Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Februari 2010

Akhlak dalam pemasaran

Posted by epondok di Februari 28, 2010

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

 

PEMASARAN adalah antara aspek penting dalam sesebuah institusi perniagaan. Institusi-institusi ini bukan sahaja perlu menitikberatkan persoalan pengeluaran produk yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan. Namun mereka juga perlu proaktif membina rangkaian perniagaan melalui pemasaran produk yang berkesan.

Pihak pengurusan sebuah syarikat perniagaan perlu melihat persoalan ini secara bersungguh-sungguh. Disebabkan kurangnya penekanan kepada aspek pemasaran, maka produk yang diperkenalkan tidak berjaya sampai kepada masyarakat.

Institusi kewangan Islam perlu lebih inovatif untuk mengeluarkan produk-produk yang dapat memenuhi keperluan ummah dan menjamin kemaslahatan mereka. Bukan hanya untuk memenuhi dan mengejar sasaran tahunan semata-mata. Memiliki produk yang berkualiti tidak cukup jika tidak digandingkan dengan kaedah dan strategi pemasaran yang baik.

Institusi kewangan Islam adalah antara entiti penting yang terlibat dalam jihad membangunkan sistem ekonomi Islam. Sebagaimana maklum, dasar dan pembawaan operasi institusi-institusi ini perlu mengambil kira persoalan dosa dan pahala. Hukum-hakam Allah SWT tidak boleh dikesampingkan demi mencapai keuntungan yang disasarkan.

Islam tidak pernah menghalang kita untuk mendapatkan keuntungan, namun biarlah keuntungan tersebut diperolehi dalam ruang lingkup batasan-batasan yang telah digariskan oleh al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

Semua individu yang bekerja di institusi-institusi kewangan Islam memikul tanggungjawab yang besar untuk memperkenalkan dan menyebarkan sistem kewangan Islam kepada seluruh lapisan masyarakat.

Semua warga kerja institusi kewangan Islam, dari perspektif Islam, mereka adalah daie (pendakwah) yang menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Mereka merupakan kelompok yang secara langsung atau tidak langsung yang mula-mula berinteraksi dengan pelanggan.

Pelanggan pula merupakan mad’u (orang yang diseru) dalam memasarkan produk yang berteraskan sistem muamalah Islam.

Sebenarnya, individu-individu yang berada di industri kewangan Islam khususnya yang terlibat dalam aktiviti promosi dan pemasaran produk-produk perlu bangga dengan kerjaya tersebut.

Mereka mempunyai peluang untuk bertindak sebagai pendakwah sekali gus sebagai penyelamat manusia daripada bergelumang dengan dosa-dosa riba, judi dan lain-lain.

Oleh yang demikian, niat yang betul perlu dipasakkan ke dalam hati mereka agar semua tugas yang dijalankan mempunyai nilai di sisi Allah SWT.

Oleh sebab itu, maka institusi-institusi kewangan Islam perlu menyediakan kursus-kursus latihan untuk individu-individu ini kerana mereka berada di barisan hadapan untuk bertemu pelanggan.

Pihak syarikat perlu melahirkan tenaga pemasaran yang mempunyai kefahaman dan keyakinan dengan sistem kewangan Islam di samping memiliki akhlak sebagai seorang ‘pendakwah’.

Dalam mengendalikan proses pemasaran produk, pihak institusi kewangan Islam perlu memastikan semua konsep, mekanisme, bahan-bahan dan aktiviti pemasaran hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip Syariah.

Ini untuk memastikan imej institusi kewangan Islam terjaga di mata masyarakat. Antara aspek penting dalam aktiviti pemasaran yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan produk.

Mematuhi syariah

Produk yang ingin dipasarkan mestilah mematuhi syariah. Pengeluaran produk-produk perlu melalui kelulusan Jawatankuasa Syariah yang dilantik oleh institusi kewangan berkenaan.

Ini selaras dengan peruntukan pembentukan Jawatankuasa Syariah sebagaimana termaktub dalam Seksyen 5(b) Akta Takaful 1984. Sebagaimana yang telah dijelaskan, produk berkenaan juga hendaklah mengambil kira keperluan semasa serta menjamin kemaslahatan ummah.

Ini kerana, mungkin ada produk-produk yang telah mengikut lunas-lunas akad muamalah, namun tidak sesuai untuk kebaikan syarikat dan masyarakat. Maka tentunya ia tidak wajar dikeluarkan.

Semasa urusniaga di antara pihak syarikat dan pelanggan mestilah berlaku dengan memelihara rukun-rukun dan syarat-syarat kontrak yang digunapakai. Sebagai contoh, sekiranya menggunakan kontrak jualan (bai‘), maka rukun-rukun seperti penjual, pembeli, barang dan sighah perlu dicermati agar kontrak tersebut sah dan tidak batal.

Produk atau barang yang hendak dijual mestilah jelas, wujud dan mampu diserahkan kepada pelanggan mengikut masa dan harga yang dipersetujui bersama. Sekiranya gagal dipatuhi, maka kontrak tersebut adalah haram kerana mengandungi unsur gharar (keraguan).

Ia jelas dilarang berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW telah melarang daripada terjerumus dalam perniagaan lontaran dan perniagaan yang tidak pasti. (riwayat Muslim)

Elemen yang penting juga dalam pemasaran adalah harga. Penentuan harga produk mestilah dibuat secara adil dan mengikut pasaran semasa. Tidak wajar pihak syarikat mengenakan harga yang tinggi sehingga menyukarkan pelanggan untuk mendapatkannya.

Akhirnya, para pelanggan tidak mempunyai pilihan kecuali beralih kepada institusi yang tidak patuh syariah. Ejen-ejen pemasaran mesti menerangkan ciri-ciri produk secara jelas supaya dapat difahami oleh pelanggan.

Ini termasuklah harga produk, metod pembayaran, upah dan manfaat kepada pelanggan. Selain itu, mereka tidak boleh memberikan tekanan kepada pelanggan untuk membuat pembelian dan sekiranya perlu, para pelanggan tersebut diberikan masa untuk membuat pembelian.

Saluran atau medium adalah aspek seterusnya yang penting dalam sesuatu aktiviti pemasaran. Saluran atau medium pemasaran perlu mengikut prinsip-prinsip syariah.

Institusi kewangan Islam perlu mempunyai garis panduan syariah dalam penganjuran program pemasaran kepada pelanggan-pelanggan seperti taklimat produk, kempen promosi produk, konvensyen, seminar dan sebagainya.

Penganjuran dan perjalanan program-program tersebut perlu dipantau supaya tiada unsur yang tidak mematuhi syariah seperti hidangan minuman keras, majlis hiburan serta maksiat, percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas dan sebagainya.

Periklanan

Seterusnya adalah pengiklanan. Iklan digunakan untuk mempromosi produk khususnya kepada masyarakat yang sukar dikunjungi. Ia adalah lebih efektif dan menjimatkan masa.

Namun, iklan yang dipaparkan melalui televisyen, radio atau akhbar perlulah menerangkan ciri-ciri sebenar produk berkenaan. Ia tidak boleh digambarkan secara berlebih-lebihan sehingga memukau dan menipu pengguna.

Sabda Nabi SAW: “Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para Nabi, golongan orang-orang yang benar dan para Syuhada”. (riwayat Tirmidzi)

Bahan-bahan percetakan yang diperlukan dalam memasarkan produk seperti brosur dan risalah perlu dipastikan tidak mengandungi bahan-bahan yang bercanggah dengan syariah seperti gambar, imej atau perkataan yang berunsurkan maksiat atau yang boleh menjejaskan reputasi syarikat sebagai institusi kewangan Islam.

Sebagaimana yang telah difahami, pelanggan adalah merupakan sebuah aset penting kepada industri perniagaan. Sebagai daie, kita perlu bertanggungjawab menjaga etika dan adab dalam berurusan dengan mereka.

Sikap amanah perlu wujud dalam diri agar pihak pelanggan meyakini dan mempercayai syarikat dan sekali gus dapat menarik minat masyarakat kepada sistem kewangan Islam.

Keadilan kepada peserta yang memberikan kepercayaan penuh terhadap kita dengan harta dan masa depan mereka akan terjejas sekiranya terdapat sikap rakus dan tidak amanah warga kerja institusi kewangan Islam. Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. (al-Ahzab: 72)

Ejen-ejen pemasaran perlu mengelak mengkritik atau memburuk-burukkan pesaing. Mereka perlulah menonjolkan kelebihan-kelebihan yang ada pada produk yang ditawarkan berbanding memburukkan syarikat yang lain.

Sekiranya sikap memburukkan pihak lain ini diteruskan, maka ia akan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak harmoni dalam industri perniagaan terbabit. Mereka juga perlu memahami dengan sebetulnya ciri-ciri produk yang ditawarkan.

Kadang-kadang terdapat pelanggan yang perlu diberikan layanan istimewa untuk mendapatkan persetujuan mereka bagi melakukan pembelian atau mendapatkan perkhidmatan syarikat.

Layanan istimewa ini sebenarnya tidak dilarang oleh Islam. Namun, mestilah memastikannya berada pada garisan yang betul mengikut kehendak syariah dan prinsip-prinsipnya.

Justeru, layanan tersebut tidak boleh sampai ke peringkat melakukan perkara-perkara haram seperti rasuah, pelacuran, minuman keras dan hiburan yang berunsurkan maksiat.

Inilah beberapa elemen yang perlu diperhalusi oleh semua mereka yang terlibat dengan institusi perniagaan yang berasaskan Islam. Kita mungkin begitu bersungguh-sungguh menggerakkan syarikat untuk mencapai tahap yang diinginkan oleh Lembaga Pengarah syarikat.

Namun, dalam banyak keadaan kita lupa untuk memenuhi tahap yang diinginkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya rezeki bukan datangnya daripada manusia, namun ia mutlak datang daripada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kejayaan yang hakiki dari sudut pandangan Islam adalah apabila kita dapat meraih keuntungan dunia dengan mendapat reda Allah SWT hasil usaha yang optimum dan berdasarkan syariah Allah SWT. Hidup berkat, akhirat pasti akan selamat.

Posted in Amalan Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »

Dekati remaja secara mesra

Posted by epondok di Februari 28, 2010

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

 

PENDIDIKAN yang menyeluruh diperlukan untuk membantu membanteras masalah yang melanda golongan remaja. – Gambar hiasan

 

Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah luas dan indah jika umat Islam menghayatinya. Perpecahan umat akibat perbezaan ideologi politik semakin hari kian ketara. Suasana begini bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam, malah ia juga boleh menggugat struktur sosial masyarakat Islam yang amat prihatin terhadap konsep kasih sayang dan tali persaudaraan yang berteraskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.

Pengalaman penulis bertemu bual dengan remaja yang berkeliaran di waktu malam di daerah yang agak terpinggir dari ibu kota tiga tahun lalu memberi keinsafan kepada penulis bahawa golongan remaja sama ada dibesarkan di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar menghadapi ketandusan jiwa. Mereka tidak memahami matlamat dan erti kehidupan di dunia ini. Ramai daripada golongan remaja ini lebih gemar menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang menyeronokkan. Dosa dan pahala bukan merupakan nilai dalam kehidupan seharian mereka.

Sikap keterbukaan mereka meluahkan perasaan dan pandangan mengenai kehidupan jelas menunjukkan bahawa remaja dalam golongan ini merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan. Berdasarkan suasana di mana ramai golongan remaja terjebak dalam kancah maksiat dan pembunuhan bayi, maka setiap individu Islam perlu merenung dan mempersoalkan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.

Islam menggariskan pelbagai aspek berkaitan dengan konsep kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab individu terhadap individu lain. Islam mendidik umatnya supaya menyemarakkan prinsip kasih sayang sesama umat dan manusia. Orang dewasa perlu dihormati dan orang muda perlu disayangi. Konsep kehidupan begini menyerapi hati nurani umat Islam sehingga mereka merasai bahawa setiap remaja dan kanak-kanak di sekeliling mereka adalah anak mereka. Oleh itu, mereka tidak khuatir untuk menegur dan menasihati serta mencegah remaja daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri mereka.

Semangat kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan masa depan umat Islam. Dalam suasana begini, sepatutnya orang dewasa perlu menumpukan perhatian kepada golongan remaja dengan menggunakan sedikit masa lapang untuk berbual dan beramah mesra dengan remaja yang berada di kawasan mereka.

Remaja diibaratkan seperti kain putih yang mana minda dan hati nurani mereka mudah dibentuk ke arah yang lurus dan baik jika orang dewasa, ulama, guru dan ibu bapa sering menghampiri mereka. Minda dan daya pemikiran mereka yang kurang matang memudahkan mereka tergelincir dalam kancah maksiat dan dosa. Maka ketika ini, orang-orang dewasa perlu memainkan peranan untuk membimbing dan mengasuh remaja supaya mereka mampu menggunakan akal ketika menghadapi saat genting dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Oleh itu, perjuangan utama umat Islam masa kini adalah menghampiri remaja dan menjelaskan kepada mereka erti kehidupan dan matlamat kehidupan mereka di dunia. Melalui kesedaran dan penjelasan berkaitan dengan kerohanian sahaja, maka umat Islam dapat memelihara remaja supaya tidak terumbang-ambing dalam arus globalisasi.

Mengambil berat terhadap remaja dan masyarakat merupakan Fardu Ain kepada umat Islam yang memiliki ilmu wahyu dan fardu kifayah kepada keseluruhan umat Islam. Setiap umat Islam akan dipersoalkan oleh Allah berhubung kait dengan tanggungjawab mereka terhadap remaja dan masyarakat.

Perkara berkaitan dengan permasalahan remaja dan masyarakat hanya dapat diatasi melalui kerjasama di antara semua umat Islam. Apabila wujud pelbagai permasalahan di kalangan remaja, umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Sikap kerjasama dan prihatin masyarakat terhadap remaja adalah senjata utama untuk memelihara remaja daripada terjerumus ke kancah kehancuran.

Remaja merupakan pemangkin kepada masa depan negara dan agama. Oleh itu, Rasulullah SAW meminta umat Islam supaya sentiasa mendampingi remaja dan membimbing mereka menjadi orang yang berwawasan dan mempunyai semangat waja. Baginda meletakkan harapan yang tinggi kepada remaja dengan sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik remaja ialah orang yang mengisi masa mudanya dengan melakukan kebajikan dan kebaikan”.

Berdasarkan konteks masa kini, maka umat Islam yang mempunyai ilmu wahyu sepatutnya mempergiatkan kegiatan dakwah kerana keadaan dan gelombang globalisasi dan gejala-gejala negatif begitu aktif menular masuk ke negara ini. Suasana begini tidak mungkin dapat ditangkis oleh remaja Islam. Oleh itu, fahamilah jiwa dan dilema remaja dan kasihanilah mereka dengan menggerakkan semangat berdakwah di kalangan remaja.

Elakkan persengketaan sesama umat supaya struktur sosial masyarakat dapat dibentuk dan remaja Islam hidup dalam arus perpaduan dan kasih sayang. Permusuhan sesama umat tidak akan memberi sebarang faedah kepada umat Islam. Ideologi politik perlu ada batas supaya kepentingan agama dan bangsa tidak terjejas. Oleh itu, semarakkan semangat persaudaraan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Maulidur Rasul mengukuhkan perpaduan

Posted by epondok di Februari 28, 2010

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

 

Sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW adalah suatu cara untuk meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda? Dengan mengingati kelahirannya, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin umat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?

Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentang sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penuh keinsafan, berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid’ah maka bid’ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa pelaku bid’ah itu mencintai Nabi. Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.

Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.

Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira ‘hari Allah’ yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: “…dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah).” (maksud Surah Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »