Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 April 2010

Perbezaan mujtahid bukan untuk berpecah-belah

Posted by epondok di April 8, 2010

Oleh Hasliza Hassan

Taklid mazhab penyelesaian terbaik rungkai masalah ummah mengikut peredaran zaman

PEMIKIRAN anti mazhab dibawa ulama modenis-reformis menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap ilmuwan silam termasuk ulama sejati yang dikatakan seolah-olah membekukan daya cipta masyarakat Islam dan fahaman taklid dituduh membantutkan akal serta pemikiran masyarakat Islam.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Sani Badron, berkata kelompok itu bercita-cita mendirikan jaringan aliran baru berdasarkan fahaman sendiri yang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Katanya, usaha mereka itu berlawanan aliran lama yang bertaklid kepada mujtahid mazhab yang berusaha menangani masalah besar terkandung dalam risalah Nabi Muhamad SAW sebagai rahmat membawa manfaat untuk manusia seluruhnya

“Apa yang cuba dibawakan mereka adalah mempersoalkan perkara remeh yang dijadikan masalah besar dan tindakan itu amat memalukan apabila masyarakat melihat golongan agama hanya membahaskan, tidak membaca qunut atau talkin.

“Imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Malik, Ibn Hanbal dan Al-Syafi’e memainkan peranan menyelesaikan persoalan yang timbul dalam perhubungan orang Islam pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam,” katanya pada Muzakarah Pakar Adab Terhadap Mazhab: Masalah dan Penyelesaian anjuran IKIM.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Puak Anti Mazhab: Beberapa Pengamatan’ berkata tindakan memperbesarkan perkara kecil menyebabkan masalah besar yang benar-benar membelenggu ummah gagal ditangani.

Selain itu katanya, kebelakangan ini banyak pihak suka mengeluarkan pandangan peribadi memberi hukum berasaskan hawa nafsu dan lebih teruk apabila dikelirukan isu popular seperti kepentingan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara.
Mohd Sani berkata, Islam tidak menentang perbezaan pendapat dengan syarat ia bukan mengikut hawa nafsu tetapi merujuk kepada sumber sama, cuma berbeza dari segi pendekatan sudut pandangan.

Antara mazhab katanya, perbezaan pandangan bukan dengan menambah perkara baru tetapi pada cara memahami, mengesahkan nas serta menetapkan hukum daripada makna terkandung dalam nas yang sama.

Malah, pandangan pertama tidak bertentangan dengan pandangan kedua tetapi digarap untuk menjawab dua perkara berbeza bukan disebabkan hukum berbeza, sebaliknya zaman atau perkembangan semasa yang berlainan.

“Perpaduan umat terjamin apabila ada kesatuan pemikiran iaitu faham bahawa dua orang mujtahid boleh berbeza kesimpulan dalam pelbagai masalah dan kedua-dua kesimpulan adalah fiqh yang sah,” katanya.

Mohd Sani berkata, hala tuju golongan agama terdiri daripada imam mujtahid adalah jelas kerana 60 peratus daripada ratusan ribu huraian isu syariah meliputi keperluan awam serta negara, perundangan syariah dan muamalah.

Contohnya, apabila Imam Abu Yusuf mengarang kitab al-Kharaj, beliau memberi panduan kepada Khalifah Harun al-Rashid mengenai hasil pendapatan negara termasuk mengenai pembahagian tanah berdasarkan nilai dan produktivitinya, perbezaan kadar hasil, perbezaan status petani yang dihurai secara menyeluruh dengan undang-undang sangat tersusun.

Katanya, imam mujtahid memberi jawapan yang memuaskan bukan hanya kepada soal bacaan Yasin malam Jumaat dan bilangan rakaat solat tarawih tetapi bagaimana untuk menyatukan umat Islam dalam mendepani undang-undang dan tatacara asing dalam urusan pentadbiran masyarakat.

“Wawasan mereka adalah mewujudkan garis panduan asas yang boleh diguna pakai dalam mendepani tahap perkembangan masyarakat dan kemajuan akal manusia. Mereka memahami kehidupan sentiasa berjalan akan menimbulkan banyak perubahan yang perlu ditangani ijtihad bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Katanya, menyempitkan konsep ilmu menyebabkan ulama sibuk bertengkar serta memeningkan kepala mengenai perkara kecil yang menimbulkan perselisihan sia-sia dan tidak menguntungkan ummah.

Sepatutnya, isi kandungan al-Quran, al-Sunnah dan khazanah ilmu huraian imam mujtahid dimanfaatkan dalam mengenal pasti permasalahan sebenar dan mencari penyelesaian untuk diterjemahkan dalam polisi negara demi kepentingan masyarakat.

Itulah sepatutnya usaha golongan agama yang tidak henti-henti meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ummah melalui pencarian hukum penyelesaian terbaik dan perundangan alternatif hingga wujud keseimbangan ilmu dunia, sains dengan nilai kehidupan.

Mohd Sani berkata, mazhab menyediakan untuk umat Islam ribuan jawapan yang betul berasaskan ilmu kepada soalan bagaimana mentaati Allah secara terperinci selain memutus serta menghurai perintah al-Quran dan sunnah mengikut kes demi kes.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks bertaqlid hendaklah berasaskan ilmu bukan secara membuta tuli seperti anak guam mengikut peguam, ahli perniagaan mengikut akauntan dan pesakit mengikut nasihat doktor.

“Mazhab bukan hasil kerja seorang mujtahid tetapi himpunan sarjana yang meneliti syariah melalui pembahagian tugas dan pengkhususan dalam jangka waktu panjang bagi menghasilkan karya perundangan lebih baik untuk menawarkan Islam sebagai sistem hidup yang padu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr Uthman El Muhammady, berkata amalan bermazhab adalah jalan beragama bagi yang bukan mujtahid seperti bidang kehidupan lain iaitu mereka mampu memimpin menjadi pemimpin sementara yang tidak mampu termasuk golongan dipimpin.

Namun, dalam kehidupan bermazhab hendaklah memahami adabnya antaranya menghormati perbezaan pendapat yang berlaku supaya menjadi rahmat yang memberi kebaikan kepada semua bukan menimbulkan masalah.

“Manusia ada yang mempunyai kelebihan ilmu dan ada yang tidak. Maka yang mempunyai kelebihan ilmu serta akal, memimpin mereka yang lain dalam hal kehidupan termasuk perkara agama yang menyentuh hidup abadi,” katanya.

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kebejatan sosial: Gagalkah cara pendidikan kita?

Posted by epondok di April 8, 2010


Oleh – Dr Aminudin Mansor

Sesekali kita harus bertanya pada diri dan berfikir dengan akal waras tentang arah tuju anak cucu lima atau 10 tahun akan datang. Dunia tanpa sempadan, segala maklumat sama ada baik atau buruk sepantas kilat masuk dan berada dalam bilik dan rumah kita. Mampukah anak-anak dan cucu-cicit kita menolak dan menangkisnya dengan keimanan yang kental?

Di luar rumah pelbagai gejala sosial dan penyakit rohani menggugah keima-nan. Bayangkan segala kemungkaran berlaku di depan mata. Penjualan CD yang memaparkan pelbagai adegan seks lucah di kaki lima dan pasar malam, tiada rasa segan dan malu lagi. Kafe siber tumbuh bagai cendawan selepas hujan di setiap barisan kedai di bandar-bandar sering menjadi kunjungan remaja.

Kajian psikologi sama ada barat atau Islam, membuktikan, pengaruh permai-nan dan CD yang memaparkan unsur seks ini banyak menyerap dan mem-pengaruhi tingkah laku remaja. Mereka tidak lagi minat untuk belajar dan memfokuskan cita-cita ke arah kejayaan dalam hidup. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan pelbagai penyakit rohani dan perlakuan jenayah seperti hasad dengki, riak, mudah marah, ingin membunuh diri, zalim, dan kejam mempengaruhi akal dan emosi.

Sementara di sekolah, guru-guru ber-tungkus-lumus mendidik dan mengajar pelajar ke arah kebaikan. Guru-guru seakan letih tetapi masih tabah dan sabar mendidik. Apabila murid atau pelajar pulang ke rumah adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa pula mendidik dan membentuk anak-anak mereka mengikut acuan yang mereka kehendaki. Segala kebahagiaan bermula daripada didikan di rumah dan sekolah.

Di luar sekolah dan dalam masyarakat pelbagai gejala negatif berlaku seperti pergaulan bebas, perceraian, gejala seks bebas, penyalahgunaan dadah, penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi semakin bertambah. Adakah masyarakat kita tidak seimbang lagi dari segi intelek, rohani dan emosi mereka? Atau adakah cara dan sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan mempunyai nilai-nilai murni dan kemanusiaan?

Falsafah Pendidikan Kebangsaan amat jelas menyatakan, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan berse-padu untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan keper-cayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Falsafah pendidikan ini diterapkan dalam sistem pendidikan, disampaikan melalui pengajaran dan pembelajaran secara formal dan tidak formal di dalam atau di luar kelas. Jika diteliti falsafah ini amat lengkap dan seimbang. Menjadi masalah ialah gejala di luar lebih hebat melalui pengaruh rakan sebaya, perse-kitaran dan gaya hidup semasa.

Justeru, kita wajar kembali mendidik anak-anak sejak kecil, remaja hingga dewasa dan berterusan ke akhir hayat dengan didikan akidah, ibadah, akhlak serta mengambil teladan daripada sirah, tokoh dan tamadun Islam silam. Sejarah banyak mengajar dan mengingatkan sesuatu bangsa itu akan musnah apabila tiada penyatuan, keimanannya lemah dan goyah. Oleh itu, bagi menghadapi dunia globalisasi; akal budi, jiwa, dan hati mestilah dididik dengan keimanan utuh dan mantap bagi kelangsungan generasi akan datang.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Akademi Fantasia: Rugikan Umur Muda, Penerus Agenda Syaitan

Posted by epondok di April 8, 2010

 Oleh: ustnik

“Akademi Fantasia musim ke 8 bermula. Alhamdulillah, saya bukan peminatnya. AF bukan hanya sebuah hiburan. Ia juga bukan hanya mencari juara rakyat, eeh juara sebuah program realiti hiburan. Antara realiti hiburan fantasia tidak lama. Hidup hanya sekali. Umur muda juga singkat. Kematian pula tidak mengenal usia. Realiti kehidupan bahawa kita perlukan bekalan mengadap Allah dan menghadapi alam barzakh dan Akhirat yang lebih dahsyat.

 

Mereka yang menyertai AF menghabiskan sebahagian usia emas mereka untuk sesuatu yang kosong, tidak ada nilai di sisi Allah. Membetulkan suara, bes atau trebel, menghafal lagu orang lain, belajar menari untuk lagu sesuai..bla, bla, bla… hanya sebuah kesesiaan hidup dan umur muda. Ini bukan isu anti hiburan secara membuta-tuli, tetapi kerana hiburan dan industri muzik menjadi buta dari melihat hakikat hidup dan mentulikan telinga dari mendengar nasihat.

Nabi mengingatkan ‘Tidak berganjak kaki seorang manusia itu di Akhirat sehingga di tanya tentang, antaranya umur muda ke mana dihabiskan..’ Orang muda yang dapat menggunakan umur mudanya untuk sesuatu yang bermanfaat juga dipuji Nabi dalam pelbagai hadis Baginda SAW. Mengejar populariti, glamour, nama, wang yang banyak dengan kelulusan akademik yang sedikit, semuanya itu hanyalah tipu-daya dunia sahaja. Ruginya umur mudamu, ruginya, ruginya..

AF juga bukan hanya program mencari juara hiburan, tetapi hakikat dan realitinya ia adalah penerus agenda syaitan. Bukankah profesion syaitan itu mahu menyesatkan manusia? Mereka akan menggunakan segala cara, kaedah dan jalan bagi memalingkan manusia dari jalan Allah. AF mendedahkan kepada cara hidup bebas, bergaul tanpa batas, semuanya halal. Hiburan, muzik, lagu adalah aktiviti hidup paling utama. Kelalaian yang melampaui batas dihiaskan oleh syaitan sebagai sesuatu yang menarik. Setakat ini nampaknya syaitan berjaya dalam misinya. Allah tiada dalam ingatan, syarak dipinggirkan dalam kehidupan, halal haram dipersetankan.

Bagi seorang mukmin muttaqin, ia melihat apa yang dicari dan dikejar oleh peserta AF dan rakan sewaktu dengannya (Mentor, anugerah-anugerah fasiq berprestij-ABP, AJL dan lain-lain) hanya igauan fatamorgana manusia yang sedang diulit mimpi dan fantasi, yang kelak mereka akan tersedar dan terjaga di saat Mungkar Nakir menziarahinya di alam barzakh. Insaflah wahai mereka yang sedang berfantasi.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »