara telus, adil dan saksama.

Ketujuh, hendaklah bersatu selepas pemilihan dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pemimpin terpilih. Pemimpin terpilih hendaklah menjalankan amanah kepemimpinannya tanpa pilih kasih antara rakyat.

Dengan memenuhi tatasusila dan etika politik ini, amalan dan kegiatan politik kita akan terhitung sebagai sebahagian dari nilai ibadah kepada Allah.

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Penuhi syahwat cara halal

Posted by epondok di April 20, 2010

Oleh Mohd Fadly Samsudin

SESIAPA saja mempunyai naluri ingin hidup berpasangan dengan pilihan hati masing-masing. Hanya melalui ikatan perkahwinan saja seseorang itu dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal.

SEMOGA KEKAL SELAMANYA...perkahwinan bukan sekadar memenuhi  keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam  membentuk keluarga harmoni.
SEMOGA KEKAL SELAMANYA…perkahwinan bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga harmoni.

sebelum  –  selepas

Dalam Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia adalah ibadah bertujuan melahirkan generasi dan zuriat soleh sebagai penyambung keturunan.

Al-Quran menjelaskan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah al-Rum ayat 21).

Begitu indah perencanaan Allah yang menjadikan manusia melalui fitrahnya untuk hidup berkasih sayang bersama pasangannya.

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan agar manusia dapat hidup lebih teratur selain dapat berkongsi suka duka bersama.

Namun bukan mudah untuk memenuhi tuntutan sebagai pasangan suami isteri kerana perkahwinan perlu pengorbanan dan tanggungjawab.

Perkembangan dunia moden sekarang tidak menidakkan setiap orang amat mudah berjumpa dan mengenali ‘calon berpotensi’ untuk dijadikan teman hidup.
Malangnya, kebebasan dengan budaya berpasangan dibimbangi mengundang banyak masalah terutama aktiviti seks sebelum berkahwin.
Ramai bersetuju agar perkahwinan dipercepatkan. Kita mungkin biasa dengar ada yang mengatakan; “Kejar cita-cita dulu baru kejar cinta”, “esok anak dengan bini kamu nak bagi makan pasir?” apabila menyatakan hasrat mahu mendirikan rumah tangga dalam keadaan belum bersedia.

Malah, ada beranggapan berkahwin pada usia muda mendatangkan pelbagai masalah. Lebih buruk, ia membabitkan campur tangan ahli keluarga bakal pasangan seperti adik beradik yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam menyatakan soal sesuai atau tidak pasangan terbabit.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada diri masing-masing yang membawa haluan. Yang penting mereka perlu bijak dan bersedia mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam yang penuh dugaan dan tanggungjawab itu.

Perkahwinan dalam usia muda memang baik bagi mengelak perilaku sumbang pasangan yang sedang bercinta.
Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah. Tidak kira pada usia berapa pun, jika sampai jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti akan berlaku.

Pada zaman dahulu, pasangan muda mendirikan rumah tangga dianggap perkara biasa, namun tidak pula pada zaman sekarang.

Ramai anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia belasan tahun. Mereka menganggap jika lambat kahwin nanti tidak ‘laku’ selain ibu bapa bimbang anak mereka melakukan perbuatan luar batasan.

Tidak dinafikan peluang melanjutkan pelajaran tidak seluas sekarang. Tidak hairanlah anak gadis di zaman dulu tamat saja persekolahan peringkat menegah terus mendirikan rumah tangga.

Mereka dinilai jika pandai melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga adik-beradik sudah dikira layak untuk berkahwin.

Hari ini ramai menyambung yang pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mahu mengecapi kejayaan dahulu sebelum memikirkan soal perkahwinan.

Pujian dan galakan perlu diberikan kepada mereka yang ‘berani’ meninggalkan keseronokan hidup membujang dengan membuat keputusan untuk berkahwin muda.

Sesetengah pihak beranggapan remaja berusia bawah 20 tahun masih ‘mentah’ untuk mengharungi kehidupan berumahtangga.

Tetapi, perasaan itu pasti bertukar apabila mereka sudah mengalami sendiri pengalaman memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

Jika ditentukan kita berkahwin dalam usia muda, mungkin itu jalan terbaik yang Allah tentukan untuk kita.
Perkahwinan pada usia muda adalah cabaran besar kerana ia membabitkan sensitiviti, emosi serta perasaan cemburu tidak kiralah suami atau isteri.

Justeru, perlu wujud persefahaman dalam memahami keperluan masing-masing. Bagi pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga pada usia muda, kisah puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra serta Saidina Ali boleh dijadikan contoh.

Ketika berkahwin, Fatimah berusia 18 tahun yang mendapat bekas air diperbuat daripada kulit, sebuah kendi tanah, sehelai tikar dan batu penggiling jagung sebagai mahar daripada ayahnya.
Nabi juga pernah berkata kepada puterinya, “Anakku, aku menikahkanmu dengan lelaki yang kepercayaannya lebih kuat dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam hal moral dan kebijaksanaan.” Fatimah melaksanakan tugasnya sebagai isteri seperti mengambil air telaga dan menggiling jagung manakala Ali pula keluar bekerja mencari nafkah.

Mereka terkenal dengan budi pekerti tinggi dan bersifat dermawan. Fatimah meninggal dunia di sisi Ali dan anaknya ketika berusia 28 tahun iaitu enam bulan selepas kewafatan Rasulullah.

Rasulullah pernah menyatakan, Fatimah akan menjadi ‘ratu segenap wanita di syurga’. Ada kaum lelaki dan ada pula kaum perempuan. Begitulah unik dan rahmat Allah menjadikan alam ini untuk hamba-Nya renungi.

Sebab itu, Rasulullah memberi bimbingan kepada manusia agar memilih pasangan atas empat perkara iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.

Namun, lebih utama dari empat perkara berkenaan adalah agama yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

Pernikahan adalah alat mencipta keluarga bahagia. Ia bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata tetapi pengisian nilai agama sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni.

Ekonomi kukuh, mengenali pasangan dengan lebih rapat, kesabaran serta persediaan psikologi adalah persediaan penting dalam mengharungi cabaran alam rumah tangga.
Kisah seorang bapa mengahwinkan anak perempuannya yang berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan baru-baru ini boleh dijadikan iktibar kerana ia tersasar menjadikan Sunnah nabi sebagai contoh.

Bayangkan bagaimana seorang budak yang berumur bawah 12 tahun yang mungkin belum matang boleh menjalankan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dalam mengurus rumah tangga dan menjaga kebajikan suaminya.

Maka, sesiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin elok mereka segera berbuat demikian. Kalau hendak difikirkan soal duit, sampai bila-bila pun ia sentiasa tidak mencukupi. Allah sudah menjanjikan pelbagai nikmat dan ganjaran bagi mereka yang melakukan ibadah kahwin ini.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari mengatakan bahawa: “Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penahan hawa nafsu….”

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata perkahwinan perlu dirancang kerana ada perbezaan hukum kahwin iaitu harus, sunat, wajib bahkan haram.
“Perlu lihat kemampuan untuk menguruskan tanggungjawab selepas kahwin. Kebaikan kahwin awal dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan salah laku nafsu disamping mempercepatkan kematangan.

Keburukan kahwin awal adalah akan wujudnya hubungan ‘fragile’ jika sebarang masalah tidak dapat diurus dengan baik,” katanya.
Rahimi berkata perkahwinan adalah jalan keluar bagi menghalalkan hubungan tetapi kemampuan melaksanakan tanggungjawab itu tidak terletak pada umur tetapi terletak pada sikap serta kematangan.
“Kerana itu penilaian terhadap kemampuan untuk membina rumah tangga perlu dilihat secara menyeluruh.
“Tidak dinafikan bahawa keselesaan (bukan kemewahan) hidup penting dalam kehidupan rumah tangga. Jadi, kos untuk mewujudkan keselesaan hidup berbeza antara dulu dan sekarang,” katanya.

Beliau berkata berkenaan rezeki selepas berkahwin tidak perlu dirisaukan kerana Allah memberi jaminan terhadapnya.

“Bab rezeki memang tidak perlu dibimbangi kerana itu adalah jaminan Allah kepada hamba-Nya tetapi kita perlu berusaha mencari nafkah buat keluarga,” katanya.
Mengulas mengenai kes di mana seorang kanak-kanak perempuan dipaksa berkahwin dengan rakan bapanya sebagai mengikut sunnah nabi, Rahimi berkata itu perbuatan orang yang faham sunnah tidak menyeluruh.

“Individu berkenaan hanya mempelajari ilmu sekerat saja. Justeru, kepada yang berhajat berkahwin muda pastikan kita berjumpa dengan pasangan benar-benar diyakini.
“Mintalah ibu bapa faham dan menyokong usaha kita pada peringkat awal perkahwinan. Carilah pasangan yang dapat membahagiakan kita di dunia dan akhirat selain restu keluarga,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »