Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Februari 2010

Bersungguh amal sunnah nabi

Posted by epondok di Februari 26, 2010

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

Perarakan melibatkan pelbagai lapisan umur masyarakat adalah antara aktiviti yang sering dilakukan semasa sambutan Maulidur Rasul. – Gambar hiasan

 

 

SABAN tahun apabila menjelang tarikh 12 Rabiulawal, umat Islam akan menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW, insan mulia yang membawa rahmat kepada sekelian alam.

Malangnya, tidak ramai di kalangan kita yang benar-benar menghayati sirah baginda SAW. Seterusnya menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sebabnya, belum wujud perasaan kasih dan sayang yang tinggi terhadap nabi yang terakhir walaupun baginda disenaraikan sebagai The 100 A Ranking Of The Most Influential People in History tulisan Michael Hart.

Itulah yang ditekankan oleh Pegawai Agama Islam Daerah yang juga Kadi Daerah Kuala Selangor, Zainal Abidin Sulaiman dalam kuliah subuh bertajuk ‘Menghayati Sirah Nabi Muhammad SAW’.

Kuliah itu disampaikan di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor sempena sambutan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini.

Antara kehebatan Nabi SAW adalah kelahiran baginda telah diceritakan menerusi kitab Taurat dan Injil.

Namun, golongan Yahudi dan Nasrani sengaja menyembunyikan fakta tersebut kerana dengki disebabkan nabi akhir zaman bukanlah daripada kalangan mereka. Nabi akhir zaman adalah dari kalangan orang Arab.

Kata Zainal, dalam al-Quran memang banyak diceritakan dengan kelahiran Nabi SAW sebagai pembawa rahmat ke atas sekelian alam.

Antaranya, firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107).

* Dan ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata! (as-Saff: 6)

Menurut Zainal, dengan memahami sirah nabi SAW, umat Islam akan berdiri untuk melaksanakannya. Ini kerana di dalamnya terkandung ayat al-Quran dan hadis dalam lapangan hidup yang pelbagai.

Katanya, hal ini penting supaya kita mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.

“Kita nak ikut atau mencontohi Nabi SAW bukan maksud mengikut tempat di Arab tetapi berdasarkan keadaan tempat kita sebagai mana diterangkan dalam kitab Bahrul Mazi (lautan madu),” katanya.

Antara yang boleh kita amalkan adalah sunat mengucup hujung jari selepas makan. Ini supaya umat Islam dilihat sebagai yang menitik beratkan kebersihan.

Kata Zainal, Nabi Muhammad SAW walaupun semasa makan roti kering, baginda tetap mengucup hujung jari sebab ada keberkatan.

Menurutnya, dalam hidup seharian, kita boleh amalkan membaca doa sebelum dan apabila bangun tidur, masuk tandas dengan kaki kiri dan berdoa, keluar tandas dengan kaki kanan dan berdoa.

“Itu sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan dalam seharian. Jangan langsung tidak mencontohi sunnah Nabi SAW.

“Apabila kita melaksanakan perkara-perkara begini, akan datang rasa tenang dan gembira dalam hati yang tidak dapat diterjemahkan dengan perkataan,” jelasnya.

Bagi pasangan suami isteri pula, kata Zainal, antara sunnah baginda adalah mandi bersama untuk menyemarakkan lagi kasih sayang.

Namun, katanya, tidak ramai pasangan suami isteri yang mengamalkannya.

“Malah ada pasangan yang apabila ditanya tentang perkara itu menjawab, mana boleh suami isteri mandi bersama,” jelas beliau.

Dalam satu kisah, kata Zainal, bagi membuktikan Nabi SAW sebagai utusan Allah kepada sekelian makhluk telah bertemu dengan seekor kijang yang terjerat.

Katanya, kijang itu merayu kepada baginda agar dilepaskan kerana sudah tiba masa untuknya menyusukan anak.

“Kijang itu kemudiannya berbaiah dengan Nabi SAW yang ia akan kembali semula ke jerat itu selepas selesai menyusukan anaknya.

“Benarlah selepas selesai, kijang itu masuk semula dalam jerat itu dan baginda pun mencari tuan punya jerat untuk membeli kijang tersebut.

“Akhirnya pemilik jerat itu menghadiahkan kijang itu kepada Nabi SAW dan baginda pun melepaskan haiwan tersebut,” kata beliau.

Sejarah ringkas Nabi SAW

Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, pada Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah.

Ayahnya, Abdullah, ialah anak Abdul Mutalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan ke-40.

Ayahnya meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim.

Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat (ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Saadiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda dibawa ke Mekah mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib.

Selepas datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliah yang merosakkan dan penuh kekufuran.

Pada usia remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak.

Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka.

Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah).

Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Pilihan | 1 Comment »

Sekolah pondok moden Negeri Sembilan

Posted by epondok di Februari 26, 2010

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


 

SEWAKTU di sekolah rendah, Mohd. Zulfiqar Abas sama seperti pelajar seusianya sering cuai dalam menunaikan kewajipan solat lima waktu yang difardukan ke atas umat Islam.

Meskipun telah diberitahu dan dididik oleh ibu bapa mengenai kepentingan mengerjakan solat, perkara itu dianggap seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Namun, semua tabiat buruk itu berjaya diubah sejak Zulfiqar melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah menengah aliran agama di Maahad At-Taufiqi, Rembau pada 2005.

Berlandaskan kaedah pembelajaran secara tradisional yang diwarisi sebagai pusaka salafussoleh yang diterapkan oleh pihak sekolah, selepas lima tahun Zulfiqar berjaya menjadi salah seorang pelajar cemerlang di sana.

“Corak pembelajaran di sini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Guru-guru sering menanamkan sifat mahabbah atau berkasih sayang sesama insan. Malah, mereka juga memberi nasihat secara berhikmah.

“Ini membuatkan saya dan rakan-rakan pelajar sentiasa menanam keazaman untuk menjadi pelajar yang terbaik dalam kalangan terbaik, bukan sahaja dalam soal akademik, tetapi juga akhlak dan sahsiah diri.

“Alhamdulillah, sejak itu banyak perubahan ke arah kebaikan yang mampu saya lakukan. Semuanya berkat keikhlasan guru-guru berkongsi nasihat dalam untaian kata penuh makna,” ujar anak kelahiran Sungai Buloh, Selangor itu yang menuntut di tingkatan lima.

SESI menghafaz di hadapan guru yang disebut sebagai mempelajari ilmu talaqqi.

 


 

Kini, maahad tersebut yang telah ditukar nama kepada Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) pada awal 2008 semakin dikenali dan mempunyai seramai 239 orang pelajar.

Dikelilingi hutan menghijau, persekitaran STIAS yang terletak di kawasan perkampungan Bukit Sembilan, Kota, Negeri Sembilan cukup tenang.

Blok-blok bangunan dengan senibina moden pula tersergam indah bagai menyambut kedatangan pengunjung ke destinasi gedung ilmu yang bakal melahirkan insan berguna untuk generasi akan datang itu.

Dibangunkan sepenuhnya oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS), STIAS merupakan sekolah swasta yang berkonsepkan pengajian pondok moden yang dilengkapi pelbagai infrastruktur.

Ini termasuklah bangunan asrama untuk pelajar lelaki dan wanita, kemudahan bilik darjah, bilik tayangan, bilik komputer serta madrasah yang menjadi lokasi untuk pelajar berkumpul atau mengadakan aktiviti berbentuk kerohanian.

Menurut Pengetua STIAS, Nik Norzilawati Raja Ahmad, terdapat tiga aliran utama yang ditawarkan di sekolah tersebut iaitu Tahfiz, pengajian akademik mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan pengajian agama (al-Mawad al-Diniyyah).

“Secara umum STIAS menjalankan sistem pengajian moden yang bersesuaian dengan arus perdana, tetapi pada masa yang sama kami tidak meminggirkan cara pembelajaran ulama silam yang menuntut ilmu secara terus daripada guru tanpa sebarang perantaraan.

ILMU akademik seperti subjek Sains turut dititikberatkan di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.

 


 

“Tambahan pula kami yakin bahawa kaedah pembelajaran tersebut mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan dalam membentuk peribadi dan akhlak penuntut ilmu,” jelas beliau.

Perkara itu diakui oleh Zaidatul Hanim Zainal Abidin, 15, pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut. Konsep pengajian di STIAS amat berbeza dengan sekolah-sekolah biasa. Bagi Zaidatul, tiada masa untuk bermain atau bersuka ria, sebaliknya dia dan rakan-rakan sentiasa berusaha untuk mendalami ilmu masing-masing.

Di STIAS, semua pelajar wajib mengikuti rutin harian yang telah ditetapkan dan disusun pihak sekolah. Antara yang utama ialah menunaikan solat lima waktu secara berjemaah tanpa sebarang keuzuran kecuali bagi pelajar perempuan yang datang haid.

Semangat mencintai Rasulullah

“Budaya solat berjemaah yang kami amalkan secara tidak langsung mampu membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian.

“Malah, semua pelajar sentiasa melakukan amalan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis serta menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah setiap pagi. Walaupun pada awalnya ada yang menganggap rutin tersebut sukar untuk dilaksanakan, tetapi akhirnya kami semua sudah terbiasa dengan amalan mulia itu,” tutur Zaidatul yang bercita-cita menjadi doktor dan pendakwah suatu hari nanti.

Bagi Muhd. Muaz Malizan, 15, yang baru memulakan sesi persekolahan di STIAS tahun lalu, banyak pengalaman menarik telah dilalui termasuk berjumpa dengan ramai ulama dari seluruh dunia yang hadir dalam pelbagai majlis keagamaan yang dianjurkan pihak YSNS.

Antaranya ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) terkemuka Mekah, Sayyid Ahmad ibn Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, Sheikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani (ulama hadis terkenal Mesir) al-Allamah al-Muhaddith Dr. Mahmud Said Mamduh al-Husaini dan ramai lagi.

“Seronok apabila dapat bertentang mata dan bersalaman dengan ulama terkenal dunia kerana bukan mudah untuk bertemu mereka. Justeru, saya bersyukur kerana ia boleh dianggap sebagai nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang terpilih,” ungkap Muaz sambil tersenyum.

Di samping itu, Muaz juga memberitahu bahawa di STIAS, mereka belajar bukan semata-mata untuk mendapatkan sekeping sijil yang menjamin masa depan, tetapi tujuan utama mereka adalah menuntut ilmu yang boleh digunakan untuk berdakwah pada masa akan datang.

“Insya-Allah, dengan sistem pembelajaran sebegini, saya percaya ia mampu membentuk sahsiah pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat,” lancar ucapan yang keluar dari bibir remaja ini sekali gus menunjukkan keyakinan yang bertapak di hatinya mengenai keistimewaan STIAS.

Mendampingi guru

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan I (Bahagian Akademik), Mujahid Abdul Wahab berkata, para pelajar di STIAS dibekalkan dengan bekalan ilmu duniawi dan ukhrawi yang secukupnya serta disemai dalam diri mereka perasaan mahabbah iaitu kasih sayang.

“Ini merupakan cara pendidikan warisan salafussoleh sebagai kaedah pentarbiahan yang berkesan dalam melahirkan generasi unggul.

SETIAP hari pelajar-pelajar akan membaca al-Quran dan menghafalnya.

 


 

“Di sini, semua pelajar diasuh dan diterapkan dalam jiwa mereka perasaan kasih kepada Allah, mencintai Rasulullah S.A.W, para sahabat dan ahli keluarga Baginda serta para ulama. Kecintaan yang disemai menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk mencontohi insan yang dikasihi tersebut dan menjadikan mereka contoh teladan sepanjang zaman,” tutur Mujahid.

Untuk menyuntik semangat semangat mencintai Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, STIAS sentiasa berterusan mengadakan majlis sambutan Maulid Nabi dan tidak terbatas pada bulan Rabiulawal sahaja.

“Bacaan qasidah dan sirah Nabi akan diulang dari semasa ke semasa kerana memperingati Rasulullah S.A.W dan aktiviti meraikan rahmat yang datang bersama kelahiran Baginda perlu dilakukan sepanjang tahun.

“Dengan cara ini, semua pelajar tidak akan lupa untuk mengenang dan mencontohi Baginda dalam segenap aspek kehidupan. Apatah lagi, bacaan tersebut disertai dengan makna untuk memberi kefahaman yang lebih kepada mereka.”

Tambahnya, para pelajar juga diasuh agar mendampingi guru kerana ia merupakan rukun utama dalam penghasilan ilmu.

“Di sisi Islam, guru dan para ulama diumpamakan sebagai ‘bapa-bapa’ dalam agama. Justeru, setiap pelajar wajib menghormati mereka agar ilmu yang dituntut diredai Allah,” tegas beliau lagi. Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat, pihak pentadbiran STIAS amat meniktikberatkan aspek pengurusan masa untuk setiap pelajar.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohd. Haneef Zin berkata, berdasarkan jadual harian yang ditetapkan, waktu para pelajar As-Sofa benar-benar terisi dengan perkara yang bermanfaat dan berfaedah.

“Di sini, pelajar akan diasuh untuk menunaikan solat berjemaah, pelbagai solat sunat dan mengamalkan bacaan wirid harian pagi dan petang selepas solat.

KAWASAN persekolahan As-Sofa dikelilingi hutan menghijau sekali gus menimbulkan kedamaian kepada pelajar.

 


 

“Semua amalan itu secara tidak langsung mampu menjadi benteng rohani yang kukuh untuk mereka berhadapan dengan cabaran dunia luar yang begitu besar,” beritahu Mohd. Haneef.

Pihak STIAS juga mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan untuk pembangunan sekolah terbabit. Untuk maklumat lanjut, layari laman web http://www.yayasansofa.com atau hubungi talian 019-389 7785, 013-380 7785, 019-6637 785 atau 06-445 0419.

Posted in Pondok Malaysia | 60 Comments »

Contohi perjalanan hidup, perjuangan Rasulullah

Posted by epondok di Februari 26, 2010

Oleh Ibrahim Abdullah

SEWAJARNYA acuan hidup Rasulullah sebagai gambaran penampilan diri yang amat istimewa sentiasa dicontohi umat Islam. Secara fizikal, tingkah laku, sikap, tutur kata, pemikiran, emosi hingga keikhlasan hati dan keluhuran jiwa baginda terserlah sekali gus mencerminkan bentuk keperibadian yang nyata. Ia menyentuh dan membekas begitu mendalam pada sanak saudara, sahabat, tetangga dan kawan.

Tidak hairan selepas Rasulullah wafat, sahabat bertanya kepada Aisyah bagaimanakah gambaran baginda selama hidupnya? Aisyah tidak mampu menahan linangan air mata sambil berkata: “Segalanya begitu menakjubkan bagiku,” dan pada waktu lain Aisyah menjawab: “Sesungguhnya akhlak baginda adalah al-Quran.”

Secara fizikal, Rasulullah digambarkan sebagai lelaki yang kuat, gagah, berani, dada bidang dan itu ditandakan dengan kuatnya baginda melakukan banyak ibadat, mengerjakan pekerjaan biasa sebagai lelaki dan bahkan turut berperang. Tidak ada pilihan terbaik dalam mencontohi penampilan diri kecuali apa-apa yang Rasulullah ajarkan.

Al-Quran menginformasikan Rasulullah adalah teladan utama bagi umat manusia. “Sungguh ada pada diri Rasulullah itu suri teladan baik bagi kamu sekalian iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab: 21).

Keteladanan Rasulullah tidak hanya terbatas sejak baginda diangkat menjadi nabi dan rasul bahkan sejak baginda dilahirkan hingga wafat. Seluruh perjalanan hidup dan perjuangan baginda menjadi uswah hasanah dan teladan yang baik bagi umat manusia.

Dalam istilah agama, perjalanan hidup dan perjuangan baginda dinamakan as-sunnah. Secara bahasa, perkataan as-sunnah bererti kebiasaan atau tradisi. Namun dalam istilah agama, as-sunnah adalah apa yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad, perkataan, perbuatan mahupun persetujuan baginda mengenai suatu perbuatan yang dilakukan sahabat, sejak diangkat menjadi nabi dan rasul mahupun sebelumnya.

Ringkasnya as-sunnah adalah sirah atau perjalanan hidup baginda sejak lahir hingga wafat keseluruhannya adalah uswah, teladan agung bagi umat manusia.

Contoh uswah keteladanan, keunggulan, ketrampilan Rasulullah dalam kehidupan baginda dari remaja sehingga menjadi nabi dan rasul, juga pemimpin negara dan pemerintahan dapat dilihat meskipun baginda lahir sebagai anak yatim kerana kehilangan ibunda tercinta sejak berusia empat tahun. Baginda membesar sebagai remaja yang cerdas (fatanah), jujur dan boleh dipercayai (amanah), serta benar (siddiq) dalam ucapan dan perbuatan.

Ketika diangkat menjadi nabi dan rasul, terpadu secara simfoni dengan sifat tabligh (menyampaikan) dengan empat sifat itu adalah sifat wajib mesti ada secara rasional pada diri seorang nabi dan rasul sebagai utusan Allah.

Muhammad Husain Haikal, penulis sirah (biografi) terkenal dari Mesir menyatakan, rahsia kejayaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib tidak hanya ditentukan oleh empat sifat yang menjadi kredibiliti seorang nabi dan rasul tetapi juga kerana baginda sejak remaja memiliki kebiasaan ta’ammulat, mengamati, memikirkan, merenungkan keadaan sekitar, alam maya, geografi, sosial, politik dan kebudayaan termasuk adat istiadat masyarakat Arab waktu itu.

Hasil proses ta’ammulat yang dilakukan secara tekun dan teliti itu menjulang baginda menjadi remaja yang mempunyai teladan dan peribadi cemerlang. Baginda juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit antara kabilah di Makkah ketika meletakkan Hajaral Aswad di tempat asalnya di Kaabah. Kehadiran baginda menjadi rumusan bagi pelbagai masalah dengan kreatif, inovatif dan cerdas pemikiran mahupun tindakan.

Dalam rumusan yang diusulkan baginda ada nilai kearifan, kecerdikan dan kepintaran yang boleh menjadi inspirasi bagi pejuang perdamaian, keadilan dan kemanusiaan. Bahkan dalam kata hikmah disebutkan ‘yadullah maal jamaah’ (tangan Allah berada dalam jemaah kebersamaan).

Jelas, banyak lagi contoh teladan boleh diambil untuk mencontohi dan mengikuti jejak langkah yang ditampilkan Rasulullah dalam kehidupan harian bagi kaum Muslimin bersempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyya’: 107).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ceramah Maulidurrasul 1431H di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Februari 26, 2010

Tarik : 13 Rabiul Awwal 1431H bersamaan 27 Februari 2010 (Sabtu)

Tempat : Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu

9.00 malam        – Ceramah umum oleh :

                              – Ustaz Hj Ahmaed Khairi b Muhammad

                                 (Guru Pondok Pasir Tumboh)

                           – YB Ustaz Hj Ahmad Baihaki b Hj Atiqullah

                             (ADUN Pasir Tumboh)

                        – Ustaz Azhar b Abdullah

                         (Pensyarah KIAS)

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Posted in Pondok Pasir Tumboh, Program Terbaru | Leave a Comment »

Jamuan sambil derma pembinaan bangunan baru Pondok Seligi

Posted by epondok di Februari 26, 2010

Madrasah Dakwah Islamiah, Pondok Seri Permai, Seligi,Pasir Puteh, Kelantan akan mengadakan Majlis jamuan sambil menderma bagi pembinaan sebuah bangunan 3 tingkat yang bakal menempatkan pejabat pentadbiran, kelas pengajian, perpustakaan dan bilik penginapan pelajar di mana majlis ini bersama dengan sambutan Maulidurrasul 1431 akan dijalankan mengikut maklumat di bawah :

Tarikh : 13 Rabiul Awwal 1431H bersamaan 27 Februari 2010M (Sabtu)

Masa   : 10.00 pagi hingga 7.00 petang

Penceramah jemputan : Syeikh Umar Kalash (Beirut, Lubnan) jam 10.00 pagi

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai

Posted in Pondok Seligi, Program Terbaru | Leave a Comment »