Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 April 2010

Wajib bendung kemungkaran zina

Posted by epondok di April 14, 2010

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

MASYARAKAT kita semakin terdedah kepada nilai-nilai kebebasan. Kebebasan yang melampau atau tanpa kekangan boleh menyebabkan nilai-nilai agama dan adat terhakis sama ada secara drastik atau beransur-ansur. Kebebasan didambakan oleh pemburunya dalam segenap aspek kehidupan.

Dalam persoalan mengenai seks misalnya, ramai mula terpengaruh dengan pandangan bahawa seks adalah persoalan individu semata-mata. Individu adalah bebas dan berhak untuk menentukan aktiviti seksnya.

Kesan daripada pandangan tersebut menyebabkan ‘seks bebas’ mula menular dan membudaya dalam masyarakat kita hari ini. Budaya keji itu berkembang bersama kebebasan bersosial, pesta-pesta hiburan dan pertemuan-pertemuan sosial yang melibatkan kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas.

Di sisi Islam, seks bebas tanpa nikah itu adalah ‘zina’. Zina mempunyai impak psikologi sama ada dari sudut agama mahupun moral kepada pelakunya. Jiwa penzina biasanya tertekan dan tidak tenteram kesan daripada perbuatan keji itu. Jika golongan ini tidak bertaubat dan kembali kepada jalan kehidupan yang bermoral maka mereka akan terus terbenam dalam kancah maksiat yang merosakkan hidupnya.

Tanpa menafikan golongan dewasa turut terlibat dalam perbuatan seks bebas, fenomena itu kini lebih menonjol di kalangan remaja kita yang terbabas dalam mencari erti kebebasan hidup. Bukan mereka tidak tahu hukum berzina di sisi agama tetapi kemungkaran yang dilakukan itu adalah berpunca daripada iman yang rapuh. Iman yang rapuh memudahkan proses ‘pereputan’ jati diri dan akal budi bangsa.

Kesan daripada mengambil secara membuta tuli fahaman kebebasan itu menjadikan masyarakat kita bersifat ‘nafsi nafsi’ atau istilah modennya individualistik. Justeru, tidak hairanlah lahir kefahaman atau pendapat seperti dosa masing-masing tanggung atau kubur masing-masing jaga. Pandangan itu boleh menyebabkan sesuatu kemungkaran itu dipandang ringan.

Ramai juga yang gagal memahami bahawa budaya pergaulan bebas mempunyai hubungan rapat dengan perbuatan zina. Bagi masyarakat Barat, remajanya diberi kebebasan dalam pergaulan lelaki dan wanita.

Pendidikan seks di Barat hanya mengajar bagaimana mencegah berlaku kehamilan, bukannya mengajar mengenai salahnya perlakuan zina itu. Ini tidak menghairankan kerana agama bukan lagi menjadi roh kehidupan masyarakat Barat walaupun agama Kristian mengharamkan perbuatan zina.

Di antara perkara-perkara yang mendedahkan kita kepada ‘mendekati zina’ adalah pergaulan bebas , berdua-duaan antara lelaki dan wanita, melihat wanita dengan bernafsu dan gambar atau video pornografi.

Secara fitrahnya, seks adalah satu bentuk anugerah dan nikmat kurniaan Allah kepada manusia. Malah, naluri itu turut diberikan kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Fitrah atau naluri inilah menyebabkan keturunan manusia berkembang biak. Bagi Islam, seks untuk manusia hanya boleh dilakukan secara halal iaitu melalui perkahwinan yang sah.

Justeru, mereka yang terpengaruh dengan budaya seks bebas adalah individu yang sudah rosak fitrahnya dan berada dalam daerah kebinatangan. Jalan keluarnya adalah segera bertaubat dan kembali kepada jalan hidup yang berakhlak dan bermoral sesuai dengan status manusia sebagai makhluk yang dimuliakan Allah SWT.

Secara tabiinya, hubungan seks akan menyebabkan wanita mengandung dan melahirkan anak. Keturunan manusia akan menjadi apabila nasab keturunannya dilahirkan secara sah.

Zina pula akan melahirkan keturunan yang tidak diketahui nasab keturunannya sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah lain seperti keruntuhan keluarga dan masyarakat.

Menurut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 17,303 anak luar nikah di kalangan Melayu-Islam didaftarkan pada tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya iaitu 2008 sebanyak 16,541 kes, manakala tahun 2007 seramai 16,100.

Dari perangkaan itu, jelas kepada kita bahawa gejala zina semakin berleluasa di kalangan bangsa kita sendiri yang menganut agama Islam. Malah, masyarakat kini dikejutkan dengan fenomena pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi. Secara logiknya, pembuangan bayi adalah kesan daripada perbuatan zina.

Justeru, kebimbangan perlu ada pada kita tentang masa depan bangsa. Tidak wajar kita berpeluk tubuh menyaksikan segala kemungkaran yang melanda generasi muda hari ini.

Bayangkan bagaimana nanti keadaan generasi yang kita tinggalkan itu seandainya mereka berada dalam keadaan yang rendah akal budi dan jauh dari kehidupan yang mulia dan berakhlak. Kumpulan yang sedar ini seharusnya menjadi penggerak kepada usaha membetulkan keadaan. Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu harus memainkan peranan yang efisien dan efektif dalam hal ini.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana anak-anak remaja adalah golongan yang masih berada di bawah tanggungjawab mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa kurangnya perhatian terhadap didikan agama menyebabkan anak-anak mudah terjebak kepada kehidupan tidak bermoral.

Kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama menyebabkan mereka mudah terjebak dengan amalan-amalan maksiat yang merosakkan kehidupan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial dan keruntuhan akhlak adalah sebahagian daripada kesan kekeliruan yang berlaku akibat keinginan untuk memburu kehidupan bebas tanpa mempedulikan nilai-nilai tradisi dan agama.

Sebenarnya, bukan sahaja perbuatan zina semakin berkembang dalam masyarakat Islam di negara kita tetapi pelbagai kemungkaran lain seperti meminum arak turut meningkat.U/M

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Zina perbuatan paling keji dilaknat Allah

Posted by epondok di April 14, 2010

Oleh Mohamad Isa

Seks bebas punca penyakit HIV/Aids menular dalam masyarakat

SEKS bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutama pelajar di kawasan bandar. Gejala ini terus menular dan ada remaja yang begitu berani mempraktikkannya di sekolah. Apa yang menyedihkan kita ialah pembabitan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika berada di Tingkatan Satu dan Dua.

Kepelbagaian masalah sosial mula berlaku dan tidak mustahil gejala ini berlanjutan sehingga ada yang sanggup menjadi pelacur apabila dewasa. Dalam kita membincangkan berkaitan dengan pelacuran ini, secara tidak langsung kita tidak dapat lari daripada membincangkan persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini

Justeru, untuk membendung permasalahan seperti ini daripada terus berleluasa, maka jalan yang membuang ruang ke arah perlakuan zina ini harus ditutup serapat-rapatnya.

Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya di dalam surah Al-Isra (17) ayat 32 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”.

Ayat di atas secara jelas menyentuh mengenai zina dan umat Islam dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat amat buruk, bukan saja kepada individu terbabit malah masyarakat kerana memberi impak kepada keturunan selain boleh mengundang kepada jenayah lain seperti membunuh serta pembuangan bayi.

Di negara kita, perlakuan kesalahan zina ini adalah terbatas. Oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara Malaysia, maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 di dalam Seksyen 23 manakala di Selangor pula di dalam Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Sebaliknya, aktiviti pelacuran membabitkan pelacur yang menjalankan kegiatan mereka atas dasar kehendak mereka sendiri dengan alasan untuk mencari duit lebih atau sekadar berseronok. Ada juga pelacuran ini disebabkan oleh paksaan pihak ketiga sama ada pihak suami atau di pihak bapa.

Pelacuran adalah satu kesalahan dan ini merujuk kepada Seksyen 23 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan:

  • Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu; dan
  • Mana-mana orang yang melacurkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya; atau menyebabkan atau membenarkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya melacurkan diri.Perbuatan itu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

    Pelacuran juga kebiasaannya dipelopori oleh bapa ayam atau ibu ayam yang menjalankan aktiviti memperdagangkan tubuh manusia secara paksaan. Wanita asing dan bawah umur selalu menjadi mangsa kepada bapa dan ibu ayam ini kerana sikap naif dan mudah terpedaya dengan janji manis mereka. Kesalahan ini diperuntukkan dalam undang-undang merujuk kepada Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu:

    “Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

    Pelacuran dalam Islam adalah haram hukumnya dan berdosa besar. Islam juga melarang berkahwin dengan pelacur: Dalam hal ini ada suatu riwayat yang diceritakan oleh Murtsid dari Abu Murtsid, bahawa dia minta izin kepada Nabi untuk kahwin dengan pelacur yang dimulainya perhubungan ini sejak zaman jahiliah.

    Namanya Anaq. Nabi tidak menjawabnya sehingga turunlah ayat yang berbunyi: “Lelaki tukang zina tidak (boleh) kahwin, melainkan dengan perempuan penzina dan musyrik, dan perempuan penzina tidak (boleh) kahwin melainkan dengan lelaki penzina atau musyrik. Yang demikian diharamkan atas orang-orang mukmin. (al-Quran Surah An-Nur:3). Dan Baginda bacakan ayat itu dan berkata: “Jangan kamu kahwin dengan dia” (hadis riwayat Abu Daud,An-Nasa’i dan Tarmizi).

    Jelaslah bahawa aktiviti pelacuran adalah satu aktiviti dilarang oleh agama dan undang-udang syariah itu sendiri. Aktiviti ini juga terkeluar daripada norma masyarakat sesebuah negara dan ia mendatangkan kesan buruk.

    Kesan daripada aktiviti pelacuran jugalah menyebabkan penyakit berbahaya seperti HIV/Aids menular di dalam masyarakat. Selain itu juga peningkatan kes pembuangan anak juga secara tidak langsung kesan daripada aktiviti pelacuran ini. Golongan masyarakat terutama remaja harus sedar buruknya aktiviti pelacuran ini.

    Undang-undang adalah suatu bentuk sekatan untuk tujuan mendidik tetapi nilai agama adalah penting dalam diri untuk menjauhi segala perlakuan buruk terutama perzinaan. Tanpa perzinaan tiada pelacuran.

  • Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

    Polemik tajdid dan pembaharuan

    Posted by epondok di April 14, 2010

    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

     
    DI antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu tajdid atau pembaharuan dalam agama.

    Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok berkaitan soal pembaharuan ini.

    Antara persoalan pokok di sekitar tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah serta manhaj untuk pembaharuan agama.

    Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita mengenalpasti siapakah para mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

    Kekeliruan dalam soal ini mudah berlaku kerana sering ada pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam.

    Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat.

    Jika mereka ini agresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh.

    Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

    Falsafah tajdid

    Istilah tajdid atau renewal memang punya imej dan daya tarikannya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar.

    Ditambah apabila mengingatkan kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam, “Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini.” (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

    Hadis ini adalah antara yang popular kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar.

    Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding agama-agama lain.

    Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

    Jadi umat Islam sebagai umat pilihan sudah dibekalkan acuan dan panduan terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang tajdid harus setia kepada hakikat ini.

    Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (taghyir) ataupun reformasi (islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh.

    Taghyir dan islah hanya layak untuk orang Islam yang lalai agar mereka berubah dan mengislah diri kembali mengikut fahaman Islam sebenar.

    Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sebagai para pewarisnya yang sah.

    Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar di kalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur.

    Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng.

    Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh.

    Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan Rasul-Nya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

    Tajdid agama dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, iman dan ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

    Aspek Islam, iman dan ihsan ini dihuraikan di bawah ilmu-ilmu syariah/fiqh, akidah/tauhid dan akhlak/tasauf.

    Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang di tangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi.

    Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

    Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah dikembang dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang berakidahkan acuan akidah Asha’rah-Maturidiyyah, bersyariahkan mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasauf dalam akhlaknya.

    Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai utama para mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam Abul Hassan al-Ash’ariy, al-Shafi’ie, al-Ghazali dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

    Susulan perbahasan di atas, tumpuan sebenar tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri.

    Sebagai muslim, kita meyakini fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita adalah fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita.

    Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia di hadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas di hadapan kita.

    Perkara-perkara yang jelas haram, halal atau khilafiah tidak patut dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para mujaddid hakiki.

    Mengenal mujaddid sebenar

    Hasil perbahasan ini, bolehlah disimpulkan para mujaddid sebenar dalam Islam ialah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap akidah/tauhid, syariah/fiqh dan akhlak/tasauf yang benar dan murni.

    Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para mujaddid maka agama akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu mencapai ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun agung dunia.

    Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia di sebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

    Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama tajdid dan pembaharuan.

    Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing.

    Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka.

    Dalam masyarakat kita, ada nama-nama yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan.

    Khalayak awam yang kurang teliti mungkin terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »