Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 April 2010

Cara AS bawah Obama hadapi Islam

Posted by epondok di April 12, 2010

Oleh Abdul Rahman al-Haqqi

Negara barat berpura-pura mendekati Muslim tetapi punya maksud tersirat untuk menghancurkan

SETELAH bekerja hampir setahun lamanya, akhirnya satu pasukan pemikir yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, pada Mei tahun lalu menghasilkan satu dasar baru untuk AS berdepan dengan negara Islam khasnya dan umat Islam amnya.

Pasukan yang diberi nama Global Engagement Directorate (GED) itu diketuai ahli Majlis Keamanan Kebangsaan (NSC) AS, Pradeep Ramamurthy dan dianggotai empat ahli. Tugas pasukan ini ialah melakukan diplomasi untuk tujuan keamanan nasional. Sejak dibentuk, pasukan itu tidak hanya mengubah makna memerangi keganasan, tetapi juga mengatur bagaimana cara AS melakukan perniagaan dan pelaburan di negara Islam, mempelajari pemanasan global, menyokong penyelidikan ilmiah dan menangani masalah kesihatan, seperti dilaporkan agensi berita AP Khamis lalu.

Keganasan masih menjadi pusat perhatian utama AS, namun oleh kerana Obama sudah berjanji akan membuka lembaran baru hubungan AS-Muslim seperti dalam ucapannya di Kaherah tahun lalu, beliau lebih banyak berbincang mengenai jaminan kesihatan, pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Strategi yang melihat dunia dari kaca mata keganasan adalah gaya pemerintahan pendahulunya, Presiden George W Bush. Dalam regim itu, ketika berbincang mengenai negara Islam maknanya adalah perang. Sehingga slogan hubungan antarabangsa AS ketika itu adalah ‘With Me or Against Me’. Obama bukan pemimpin AS pertama yang berusaha mendekati umat Islam, lapor Hidayatullah.com.
Bush memberikan al-Quran pertama kepada Rumah Putih, mengadakan majlis berbuka puasa dan menyokong secara terang-terangan negara yang melakukan demokrasi, seperti Turki. Namun demikian, Bush menyebut perang terhadap keganasan seperti memburu orang Muslim sebagai ‘perang salib’, menamakan pencerobohan ke Afghanistan dengan istilah ‘Operation Infinite Justice’, menjenamakan musuh AS sebagai ‘Islamic extremists’ dan ‘radical jihadists’.

Tidak mustahil Obama melakukan hal sama seperti Bush, lain di mulut lain kelakuan. Seperti yang ditunjukkan sebelumnya, menentang kebijakan Bush di Afghanistan tetapi mengirim pasukan lebih banyak. Janji menutup Guantanamo, tetapi hingga tempoh yang ditetapkan berlalu, janji itu belum juga direalisasikan.
Selagi manusia menganggap Islam sebagai musuh, maka selama itu juga manusia akan hidup dalam ketidakpastian dan melakukan perbuatan yang tidak masuk akal.
Sebagai contoh, ketika Perancis secara senyap menolak Islam tetapi terang-terangan menolak tudung dan jilbab, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, Rabu lalu di Paris memberi ulasan: “Kami berasa sulit untuk memahami mengapa kontroversi tudung berlaku hari ini di Perancis, sedangkan Perancis adalah salah satu tonggak sekularisme yang paling mendalam tertanam di masyarakatnya. Perancis rumah bagi enam juta Muslim dan masing-masing mempunyai keyakinan beragama dengan cara mereka sendiri.”

Walaupun menghadapi cabaran getir dalam perkara tudung dan jilbab beliau mengatakan: “Perancis harus menjadi negara sekular yang berdiri pada jarak yang sama daripada semua keyakinan agama.” Komen Erdogan pada saat majoriti kelompok pelampau sayap kanan di Perancis berusaha mempercepatkan larangan pemakaian tudung di tempat awam. Parlimen Perancis akan melaksanakan resolusi melarang pemakaian tudung dan jilbab di khalayak ramai pada Mei depan, seperti dilaporkan Islam Today.

Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Setiap ajarannya yang berupa perintah mahupun larangan tiada yang bercanggah dengan manusia dan kemanusiannya. Seperti yang diperkatakan seorang Arab Badwi yang menerima Islam seadanya: “Aku tidak menemui Islam menyuruh sesuatu kemudian akalku mengatakan ‘tidak’; dan ketika Islam melarang sesuatu kemudian akalku mengatakan ‘lakukan’. Al-Quran mengisyaratkan maksudnya:
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum: 30)

Perbuatan masuk akal dalam mendekati umat Islam tetapi ada muslihat di dalamnya atau perbuatan tidak masuk akal ketika berdepan dengan agama Islam kerana tertutup mata untuk melihat petunjuk Allah akan membawa padah kepada kedua-duanya.

Dalam perkara ini pengajaran dapat kita ambil daripada kisah Firaun ketika berdepan dengan Nabi Musa, pembawa agama Allah. Al-Quran menjelaskan maksudnya: “Dan Firaun pula berkata: “Wahai orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa daripada orang yang berdusta. Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami. Dengan sebab Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim.” (Surah al-Qasas: 38-40)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

10 Malaikat dan tugasannya

Posted by epondok di April 12, 2010

RUKUN iman yang kedua ialah percaya kepada malaikat. Setiap Muslim yang mengucap dua kalimah syahadah wajib mempercayai adanya malaikat yang juga makhluk Allah SWT yang diciptakan daripada cahaya.

Zat malaikat adalah halus, tidak nampak oleh mata kasar manusia biasa tetapi mampu dilihat oleh manusia yang luar biasa seperti Nabi dan Rasul.
Rupa malaikat yang sebenar hanya Allah SWT yang tahu. Namun, berdasarkan hadis, malaikat mampu menjelma dalam pelbagai rupa manusia dan makhluk lain.
Ia berakal, boleh berkata-kata dan mampu bergerak ke satu jarak yang jauh dalam masa singkat. Kewujudan malaikat semata-mata untuk taat dan menjalankan titah perintah Allah SWT.
Malaikat tidak makan dan tidak minum, tidak mengantuk dan tidak tidur, tidak juga ia berasa penat dan letih.
Malaikat sangat banyak bilangannya dan Allah SWT saja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu Tauhid, umat Islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka.

JIBRAIL: Tugasnya membawa wahyu daripada Allah SWT kepada Rasul dan Nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, banjir, ribut dan lain-lain lagi.
MIKAIL: Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan dan mengeluarkan hasil galian bumi.
ISRAFIL: Tugasnya untuk meniup sangkakala ketika sampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur. Sekali lagi ia meniup sangkakala itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.
IZRAIL: Tugasnya mengambil nyawa iaitu mematikan apabila sampai ajal dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat atau lewat walau sesaat.
MUNKAR: Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.

NAKIR: Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
RAQIB: Tugasnya menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan.
ATID: Tugasnya menulis dosa orang yang membuat mungkar dan kejahatan.
RIDHWAN: Penjaga syurga.
MALIK  ZABANIYAH: Penjaga neraka. Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 66: “Malaikat itu tidak menderhaka kepada Allah mengenai apa yang Dia perintah kepada mereka dan mereka membuat apa jua perintah oleh-Nya.”

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Desakan Kaji Semula Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama

Posted by epondok di April 12, 2010

ABABIL Mendesak Kaji Semula Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee)

Penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee) pada bulan Februari yang lalu di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya dikaji semula secara menyeluruh melibatkan tokoh-tokoh agamawan serta tokoh-tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama. Langkah ini bertujuan mencegah daripada berlakunya pertelingkahan yang melibatkan dasar agama terutamanya Islam yang memerlukan kefahaman kerangka asas Islam iaitu ‘aqidah dan syari‘ah serta kepakaran dalam pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith mengikut sumber kelimuan yang sahih lagi benar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini ditubuhkan bertujuan mengenal pasti dan menyelesaikan pertikaian berkaitan dengan agama bagi mengelakkan perselisihan faham yang boleh menggugat keharmonian negara. Namun begitu, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) berpendapat bahawa penglibatan ahli jawatankuasa serta matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini seharusnya dikaji semula dengan lebih mendalam dan telus.

Jawatankuasa ini yang bernaung di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya memfokuskan perpaduan kaum yang melibatkan kepelbagaian kebudayaan serta adat resam dalam masyarakat dalam mewujudkan keharmonian negara. Penglibatan JPNIN dalam mewujudkan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama sedikit sebanyak menyisih bidang kuasa autoriti agama yang lain secara tidak langsung seperti Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan lain-lain lagi.

Malah, penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini dilihat tidak bertujuan membawa perpaduan antara agama tetapi lebih kepada toleransi antara agama. Perkara ini perlu dipandang serius kerana tujuan perpaduan antara agama sepatutnya melibatkan pendidikan yang intensif kepada masyarakat dan bukannya perbincangan setelah masalah antara agama terjadi. Dari perspektif Islam pula, perkara-perkara yang berkaitan ‘aqidah dan syari‘ah tidak wujud soal toleransi sehingga mengorbankan prinsip asas dalam Islam seperti yang terkandung di dalam surah al-Kāfirūn, surah ke-109 ayat ke-6 iaitu,

Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku

Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, antara perkara yang akan dibincangkan di dalam jawatankuasa ini ialah isu kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh Herald Tribune. Di samping itu, menurut ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama, Datuk Ilani Datuk Isahak, pertikaian agama yang bakal diketengahkan juga termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah-rumah ibadat dan isu tanah perkuburan. Jika dilihat secara jujur, kesemua isu ini langsung melibatkan hubungan Islam dengan agama-agama lain. Situasi ini nampaknya begitu serius kerana perkara-perkara yang disentuh bukanlah perkara-perkara remeh dalam Islam, tetapi perkara yang melibatkan dasar Islam itu sendiri iaitu ‘aqidah dan syari‘ah. Kebimbangan ABABIL bertambah kerana dasar-dasar perbincangan ini seakan-akan mirip tujuan penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu.

Bagi sesebuah jawatankuasa yang bertujuan menyelesaikan pertikaian agama, keahlian seharusnya diberikan kepada orang yang benar-benar pakar dalam bidang keagamaan. Islam terutamanya menekankan dasar keilmuan al-Qur’an dan al-Hadith dalam meletakkan prinsip hidup seseorang Muslim serta masyarakat di atas jalan yang benar. Kegagalan dalam menguasai bidang keilmuan sebegini boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat timbul sehingga menyebabkan kesesatan ‘aqidah yang menjadi pegangan asas seseorang Muslim.

Walaupun Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan jawatankuasa ini tidak melibatkan ahli politik, tetapi Datuk Ilani Datuk Isahak merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu yang berlatarbelakangkan politik secara langsung. Ketelusan dalam pemilihan Ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini sepatutnya dititikberatkan dengan memilih tokoh agamawan yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik dan diiktiraf oleh semua agama.

Penglibatan ulama’ yang diiktiraf bagi mewakili masyarakat Islam seharusnya di ambil kira sebagai langkah utama. Kepakaran ilmu golongan ulama’ sangat penting dalam menentukan sesuatu keputusan berkaitan masalah-masalah yang melibatkan Islam. Kesilapan tidak meletakkan ulama’ yang benar untuk membincangkan perkara dasar Islam dalam jawatankuasa ini menyebabkan ketegangan antara agama di Malaysia khususnya akan menjadi lebih parah seperti kata pepatah “tikus membaiki labu”.

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) di bawah Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) mendesak kajian semula terhadap penglibatan ahli Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini yang sepatutnya mengambil ulama’, tokoh agama dan tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama bagi mengelakkan kecelaruan dasar agama yang seterusnya menggugat keharmonian negara. Matlamat utama jawatankuasa ini juga sepatutnya dijelaskan secara telus supaya bidang kuasa mutlak Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan serta badan-badan autoriti agama yang lain tidak diketepikan secara langsung atau secara halus.

‘Izzat Anwari bin Hasni

Koordinator

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)

Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »