Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 27 Februari 2010

Contohi kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Februari 27, 2010

LOKMAN ISMAIL
Kota Bharu, Kelantan

 

KEPIMPINAN Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan perlu dijadikan contoh. Antara sikap baginda adalah sentiasa bersikap berlapang dada. Baginda tidak mudah berasa tertekan atau kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tidak disenangi. Baginda sentiasa menggunakan pendekatan tenang dalam melihat sesuatu masalah.

Sekiranya pemimpin mudah hilang punca dan pertimbangan setiap kali berdepan dengan cabaran berat, banyak tindakan yang dilakukan tidak dapat dipastikan kesannya. Mereka mungkin sentiasa menukar perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara.

Perbincangan adalah satu amalan yang perlu diutamakan semasa merancang atau mengambil keputusan penting melibatkan rakyat yang mana setiap individu yang terlibat dalam urusan itu dapat memberi pendapat dan membuat keputusan bersama.

Rasulullah SAW sentiasa berlapang dada menerima pandangan para sahabat di mana baginda tidak memberi kata putus secara peribadi dalam hal melibatkan kepentingan rakyat. Pemimpin yang selalu berbincang menandakan mereka mempunyai sikap berlapang dada dan bersedia untuk ditegur.

Sesungguhnya tidak jatuh maruah pemimpin yang ditegur oleh orang bawahan. Sikap itu membawa rasa hormat rakyat terhadap pemimpin. Manusia tidak sempurna dalam semua hal dan memerlukan perbincangan atau pertolongan individu lain untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Peribadi unggul lain yang dimiliki Nabi Muhammad adalah sentiasa mengamalkan pergaulan mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membeza-bezakan antara sahabat dan sesiapa yang ditemuinya.

Apa yang jelas, Nabi Muhammad tidak mengamalkan protokol atau syarat untuk membolehkan seseorang menemui baginda. Sesiapa saja boleh menemui baginda untuk menyatakan sendiri sebarang hajat atau mengajukan apa-apa pertanyaan.

Rakyat tidak berasa kekok untuk menyampaikan sesuatu perkara dan berganding bahu dengan pemimpin yang mengamalkan pergaulan mesra untuk melakukan usaha ke arah kebaikan dan menghindar perkara buruk.

Semua rakyat berhak mendapat layanan sama adil daripada pemimpin tanpa membezakan penyokong setia atau kroni berbanding yang lain. Ini kerana baginda adalah pemimpin untuk seluruh umat manusia.

Pemimpin mesti mementingkan falsafah saling mempercayai seperti mana diamalkan oleh baginda yang tidak ragu-ragu tentang sebarang pengakuan atau janji yang diucapkan kepadanya. Baginda tidak mempunyai prejudis dengan membuat andaian tanpa alasan munasabah terhadap seseorang.

Hubungan kasih sayang dibina oleh Rasulullah SAW dengan semua orang menyebabkan baginda sentiasa disayangi. Baginda juga sentiasa mengutamakan pembinaan perasaan kasih sayang tanpa membeza-bezakan taraf seseorang.

Kepimpinan Nabi Muhammad bersifat sejagat yang tidak hanya untuk kelompok masyarakat tertentu sahaja. Sebab itulah, baginda amat menekankan agar tidak wujud amalan perkauman atau melebihkan sesuatu bangsa sahaja.

Sifat yang tidak hanya mementingkan sesuatu kaum amat penting diamalkan di negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti negara kita. Setiap kaum berhak menikmati kehidupan dengan harmoni, aman dan selamat dalam negara kita yang berkongsi pemerintahan.

Nabi Muhammad amat berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukan. Baginda sentiasa mengingatkan sesuatu kemungkinan yang bakal ditempuh oleh umat baginda pada masa akan datang.

Justeru, biarpun baginda telah wafat lebih 1,400 tahun lalu, apa yang pernah baginda ucapkan menjadi kenyataan pada hari ini.

Pemimpin yang berpandangan jauh tidak hanya merancang sesuatu yang berlaku dalam tempoh masa terdekat atau sekadar beberapa tahun akan datang. Sebagai pemimpin yang berwawasan, apa yang difikirkan tidak untuk diri dan generasinya saja. Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk generasi akan datang.

Tugas memimpin tidak sekadar menggunakan kebijaksanaan minda tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal yang mana setiap pemimpin terpaksa bergerak ke sana dan ke sini tanpa masa rehat yang cukup.

Sebab itulah, dalam sirah Rasulullah menceritakan mengenai kekuatan fizikal yang dimiliki baginda. Dengan kelebihan itu, baginda tidak menghadapi masalah untuk melakukan pelbagai jenis tugas, walaupun kelihatan berat untuk dilakukan orang lain.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hati-hati jamu selera di kopitiam

Posted by epondok di Februari 27, 2010

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Masyarakat Islam yang gemar menjamu selera di kopitiam perlu lebih berhati-hati apabila dua kopitiam sahaja yang direkodkan memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Berdasarkan laman web halal Jakim, dua kopitiam tersebut ialah Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. dan Jonker Walk Kopitiam Sdn. Bhd.

Menurut laman web berkenaan tempoh sah sijil Pak Hailam Kopitiam adalah sehingga 15 Februari 2012, manakala Jonker Walk Kopitiam sehingga 15 Februari 2013.

Mengulas mengenai trend menjamu selera di kopitiam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menasihat umat Islam negara ini mengelakkan daripada menjamu selera di premis yang tidak ada sijil halal Jakim.

“Langkah ini bagi saya adalah lebih baik. Cuba lihat logo halal yang dipamerkan. Sekiranya daripada Jakim tidak ada masalah tetapi jika bukan elakkanlah diri daripada makan di tempat berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara di sini hari ini.

Selain itu, Jamil Khir berkata, mereka yang keliru dengan logo halal yang dipamerkan di premis-premis tertentu juga boleh menghubungi Jakim untuk mendapatkan kepastian.

“Logo halal Jakim sahaja yang diiktiraf oleh kerajaan. Oleh itu, saya minta rakyat tidak terkeliru dengan pengeluaran logo halal daripada pihak lain.

“Pengeluarannya juga telah diselaraskan iaitu Jakim akan mengeluarkan logo halal manakala permohonan, audit dan sebagainya akan dilakukan Jabatan Agama negeri-negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ciri-ciri logo halal yang diiktiraf oleh kerajaan adalah berbucu lapan di tengah-tengah bulatan.

“Mempunyai perkataan Arab ‘halal’ di tengah bintang dan diikuti tulisan rumi ‘halal’. Bulatan logo tertulis perkataan ‘MALAYSIA dalam tulisan rumi dan Arab.

“Dua bintang kecil berbucu lima diletakkan bagi memisahkan tulisan rumi dan perkataan Arab,” katanya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kartun hina Islam: Akhbar Denmark mohon maaf

Posted by epondok di Februari 27, 2010

COPENHAGEN 27 Feb. – Akhbar harian Denmark, Politiken semalam memohon maaf kepada umat Islam kerana menyinggung perasaan mereka berhubung kartun Nabi Muhammad yang disiarkannya pada 2008.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menyesal atas tindakannya menyiarkan gambar kartun itu.

“Kami memohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan tindakan kami mencetak semula gambar kartun itu,” ujar akhbar berkenaan dalam satu kenyataan.

Politiken adalah akhbar pertama Denmark yang bertindak memohon maaf secara formal kepada mana-mana pihak yang marah berhubung penyiaran kartun itu.

Dalam permohonan maafnya, Politiken berkata, ia menyesal jika gambar kartun itu menghina agama Islam, namun mengatakan tidak menyesal menyiarkannya.

Ketua Pengarang akhbar itu, Toeger Seindenfaden, berkata, dia gembira dengan keputusan itu.

“Kami kesal kerana menyebabkan umat Islam tersinggung walaupun ia bukan niat kami untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Persetujuan itu dibuat ekoran permohonan dikemukakan seorang peguam Arab Saudi, Faisal Ahmed Zaki Yamani terhadap 11 akhbar Denmark.

Dia menggesa semua akhbar berkenaan memohon maaf, berjanji tidak akan menyiarkan lagi gambar sama dan membuang kartun yang menimbulkan kontroversi itu dari laman Web mereka.

Permohonan maaf dibuat Politiken itu dikutuk sekerasnya ahli-ahli Parlimen di Denmark yang menuduh akhbar itu tunduk kepada tekanan dan mengorbankan kebebasan bersuara yang dianggap asas demokrasi Denmark.

Beberapa akhbar Denmark yang lain turut mengutuk permohonan maaf itu namun mengatakan mereka tidak akan menyiarkan semula gambar kartun berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen berkata, beliau menolak untuk mencampurinya namun pada masa sama dipetik memuji kebebasan bersuara dan menghormati keputusan pengarang. – AFP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »