Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 Februari 2010

Hari Valentine bertentangan syariat Islam

Posted by epondok di Februari 12, 2010

Oleh Mohd Shukri Hanapi

BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal menjadikan manusia makhluk bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam menggariskan prinsip kebudayaannya tersendiri seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis. Dengan itu, akan lahirlah budaya hidup Muslim hakiki berteraskan iman dan takwa.

Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.

Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban bercanggah dengan syarak.

Apabila umat Islam lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai ‘Valentine’s Day’.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya ‘Should Biblical Christians Observe It?’ menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud ‘yang perkasa, kuat dan kuasa’. Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari ‘Valentine’ adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali daripada menyambut Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun.

Tidak cukup dengan itu, kadangkala sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka. Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan yang diadakan itu akan dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan.

Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta. Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga. Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat. Amalan ini kemudiannya disambut oleh pelbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari ‘Valentine’ ini.

l Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari ‘Valentine’ pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

l ‘Valentine’ adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari ‘Valentine’. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol.

Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Gerakan strategik membasmi ajaran sesat

Posted by epondok di Februari 12, 2010

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

BERDASARKAN realiti sejarah masa lalu, jelas ajaran sesat boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Ajaran sesat tidak sahaja melakukan penyelewengan terhadap Islam dan menyesatkan para pengikutnya, malah bukti-bukti sejarah menunjukkan ia boleh menimbulkan ketegangan dan peperangan.

Selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW dan sewaktu zaman Khalifah Ar-Rashidin, terjadi peperangan menentang ajaran sesat.

Terdapat pelbagai bentuk ajaran sesat, tidak sahaja yang sesat dan menyesatkan pembawa mahupun pengikutnya tetapi ikut sama menyeret kepada hal-hal yang berkaitan dengan politik sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan permusuhan yang tidak akan menguntungkan sesiapapun sama ada individu, kumpulan mahupun masyarakat dan negara.

Menyedari bahawa ajaran sesat, pengamal mahupun pengikutnya boleh mengancam keamanan masyarakat, maka tindakan tegas pihak berwajib dan pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga kesucian Islam perlu dilakukan berterusan agar agama Islam tidak tercemar oleh anasir-anasir dan makhluk perosak itu. Justeru, tindakan tegas ke atas pembawa, pengamal dan para pengikutnya sebagaimana kes terbaru yang terjadi pada guru dan pengikut ajaran Abdul Rejab Ahmad di Putrajaya kelmarin adalah dialu-alukan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai agensi pusat yang menyelaras semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam haruslah meningkatkan lagi usaha membanteras gejala ajaran sesat ini, selain pihak berkuasa agama negeri menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas tanpa kompromi dengan golongan tersebut.

Di Malaysia sahaja untuk mengenali ciri-ciri ajaran sesat, ia boleh dilihat pada beberapa aspek, antaranya golongan itu memansuhkan syariat Islam dan mengadakan syariat baru, dapat meramalkan bila berlaku kiamat, menerima risalah Islam terus dari Rasulullah, zikir dalam gelap bercampur gaul lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk, penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin, menghalalkan nikah adik-beradik, semua manusia boleh melihat Allah di dunia ini, nikah menurut syariat hanyalah mengikut adat, sebab itu dikehendaki dinikahkan sekali lagi dengan nikah batin, murid-murid tidak boleh mengahwini wanita-wanita yang diminati oleh gurunya dan bagi mereka, Islam itu ada zahir dan batin iaitu zahir itu kulit dan batin itu isi. Apabila dapat isi, maka kulit tidak berguna lagi.

Dan yang paling dibimbangi kebanyakan ajaran sesat di Malaysia menggunakan seks sebagai tarikan kepada ajaran mereka dan kebanyakan yang menjadi mangsa mereka ialah wanita. Wanita Islam yang sering tertipu oleh perangkap guru ajaran sesat ini adalah daripada kalangan mereka yang jahil dan tiada pengetahuan asas agama. Dan tidak dinafikan juga, ada di kalangan mereka yang berpengetahuan agama turut terpengaruh dan terlibat.

Tujuan sebenar kumpulan ajaran sesat itu adalah untuk menghancur dan merosakkan ajaran Islam yang suci. Untuk mencapai matlamat tersebut, mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mempengaruhi masyarakat Islam yang tidak mempunyai pegangan akidah yang kukuh.

Mereka memperkenalkan ajaran baru yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Dengan cara ini, mereka dapat melemahkan dan merosakkan pegangan umat Islam terhadap akidah Islamiah.

Kelambatan bertindak ke atas kumpulan-kumpulan ajaran sesat akan mengakibatkan tercetusnya pelbagai angkara yang mungkin tidak terjangkau pada pemikiran kita. Demikian juga bentuk hukuman dan denda sedia ada yang dikategorikan sebagai amat rendah serta tidak setimpal dengan kesalahan, jelas menunjukkan bahawa usaha menangani ancaman ajaran sesat kurang berkesan dan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Oleh yang demikian, satu metadologi yang merangkumi aspek pendidikan seperti menyebarkan risalah atau maklumat umum mengenai cara mengenal pasti sesuatu ajaran sesat perlu dilakukan.

Pendidikan formal atau tidak formal boleh dimanipulasi sebagai medium penyebaran maklumat yang berkesan termasuk penggunaan media cetak dan elektronik.

Kaedah atau jalan penyelesaian umat adalah dengan meluruskan akidah dan kembali kepada akidah Salafush-shalih, menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber hukum, ikhlas kepada Allah dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan, menuntut ilmu syariat serta berusaha memahami agama dan mencari kebenaran mengikut dalil yang benar.

Usaha juga harus ditekankan ke arah memberi penerangan secara jelas kepada masyarakat umum mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sikap tidak bertolak ansur dalam penghayatan akidah yang sahih merupakan suatu ketegasan tidak sahaja dalam mempertahankan kesucian akidah dan agama Islam itu sendiri, tetapi yang sama pentingnya adalah mempertahankan kewibawaan institusi Islam.

Akidah yang sahih adalah mereka yang beriman kepada Allah, para malaikat dan rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari akhirat serta qada dan qadar. Akidah yang benar dapat menjadi landasan dan pendorong bagi umat Islam dalam melaksanakan amal soleh dan diwar-warkan dalam pelbagai media cetak mahupun elektronik secara meluas.

Satu kempen yang menyeluruh dan gerakan yang strategik haruslah dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai wadah yang ada seperti misalnya di masjid-masjid. Hal ini perlu dilakukan segera tetapi bukan ad hoc kerana mereka yang terlibat dengan ajaran salah ini secara relatif bukan daripada orang biasa. Kebanyakan mereka mempunyai pengetahuan dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat.U/M

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Allah pemerintah Agung

Posted by epondok di Februari 12, 2010

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Ke-72)

 

KERAJAAN yang memerintah rakyat di dunia ini hanyalah sementara. -Gambar hiasan

 

Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menceritakan mengenai keraguan dan celaan kaum Yahudi terhadap kenabian Muhammad SAW.

Semua ini telah dijawab oleh Allah SWT sebagaimana yang telah kamu ketahui menerusi ayat-ayat yang lalu. Kemudian ayat ini disusuli pula dengan keterangan yang menarik mengenai perilaku mereka serta betapa aneh keadaan mereka.

Sebenarnya mereka tidak patut mencela Nabi Muhammad SAW ataupun meragui kebenaran agamanya.

Ini kerana, sama ada kaum Yahudi mahupun Nasrani telah diperintahkan oleh Allah SWT agar menjelaskan secara terus terang mengenai isi kitab Taurat dan Injil dengan segala bukti yang menyentuh kenabian Muhammad SAW dan kebenaran misinya.

Ayat ke-187

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janji-Nya) itu.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn al-Jauzi berkata, ayat ini telah menjadi khilaf ulama diturunkan kepada siapa dengan tiga pendapat:

A) Kepada Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, al-Suddi dan Muqatil. Atas dasar ini, kitab bermaksud Taurat.

B) Mereka adalah golongan Yahudi dan Nasara. Justeru, kitab di sini bermaksud Taurat dan Injil.

C) Mereka adalah semua ulama. Maka maksud kitab adalah sebagai nama jenis.

ii. Al-Maraghi berkata, kandungan yang terdapat dalam kitab mempunyai dua fasa:

l Menerangkan kepada orang bukan Islam, bahawa mereka diajak kepada Islam.

l Menerangkan kepada orang Islam itu sendiri untuk memberi petunjuk dan bimbingan mengenai pelbagai masalah yang telah diturunkan oleh Tuhan kepada mereka.

Kedua-dua tugas di atas wajib dijalankan oleh para ulama tanpa dikecualikan. Ayat ini menjadi bukti untuk menuntut tanggungjawab mereka.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat ini menggambarkan perilaku buruk mereka menyembunyikan kebenaran meraih keuntungan sementara dengan istilah yashtarun (membeli).

Biasanya jual-beli disertai dengan tawar menawar untuk memperoleh sebanyak mungkin keuntungan.

Rupanya demikian itulah keadaan mereka, dan kerana besarnya keinginan serta sengitnya tawar menawar itu, maka membeli kata kerjanya adalah yasyry ditambah dengan huruf ta’.

Ayat ke-188

Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka (Wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Sebab nuzul ayat:

Ibn Jauzi menyatakan terdapat lapan pendapat ulama berkenaan dengan sebab nuzul ayat ini.

A) Nabi bertanya Yahudi tentang sesuatu sedangkan mereka sembunyi dan khabarkan yang lain. Lantas turunnya ayat ini.

B) Diturunkan kepada kaum Yahudi yang amat gembira dengan dunia yang diperolehi dan amat suka manusia memuji mereka seperti katanya Mereka adalah ulama. Inilah pendapat Ibn Abbas.

C) Golongan Yahudi berkata: Kami atas agama Ibrahim dan sembunyi hakikat Muhammad SAW. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Sa’id bin Jubair.

D) Yahudi Madinah mengutus surat kepada Yahudi Iraq, Yaman dan Yahudi di tempat lain dengan berkata: Muhammad bukan Nabi. Justeru, kekallah atas agama kamu. Inilah pendapat al-Suddi dan al-Dhahaq.

E) Yahudi Khaibar datang kepada Nabi dan sahabatnya seraya berkata: Kami atas pandangan kamu dan kami bagi kamu menentangnya. Mereka berpegang dengan kesesatan. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Qatadah.

F) Kumpulan daripada Yahudi menggerakkan bala tentera untuk menyerang Nabi. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibrahim al-Nakhaie

G) Kumpulan daripada kaum Yahudi masuk bertemu Nabi kemudian keluar dengan mendakwa kepada orang Islam bahawa mereka menceritakan kepada Nabi dan mereka dipuji, sedangkan sebaliknya. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat al-Zajjaj.

H) Kumpulan manusia di kalangan munafik, lari daripada peperangan bersama Nabi. Apabila Rasulullah SAW pulang mereka membuat helah dan alasan. Lantas turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata, azab ada dua jenis:

* Azab yang timbul kerana kesan alamiah yang muncul seketika dialami orang melakukan kebatilan, sesuai dengan ketentuan Allah SWT berlaku dalam masyarakat.

* Azab sebagai tanda kemurkaan yang datang dari langit, seperti gempa bumi, gerhana, angin taufan dan bencana-bencana lain yang membinasakan menimpa sebahagian umat Nabi-nabi terdahulu kerana kekafiran mereka kepada Tuhan, mendustakan para nabi, menyakiti mereka iaitu bersikap melampau terhadap rasul-rasul mereka.

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Marwan Ibn al-Hakam mengutus seseorang untuk bertanya kepada sahabat Nabi SAW iaitu Ibn Abbas r.a: Kalau semua orang bergembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan maka tentulah semua kita akan disiksa.

Ibn Abbas menjawab: Bukan demikian itu maksudnya. Suatu ketika, Nabi SAW menanyakan sesuatu kepada orang Yahudi, mereka menjawabnya tetapi jawapan yang sebenarnya mereka sembunyikan. Mereka menunggu ucapan terima kasih dan pujian kerana menyangka telah berjaya menipu Nabi SAW.

Ayat ke-189

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: Allah SWT adalah pemilik segala sesuatu dan berkuasa untuk membuat sesuatu mengikut kehendak-Nya dan tidak ada sesuatu yang boleh melemahkan-Nya.

ii. Ibn al-Jauzi berkata: Ayat ini adalah sebagai pendustaan kepada yang berkata bahawa Allah SWT itu fakir.

iii. Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Ayat ini menerangkan kekuasaan Allah SWT. Dialah yang membuat janji baik dan balasan serta ancaman.

iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini memberi petunjuk bahawa kebaikan itu pasti didapati oleh orang yang mengikut petunjuk Allah SWT.

Ia juga memberi hiburan kepada Nabi SAW, orang mukmin dan menjanjikan kemenangan.

Ia juga mengandungi sindiran yang mencela orang yang menyalahi petunjuk Allah dan menyatakan mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya.

v. Al-Sonhaji berkata: Segala sesuatu yang berada di langit dan di bumi adalah milik Allah. Dia bebas memperlakukan mengikut kehendak-Nya.

Semoga kita menjadi golongan yang mentaati, mematuhi dan mengikut segala perintah Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »