Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perundangan Islam dilindungi Perlembagaan

Posted by epondok di April 11, 2010


Tulisan Zainul Rijal

Orang ramai sepatutnya hormati, tak pertikai pengiktirafan terhadap undang-undang syariah

APABILA kita bercakap mengenai hak, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada merujuk kepada undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah sumber kepada segala hak yang berbangkit. Segala yang dinikmati rakyat, hendaklah mempunyai susur galurnya kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tokoh perundangan negara, Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, berkata hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

Pertama, hak dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada warga negara atau tidak. Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 13 (hak terhadap harta). Perlembagaan tidak membezakan sama ada seseorang itu warga negara atau tidak.

Kedua, hak diberikan kepada warga negara saja seperti hak bersuara dan berhimpun iaitu dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran (Perkara 12) Perlembagaan Persekutuan. Hak itu hanya dinikmati warga negara Malaysia saja, rakyat asing tidak mempunyai hak sama seperti warga negara dalam aspek ini.

Ketiga, hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7, hak mendapat ganti rugi jika tanah diambil dan Perkara 13 hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain, hak yang termasuk dalam kategori itu boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika darurat dalam negara sahaja. Dalam situasi lain, perlembagaan menjamin hak itu dilindungi.

Keempat, hak dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya. Oleh yang demikian walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, ia bukan bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan oleh Perlembagaan itu sendiri.

Kelima, hak yang dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak itu berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.
Tulisan kali ini cuba mengupas kategori kelima iaitu kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Undang-undang itu menikmati kedudukan lebih tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat melalui cara yang tidak diperuntukkan Perlembagaan.

Undang-Undang itu termasuklah Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapa boleh mempertikai undang-undang disebutkan diatas.

Tidak keterlaluan dikatakan kedudukan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sewajarnya jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain, maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Kedudukan yang sah undang-undang Islam sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan, sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir pandangan perundangan negara kerana ia melupai sejarah perundangan negara dan juga kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang meletakkan undang-undang Islam di tempat tinggi.

Malah identiti negara dan tindakan sesetengah golongan sering kali bertentangan dengan undang-undang Islam ini. Janganlah kita memaling muka terhadap undang-undang Islam tanpa mengkaji susur galur sejarah, kedudukan dan kehendak majoriti umat Islam di negara ini. Apa yang lebih penting ialah kita mengetepikan emosi dan mengkaji undang-undang Islam dengan hati ikhlas bagi mencari kebenaran. Sudah pasti jalan lurus akan ditemui.

Undang-undang Islam seharusnya menjadi penaung yang menambat undang-undang lain daripada dihakis. Ini kerana kedudukan Islam sebagai agama persekutuan seperti terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan hakikat bahawa walaupun dalam keadaan darurat undang-undang Islam tidak langsung terjejas.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk Undang-Undang Keluarga Islam masih berkuatkuasa. Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh beroperasi dan orang Islam masih boleh melaksanakan upacara akad nikah menurut Undang-Undang Keluarga Islam. Inilah keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Malah keistimewaan yang dinobatkan kepada undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah selama ratusan tahun. Sedangkan penjajah juga tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam takkan selepas lebih lima dasawarsa negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam. Meletakkan Islam di tempat sewajarnya sejajar ketinggian agama Islam sebagai agama persekutuan yang tersurat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat tetapi hanya alat bagi kita mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah suatu tolak ansur dan garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum perlembagaan wujud. Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini. Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat.

Undang-undang Islam harus terus menjadi tulang belakang dan kekuatan undang-undang negara. Tanpa undang-undang Islam asas pembentukan negara juga akan menjadi kucar kacir, malah rakyat juga akan hilang keperibadiannya. Setiap rakyat mesti menerima kedudukan ini dan prasangka yang buruk terhadap perundangan syariah hendaklah dihapuskan.

//  

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: