Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2010

Ambil peduli keadaan sekeliling suatu kewajipan

Posted by epondok di Mac 31, 2010

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

 

Rasa cintakan alam sekitar perlu dipupuk sejak kecil.

 

SIKAP peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak balas terhadap hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup bermasyarakat.

Mengambil tahu masalah secara positif menggalakkan remaja menjadi seseorang yang prihatin terhadap keperluan dan masalah orang lain, berusaha untuk bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah, serta mendidik remaja supaya dapat merenung hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu kejadian.

Hikmah rasa peduli

Rasa peduli sememangnya amat penting diamalkan oleh remaja dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Ia bermula dengan isteri atau suami dan anak-anak, anggota keluarga dan akhirnya kepada masyarakat.

Bayangkan sekiranya remaja berada di tempat kerja, rasa peduli amat dituntut. Sebagai pekerja kita berada dalam suatu suasana muafakat, kerjasama dan saling berinteraksi.

Apabila ada orang yang miskin dan susah memerlukan bantuan, rasa peduli akan menerbitkan perasaan untuk membantu sedaya mampu.

Apabila mendengar kesakitan orang lain terhadap kesempitan yang dihadapi, rasa peduli akan mendorong remaja turut sama merasai atau berkongsi keperitan yang dialami.

Ada orang yang zaman kanak-kanak dan remajanya tidak seindah seperti golongan seusianya. Ada yang hidup mewah dan keperluan zahir dijaga, tetapi keperluan kasih sayang tidak dipenuhi.

Ada yang hidup miskin dan tidak berkemampuan, tetapi dilimpahi dengan didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa dan penjaga. Namun yang lebih menyedihkan sekiranya miskin harta dan kasih sayang.

Keperluan anak-anak yang tidak seimbang seperti ini harus diambil peduli dan dibantu supaya tidak tercicir serba serbi dalam arus dunia yang semakin pantas dan mencengkam.

Intimnya kaitan rasa peduli dengan remaja bertujuan mendidik mereka bahawa hidup ini memerlukan orang lain dan keperluan untuk berhubung serta berinteraksi.

Sebahagian remaja kadang-kadang sudah terdidik dengan sifat bersendiri, tidak peduli orang lain, hilang hormat kepada ibu bapa dan orang tua, hilang adab kepada jiran dan orang lain.

Sikap sebegini tidak menyumbang ke arah pembinaan masyarakat. Bayangkan kalau di peringkat remaja lagi sudah ada sikap individualistik. Pasti akan terbawa-bawa hingga dewasa.

Rasa peduli mestilah dalam batas pengertian yang mendalam, keinsafan yang tinggi bahawa sebagai hamba Allah kita memerlukan bantuan, sumbangan dan derma dalam keadaan-keadaan tertentu.

Bayangkan sekiranya kita ditimpa bencana, kesusahan dan kepayahan hidup pasti kita memikirkan bantuan dan pertolongan orang lain. Sekiranya rasa peduli itu subur pada diri remaja ia menjadi asas membina sikap tidak sombong dan tidak angkuh dengan apa yang ada pada dirinya.

Sekiranya rasa peduli itu teguh pada remaja, apabila dewasa ilmu yang ada dapat digunakan untuk menyumbang terhadap orang lain. Kepakaran yang ada memudahkan pihak yang memerlukan, banyak membantu kerja-kerja sukarela. Amalan begini boleh memupuk rasa muhibbah dan kemanusiaan tinggi sesama manusia.

Ambil peduli, bukan ‘menyibuk’

Malangnya apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini adalah kita terlalu takut atau sememangnya tidak peduli akan masalah dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita.

Peristiwa penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi, jenayah, kes-kes dadah dan rogol yang menjadi-jadi sewajarnya membangkitkan perasaan peduli terhadap suasana sekeliling.

Frasa ‘jangan menjaga tepi kain orang’ tidak harus dianggap pengabaian terus terhadap hal-hal yang terjadi di luar lingkungan urusan kita.

Orang tua-tua dahulu mentafsir pepatah tersebut sebagai jangan ‘menyibuk’ hal orang lain atau masuk campur hal orang lain dengan tujuan tidak baik.

Ia bukanlah bermaksud untuk tidak ambil tahu langsung terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, tetapi tidak masuk campur secara berlebih-lebih supaya tidak timbul perkara yang kurang menyenangkan kemudian hari.

Rasa peduli mestilah berasaskan sifat ikhlas dan tulus supaya sikap ambil tahu kita adalah pancaran suci jiwa untuk membantu dan menolong di mana yang perlu.

Di sini perlunya rasa peduli yang positif supaya kita terus maju dan membangun. Ada juga rasa peduli terhadap perbuatan buruk seseorang yang menyebabkan timbul umpatan, keji-mengeji dan dan fitnah memfitnah.

Memang benar apabila rasa peduli itu terbentuk secara negatif, ia melahirkan sikap negatif pula. Umpatan, kejian, dan fitnah memfitnah bukanlah cara yang diajar oleh Islam untuk memanjangkan rasa peduli terhadap orang lain. Islam melarang kita mengaibkan orang lain dan diumpamakan sebagai meratah daging saudara sendiri.

Apa yang terjadi baru-baru ini terhadap golongan kanak-kanak sememangnya amat kita kesali. Bukan sahaja perbuatan suspek dan sekutunya dibenci, malah sikap penduduk sekeliling yang tidak peka dan tidak prihatin amatlah dikesali.

Tentunya kita tidak dapat membayangkan keadaan masyarakat di masa akan datang sekiranya terus dengan sikap tidak peduli atau takut bertindak menentang kekejaman di hadapan mata.

Menolong orang yang dalam kesusahan adalah suatu yang digalakkan dalam Islam, apatah lagi sekiranya ia berlaku di hadapan mata sendiri.

Pernah penulis mendengar cerita seorang pengacara di televisyen tentang pengalamannya diketuk pintu dan diperiksa oleh pihak polis di luar negara pada tengah malam kerana hanya anaknya menangis kuat dan lama.

Setelah itu baru diketahui bahawa jiran-jiran sekeliling telah melaporkan kejadian itu kerana khuatir sesuatu yang buruk telah berlaku kepada anaknya itu kerana mendengar tangisan luar biasa anak pengacara tersebut di tengah-tengah malam.

Selepas diperiksa bahawa anak itu dalam keadaan baik, maka barulah pihak polis pulang dan jiran-jiran dapat tidur dengan lena tanpa memikirkan sesuatu yang buruk telah terjadi pada kanak-kanak itu.

Barangkali sesetengah orang akan membayangkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang melampau dan terlebih-lebih. Tetapi ada baiknya kita mencontohi kisah dan sikap kepedulian jiran-jiran terhadap keadaan sekeliling kerana keprihatinan dan kepedulian terhadap sesuatu hal bukan sahaja mampu menyelamatkan keadaan, malah juga nyawa.

Justeru, remaja harus ingat bahawa umat Islam adalah bersaudara. Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengambil tahu dan mempunyai rasa peduli terhadap orang lain adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam.

Kesimpulan

Sikap peduli sangat penting untuk dipupuk dan diamalkan sedari kecil. Kanak-kanak diajar untuk menghormati orang lain, peka terhadap perasaan sendiri dan orang lain serta dididik dengan sikap menginsafi keadaan orang lain yang dalam kesusahan.

Zaman remaja pula diperkukuhkan dengan sikap suka menolong dan ringan tangan untuk membantu ibu bapa dan orang sekeliling yang memerlukan. Apabila didikan-didikan ini dibajai dengan baik, remaja akan menginsafi bahawa mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan bantuan orang lain pula.

Sekiranya remaja sudah terbina dengan asas peduli yang baik, dengan sendirinya akan lahir masyarakat yang terbina dengan sifat kasih sayang dan tolong menolong ke arah kebajikan dan kebaikan bersama.

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Zina punca gejala buang bayi berleluasa

Posted by epondok di Mac 31, 2010

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

 

SECARA fitrah, manusia berkembang biak melalui proses persenyawaan telur antara benih lelaki dan wanita, yang kemudiannya menghasilkan segumpal darah dan membesar dalam rahim seorang wanita. Fitrah itu juga mensyaratkan agar benih yang lahir itu mestilah zuriat yang sah dan proses pengesahannya adalah dengan perkahwinan.

Pada zaman dahulu, jika seseorang wanita melahirkan anak tanpa ikatan perkahwinan yang sah, akan menerima kutukan dan seksaan budaya masyarakat. Kerana itulah ramai ahli masyarakat menjadi takut sehingga cepat-cepat melangsungkan perkahwinan anak perempuan sebaik sahaja melepasi umur baligh.

Kebimbangan itu berasaskan kepada tanggungjawab untuk membesarkan anak yang dilahirkan. Jika tanpa dipagari oleh keabsahan keluarga, anak tersebut akan menderita sepanjang hayat. Perkembangan pemikiran manusia telah menyebabkan peraturan moral sedemikian semakin diketepikan, kerana ada menganggap bahawa perkahwinan mengongkong dan proses pembubarannya menempuh liku dan tempoh yang panjang.

Perkembangan pemikiran secara liberal dan bebas itu telah menyemarakkan satu pandangan baru, bahawa atas persetujuan bersama lelaki dan wanita, boleh tinggal sebumbung selama mana mereka mampu bertahan tanpa ikatan perkahwinan. Pelenturan pandangan moral dan agama itu menyebabkan amalan tinggal serumah atau bersekedudukan menjadi pola budaya masyarakat negara-negara maju. Kini, pola itu turut berkembang dan menjadi tempias masyarakat negara-negara membangun sehingga bersekedudukan itu adalah satu amalan biasa.

Paling menyedihkan apabila bersekedudukan tanpa tanggungjawab itu mencarum pula kepada permasalahan membuang bayi. Oleh kerana tekanan masyarakat di negara-negara membangun masih besar terhadap nilai moral, budaya dan agama, maka bayi yang dilahirkan oleh pasangan tanpa pernikahan menimbulkan masalah baru. Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia menjadi satu kegilaan yang paling kejam.

Kesan perlakuan zina menyaksikan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana. Apabila mendapati diri mengandung, mereka hanya mempunyai dua pilihan iaitu meneruskan kandungan atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor atau cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri. Bagi yang merasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, akan timbul persoalan dan kebimbangan iaitu setelah kelahirannya, di manakah akan disorokkan bayi itu.

Islam amat melarang bersekedudukan kerana ia akan mengakibatkan perlakuan zina. Perlakuan zina bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk, tidak bermoral malah mencabar hakikat keinsanan itu sendiri.

Zina merupakan perbuatan membunuh dari awal-awal lagi. Ini kerana zina itu menumpahkan benih hayat pada bukan tempatnya yang sebenar dan diikuti pula oleh keinginan mahu menghindarkan diri daripada kesan-kesannya dengan membunuh janin sebelum ia membentuk rupa atau selepas ia membentuk rupa, sama ada sebelum atau selepas ia dilahirkan di dunia.

Andai kata janin itu dibiarkan hidup, maka biasanya ia dibiarkan hidup dalam satu kehidupan yang buruk atau kehidupan yang hina, iaitu satu kehidupan yang disia-siakan dalam masyarakat. Zina itu juga merupakan satu bentuk pembunuhan terhadap masyarakat, di mana berkembangnya kejahatan zina yang menyebabkan kehilangan hubungan keturunan dan percampuran darah keturunan dan seterusnya kehilangan kepercayaan terhadap kehormatan dan anak serta mengakibatkan kehancuran ikatan-ikatan masyarakat dan akhirnya membawa keruntuhan seluruh masyarakat.

Zina turut dilihat sebagai satu bentuk pembunuhan dan penyebaran benih kemasyarakatan yang tempang, merendahkan martabat manusia, dan hilangnya rasa bangga terhadap keturunan dan jurai keluarga. Bayangkan, apabila seseorang itu tidak mengetahui asal usul atau jurai keturunan, pasti jiwa berasa tersisih dan dilanda gundah.

Keserakahan nafsu yang menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasai nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah dan seterusnya berperang. Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku disebabkan perbuatan zina, termasuk membunuh sesama manusia.

Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh manusia.”

Bagi membendung perbuatan zina, Islam melarang pergaulan bebas bukan muhrim kerana ia mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana mencurigakan dan ia dimulakan dengan khalwat. Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Wanita digalakkan menghias diri semasa bersama suaminya, kerana ia bakal membangkitkan ghairah dalam keadaan halal.

Berhias dan kelihatan anggun dalam kelompok bukan muhrim akan menjerumuskan wanita dalam pelbagai masalah. Keinginan lelaki kepada wanita seksi akan menjadikan gelora nafsu tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda yang akhirnya menjurus kepada zina.

Islam menggalakkan perkahwinan kepada yang mampu, berpuasa kepada yang tidak mampu, melarang mengadakan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi. Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak-anak yang ramai.

Adalah digalakkan supaya diberikan subsidi atau bantuan kepada orang-orang yang ingin berkahwin agar dapat memelihara kesucian diri. Islam menjatuhkan hukuman paling berat ke atas pelaku zina, juga ke atas mereka yang menuduh perempuan baik tanpa bukti melakukan zina.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Golongan bersyukur dapat rasai nikmat ketenangan jiwa

Posted by epondok di Mac 30, 2010

Oleh Hashim Ahmad

NIKMAT dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung, dapat disukat dan ditimbang banyaknya. Allah berfirman bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah An Nahl: 18)

Imam Al Ghazali mendefinisikan nikmat sebagai setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup ukhrawi – hari akhirat yang kekal abadi. Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah dibahagikan kepada dua iaitu nikmat bersifat fitri atau asasi yang dibawa manusia ketika dilahirkan. Kedua, nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima atau dirasakan sewaktu-waktu. Nikmat bersifat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: “Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur – berterima kasih.” (Surah An Nahl: 78)

Nikmat yang dianggap mendatang ialah segala kenikmatan, kelazatan dan kebahagiaan diterima manusia sepanjang perjalanan hidup termasuk isi alam daripada tanaman, binatang ternakan serta sumber asas yang boleh dimanfaatkan. Firman Allah bermaksud: “Dan sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering). Kami hidupkan dan kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman yang sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur. Dan Kami pancarkan kepadanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur.” (Surah Yasin: 31-35)

Lumrahnya, manusia menyedari nikmat kurniaan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang (dicabut oleh Tuhan). Jika matanya rosak sebelah, kaki patah atau tangan kudung, barulah dia merasa nikmatnya mempunyai dua biji mata, kaki dan tangan yang tidak cacat.

Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit. Seseorang yang berkuasa atau berpangkat pula berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan.

Syukur ialah mengerti bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba adalah nikmat pemberian Allah. Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila ia gembira wujudnya nikmat pada dirinya yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil sahaja. Sesungguhnya, bersyukur kepada Allah wajib bagi setiap manusia. Firman Allah bermaksud: “Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh menyembah kepada-Nya.” (Surah An Naml: 144)

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat pada tempat bertentangan tujuan penciptaannya adalah mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya. Seseorang yang memukul orang lain dengan tangannya maka orang itu dikira mengkufuri nikmat, sebab tangan dijadikan Allah untuk mempertahankan diri bukan mencederakan atau membinasakan orang lain.

Sikap syukur untuk keuntungan manusia sendiri. Allah tidak mendapat apa-apa keuntungan dengan perbuatan syukur hamba-Nya. Sebaliknya, Allah juga tidak akan rugi dengan sikap kufur dan ingkar ditunjukkan manusia. Allah berfirman bermaksud: “Barang siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia.” (Surah An Naml: 40)

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Tuhan dan semakin sedar nikmat itu kurniaan Ilahi yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.

//

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Malaysia antara 10 tertinggi ambil arak di dunia

Posted by epondok di Mac 30, 2010

 Nazri Abdullah   

 

 

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun mempunyai bilangan rakyat hampir 26 juta sahaja, namun Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam pengambilan arak di dunia, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar).

Mendedahkan perkara itu di Dewan Rakyat lewat petang ini, beliau berkata, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

“Penjualan beer berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun,” dedahnya lagi sewaktu membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun semakin meningkat iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

Antara faktor peningkatan itu, jelasnya kerana mungkin arak jenis beer sangat mudah diperolehi di kedai-kedai.

Lebih membimbangkan apabila pendedahan arak dibuat di peringkat umur yang lebih awal.

Beliau sewaktu mengemukakan satu kajian, 19 peratus di kalangan pelajar sekolah menengah mengaku pernah meminum arak, manakala 1 peratus mengaku mengambilnya secara berterusan.

“Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital KL pada tahun 1993, 48 peratus daripada yang ditanya mengaku minum arak.

“Satu pertiga ketagih arak, 61 peratus adalah Cina, 60 peratus India dan 30 peratus Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya kepada isu ketagihan arak dan sering mengatakan ianya isu kaum India.

Arak juga jelasnya, dibuktikan bukan sahaja membahayakan kesihatan dan menyebabkan gejala sosial, namun kos rawatan penyakit disebabkan arak juga lebih tinggi berbanding pendapatan penjualannya.

“Negara kita dalam fasa lima mengaku bahawa Islama adalah agama Persekutuan, apakah menyebabkan dadah kita panggil najis dan sekiranya didapati mengedar dadah boleh dihukum gantung sampai mati.

“Tapi minuman keras, nikotin pada rokok, diberi layanan yang lain dan boleh didapati dengan berleluasa. Atas alasan apakah minuman keras tidak dimasukkan sekali dalam akta dadah merbahaya sedangkan kesannya atas kehidupan rakyat begitu meluas sekali,” soalnya lagi.

Trend di Asia, katanya menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun berbanding trend di negara Eropah yang semakin menunjukkan penurunan akibat kempen mereka yang agresif.

Peningkatan di negara ini juga, jelasnya akibat undang-undang terlalu longgar seperti Akta Aksais Seksyen 32 (1)(a) dan (b) mengecualikan penjualan todi dan beer dalam tin dan botol.

“Apabila saya menang di Kota Raja, saya didatangi sekumpulan India dari golongan pertengahan dan rendah.

“Mereka meminta tolong saya supaya memastikan arak dan todi tidak dijual secara mudah di kedai-kedai runcit,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, arak dan todi di kedai-kedai runcit pada waktu ini boleh diperolehi dalam plastik dengan harga RM2 atau RM3.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Rumah dibina berasaskan takwa disukai malaikat

Posted by epondok di Mac 29, 2010

Tulisan Ahmad Sabki

Kediaman hendaklah bersih, dihuni isteri solehah, orang bersilaturahim

 
DALAM Islam, besar atau kecil rumah itu bukan menjadi kayu ukur untuk menilai sama ada penghuninya kuat membuat amal ibadat kepada Allah atau sebaliknya. Bagi orang Islam, rumah bukan saja sekadar tempat tinggal untuk berlindung dari panas matahari atau sejuk hujan tetapi tempat untuk membuat amal ibadat kepada Allah selain di masjid dan surau. Sebagai tempat ibadat, rumah orang Muslim sewajarnya bersih, suci dan sentiasa disukai malaikat rahmat.

Siapa malaikat rahmat? Dalam al-Quran terdapat firman Allah yang menceritakan perihal malaikat. Ia adalah hamba Allah yang taat dan patuh atas apa saja yang diperintahkan Allah. Ertinya mereka tidak pernah sekali-kali ingkar atau menderhaka kepada Allah.
Dalam al-Quran (Surah al-Tahrim: 6) Allah berfirman maksudnya: “Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Dalam Surah al-Nahl: 30 pula Allah berfirman maksudnya: “Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaan-Nya) serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan (meliputi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan kerana bahawasanya yang ditegah dilarang melakukannya).”

Malaikat adalah hamba yang dimuliakan. Allah menjadikan mereka daripada cahaya. Mereka tidak makan dan minum. Tidak bernikah dan berketurunan, tidak bersifat dengan sifat lelaki atau perempuan.
Menurut apa yang dicatat oleh Muhammad As-Sayim dalam sebuah buku tulisannya, ada antara malaikat yang berdiri bertakbir kepada Allah beribu-ribu tahun. Ada antara mereka yang rukuk mengagungkan Tuhannya sejak beribu tahun dan ada di antaranya yang sujud bertasbih sejak beribu-ribu tahun. Ada di kalangan malaikat itu Allah jadikan mereka utusan untuk nabi seperti Jibril kepada Nabi Muhammad.

Firman Allah dalam al-Quran yang maksudnya: “Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap dua, tiga dan empat. Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Surah Fathir: 1.

Allah juga mewakilkan bagi tiap-tiap seorang manusia kawan dari kalangan malaikat dan kawan dari kalangan jin. Daripada Ibnu Masud r.a. katanya bersabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiada seorang daripada kamu melainkan diwakilkan kepadanya kawan daripada jin dan kawan daripada malaikat.”

Setelah mengenali malaikat dan tugasnya, satu asas yang membolehkan rumah orang Islam disukai malaikat rahmat (kenikmatan dan anugerah) ialah rumah yang bersih, dipenuhi dengan zikir, meriah dengan bacaan ayat suci al-Quran, menjalani kehidupan sehari-hari cara Islam dan dalam lingkungan sunnah nabi, makanan dan minumannya halal dan yang dikira penting penghuninya menjadikan rumah tempat rukuk dan sujud membesarkan Allah yang Maha Besar, Maha Agung, Maha Perkasa dan Maha Berkuasa atas segala-gala yang ada di atas dunia ini.

Rumah yang disebutkan itu adalah antara ciri-ciri rumah yang sentiasa dalam perhubungan dengan Allah sekali gus menjadikan rumah itu dikasihi Allah dan cahaya Muhammad. Dalam Surah al-Taubah: 112 Allah berfirman maksudnya: “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).”

Selain itu, rumah yang dibina berasaskan ketakwaan kepada Allah akan juga mendapat kunjungan dan disukai malaikat rahmat. Bila ini berlaku penghuninya akan menjalani kehidupan yang tenang, damai, tenteram, sejahtera serta berkasih sayang dalam bahagia.

Rumah yang dibina berasaskan ketakwaan tidak semestinya cantik reka bentuknya dan penuh perhiasan perabot yang antik dan mahal tetapi cukup dalam keadaan serba sederhana dalam semua segi: reka bentuk, perhiasan, makanan, minuman atau pakaian penghuninya.

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman, katanya Rasulullah menegah kita minum dalam bekas emas dan perak, serta makan di dalamnya, juga daripada memakai sutera yang duduk di atasnya.

Memadailah jika diutamakan hidup ini secara sederhana tetapi suci, bersih dan elok dipandang mata. Sifat demikian sebahagian dari ciri-ciri akhlak mulia. Dan Allah amat mengasihi orang-orang yang suka kepada kesucian dan sentiasa memelihara kebersihan. Firman Allah bermaksud: “Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” Surah al-Taubah: 108.

Lain-lain rumah yang disukai malaikat rahmat sekali gus tidak dimasuki syaitan adalah rumah yang dihuni isteri solehah, orang yang bersilaturahim, orang yang tidak menerima perkara bid’ah, orang bersifat benar dan memenuhi janji, orang yang bersifat pemaaf dan berbuat baik, orang yang berbuat baik terhadap ibu bapa, yang tiada perbuatan haram di dalamnya, orang yang menyimpan rahsia, orang yang merendah diri serta yang tidak menerima perkara keji.

Apapun, sebelum dikunjungi dan disukai malaikat rahmat, yang penting rumah orang Muslim wajib disinarkan dengan al-Quran dan diterangi dengan zikrullah dan penghuninya wajib menghiasi diri dengan mempelajari syariat Allah. Firman Allah dalam Surah al-Nur: 36 bermaksud: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingatkan nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadat menyuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

//

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Akhlak sebagai pekerja

Posted by epondok di Mac 29, 2010

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

KITA memerlukan kewangan yang cukup untuk meneruskan kehidupan, menyara keluarga dan membantu golongan yang memerlukan. Secara fitrahnya, dengan bekerja seseorang itu boleh memperolehi biaya dalam bentuk pendapatan.

Dalam Islam, bekerja adalah suatu yang dituntut dan dianggap sebagai satu kewajipan. Malah mereka diseru agar tidak bergantung kepada bantuan serta kasihan belas orang lain. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Mencari kerja yang halal itu adalah fardu selepas fardu”. (riwayat al-Baihaqi)

Dalam Islam, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah ia halal di sisi syarak. Dengan kata lain, ia tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti arak, judi, riba, menipu, menindas dan sebagainya.

Di samping itu, ia juga mestilah pekerjaan yang tidak menjejaskan kepentingan umum dan merosakkan reputasi masyarakat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah. (riwayat al- Bukhari)

Dalam pekerjaan bukan sahaja perlu dipastikan pekerjaan itu halal malah perlu juga memberikan perhatian kepada persoalan berkat. Untuk menikmati pekerjaan yang berkat di antara perkara yang perlu ialah dengan menjaga dan memelihara akhlak sebagai pekerja.

Persoalan inilah yang gagal dihayati dan diamalkan oleh kebanyakan pekerja. Kebijaksanaan dan kemahiran yang tinggi tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu cemerlang.

Sebuah syarikat atau organisasi tentunya tidak akan mengambil seseorang yang berkelulusan tinggi sebagai pekerja apabila mengetahui individu tersebut mempunyai sikap malas, kedekut, angkuh dan sifat-sifat negatif yang lain. Kelulusan dan IQ yang tinggi adalah sia-sia kalau tidak digabungkan bersama akhlak yang baik.

Dalam sesi temuduga kerja umpamanya, pihak penemuduga tidak harus hanya melihat kelayakan calon dari sudut akademik dan pengalaman kerja tetapi perlu mengambil kira sudut akhlak dan etika. Ini kerana akhlak sangat penting dalam membantu seseorang itu mencapai kecemerlangan berorganisasi.

Justeru Islam memerintahkan umatnya bukan sahaja perlu menjaga hubungan dengan Allah SWT (hablum minallah) tetapi juga hubungan dengan manusia (hablum minannas).

Tanpa akhlak yang baik, tentunya pekerja tidak dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja yang lain secara harmoni.

Dalam memilih seseorang pekerja, Islam meletakkan dua syarat penting agar pekerja itu bukan sahaja cemerlang dalam kerjanya malah cemerlang juga di sisi Allah, iaitu mempunyai fizikal yang sempurna dan mempunyai sifat amanah.

Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau hendak mengupahnya ialah yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26)

Seorang pekerja yang cemerlang perlu memahami dengan baik tugasnya. Dia tidak boleh bertindak semberono dalam melaksanakan tugas harian di tempat kerja.

Tanpa kefahaman yang jelas, pekerja itu akan menjadi seperti robot yang hanya tahu melakukan kerja tanpa memahaminya. Maka apabila berlaku sebarang masalah teknikal kerana kerosakan peralatan dan sebagainya, pekerja itu tidak dapat meneruskan kerjanya secara manual.

Ini juga memerlukan komitmen pegawai atasan untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada pekerja di bawah kelolaannya.

Untuk memahami tugas yang diamanahkan dengan lebih mendalam, maka pekerja itu tidak boleh merasa malu dan takut untuk bertanya.

Memang menjadi haknya untuk mengetahui perkara yang dilakukan. Pekerja juga perlu mengambil inisiatif tersendiri untuk berdikari di samping tidak terlalu bergantung kepada arahan pegawai atasan.

Pekerja juga perlu memelihara suasana yang penuh harmoni ketika berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Jauhilah sikap iri hati sesama sendiri. Bersaing dengan rakan-rakan lain secara baik.

Jangan mereka-reka cerita dan memfitnah rakan-rakan yang lain agar dirinya dapat dilihat yang terbaik berbanding yang lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Muflis di kalangan umatku, datang di hari kiamat dengan solat, puasa, zakat namun datang juga cercaannya kepada orang ini, makan harta orang itu, menumpahkan darah sana, memukul sini lalu diganti rugi dengan amalan baiknya sehingga habis semuanya lalu ia mengambil dosa mangsanya sehingga ia dilontar ke neraka. (riwayat Muslim)

Mutakhir ramai yang didapati meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pegawai-pegawai atasan atau majikan melalui saluran Internet seperti facebook, twitter, blog dan laman sosial yang lain. Perlakuan ini jelas bercanggah dengan etika dan akhlak sebagai anggota organisasi.

Ia akan menyebabkan imej syarikat atau organisasi buruk pada pandangan masyarakat luar. Maka reputasi baik syarikat akan terjejas dan sekali gus memberi kesan negatif terhadap pembangunan dan pertumbuhan syarikat.

Sepatutnya, para pekerja yang tidak berpuas hati terlebih dahulu berbincang dan mengadakan pertemuan dua hala dengan pihak majikan. Berikan ruang kepada pihak majikan memberi penjelasan berhubung isu yang ditimbulkan.

Jangan terlalu mengikut emosi sehingga membataskan akal yang waras untuk berfikir dan mencari penyelesaian dengan penuh bijaksana. Mungkin ada perkara-perkara sulit yang perlu dipertimbangkan oleh pihak majikan dalam membuat keputusan tersebut.

Di sinilah perlunya semangat saling-mempercayai antara satu sama lain. Tanpa kepercayaan antara satu sama lain, bagaimana sebuah organisasi yang kukuh dan utuh dapat dibina. Lebih-lebih lagi ketika cabaran dan ujian dalam melaksanakan tugas tersebut terlalu berat.

Tentunya memerlukan sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai wehdatul fikr (kesatuan pemikiran), wehdatul ‘amal (kesatuan kerja) dan wehdatul qalb (kesatuan hati).

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (as-Saff: 3)

Seorang pekerja yang mementingkan semangat setiakawan dalam berorganisasi tidak boleh terlalu berkira dalam bekerja. Kadang-kadang dia perlu melakukan kerja lain untuk menggantikan rakan sekerja yang mungkin bermasalah. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri.

Contoh yang paling mudah ialah apabila telefon di meja rakan sekerja berdering, dan dia tiada di tempatnya ketika itu, maka perlulah rakan sekerja yang lain tolong menjawabnya atas dasar tanggungjawab bersama.

Namun, ada yang tergamak membiarkan sahaja telefon tersebut berdering tanpa rasa bersalah. Dia seolah-olah tidak menyedari bahawa individu yang membuat panggilan telefon itu mungkin sedang mempunyai hajat yang sangat penting.

Sifat keakuan dan pentingkan diri juga menghalang budaya tolong-menolong dan bantu-membantu sesama rakan sekerja. Akhirnya ia menimbulkan sikap benci-membenci dan iri hati di antara satu sama lain. Apabila rakan sekerja mengalami kesulitan, dia akan merasa gembira dan seronok.

Baginya, melihat rakan-rakan berada dalam kesusahan adalah merupakan kepuasan. Sedangkan Islam menyuruh umatnya untuk membantu rakan-rakan yang ditimpa musibah. Rasulullah bersabda: Barang siapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan hari kiamat darinya. Barang siapa memudahkan orang yang dilanda kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan akhirat. (riwayat Muslim)

Cemerlang

Pekerja yang cemerlang juga sentiasa menjaga reputasi dan imej syarikat di mana sahaja dia berada.

Ini termasuklah cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan para pelanggan. Memberi perkhidmatan dan layanan terbaik dengan penuh mesra kepada pelanggan mestilah diutamakan. Tetapi, jangan sampai melebihi batasan yang dibenarkan oleh Islam.

Para pekerja juga tidak boleh mendedahkan rahsia syarikat termasuk kepada kaum keluarga sendiri. Sebabnya, pihak yang mengetahui maklumat rahsia berkenaan mungkin akan menyebarkannya kepada rakan-rakan yang lain.

Fenomena ini akan menjadi risiko kepada syarikat untuk bersaing dalam pasaran apabila pihak pesaing menggunakan maklumat tersebut untuk menyerang dan menjatuhkan syarikat.

Para pekerja juga tidak boleh menggunakan peralatan pejabat untuk tujuan peribadi. Terdapat pekerja yang menggunakan telefon di pejabat untuk menelefon isteri dan anak-anak di rumah.

Tidak kurang juga mereka yang menggunakan fotostat pejabat untuk menyalin dokumen peribadi. Ada yang pulang ke rumah dengan membawa barangan pejabat untuk diberi kepada anak-anaknya.

Ada juga yang menggunakan peralatan pejabat untuk mencari pendapatan sampingan. Lalu digunakan masa yang ada untuk tujuan lain, bukannya untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan majikan, khususnya ketika pegawai atasan tiada di tempat kerja.

Kesannya, kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan tertangguh dan menyusahkan rakan sekerja yang lain.

Kesimpulannya, pendapatan yang mempunyai keberkatan adalah bukan sahaja dari kerja yang halal, tetapi mesti juga digabungkan dengan akhlak dan etika sebagaimana yang digagaskan oleh al-Quran dan sunnah.

Inilah tujuan utama pengutusan Baginda Rasulullah SAW kepada umatnya sebagaimana dinyatakan sendiri oleh baginda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (riwayat Bukhari).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

10 kebaikan insan sentiasa berzikir

Posted by epondok di Mac 28, 2010


DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.

Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir?

Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah. Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan.

Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35

Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik.

Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’
Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi

Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah

[1] seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan.

[2] Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah,

[3] dimurahkan ruang rezekinya,

[4] membangkitkan aura sahsiah peribadi murni,

[5] dapat menghidup dan menjernihkan hati.

[6] Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah,

[7] mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji.

[8] Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik

[9] dan bersedia hidup penuh berani.

[10] Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq.

Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti.

Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Vaksin oral rotarix dicemari vaksin babi

Posted by epondok di Mac 27, 2010

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.

Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.

Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae.

Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema.

Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.

Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas.

Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90 peratus daripada jangkitan pada manusia.

Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus.

Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup.

GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.

Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman).

Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.

Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan.

Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.

Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik.

Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal.

Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu.

Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka.

Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak.

Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.

Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar.

Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya “berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan.

Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan “terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi”, kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.

Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA.

Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa.

Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi.

Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah ‘haram’ atau dilarang kepada orang Islam. Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia.

Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat.

Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix.

Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai.

Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.

Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka?

Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan.

CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Lars Vilks dan Karikatur hina nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Mac 27, 2010

 

 

 

   

 

   

 

   

 

 

Kontroversi Kartun Hina Nabi

Pada 11 Jun 2007, Vilks telah dijemput untuk menyertai pameran kesenian dengan tema “The Dog in Art” (Anjing dalam Seni) yang telaj diadakan di pecan kecil Tällerud di Värmland, Sweden. Vilks menghantar tiga lukisan pena dan dakwat diatas kertas A4 yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai anjing di bulaytan jalan(roundabout dog). Sebelum ini, Vilks telah pun melukis kartun berkenaan Nabi Muhammad dalam satu pameran kesenian di Vestfossen, Norway, dengan tema “Oh, My God”. Vilks konon menyatakan niatnya hanya untuk mewujudkan amalan “check and balance” terhadap situasi politik melalui sempadan kesenian.

Pada 20 Julai 2007, sehari sebelum pembukaan majlis di Tällerud, pihak penganjur telah mengenepikan lukisan Vilks dari pameran kerana bimbang akan reaksi daripada komuniti Islam. Marta Wennerström, penganjur pameran keseniaan berkenaan, berkata pada mulanya beliau tidak sedar akan ran impak lukisan berkenaan terhadap masyarakat. Namun, selepas menemui agensi kerajaan Sweden dan orang perseorangan beliau mengambil keputusan untuk tidak mempamerkan lukisan tersebut.

Selepas penolakan tersebut, Vilks telah menghantar lukisan-lukisannya ke Gerlesborg School of Fine Art di Bohuslän, Sweden (tempat beliau mengajar sebagai pensyarah) dalam satu pameran berkenaan hasil kerja para pengajar yang akan dibuka pada 18 Ogos 2007. Namun, pihak pengurusan terpaksa menolak atas factor keselamatan.

Walaubagaimanapun, pada 18 August, sebuah akhbar tempatan dari Örebro, Sweden,  Nerikes Allehanda telah menerbitkan satu daripada lukisan-lukisan Vilks’s dalam kolum editor berkenaan kebebasan ekspresi. Pihak editor mempertahankan hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam dalam masa yang sama membenarkan Islam dan Nabinya dihina dengan tindakan yang sangat provokatif. Pada masa yang sama lukisan-lukisan tersebut telah pun disiarkan dalam akhbar-akhbar Aftonbladet, Dagens Nyheter, Expressen dan Uppsala Nya Tidning.

 

Reaksi Umat Islam

Pada 27 Ogos 2007, Kedutaan Sweden di Tehran, telah menerima notis amaran daripada Kementerian Luar Iran berkenaan penerbitan dalam Nerikes Allehanda. Pada 28 Ogos 2007 Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, telah membuat komentar dalam satu siding media. Beliau membacakan petikan daripada Islamic Republic News Agency: “Agama-agama mengajak kepada persahabatan, kesamarataan, keadilan, kedamaian dan rasa hormat kepada para rasul. Golongan Zionis hanya berpura-pura beragama. Mereka berbohong dan menganjurkan permusuhan di benua Eropah dan meletakkan prestij Eropah dalam keadaan yang amat berisiko”.

Selain itu, bantahan turut dikemukan oleh kerajaan-kerajaan serta NGO daripada Pakistan, Afghanistan, Mesir, Jordan.  Setiausaha OIC, Ekmeleddin İhsanoğlu, telah menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan undang-undang serta-merta terhadap pelukis dan media serta meminta mereka memohon maaf kepda seluruh umat Islam. Demonstrasi jalanan telah diadakan di seluruh dunia Islam atas sikap kurang ajar tersebut.

Di Sweden sendiri, pada 25 Ogos 2007, sekumpulan 60 orang demonstran Muslim telah mengadakan demonstrasi aman di luar pejabat Nerikes Allehanda’s di Örebro, Sweden bagi membantah penerbitan kartun berkenaan. Pada 31 Ogos 2007, Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt membuat komentar dan menyatakan komitmen kerajaan Sweden bagi mengekalkan keamanan negara dengan rakyatnya Muslim dan Kristian bebas mengamalkan anutan masing-masing. Namun, beliau agak berhati-hati untuk mengambil tindakan terhadap akhbar dan pelukis kartun tersebut atas tema kebebasan bersuara yang telah termaktub dalam perlembagaan negara Sweden. Pada hari yang sam juga seramai 300 demonstran yang diketuai pihak Pusat Kebudayaan Islam di Örebro – telah berkumpul di hadapan pejabat Nerikes Allehanda untuk menyatakan protes.

Pada 9 Mac 2010, Colleen R. LaRose dari Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat telah didakwa oleh pihak berkuasa  atas tuduhan merekrut sekumpulan penggananas untuk membunuh Vilks. Pada 18 Mac 2010, dalam perbicaraan di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat, wanita yang digelar sebagai Jihad Jane  itu mengaku tidak bersalah. (p/s: orang lain yang jadi punca kontroversi, orang lain yang didakwa)

Semalam (26 Mac 2010), Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemuda, Ust Nasarudin Hassan Tantawi bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung telah berhimpun di Masjid Tabung Haji seterusnya berarak ke Kedutaan Sweden di bangunan Plaza OSK, Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas beberapa akhbar Sweden menerbitkan semula lakaran kartun Vilks. Ust Nasrudin dan Saudara Jais dari GPMS kemudiannya naik ke tingkat 8 di pejabat Kedutaan Sweden bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Utama kebajikan anak selepas berpisah

Posted by epondok di Mac 27, 2010

Oleh  Nur Hidayah

Ibu bapa bercerai wajar patuhi perintah mahkamah berkaitan hak penjagaan, lawatan

KISAH perebutan hak penjagaan anak selalu menjadi isu besar antara pasangan yang bercerai. Apabila ibu diberikan hak jagaan ke atas anak, selalunya ayah mendapat hak lawatan. Begitulah sebaliknya

Dalam amalan di mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah biasa, apabila berlaku perceraian antara pasangan yang mempunyai anak, perkara besar yang diselesaikan adalah siapa mendapat hak jagaan ke atas anak-anak dan bagaimana urusan nafkah mereka selepas ini. Ada pasangan yang bercerai berjaya menyelesaikan dengan baik urusan jagaan anak-anak. Namun ada juga yang mengambil pendekatan keras, berebut, memburukkan pasangan di depan anak-anak, bergaduh dan ada yang melarikan anak-anak walaupun selepas diputuskan oleh mahkamah siapa berhak ke atas jagaan itu.

Ia sangat menyedihkan seolah-olah anak adalah barang yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan. Sebenarnya dalam perebutan hak ke atas anak-anak, sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak menjadi mangsa yang penuh konflik dalam jiwa mereka. Antara kasih kepada ayah dan kasih kepada ibu.

Walaupun salah seorang ibu bapa menang dalam pertikaian merebut hak jagaan, sebenarnya anak-anak terbabit menjadi mangsa dan kehilangan keindahan hidup seperti yang mereka gambarkan di bawah bumbung rumah tangga bahagia.

Kebajikan anak adalah faktor terpenting dan diiktiraf oleh semua mahkamah membabitkan urusan perceraian. Seksyen 86(2) Akta Undang-undang Keluarga Wilayah Persekutuan contohnya menyatakan, ‘untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu tertakluk kepada pertimbangan berkenaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada kemahuan ibu bapa kanak-kanak dan kemahuan kanak-kanak itu jika dia sudah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri’.
Apabila pada pendapat mahkamah kebajikan anak akan lebih terjaga apabila berada bersama ibu, maka mahkamah akan memutuskan sedemikian. Namun jika anak sudah mencapai tahap umur mampu memberitahu isi hatinya dengan baik dengan siapa dia ingin tinggal, mahkamah akan meneliti perkara ini sebelum memutuskan siapakah yang mendapat hak jagaan itu.

Bukan hak siapa yang sepatutnya menjadi taruhan tetapi kebajikan anak adalah paling penting untuk diperhatikan. Kita seharusnya meletakkan kepercayaan dan mematuhi keputusan mahkamah sama ada keputusan Mahkamah Syariah bagi ibu bapa Muslim atau keputusan mahkamah biasa bagi yang bukan Muslim. Keputusan mahkamah sewajarnya diikuti kerana ia adalah pemutus kepada sebarang pertikaian.

Kes melarikan anak daripada tangan pihak yang mendapat hak jagaan juga bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang bertikai seharusnya cuba menilai kebajikan anak mereka dan kesan negatif perebutan yang berlaku.

Dalam satu kajian di California oleh pakar psikologi, Judith Wallerstein selama 25 tahun terhadap 131 kanak-kanak yang menjadi mangsa cerai mendapati anak-anak ini mengalami tekanan jiwa yang hebat. Daripada 131 kanak-kanak yang diikuti sehingga mereka menjadi dewasa, sebilangan besar terbabit dengan arak, dadah, melakukan zina/seks bebas di awal usia kerana tekanan dialami.

Separuh daripadanya membesar dengan jiwa bermasalah dan berakhir dengan melakukan keganasan rumah tangga, bercerai dengan pasangan dan tidak mempunyai hala tuju hidup yang baik. Kesimpulan kajian itu, beliau mendapati kanak-kanak ini menghadapi masalah komunikasi dan berakhir dengan mereka sendiri melakukan pusingan sama, iaitu tidak bahagia dalam perkahwinan dan melalui hidup bercerai yang hampir sama dengan apa dilalui oleh ibu bapa mereka.

Bayangkanlah bagi anak-anak yang menjadi mangsa perebutan, dilarikan kerana perebutan hak jagaan yang tidak berkesudahan. Sudahlah ibu bapa bercerai, perebutan seolah-olah mereka adalah barang dagangan akan menyebabkan kesan dalam jiwa yang lebih besar kepada anak-anak.

Akhbar di Australia pada 24 Februari lalu, menyiarkan satu berita menggemparkan mengenai perebutan anak antara pasangan selepas cerai. Seorang ibu disabitkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Brisbane kerana membunuh anak mereka berumur enam tahun dan 10 tahun.

Ini berikutan Mahkamah Keluarga mengeluarkan perintah bahawa anak-anak diberikan hak lawatan menyambut hari Krismas bersama ayah mereka. Tidak dapat menerima keputusan itu dan sebagai membalas dendam kepada bekas suami, si ibu mengambil tindakan nekad membunuh anak-anak mereka.

Kisah pembunuhan pada November 2002 itu menjadi tajuk hangat sehingga hakim kes terbabit menyebut: “Perbalahan hak jagaan ke atas anak tidak boleh menjadi alasan untuk mengambil dua nyawa yang masih muda. Tidak ada sebarang alasan untuk membenarkan sebarang serangan ke atas kanak-kanak, apatah lagi membunuh mereka.”

Berkaitan dengan melarikan anak daripada penjaga yang sah, mahkamah di Australia sekarang sudah menukar pendekatan apabila membenarkan gambar anak-anak yang dilarikan daripada ibu atau bapa yang diberikan hak jagaan disiarkan di dada akhbar dan laman web mahkamah.

Akhbar The Sunday Herald Sun pada 14 Mac lalu membuat laporan khusus mengenai kes sebegini menyatakan bahawa, ia adalah keputusan baru sebagai langkah terakhir mencari anak yang dilarikan terutama selepas berlaku perceraian. Alasan diberikan oleh pihak mahkamah dan juga polis adalah demi menjaga kebajikan anak.

Apakah pendekatan itu boleh dibawa ke Malaysia? Islam mengiktiraf bahawa hubungan perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan boleh diakhiri dengan perceraian. Walaupun ia tidak disukai Allah tetapi tetap dibenarkan dalam situasi tertentu.

Apa yang penting adalah perceraian di antara ibu bapa janganlah menjadi alasan untuk menghancurkan jiwa anak-anak. Alangkah baik sekiranya hubungan ibu bapa berakhir tetapi anak-anak tetap merasai kasih sayang yang sama kerana urusan hak jagaan dan nafkah mereka diputuskan dengan baik di antara ibu dan bapa mereka.

Sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, seharusnya jalan pintas bukan melarikan anak tetapi menggunakan saluran mahkamah juga untuk mendapat penghakiman yang lain.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »