Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Februari 2010

52 komander cuba bakar Masjid untuk guling kerajaan

Posted by epondok di Februari 24, 2010

NKARA 23 Feb. – Suatu ketika dahulu golongan elit tentera Turki yang dikenali sebagai ‘pashas’ yang dihormati sejak zaman Khalifah Uthmaniyyah, tidak boleh disentuh dan sejak berdekad lamanya mereka yang terdiri daripada pegawai kanan yang mempertahankan tradisi sekular negara ini memainkan peranan dalam membuat keputusan.

Namun semalam, keseimbangan kuasa di negara calon Kesatuan Eropah (EU) ini mengalami perubahan apabila polis Turki menahan 52 komander tentera atas dakwaan merancang meletupkan sebuah masjid dalam cubaan mencetuskan rampasan kuasa dan menggulingkan kerajaan berteraskan Islam.

Penahanan itu menunjukkan kerajaan yang dilantik rakyat cuba mengatasi pihak tentera yang mempunyai sejarah menggulingkan empat kerajaan sejak 1960 dan berpengaruh sejak Mustafa Kemal Ataturk menubuhkan republik sekular selepas menumbangkan Empayar Uthmaniyyah.

Sokongan pengundi dan EU membolehkan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan mengekang kuasa tentera dan mengorak langkah untuk mengawal jeneral-jeneral.

Polis dalam operasi serentak di lapan bandar menahan 21 orang jeneral dan laksamana, termasuk bekas timbalan ketua tentera, Jeneral Ergin Saygun; bekas ketua Tentera Udara, Jeneral Ibrahim Firtina dan Ketua Tentera Laut, Laksamana Ozden Ornek. Pegawai lain yang ditahan kebanyakannya berpangkat kolonel. – AP

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Perbezaan hukuman kelirukan ummah

Posted by epondok di Februari 24, 2010

Oleh Tuan Musa Awang


PESALAH disebat dalam keadaan menutup aurat membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah umat.

Undang-undang syariah wajar diseragamkan di semua negeri

PADA 9 Februari lalu adalah tarikh yang mencatatkan sejarah baru dalam sistem perundangan syariah tanah air apabila pelaksanaan hukuman sebat kali pertama ke atas wanita dilaksanakan di negara ini, dalam suasana harmoni dan penuh kerahmatan.

Tiga pesalah wanita disabitkan mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan luar nikah) yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu. Selain itu, ada empat pesalah lelaki turut menjalani enam kali sebatan pada hari berkenaan atas kesalahan sama.

Walaupun timbul polemik isu sebatan ke atas pesalah wanita, Kartika Sari Dewi Shukarno sejak 20 Julai 2009, tiga wanita yang dijatuhkan hukuman kemudian daripada Kartika Sari, menjalani hukuman lebih awal. Syabas kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara kerana melatih penyebat wanita menjalankan sebatan syariah, dan sebelum itu dikatakan tidak wujud jawatan seumpamanya.

Sebaik saja hukuman dilaksanakan, timbul bantahan dan kritikan golongan tertentu, kononnya memperjuangkan hak wanita dan hak asasi manusia. Tetapi hakikatnya, golongan ini cuba mengukur undang-undang jenayah Islam dari perspektif undang-undang sivil.

Walhal, peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah yang diterima pakai di Mahkamah Sivil, tidak wajar dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang jenayah syariah. Undang-undang jenayah syariah yang ada pada hari ini bukanlah cabang undang-undang Sivil, tetapi ia bertunjangkan atas paksi tersendiri, berasaskan semangat perlembagaan yang diberikan oleh Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dan prosiding

di Mahkamah Syariah tidak tertakluk kepada Mahkamah Sivil. Sebarang hukuman atau keputusan dijatuhkan Hakim Mahkamah Syariah adalah hukuman yang sah, berdasarkan peruntukan undang-undang diluluskan Badan Perundangan Negeri dan diperkenankan Sultan negeri berkenaan, dan bagi Wilayah Persekutuan, diluluskan oleh Parlimen dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hujah dikemukakan golongan ini bahawa hukuman sebat ke atas pesalah wanita bertentangan dengan peruntukan Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah yang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita adalah hujah lemah dan dangkal.

Ini kerana seksyen itu hanya terpakai dalam kes jenayah mengikut bidang kuasa Mahkamah Sivil. Peruntukan itu tidak mengikat Mahkamah Syariah, kerana Mahkamah Syariah mempunyai Akta/Enakmen Tatacara Jenayahnya sendiri. Undang-undang Syariah tidak membezakan hukuman antara pesalah lelaki atau wanita.

Golongan ini sepatutnya berasa malu, kerana mereka boleh menyaksikan sendiri cara pelaksanaan hukuman sebatan syariah yang tersangat ringan, tidak mencederakan dan bukanlah zalim seperti didakwa. Pesalah disebat dalam keadaan menutup aurat, membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka sebagai wanita, walaupun mereka melakukan jenayah.

Tiga pesalah wanita yang menjalani hukuman sebat itu mengakui mereka langsung tidak berasa sakit dengan sebatan berkenaan, sebaliknya berasa insaf dan bertaubat. Tarikh 9 Februari itu, bukan saja menjadi titik tolak perubahan hidup tiga wanita terbabit ke arah kehidupan lebih baik, malah juga terhadap perkembangan perundangan syariah negara.

Dalam usaha penambahbaikan sistem sedia ada, penulis mengajak pihak terbabit meninjau keseluruhan peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Setakat ini beberapa kesalahan tertentu diperuntukkan hukuman sebatan syariah ke atas pesalah, sebagai tambahan kepada hukuman denda atau penjara.

Hukuman itu juga ada dalam kesalahan yang berbeza antara satu sama lain dan juga berlainan antara satu negeri dengan negeri lain. Penulis mengambil contoh peruntukan kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum sebat di 10 negeri untuk tujuan perbandingan.

Sebagai contoh, bagi kesalahan doktrin palsu (ajaran sesat), Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Johor, Terengganu dan Pulau Pinang memperuntukkan pesalah boleh dihukum dengan sebatan Syariah, tetapi tidak

di negeri lain. Di Selangor, perbuatan mencemar atau memusnahkan tempat ibadat boleh dihukum sebat, tetapi di negeri lain hanya dihukum didenda atau penjara saja, walaupun kategori kesalahan sama.

Pesalah tidak boleh dihukum sebat bagi kesalahan sumbang mahram, jika kesalahan berlaku di Kelantan, Sabah, dan Sarawak, tetapi boleh dihukum sedemikian jika kesalahan berlaku di negeri lain. Seorang bapa ayam (muncikari) tidak boleh dihukum sebat jika kesalahan berlaku di Kelantan, Pahang, Sabah dan Perak.

Hanya bagi kesalahan persetubuhan luar nikah (zina), kebanyakan negeri memperuntukkan hukuman sebat kecuali Terengganu. Bagi kesalahan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah (muqaddimah zina), dan persetubuhan bertentangan hukum tabii, pesalah boleh disebat di Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi di negeri lain pesalah tidak disebat.

Kesalahan meliwat boleh dihukum sebat di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang tetapi hukuman sedemikian tidak ada di negeri-negeri lain. Lebih menghairankan, hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan perbuatan meminum arak boleh dikenakan sebatan syariah, tetapi tidak di negeri-negeri lain. Maksudnya jika seseorang itu meminum arak di Wilayah Persekutuan atau di Terengganu, dia tidak boleh dihukum sebat. Dia hanya denda atau penjara atau kedua-duanya.

Perbezaan peruntukan hukuman sebat di negeri-negeri ini menampakkan tidak selaras Badan Perundangan Negeri dalam memperuntukkan hukuman terhadap pesalah jenayah syariah, walaupun dalam kategori kesalahan sama. Kenapa tidak diseragamkan peruntukan kesalahan dan hukuman jenayah syariah ini?

Dengan syarat ia masih dalam bidang kuasa yang dibenarkan mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1988), maka tidak mustahil idea ini direalisasikan. Adalah suatu keganjilan dan kejanggalan sebuah negara kecil seperti Malaysia mempunyai pelbagai peruntukan mengenai kesalahan syariah dan peruntukan hukuman yang berbeza-beza.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ada Kopitiam campur arak dalam makanan

Posted by epondok di Februari 24, 2010

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan bahawa ada sebilangan kopi- tiam di negara ini menggunakan arak dalam hidangan di premis mereka.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata, selain mencampurkan arak dalam masakan, ada juga kopitiam yang menjual arak kepada pelanggan.

“Ada pengusaha yang guna arak atau wain dalam masakan untuk tambahan rasa, ada juga yang menjual arak di premis, sedangkan masing-masing meletakkan logo halal.

“Inilah yang berlaku apabila ada pihak lain yang keluarkan sijil dan logo halal selain Jakim, pasti ada yang tak kena dalam operasi mereka tanpa kita sedar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »