Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 20 Februari 2010

Teruskan pelaksanaan hukuman sebat cetus keinsafan

Posted by epondok di Februari 20, 2010

Oleh ROHANA MAN

 

SEBARANG pertikaian berhubung pelaksanaan hukuman sebat mengikut kaedah syarak perlu dihentikan segera. Walaupun pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita yang disabitkan kesalahan kerana melakukan persetubuhan haram pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang diakui mengejutkan banyak pihak lantaran hukuman sebat ke atas bekas model yang mengaku bersalah minum minuman keras,

Kartika Sari Dewi Sukarno masih tertangguh sejak tahun lalu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengkritik pelaksanaan hukuman tersebut. Mungkin pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita terbabit didiamkan daripada pengetahuan ramai kerana tidak mahu pelbagai pihak buat ‘kecoh’ sehingga menyebabkan pelaksanaan hukuman itu tertangguh, seperti mana yang berlaku dalam kes Kartika.

Justeru, hanya selepas hukuman itu dilaksanakan barulah ia dihebahkan dan sesi temu bual media bersama kesemua pesalah syariah itu juga dibenarkan. Dalam temu bual itu, kesemua wanita terbabit mengakui reda menerima hukuman dan menjelaskan betapa hukuman itu berjaya menimbulkan keinsafan.

Jika yang empunya tubuh mengakui reda dan bersyukur kerana dihukum sebat, kenapa pula ada pihak tertentu termasuk Sisters in Islam (SIS) sibuk mengeluarkan kenyataan yang mengkritik pelaksanaan hukuman tersebut? Pihak terbabit mendakwa hukuman itu kejam dan diskriminasi terhadap wanita. Di mana rasionalnya tuduhan itu? Tahukah pertubuhan tersebut bahawa hukuman sebat adalah undang-undang Allah SWT dan manusia tidak boleh mempertikaikannya? Dalam hal ini, komen seperti itu boleh memesongkan akidah. Ini dijelaskan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam akhbar Utusan Malaysia semalam bahawa mana-mana pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian bermakna mereka tidak mempercayai hukum Allah dan boleh dianggap terkeluar dari Islam. Hakikatnya, pelaksanaan hukuman itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana pesalah telah disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram).

SIS juga mendakwa hukuman sebat itu telah mencabuli hak sama rata manusia. Dalam Islam, tiada pencabulan hak berlaku kerana baik wanita ataupun lelaki, kedua-dua gender itu akan dikenakan hukuman yang sama jika sabit kesalahan. Berbanding dengan undang-undang sivil, hanya lelaki dikenakan hukuman sebat dan tentulah tidak adil apabila pesalah wanita dilepaskan walaupun melakukan jenis kesalahan yang sama. Begitu juga apabila SIS mengingatkan pihak berkuasa berkaitan agar keadilan hendaklah dilembutkan dengan rasa belas ihsan, tentulah ada pihak yang ketawa membaca kenyataan itu! Nampaknya SIS tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami bahawa hukuman merotan di bawah undang-undang syariah kerana kesalahan persetubuhan haram bagi wanita adalah 100 kali sebatan, sedangkan pihak berkuasa kita berlembut dengan hanya mengenakan antara empat hingga enam sebatan ke atas wanita terbabit. Itu sudah cukup belas ihsan terhadap pesalah terbabit.

Perlu difahami bahawa hukuman sebat bukan dicipta untuk mendera atau kejam terhadap pesalah. Ia bertujuan menimbulkan keinsafan dan memberi kesedaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama. Sebab itulah, hukuman sebat syariah tidak menyakitkan dan mencederakan pesalah sebagaimana hukuman sebat sivil. Ia sekadar mahu pesalah mengambil iktibar agar tidak terus bergelumang dosa. Seperti kata seorang pesalah terbabit, Ayu (bukan nama sebenar) yang menerima empat kali sebatan. Katanya, beliau tidak berasa sakit ketika disebat dan hukuman itu memberi kesan mendalam dalam kehidupannya untuk menjadi umat Islam yang lebih baik. Maka selepas ini, teruskanlah pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah syariah kerana ia boleh mengurangkan gejala penyakit sosial masyarakat yang semakin berleluasa hari ini.

Setiap kesalahan yang disabitkan juga perlu disegerakan pelaksanaan hukuman agar tiada ruang untuk pihak tertentu mengeluarkan komen yang boleh mengelirukan masyarakat. Jangan kerana desakan pihak tertentu yang tidak tahu secara mendalam tentang hukum hakam Allah, maka pelaksanaan hukuman sebat dihentikan. Ia bukan sahaja perlu diteruskan, malah wajar dilakukan di hadapan khalayak ramai. Dengan cara itu, ‘penonton’ akan berasa takut untuk melakukan dosa-dosa besar. Namun, sudah pasti tidak semua ‘penonton’ akan berasa takut, tetapi percayalah masih ada di kalangan mereka yang akan berubah menjadi lebih baik selepas melihat pelaksanaan hukuman tersebut. Jadi, usahlah tunduk pada tuntutan pihak yang kurang faham tentang IslamU/M

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »