Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Februari 2010

Kedudukan ayahanda, bonda Nabi SAW

Posted by epondok di Februari 25, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

 

ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.

Memperingati dan meraikan kelahiran baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana, suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi SAW.

Insya-Allah, di kesempatan yang akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

Ruangan ini terpanggil untuk menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.

Persoalan yang dimaksudkan adalah dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang musyrik serta ditempatkan ke neraka.

Kami terpanggil untuk menyentuh soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.

Masyarakat Arab jahiliah

Zaman Jahiliah yang meliputi era kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.

Manusia pada zaman tersebut melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah menyeleweng sekian lama.

Diriwayatkan bahawa pegangan asal masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s. Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.

Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: “Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu, mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah ‘Amru ibnu ‘Amir al Khuza’i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah daripada datuk Nabi SAW. Maka ‘Amru ibnu ‘Amir telah mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat.”

Kesesatan ini tersebar meluas sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.

Ahli fatrah

Setelah sekian lama amalan penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran daripada sebarang petaklifan.

Mereka inilah yang digelar sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana perutusan sebarang rasul.

Golongan ini walaupun melakukan penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra’: 15)

Agama dan kepercayaan

Dalam keadaan masyarakat yang begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya; agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.

Demikian juga tidak sunyi pada zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai agama hanif.

Ajaran ini tidaklah tersebar luar sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.

Ada banyak fakta sejarah yang diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Adalah Adnan, Ma’ad, Rabi’ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan ucapan yang baik.

Daripada perbahasan di atas secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka, sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian, tidak bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan i’tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menyentuh tentang perbahasan akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.

Bahkan fakta-fakta sejarah yang dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa mereka adalah golongan yang beriman.

Dalam dalil yang umum pula, keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)

Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35 surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ibnu Jarir berkata: “Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala”.

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn ‘Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Allah SWT berfirman (maksudnya): Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu’ara’: 219)

Mengenai penafsiran ayat ini, Ibnu Abbas RA berkata: “Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai seorang nabi”.

Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud dan beriman kepada Allah).

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil pernikahan seumpama Islam”.

Diriwayatkan dalam Dalail al Nubuwwah daripada Ummu Sama’ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata: “Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliah”.

Mengambil kira pelbagai hujah berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi kita.

Marilah kita mengambil sikap yang lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata: “Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii’tikadkan), bahawa bonda Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala”.

Kita juga mendapati Mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Juma’ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan, ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.

Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW dengan sebaik-baiknya.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Berdoa elak dihina di akhirat

Posted by epondok di Februari 25, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (Siri Ke-74)

 

Umat islam disaran berdoa memohon kebaikan di dunia dan akhirat. – Gambar hiasan

 

Ahli tafsir berkata: Ayat-ayat atau bukti-bukti Ilahiah yang terdapat di alam buana ini tidak terserlah hakikatnya yang banyak memberi ilham itu melainkan kepada hati-hati yang sentiasa mengingati dan beribadat kepada Allah SWT.

Mereka yang sentiasa mengingati dan menyebut Allah SWT dalam segala keadaan sama ada berdiri, duduk atau berbaring di samping memikirkan kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang.

Maka kepada hati merekalah terserlah hakikat-hakikat agung yang terkandung dalam kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang.

Ayat ke-192

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun.

Fiqh dan iktibar ayat

i. Ibn Kathir berkata: “Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, tetapi dengan penuh kebenaran”.

ii. Ibn Abbas berkata: “Orang Musyrikin tidak dapat menegah daripada azab Allah SWT”.

iii. Al-Zajjaj berkata: “Orang yang dihina dan dikeji tidak mampu untuk berhujah dan ia adalah orang yang dimasukkan ke dalam neraka”.

iv. Al-Maraghi berkata: “Orang zalim ialah tidak menuruti jalan yang lurus. Oleh itu, orang yang dimasukkan ke dalam neraka dikatakan zalim untuk menyatakan bahawa punca dan sebabnya kerana sikap derhaka dan kezaliman mereka”.

Ayat ke-193

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: “Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu”, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: “Penyeru yang menyeru kepada keimanan iaitu Rasulullah SAW”. Baginda menyeru supaya manusia menyembah kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Rabb al-Alamin.

Maksud orang yang menyeru dalam ayat ini kepada dua pendapat:

Pertama: Nabi SAW. inilah pendapat Ibn Ababs, Ibn Juraij, Ibn Zaid dan Muqatil.

Kedua: Iaitu al-Quran. Inilah pendapat Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi dan dipilih oleh Ibn Jarir al-Tabari.

ii. Al-Maraghi berkata: “Penyeru yang dimaksudkan di sini ialah Rasulullah SAW”. Baginda dinamakan penyeru bagi menyatakan betapa tingginya nilai seruan ini.

Ini berlaku setelah mereka mengenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya, sama ada dengan cara mengingati atau berfikir.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Imam al-Ghazali ketika menjelaskan sifat Allah al-Muqsith memberi pengertian dengan mengutip riwayat Abu Ya’la, al-Hakim, dan disebut juga oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.

Ayat ke-194

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyudahi ayat dengan kenyataan sesungguhnya Kamu tidak memungkiri janji untuk menguatkan harapan mereka dan mendapat keampunan dosa-dosa mereka”.

ii. Al-Maraghi berkata: “Wahai Tuhan kami! Berikan pembalasan yang sebaik-baiknya kepada kami sebagaimana yang telah engkau janjikan kepada kami”.

Contohnya, kemenangan di dunia dan kesenangan di akhirat sebagai balasan kepada kami kerana membenarkan para utusan-Mu dan mengikut seruan mereka.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Dapat difahami dalam erti harfiahnya dan ini mengisyaratkan sopan-santun kepada Allah SWT sehingga tidak menampakkan diri sebagai seorang yang berhak memperoleh apa yang dijanjikan-Nya itu”.

Ayat ke-195

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain, maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

Sebab nuzul ayat

Mengikut riwayat Ummu Salamah, beliau bertanya: “Hai Rasulullah, saya tidak mendengar berkenaan sebutan wanita tentang hijrah dengan sesuatupun”? Lantas turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn al-Jauzi berkata, maksud sebahagian kamu daripada sebahagian ada tiga pendapat:

Pertama: Dalam agama, pertolongan dan kepimpinan.

Kedua: Kesemua kamu dihukum sama sahaja dari segi pahala kerana lelaki daripada wanita dan wanita daripada lelaki.

Ketiga: Semua kamu berasal daripada Adam dan Hawa.

ii. Al-Maraghi berkata: “Allah SWT menganugerahkan pahala ini sebagai balasan kerana amalan yang dikerjakan selama mana amalan tersebut dapat mempengaruhi jiwanya.

Sekiranya amalan yang dilakukan membersihkan jiwanya, maka mereka akan memperoleh kenikmatan di akhirat, begitu juga sebaliknya”.

iii. Al-Sonhaji berkata: “Doa mereka dikabulkan Tuhan. Amalan mereka tidak disia-siakan sama ada lelaki mahupun perempuan sekiranya sama-sama di dalam ketaatan”.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentaati Allah SWT, berdoa kepada-Nya dan diselamatkan daripada bala bencana. Amin.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »