Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Februari 2010

Bila SIS mengamuk pasal sebat

Posted by epondok di Februari 19, 2010

Kenyataan terbaru Sister in Islam (SIS) oleh Pengerusi Eksekutif barunya Dr Hamidah Merican (bawah) membantah hukuman sebat syariah terhadap tiga pesalah wanita mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) tidaklah menarik sangat.

 

 

 

 SIS yang lebih disinonimkan dengan Zainah Anwar lebih dua dasawarsa yang lalu telah membuat banyak kenyataan yang jauh lebih panas dan hangat. Tidak perlu membaca jauh pandangan hidup Zainah Anwar selama lebih 20 tahun dalam SIS kerana fikiran singkatnya dapat dibaca sependek perenggan pertama rencana “Ending the Patriarchy” di majalah Time edisi 10 Mac 2003.

Ini kerana hukuman sebat Syariah yang dikenakan selama ini lebih kepada ‘acah-acah’ untuk menguji sistem perundangan Syariah secara beransur tahap.

Malah tidak ralat untuk dikatakan hukuman tersebut sebenarnya bersifat separuh masak kerana hukum sebat dalam Islam telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasulullah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Tetapi nisbah yang dikenakan terhadap pesalah Syariah setakat ini tidak sampai 10 peratus daripada kadar yang sebenar.

Saya lebih tertarik untuk mengulas kenyataan akhbar SIS terbaru ini apabila melihat muka baru ketuanya, Dr Hamidah Merican buat pertama kali.

 

 

 

 Ada dua sahaja perkara yang boleh dipuji Dr Hamidah Merican berbanding dengan Zainah Anwar (kanan) iaitu beliau bertudung lengkap mengikut syariat mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Dato Siti Nurhaliza Tarudin.

Keduanya, latarbelakang pendidikan beliau sebagai pemegang ijazah kedoktoran. Namun dengan kesarjanaan dalam Pengurusan Berasaskan Nilai, apalah yang boleh diharapkan sangat dengan interprestasi Islam beliau jika dibandingkan dengan mentornya Prof Madya Dr Amina Wadud, sarjana Bahasa Arab dan Pengajian Islam yang juga pensyarah Pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia dan pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Amat kontradiksi

Hakikatnya pembawaan nama ‘Islam’ dalam akronim SIS adalah amat kontradiksi. Ia menyekat kemasukan pejuang wanita yang bukan Islam yang jauh lebih berkarisma seperti Datuk Ambiga Sreenevasan, Irene Fernandez dan Sofia Lim Siu Ching.

Jika mereka yang membuat kenyataan anti sebat Syariah, jujur saya masih boleh menerima kerana perbezaan agama dan pandangan hidup.

 

 

 

 Bukan sahaja mereka malah sebahagian daripada kita umat Islam apabila menyebut hukuman sebat dengan rotan secara reflek mengundang trauma terutama ketika melihat rakaman video yang tidak sampai hati untuk dihabiskan apatahlagi mendengar cerita khalayak yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri sudah cukup mengerikan.

Masakan tidak, kesan pendarahan dan kecederaan tersebut akan meninggalkan parut luka kepada pesalah yang hanya akan hilang selepas tempoh dua tahun lamanya. Itulah persepsi awalnya.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan.

Malah isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa turut dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ia memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.

Sebenarnya rasa trauma itu tidak lebih daripada polemik ketidakfahaman tentang pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman sebat Syariah ini seringkali dipukulratakan dengan hukumanan sebat sivil sedangkan dari segi konsep dan pelaksanaan keduanya adalah berbeza.

 

 

 

 Hukuman sebat di Mahkamah Sivil yang terpakai dalam Kanun Prosedur Jenayah 1998 sebenarnya bukanlah berakar umbi dari sejarah Islam. Sebaliknya ia diperkenalkan oleh British seawal pembentukan Negeri-Negeri Selat. Mahkamah Syariah telah dipinggirkan dengan merendahkan kedudukannya menjadi mahkamah terbawah di dalam hierarki sistem keadilan semasa pentadbiran British memperkenalkan Courts Ordinance dalam tahun 1948.

Maka adalah tidak adil kesan ketidak adilan sebat sivil dikesampingkan dengan keadah sebat syariah yang jarak bezanya lebih jauh dari timur dan barat.

Saat ini barulah saya mengisafi lirik lagu Raihan, ‘Iman Mutiara’ – “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai”. Benarlah iman tidak juga semestinya datang dari NGO Islam dan pihak berkuasa Islam.

Iman berada di mana-mana

Iman sebenarnya boleh berada di mana-mana. Malah ia mungkin datang dari dalam gereja seperti keyakinan yang dizahirkan oleh tokoh besar Kristian Eropah, Dr Rowan Williams, Uskup Besar Canterbury England yang menyarankan bahagian-bahagian Undang-Undang Syariah Islam sebagai penyelesaian kesatuan sosial di United Kingdom dalam wawancaranya dengan Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008.

Malangnya nur yang sama tidak menerombos hati nurani Dilwar Husain seorang Muslim tokoh Yayasan Islam Eropah yang mempertahankan Undang-Undang British sekular yang didakwanya mesra masyarakat Islam sepertima mana dalam hujahnya, “Most Muslims are perfectly happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words, some of the most important things that concerns people are already in the system. We are not seeking the introduction of a new system – absolutely not”.

Bagi SIS dan Majlis Peguam yang cakap berlapik di atas prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah, kini perlu mencari alasan lain yang lebih berfakta kerana kenyataan Y.A Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.

Sudah sampai masanya kerajaan, pihak berkuasa agama dan universiti menjalankan kajian dan penyelidikan serta tidak tercicir dalam retorik kertas kerja seperti dalam Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah tahun lalu.

Sebaliknya p

 

 

 

 erlu mengambil inisiatif proaktif sebagaimana satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.

Menurutnya berdasarkan saintifik, sebatan di pungung mampus merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.

Tidak menang tangan merotan

Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit RM342 bagi sesuatu rawatan biasa dan kini tidak menang tangan untuk merotan pesakitnya.

 

 

 

 Ia menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia.

Jadi di manakah logiknya kenyataan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang turut mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.

Jika kita memerlukan sampel ujikaji sebagai testimonial maka calon terbaik, saya syorkan ialah Dr Hamidah Merican, Zainah Anwar atau Datuk Syed Abas Syed Ali itupun jika kesalahan menghina mahkamah ditambah dengan hukuman rotan dan tidak cukup sekadar peruntukkan denda dan penjara. Seperti kata orang sekarang, “Belum cuba belum tahu”.

Penulis ialah Perunding Pembangunan Sumber Manusia

Posted in Fokus Isu | 6 Comments »

Negeri ada hukuman sebat tetapi tidak kuat kuasa

Posted by epondok di Februari 19, 2010

KUALA LUMPUR: Semua negeri mempunyai peruntukan hukuman sebat mengikut akta, enakmen dan Ordinan Jenayah Syariah tetapi hanya Kelantan pernah melaksanakan hukuman itu terhadap 10 pesalah sejak Undang-Undang Kaedah Hukuman Sebat Kelantan dikuatkuasakan pada 1987.

Pesalah yang disabitkan di negeri lain hanya dijatuhkan hukuman penjara dan denda walaupun kesalahan mempunyai peruntukan hukuman sebat.

Di KOTA BHARU; Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad, berkata hukuman sebat dilaksanakan pegawai khas yang dilantik Mahkamah Syariah selepas prosiding peringkat Mahkamah Rayuan Syariah berakhir jika pesalah merayu terhadap hukuman.

“Hukuman sebat pertama dilaksanakan pada 7 Januari 1987 membabitkan kesalahan mukadimah zina terhadap seorang lelaki. Cuma ketika itu, hukuman sebat tidak digembar-gemburkan.

“Hukuman berjalan hingga kini dan kali terakhir pada 2004 terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun selepas didapati bersalah minum arak. Hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah di negeri ini dijalankan di Penjara Pengkalan Chepa,” katanya.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Johor, Mohd Nooh Kadri, berkata Johor mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman sebat tetapi belum ada pesalah pernah menjalani hukuman itu.

Katanya, enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan sehingga enam sebatan untuk kesalahan menyampaikan doktrin palsu, melakukan perbuatan berlawanan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah (lesbian).

Beliau berkata, Mahkamah Syariah Johor pernah menjatuhkan hukuman sebatan kepada pesalah jenayah syariah pada akhir 1990-an tetapi tidak dilaksanakan selepas pesalah terbabit membuat rayuan.

Di KANGAR, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) mempunyai undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebat terhadap pesalah minum arak dan benda memabukkan mengikut Seksyen 24(1) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.

Pengarah Jaips, Malik Hussin, berkata setakat ini belum ada pesalah kes itu dikenakan hukuman berkenaan.

Di ALOR SETAR, jurucakap Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), berkata pihaknya belum memperuntukkan hukuman sebat kerana hukuman yang dikenakan hanya membabitkan denda dan penjara.

Di MELAKA, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan setakat ini belum ada rakyat di negeri itu menjalani hukuman disebat mengikut undang-undang syariah.

“Bagaimanapun jika Mahkamah Syariah Melaka hendak melaksanakannya, saya tidak ada halangan dan tambahan pula sebatan banyak dilakukan pelbagai pihak.

“Kadang-kadang di sekolah kalau nakal pun kena sebat, inikan pula orang Islam yang sudah melanggar hukum syariah,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Zakaria Semela, berkata hukuman sebat diperuntukkan dalam dua enakmen berkaitan jenayah syariah di Sabah.

Katanya, dua enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sabah 2004.

“Bagaimanapun, kes pendakwaan yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mengikut enakmen itu belum pernah merangkumi sebatan, sebaliknya hanya denda dan penjara,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hukuman sebat menusuk jiwa

Posted by epondok di Februari 19, 2010

Oleh Nazura Ngah


TIGA pesalah syariah wanita (membelakangkan kamera) yang menerima hukuman sebat dalam kesalahan syariah di Penjara Wanita Kajang ditemubual media, semalam.

 

KAJANG: Tiga wanita kumpulan pertama yang menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, reda disebat dan mengakui hukuman itu memberi mereka kesedaran yang cukup mendalam.

Mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, Aishah dan Nur, juga mengakui hukuman itu tidak menyakitkan seperti yang disangka sebelum ini.

Ayu, 20-an, yang juga ibu kepada bayi berusia kira-kira setahun, berkata hukuman sebatan itu tidak mencederakan atau menyakitkan, sebaliknya bertujuan memberi keinsafan dan mengurangkan tekanan jiwa.

“Hukuman itu memberi kesedaran mendalam dalam jiwa saya. Allah memberi peluang untuk saya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya,” katanya kepada pemberita di Penjara Wanita Kajang di sini, semalam.

Ayu dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara dua bulan dan empat sebatan. Dia juga didenda RM1,000 mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 selepas menyerah diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

PEGAWAI Sebat Wanita Kajang membuat demonstrasi cara hukuman sebat Syariah di Penjara Wanita Kajang, semalam.

Katanya, dia tidak mengemukakan rayuan kerana reda dengan apa juga hukuman yang diputuskan mahkamah.

“Saya wajar menerima hukuman itu, jika tidak saya tak akan sedar sampai bila-bila,” katanya.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Semalam, wakil media juga menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita. Mengikut undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

Selain itu, hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita. Rotan yang digunakan pula berukuran maksimum 1.22 meter panjang dan ketebalan 1.25 sentimeter bergantung keputusan mahkamah.

Menceritakan detik disebat pada 9 Februari lalu, Ayu berkata, selepas menerima sebatan pertama, dia memperbanyakkan istighfar.

“Apa yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu hanya mengharapkan keampunan daripada Allah,” katanya yang akan melangsungkan perkahwinan sebaik saja pasangannya dibebaskan, akhir bulan depan.

Ayu berkata, walaupun gerun mendengar hukuman yang bakal diterimanya, dia mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas agama di penjara dan banyak mengerjakan solat taubat meminta keampunan daripada Allah.

Aishah, 18, pula berkata dia terkejut dan terduduk ketika Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara, enam sebatan dan denda RM3,000 pada Disember lalu. Pasangannya yang dikahwininya pada Oktober lalu, turut dikenakan hukuman yang sama.

“Walaupun berdebar, saya reda dan patut terima hukuman itu kerana hukuman di akhirat lebih hebat tetapi sekurang-kurangnya saya insaf.

“Saya tidak buat rayuan kerana tidak mahu menyusahkan lagi ibu bapa saya yang mengharapkan saya menjadi manusia berguna,” katanya yang kematian bayi pramatang berusia tujuh bulan pada November lalu.

Katanya, keluarganya hanya mengetahui dia mengandung ketika kandungannya berusia enam bulan dan memaksanya berkahwin dengan pasangannya.

“Walaupun tertekan dengan kesilapan lalu, saya tidak tergamak untuk membunuh bayi dalam kandungan kerana tidak mahu menanggung satu lagi dosa besar tetapi malangnya bayi meninggal dunia selepas dilahirkan tidak cukup bulan,” katanya.

Sementara itu, Nur, 20-an, berkata hukuman enam sebatan yang dilaluinya dapat mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung selepas melahirkan anak luar nikah hampir tiga tahun lalu.

Menganggap diri sebagai insan terpilih kerana diberi peluang menjalani hukuman berkenaan, Nur berkata, dia tidak merasai kesakitan ketika disebat kerana reda dengan hukuman itu.

Katanya, dia tidak dapat berkahwin dengan pasangannya yang juga menerima hukuman sama di Penjara Kajang walaupun selepas melahirkan anak perempuan kerana berdepan dengan masalah wali apabila bapanya meninggalkan keluarga termasuk ibunya yang sakit sejak enam tahun lalu.

Tanpa menyalahkan keadaan keluarganya, dia menganggap kejadian yang berlaku berpunca daripada kesilapan diri sendiri.

“Selepas menjalani hukuman ini, saya berserah kepada Allah semoga diampunkan segala dosa kami,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »