Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 18 Februari 2010

Kelahiran anak ujian buat ibu bapa

Posted by epondok di Februari 18, 2010

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki


ANAK adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan berguna. – Gambar hiasan

Zuriat bukan sekadar penyambung warisan tetapi bukti kekuasaan Allah

ANAK anugerah Allah yang amat istimewa bagi suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Malah, setiap pasangan berkeluarga memang impikan anak untuk menyerikan institusi rumah tangga mereka. Itu sudah menjadi satu keinginan semula jadi yang Allah ciptakan dalam sudut hati setiap manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini oleh nafsu ialah perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan ternakan serta kebun. Semuanya ialah kesenangan hidup di dunia.” (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Oleh itu, tidak hairanlah anak dianggap penyejuk hati dan mata ibu bapa di kala suka serta duka dalam menelusuri kehidupan. Alangkah sepinya ibu bapa yang tidak memiliki anak untuk mewarnai hidup mereka.

Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai pilihan lain iaitu dengan mengambil anak angkat sebagai penghibur dan penawar.

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir walaupun anak itu adalah anak luar nikah. Ini kerana setiap bayi dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa.

Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya.

Perlu ditegaskan, kelahiran seorang anak yang diharap akan menyambung warisan kekeluargaan sebenarnya mengungkap banyak makna dan pengertian yang tersurat sebagai bahan renungan untuk menginsafkan kita sebagai hamba Allah.

Pertamanya, kelahiran anak sudah memadai sebagai bukti paling mudah mengisyaratkan kekuasaan dan keagungan Allah mengatasi segala-galanya di alam maya ini. Sebelum lahirnya anak itu melalui pelbagai peringkat yang berbeza di alam rahim selama sembilan bulan 10 hari sehingga tercipta seorang manusia yang sempurna kejadiannya.

Semua itu diceritakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah Al-Tin, ayat 4)

Namun, di sebalik kesempurnaan sifat manusia sebenarnya daif dan kerdil kerana sentiasa bergantung harap kepada Allah. Oleh sebab itulah, setiap insan diwajibnya beriman kepada Allah untuk menikmati kesejahteraan di dunia dan akhirat di bawah keredaan Ilahi.

Kedua, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa. Justeru, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, anak adalah ujian Allah kepada ibu bapa.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah Al-Anfal, ayat 28)

Setiap ibu bapa berkewajipan mendidik dan mengasuh anaknya. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini jumlah bayi dilahirkan akibat perzinaan terus meningkat dan lebih menyedihkan, ada antara mereka dibuang dan didera sehingga menemui ajal.

Maka, tidak hairan Al-Sheikh Muhammad Qutb menganggap peristiwa berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali kepada zaman jahiliah terdahulu yang sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu.

Jadi tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dan membuang anak dengan niat membunuh kerana kedua-dua perbuatan itu dilarang Allah.

Perlu diinsafi, mendidik dan mengasuh anak termasuk dalam ibadah kerana setiap ibu bapa akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan anaknya. Lebih-lebih lagi anak itu umpama helaian kertas putih yang belum diwarnai dan dicorakkan lagi.

Maka ibu bapalah yang akan mencorakkannya berdasarkan cita rasa masing-masing. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara. Alangkah beruntungnya ibu bapa memiliki anak soleh yang doanya berterusan kepada kedua ibu bapanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Gerun kepada kuasa Allah

Posted by epondok di Februari 18, 2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 

Pertukaran malam dan siang jelas membuktikan kekuasaan Allah SWT. – Gambar hiasan

 

IMAM Fakhru al-Razi menerangkan hubungan ayat ini dengan sebelumnya seraya berkata: Ketahuilah bahawa maksud daripada kitab yang mulia ini untuk menarik hati dan roh daripada sibuk dengan makhluk kepada tenggelam untuk makrifatullah.

Ayat ke-190

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

Sebab nuzul

Ibn Jauzi menyebut tiga pendapat berkenaan dengan sebab nuzul:

Pertama: Orang Quraish bertanya kepada Yahudi: Apakah yang dibawa kepada kamu oleh Musa? Jawab mereka: Tongkat dan tangannya yang bercahaya. Mereka bertanya kepada Nasara: Apa yang dibawa kepada kamu oleh Isa? Jawab mereka: Menyembuhkan sopak, kusta dan menghidupkan yang mati. Kemudian mereka datang kepada Nabi seraya berkata: Doalah kepada Tuhanmu supaya Allah menjadikan kami bukit Sofa sebagai emas. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibnu Jubair daripada Ibnu Abbas.

Kedua: Penduduk Mekah bertanya Nabi supaya mendatangkan kepada mereka bukti. Lantas turunnya ayat ini. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibnu Abbas.

Ketiga: Tatkala turunnya firman Allah yang bermaksud: Dan Tuhan kamu Tuhan yang satu. Orang Quraish berkata: Sesungguhnya dia menyamakan di antara tuhan-tuhan kita, justeru, datangkanlah kepada kami ayat atau bukti. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Abu al-Dhuha yang bernama Muslim bin Subaih.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibnu Kathir berkata: Kadang-kadang terdapat malam yang panjang dan siang yang pendek. Lalu masing-masing menjadi seimbang.

ii. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini memerintahkan kepada setiap orang yang mempunyai akal yang sihat supaya memusatkan pemerhatian mereka kepada kejadian langit dan bumi beserta dengan segala isinya.

iii. Para Mufassirin mengatakan: Ayat ini mengenai solat. Orang yang sembahyang itu hendaklah berdiri, jika tidak berdaya hendaklah duduk dan jika tidak berdaya duduk hendaklah baring mengiring di sebelah lambungnya. Sembahyang itu tidak boleh sekali-kali ditinggalkan dan mesti dilakukan dalam apa cara sekali pun.

iv. Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Ayat ini menyeru kepada tadabbur dan fikir kepada alam yang maha hebat ini dan juga Penciptanya.

v. Syed Qutub berkata: Kegiatan berfikir pada kejadian Allah SWT meneliti kitab alam buana yang terbuka, mengesani tangan kudrat Ilahi yang Maha Pencipta ketika Dia menggerakkan alam ini dan membalik-balikkan lembaran kitab alam ini merupakan jantung ibadat kepada Allah dan zikir kepada-Nya. Seandainya ilmu-ilmu sains yang mengkaji tentang susunan bentuk alam buana, undang-undang dan peraturannya, kekuatan-kekuatan dan perbendaharaan-perbendaharaannya, rahsia-rahsia dan tenaga-tenaganya mempunyai hubungan dengan mengingati Pencipta alam buana ini dan mempunyai hubungan dengan kesedaran terhadap kebesaran dan limpah kurnia-Nya. Nescaya ilmu-ilmu sains itu akan terus berubah kepada kegiatan beribadat dan mendirikan solat kepada Allah SWT.

vi. Al-Maraghi berkata: Kedudukan langit dan bumi yang begitu rapi susunannya, serta ciptaannya begitu mengagumkan sekali. Pertukaran malam dengan siang berjalan dengan teratur sepanjang tahun itu dapat kita saksikan kesannya terhadap badan dan akal kita melalui pancaran panas cahaya matahari dan dingin malam, juga terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta lain-lain. Semua itu menjadi bukti kebenaran keesaan Allah SWT, kesempurnaan ilmu dan kekuasaan-Nya.

vii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Kata al-albab adalah dalam bentuk jama’ daripada lubb iaitu saripati sesuatu. Kacang, misalnya memiliki kulit yang menutupi isinya. Isi kacang lubb. Ulul albab adalah orang-orang yang memiliki akal yang murni yang tidak diselubungi oleh kulit untuk melahirkan kerancakan berfikir. Fenomena alam raya yang dapat sampai kepada bukti yang sangat nyata tentang keesaan dan kekuasaan Allah SWT.

Dinyatakan definisi ulul albab, ia merangkumi dua perkataan. Ulul yang bermaksud tuan, empunya atau pemilik manakala albab pula membawa maksud hati. Dalam Lisan al-Arab 8/16, oleh Ibn Manzur menyebut definisi Ulul Albab:

i. Ibnu al-Arabi berkata: Albab ialah al-Bal yang bermaksud akal.

ii. Dengan maksud beradab.

iii. Dengan maksud keluasan.

iv. Dengan maksud kesuburan.

v. Dengan maksud keamanan.

vi. Dengan maksud di hadapan.

vii. Al-Ahmar berkata: Lub ialah tapisan seperti tanah atau pasir yang halus.

viii. Dengan maksud tempat sembelih daripada sesuatu.

Sebahagian pendapat di atas disebut dalam al-Mu’jam al-Arabi al-Asasi.

Ayat ke-191

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Perkataan zikir ditafsirkan dengan tiga pendapat:

l Zikir dalam solat. Inilah pendapat Ali, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas dan Qatadah.

l Zikir dalam solat dan lainnya. Inilah pendapat sekumpulan ahli tafsir.

l Perasaan takut dengan maksud mereka merasa takut kepada Allah ketika berdiri, duduk dan ketika hampir tidur. Seperti yang dinukilkan oleh Ibnu al-Jauzi.

ii. Ibnu Faris berkata: Fikir atau fikrah dengan maksud hati sentiasa teringat kepada sesuatu.

iii. Ibnu Abbas pula berkata: Dua rakaat yang dilakukan dengan penuh fakir dan penghayatan lebih baik daripada mendirikan sepanjang malam dalam keadaan hati lalai.

iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi pengajaran kepada orang mukmin bagaimana cara mereka berbicara dengan Tuhan, sewaktu mendapat petunjuk, menunjukkan kebaikan dan kemuliaan Tuhan dalam penciptaan makhluk-makhluk-Nya.

v. Para Mufassirin mengatakan: Ayat ini mengenai solat. Orang yang sembahyang itu hendaklah berdiri, jika tidak tidak berdaya maka hendaklah duduk dan jika tidak berdaya duduk hendaklah baring mengiring disebelah lambungnya. Sembahyang itu tidak boleh sekali-kali di tinggalkan dan mesti dilakukan dalam apa cara sekalipun.

vi. Muhammad Quraish Shihab berkata: Manusia yang membaca lembaran alam raya, nescaya akan mendapatkannya. Sebelum manusia mengenal peradaban, mereka yang menempuh jalan ini telah menemukan kekuatan itu, walau nama yang disandangkan untuk-Nya bermacam-macam seperti Penggerak Pertama, Yang Maha Mutlak, Pencipta Alam, Kehendak Mutlak, Yang Maha Kuasa, Yahwa Allah dan sebagainya.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa berfikir dan berzikir dan melayakkan untuk mencapai martabat kedudukan Ulul Albab yang sentiasa berdoa kepada Allah supaya diselamatkan daripada api neraka-Nya. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

3 wanita disebat

Posted by epondok di Februari 18, 2010

Oleh Sazarina Shahrim


PEGAWAI Jabatan Mufti Negeri Pahang menunjukkan cara sebatan kes peminum arak dan zina pada satu seminar di Kuantan, baru-baru ini.

Kumpulan pertama jalani hukuman ikut undang-undang syariah: Hishammuddin

PUTRAJAYA: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.

“Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.

“Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.

“Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.

Beliau berkata, seorang daripada wanita itu sudah dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, seseorang lagi akan dibebaskan hujung bulan ini manakala pesalah ketiga Jun depan.

Selain tiga wanita terbabit, katanya, empat pesalah lelaki turut dikenakan hukuman enam sebatan pada hari sama pada jam 10 pagi.

Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika Seri sendiri rela untuk dikenakan sebatan.

Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.

“Saya berharap isu ini tidak disalah erti sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman berkenaan adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan supaya mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »