Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 April 2010

JIM sokong, Abim tentang Jawatankuasa Perundingan Antara Agama

Posted by epondok di April 13, 2010

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) hari ini meluahkan sokongan terhadap keputusan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Antara Agama untuk mempromosi keharmonian dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di negara ini.

“Jawatankuasa ini memberi input kepada kerajaan terhadap pandangan NGO Islam dan agama lain demi kepentingan masyarakat terutama berhubung isu-isu agama.

 

 

 

 “Ia sebagai platform yang baik untuk membincangkan isu-isu Islam dan (masalah) yang berkaitan agama,” kata presidennya Zaid Kamaruddin.

Zaid berkata fungsi jawatankuasa tersebut tidak sama dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) sebelum ini, yang mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak khususnya, NGO Islam, termasuk JIM.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, beliau berkata jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk menyelesaikan perselisihan atau perkara yang meresahkan penganut pelbagai agama di negara ini.

Jawatankuasa yang ditubuhkan Februari lalu akan diketuai oleh bekas ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Ilani Isahak .

Jawatankuasa Perundingan Antara Agama ini juga akan dianggotai oleh perwakilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Majlis Perundingan Budha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, ahli-ahli akademik dan NGO tertentu.

Menurut Zaid, JIM akan diwakili melalui keanggotaaannya dalam Allied Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN).

Zaid berkata skop jawatankuasa khas ini juga tidak akan melangkaui kuasa agama Islam seperti mana yang diperuntukan oleh perlembagaan persekutuan dan ia tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti.

 

 

 

 Ditanya mengenai penglibatan Koh dan Ilani yang dilihat sebagai “orang politik” dalam jawatankuasa itu, Zaid berkata rakyat perlu memberi peluang bagi kedua-dua mereka membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas berkenaan.

“Koh diberi peranan oleh kerajaan, dan Ilani bukan mewakili sesiapa, tetapi dilantik oleh kerajaan sebagai penyelaras khas mempromosi hubungan NGO antara agama,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi NGO Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memberi reaksi yang berbeza dengan JIM.

 

 

 

 Timbalan presidennya, Amidi Abdul Manan menggesa kerajaan memberi penjelasan secara terperinci berhubung matlamat penubuhan jawatankusa khas yang dibentuk oleh kabinet pada Februari lalu.

“Setakat ini belum ada penjelasan atau taklimat kepada NGO secara terperinci. Kami mendesak kerajaan memberi taklimat secepat mungkin sebelum ia dilaksanakan.

“Kalau dulu dicadangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang agak mengguris perasaan orang Islam, kita tidak mahu luka lama berdarah kembali,” kata Amidi.

Beliau meminta kerajaan memberi penjelasan kepada semua NGO yang terbabit selewat-lewatnya minggu hadapan.

Sehubungan itu, amidi mahu pihak berkuasa memberikan butiran terperinci berhubung penubuhan jawatankuasa itu yang “tidak jelas” dan dikatakan “berbeza dengan IFC”.

“Apa yang berbeza (dengan IFC) pun kita tidak tahu,” katanya yang juga seorang guru.

Mengulas mengenai penglibatan Koh dan pengerusi jawatankuasa itu Datuk Ilani Isahak dalam jawatankuasa tersebut, Amidi berkata mereka adalah orang politik.

“Kenapa tidak masukkan ulama-ulama dihormati. Di mana letaknya mufti-mufti,” kata Amidi.

Tambahnya, setakat ini, Abim tidak menerima sebarang pelawaan untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Amidi berkata, pihaknya memerlukan penjelasan lanjut termasuk perlantikan Koh dan Ilani dalam jawatankuasa tersebut sebelum pihaknya membuat apa-apa keputusan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Indonesia juga guna khidmat APCO

Posted by epondok di April 13, 2010

 Harakahdaily   

 

 

 KUALA LUMPUR, 13 April: APCO Wordwide bukan sahaja memberikan nasihat perhubungan awamnya kepada kerajaan Malaysia bahkan juga kerajaan Indonesia selepas Israel.

Ini dinyatakan dalam laman web APCO sendiri. Yang menariknya, konsep yang hampir sama digunakan antara Malaysia, Indonesia dan juga Israel.

Yang bezanya di Israel diguna One Israel manakala di Malaysia dan Indonesaia digunakan 1Malaysia dan 1Indonesia.

APCO telah dibuktikan di Dewan Rakyat sebagai syarikat yang berpengkalan di Amerika dan mempunyai hubungan rapat dengan Zionis Israel yang membunuh berpuluh ribu umat Islam Palestin.

Konsep 1Malaysia dikatakan hasil nasihat dari APCO kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandangkan konsep itu serupa dengan konsep one Israel yang digunakan di Israel oleh Ehud Barak (Perdana Menteri Israel) pada tahun 1999.

Namun begitu APCO di dalam laman webnya menafikan bahawa syarikat itu terlibat dengan konsep 1Malaysia. Kenyataan ini dibacakan oleh anggota Parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda Umno di Dewan Rakyat, Khairy Jamaludin.

Tetapi adakah rakyat Malaysia boleh mempercayai kenyataan dari syarikat Yahudi ini?

Menurut satu laman web, Milosuam.blogspot.com, apa yang lebih menghairankan di sini ialah bagaimana Indonesia yang juga menggunakan khidmat dari APCO ini menggunakan konsep yang sama seperti One Israel dan 1Malaysia?

Malah lambang dan slogan konsep 1Indonesia juga dilihat terlalu mirip dengan 1 Malaysia yang digunakan di Malaysia.

Jika di Malaysia slogan 1Malaysia ialah “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” slogan 1Indonesia pula dilihat begitu mirip sekali iaitu “Masyarakat dahulukan, Pencapaian utamakan”.  Adakah sekadar kebetulan?

Sekiranya ia satu kebetulan, ia menjadi satu kebetulan yang ajaib!

Sila lihat gambar dibawah ini konsep 1Malaysia dan 1Indonesia begitu serupa

Ini pula bukti bahawa kerajaan Indonesia juga menggunakan penasihat Yahudi APCO

Dokumen bukti bahawa kerajaan Indonesia menggunakan khidmat yahudi APCO boleh dimuat turun di link ini http://www.apcoworldwide.com/Content/pdfs/Indonesia_Brochure.pdf (gambar)

Persoalan yang timbul dari persamaan ini, menurut blog Milosuam adalah:

1. Adakah Kerajaan Indonesia atau kerajaan Malaysia yang meniru antara satu sama lain?
2. Adakah perkara ini sekadar satu kebetulan yang ajaib?
3. Sekiranya Indonesia meniru Malaysia, tidakkah pemimpin Indonesia akan malu apabila rakyat mengetahui bahawa idea 1Indonesia diciplak dari negara jiran? Begitu juga jika perkara sebaliknya yang berlaku.
4. Adakah idea 1 (one) ini terlalu agung sehingga Malaysia dan Indonesia memakai konsep yang sama?
5. Perlukah konsep 1 Malaysia ini ditiru bulat-bulat oleh Indonesia sehinggakan lambang 1Indonesia dan juga slogan yang digunakan begitu serupa?

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Al-Quran sedia asas interaksi berhemah

Posted by epondok di April 13, 2010

Sembilan perkataan beri panduan berkomunikasi secara bijak dalam pelbagai keadaan

KUMPULAN huruf yang bermakna disebut kata. Kumpulan kata yang bermakna disebut kalimat dan kumpulan kalimat yang bermakna disebut ucapan. Huruf, kata, kalimat dan ucapan adalah tafsiran semua kehidupan manusia yang diolah otak sehingga merefleksi kebaikan atau keburukan, kebenaran mahupun kesalahan dan yang hak atau batil.

Keempat-empat faktor pentafsir kehidupan manusia di atas menurut istilah al-Quran disebut kalimah tayyibah (kalimah baik) dan kalimah khabithah (kalimah jahat atau buruk). Al-Quran menjelaskan maksudnya iaitu:Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah baik adalah sebatang pohon baik yang pangkalnya (akar tunjang) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buah pada setiap masa dengan izin Tuhan. Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) dan bandingkan kalimah yang jahat atau buruk sama seperti pohon tidak berguna yang mudah terbongkar akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (Surah Ibrahim: 24-26)

Jika ditelusuri ayat al-Quran, kita mendapat banyak pelajaran daripada sembilan perkataan yang disebutnya untuk kepentingan komunikasi dan interaksi berhemah sesama kita. Pelajaran ini sangat berguna demi menjaga dan memelihara keharmonian bermasyarakat seperti diinginkan al-Quran

Perkataan dalam penggunaan bahasa al-Quran kadangkala disebut al-qaul, atau qaulan. Al-qaul disebut 32 kali, manakala qaulan disebut 20 kali dan ada sembilan perkataan yang boleh kita jadikan asas interaksi.

Pertama, qaulan kariman atau perkataan yang mulia. Ia disebut sekali dan dikaitkan dengan hubungan antara anak dan orang tuanya. Al-Quran menjelaskan maksudnya: Dan Tuhanmu sudah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya, sampai umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ha, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun. (Surah al-Israk: 23)

Kedua, qaulan makrufan atau kata baik yang disebut al-Quran empat kali. Kata baik ini dikaitkan dengan hubungan manusia sesama mereka yang mempunyai kedekatan seperti suami isteri (Surah al-Baqarah: 235), anak yatim, orang miskin dan kerabat (Surah al-Nisa: 8), orang di bawah jagaan kita (Surah al-Nisa: 5) dan orang yang sentiasa berhubungan dengan kita (Surah al-Ahzab: 32)

Ketiga, qaulan layyinan atau kata lemah lembut dan disebut al-Quran sekali. Kata ini digunakan untuk menghadapi orang aniaya agar hati mereka tersentuh dan diharapkan boleh kembali ke jalan yang benar. Al-Quran menyebut maksudnya: Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut. (Surah Taha: 44)
Keempat, qaulan balighan atau kata yang boleh memberi kesan pada hati. Al-Quran menasihati kita menggunakan qaulan balighan ketika berdepan orang yang menentang sambil kita bersiap diri untuk berpaling daripada mereka. Perkataan ini disebut sekali dalam ayat 63 Surah al-Nisa.

Kelima, qaulan sadidan atau perkataan yang betul yang menepati kebenaran. Al-Quran menyebutkannya di dua tempat yakni ayat 9 Surah al-Nisa dan ayat 70 Surah al-Ahzab. Ia ditujukan kepada kita agar sentiasa berkata betul dan menepati kebenaran.

Allah berfirman maksudnya: Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat benar (dalam segala perkara), supaya Dia memberi taufik dengan menjayakan amal kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. (Surah al-Ahzab: 70)

Keenam, qaulan maysuran atau kata menyenangkan hati dan disebut al-Quran sekali saja dalam ayat 28 Surah al-Israk. Sheikh Abdullah Basmeh dalam mentafsir ayat ini berkata: Yakni jika kita tidak mampu hendak memberikan apa-apa kepada kaum kerabat atau orang miskin atau musafir yang memerlukan bantuan, lalu kita tidak melayani mereka kerana menunggu kedatangan rezeki daripada limpah kurnia Allah yang diharapkan, maka pada saat itu janganlah kita memperkatakan sesuatu yang mengecilkan hati mereka, tetapi hendaklah berkata kepada mereka dengan cara yang baik dan berterus terang.

Ketujuh, qaulan thaqilan yang dalam istilah harfiyahnya bererti kata yang berat. Ia disebut al-Quran sekali dan dikhaskan untuk persiapan menerima al-Quran sebagai aturan peraturan Allah di muka bumi seperti yang dijelaskan dalam ayat 5 Surah al-Muzammil.

Kelapan, qaulan aziman atau perkataan dusta yang amat besar. Ia disebut sekali dalam ayat 40 Surah al-Israk ditujukan kepada dakwaan batil orang musyrik dan kafir.

Kesembilan, al-qaul al-thabit atau kalimah tetap teguh seperti disebut dalam satu ayat saja yakni ayat 27 Surah Ibrahim yang bermaksud: Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Akhlak wakil takaful

Posted by epondok di April 13, 2010

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

 

Bakal pelanggan mesti diberi penerangan yang jelas tentang manfaat yang bakal diperolehi apabila membeli atau melanggan sesuatu produk.

 

AKAD perwakilan atau dalam bahasa Arab disebut sebagai wakalah bukanlah suatu perkara yang asing dalam masyarakat. Tidak kira sama ada individu tersebut beragama Islam atau tidak, mereka tentunya pernah berurusan dengan pihak lain dengan menggunakan akad perwakilan ini.

Contoh yang paling dekat adalah proses pilihan raya di mana masyarakat diberi peluang mengundi bagi memilih wakil yang membawa suara serta hasrat mereka ke peringkat lebih tinggi dan membela nasib rakyat.

Masyarakat juga biasa menggunakan perkhidmatan pos bagi menghantar surat-surat mereka. Itu merupakan beberapa contoh akad perwakilan yang berlangsung, sama ada disedari atau tidak.

Dari sudut bahasa, wakalah bermaksud memelihara, menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti.

Dari segi syarak, ia bermaksud ‘satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup’.

Para fuqaha sepakat bahawa akad perwakilan adalah harus di sisi syarak.

Menurut Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, ijmak ulama menerima perwakilan sebagai sebuah akad yang diharuskan kerana ia sangat diperlukan oleh orang ramai.

Tentunya hampir kesemua urusan seharian akan tertangguh. Allah SWT mengajar manusia tentang keharusan melaksanakan kontrak wakalah ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Utuslah (wakilkan) salah seorang daripada kamu membawa wang kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ), kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya untuk menghilangkan lapar kamu. (al-Kahfi: 19)

Bukan itu sahaja, sekiranya diamati hadis-hadis nabi, kita akan mendapati baginda SAW juga pernah mewakilkan sahabat-sahabat dalam melakukan sesuatu urusan bagi pihaknya. Antaranya, Rasulullah SAW sering mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan diberi upah. (al-Talkhis al-Habir, Jil. 1, hlm. 176, 251, 271).

Demikian juga dalam hadis yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW memberi ‘Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat al-Bukhari, no 3642).

Dalam industri takaful, kebanyakan syarikat pengendali menggunakan akad perwakilan dalam menjalankan operasi mereka. Sekurang-kurangnya terdapat dua aplikasi akad perwakilan dalam operasi tersebut.

lPertama, hubungan antara peserta dan syarikat pengendali takaful. Dalam konteks ini, peserta menjadi pewakil iaitu pihak yang mewakilkan urusannya kepada pihak lain.Peserta mewakilkan kepada syarikat untuk mengendalikan carumannya. Syarikat yang menjadi wakil kepada peserta akan memasukkan sebahagian carumannya ke dalam sebuah tabung yang akan digunakan sebagai dana untuk membantu peserta-peserta takaful yang ditimpa musibah. Perlu difahami bahawa dana yang disumbangkan tersebut tidak menjadi hak milik syarikat. Ia masih hak milik peserta sehinggalah ia dibayar kepada penerima. Syarikat hanya bertanggungjawab untuk pengurusan tabung mengikut kepakaran yang ada dan mestilah selari dengan prinsip-prinsip syariah. Sebagai balasan, syarikat berhak mendapat upah daripada peserta mengikut perjanjian yang dimeterai bersama pada permulaan kontrak.

lKedua, dari sudut hubungan antara syarikat dan ejen takaful. Untuk mempromosikan produk-produk takaful kepada prospek, syarikat biasanya akan menggunakan khidmat ejen-ejen takaful.Ejen-ejen tersebut akan bergerak di lapangan masyarakat untuk memperkenalkan produk-produk syarikat yang diwakili. Sekiranya mereka berjaya memikat hati prospek menjadi peserta takaful, syarikat akan membayar komisen sebagai upah kepada mereka.

Daripada penjelasan ringkas di atas, kita dapat memahami bahawa syarikat dan ejen adalah merupakan wakil takaful.

Sebagai wakil, kedua-dua entiti ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar kerana telah diberi amanah dan dibayar upah oleh pihak pewakil masing-masing.

Dalam menjayakan misi mempromosi produk-produk perlindungan yang berasaskan Islam, syarikat dan ejen takaful perlu mempunyai kefahaman tentang konsep takaful itu sendiri.

Ini kerana segala gerak kerja dan usaha tanpa memahami hala tuju dan objektif pastinya tidak akan terarah dan mungkin akan terpesong.

Justeru, perlu difahami bahawa mereka adalah sebahagian dari pasukan yang akan menyumbang ke arah pelaksanaan sistem kewangan Islam secara syumul. Melakukan amar makruf nahi mungkar serta membantu individu mendapatkan perlindungan terhadap keluarga dan harta bendanya.

Justeru, dalam menggapai peranan yang sangat besar ini, mereka perlu memastikan setiap individu yang terlibat sebagai wakil takaful mempunyai akhlak dan etika. Ia sangat penting kerana syarikat dan ejen takaful adalah pembawa panji Islam dalam meninggikan sistem kewangan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Sekurang-kurangnya terdapat empat akhlak utama yang perlu diterapkan kepada wakil takaful.

Pertama, wakil takaful perlu mempunyai sifat siddiq (benar). Syarikat pengendali takaful perlu mempunyai sifat benar dalam mengendalikan tabung peserta takaful.

Setiap transaksi dan upah yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Jika ada upah yang ingin diambil, syarikat perlu memaklumkannya kepada peserta-peserta takaful sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.

Oleh sebab itu, anggota-anggota Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang dilantik perlu sentiasa berperanan dalam memastikan operasi syarikat tersebut menepati prinsip dan kehendak syariah.

Mereka perlu peka dan sensitif terhadap segala perkembangan syarikat termasuklah pentadbiran, aktiviti, operasi dan produk-produk yang dikeluarkan.

Pihak pengurusan syarikat juga perlu telus dan jujur dalam memberikan penjelasan kepada MPS supaya maklumat-maklumat yang penting tidak tercicir daripada pengetahuan mereka.

Ejen-ejen takaful yang dilantik oleh pihak syarikat juga perlu benar dalam melaksanakan tugasnya bertemu para peserta. Ketika mempromosikan produk, mereka perlu benar dalam menyatakan ciri-ciri yang ada pada produk-produk tersebut.

Jangan berlebih-lebihan dalam berkata-kata sehingga sampai ke tahap berbohong demi menarik minat prospek untuk mengambil produk berkenaan.

Sabda Nabi SAW: “Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, golongan orang-orang yang benar dan para syuhada”. (riwayat Tirmidzi)

Akhlak kedua yang perlu diterapkan oleh wakil takaful adalah amanah. Dalam hal ini, peserta telah melantik syarikat untuk memikul amanah bagi mewakili mereka dalam menguruskan caruman mereka.

Setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Begitu juga dengan ejen-ejen takaful. Mereka mesti melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh kerana mereka diberikan upah oleh pihak syarikat.

Jangan melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat. Ini sekali gus akan merosakkan imej sistem kewangan Islam itu sendiri sehingga kadang-kadang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Akhlak ketiga yang perlu disematkan adalah tabligh (menyampaikan). Wakil takaful perlu menggunakan wadah tersebut untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.

Inilah masanya mereka dapat membuktikan kebaikan yang ada pada sistem kewangan Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah. Sekali gus boleh menyelamatkan manusia daripada elemen yang bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian) dan riba.

Dalam menyampaikan kebenaran ini, mereka perlu untuk menggunakan kaedah yang paling berhikmah. Justeru, wakil takaful perlu mempunyai akhlak yang keempat, iaitu fatanah (bijaksana).

Jangan terlalu tergesa-gesa dalam berhadapan dengan prospek sehingga menimbulkan suasana yang tidak harmoni. Gunakanlah metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam berdakwah. Tugas kita hanya menyampaikan, bukannya memberi hidayah.

Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT, yang akan diberi kepada mereka yang dikehendaki oleh-Nya sebagaimana firman-Nya dalam ayat 159 surah ali-‘Imran.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | Leave a Comment »