Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Februari 2010

Pertunangan ada ikatan perjanjian

Posted by epondok di Februari 4, 2010

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Tindakan putus hubungan tidak haram tetapi tidak digalakkan

PERTUNANGAN bukan sekadar adat yang boleh diambil ringan kerana pertunangan adalah perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan bersama. Oleh itu, janji hendaklah dikota.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian kamu.” (Surah Al-Maidah, ayat 1). Oleh itu, sesuatu perjanjian termasuk perjanjian untuk berkahwin yang dibuat ketika bertunang tidak boleh ditamatkan melainkan ada alasan munasabah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara yang mana mereka sudah bersetuju.” (Sahih Muslim).

Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam sesebuah masyarakat di mana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan. Adat pertunangan boleh diikuti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.

Diriwayatkan oleh Iman Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik di sisi Allah.”

Pertunangan hanya satu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya.

Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian.

Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, maka kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh memutuskan pertunangan.

Namun begitu, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan mereka demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui apabila berlakunya putus tunang secara tidak munasabah maka mereka berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah. Jika tiada sebab munasabah, perjanjian seperti itu tidak harus dibatalkan.

Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan ‘jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.’

Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan tali pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.

Pihak yang dimungkiri juga boleh memohon tindakan mahkamah bagi meminta pihak yang mungkir janji membayar apa-apa juga wang yang sudah dibelanjakan bagi membuat persediaan perkahwinan.

Dalam kes Aishah lawan Jamaludin (1978) J H 104, defendan mungkir perjanjian untuk berkahwin dengan plaintif. Dengan itu, plaintif menuntut pembayaran mas kahwin sebanyak RM25, belanja kahwin RM800 dan plaintif juga mendakwa bahawa berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah memberi penghakiman kepada plaintif dan menentukan defendan membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan iaitu mas kahwin RM25 dan belanja kahwin RM800. Plaintif juga berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar plaintif RM25 bagi baju yang sudah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400 sebagai pembayaran membaiki rumah. Rumah dibaiki sebagai persediaan untuk meraikan perkahwinan itu.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah jenis barang boleh dituntut akibat pembatalan pertunangan? Pihak yang dimungkiri berhak menuntut ganti rugi terhadap apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati bagi membuat persediaan bagi perkahwinan.

Jika pihak yang dimungkiri membelanjakan sejumlah wang bagi persiapan untuk perkahwinan, maka bayaran ini boleh dituntut daripada pihak yang memungkiri sebagai ganti rugi.

Antara persediaan boleh dituntut adalah wang bagi kad jemputan perkahwinan yang ditempah, wang muka bagi jamuan perkahwinan dan apa-apa persediaan perkahwinan seperti tempahan khemah dan sebagainya. Pihak yang dimungkiri berhak membawa tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan ganti rugi berdasarkan kepada peruntukan di atas.

Mengikut peruntukan seksyen itu, pemberian pertunangan merujuk kepada pemberian diberi semasa majlis pertunangan atau pemberian yang boleh ditakrifkan sebagai pemberian persediaan perkahwinan.

Oleh itu, bagi pemberian yang diberikan sebelum pertunangan, pemberian berkenaan bukanlah pemberian pertunangan sebaliknya hadiah atau pemberian sebelum wujudnya pertunangan, justeru ia tidak boleh dituntut di mahkamah.

Pemberian diberikan sebelum pertunangan boleh ditakrifkan sebagai hadiah atau hibah. Menurut pandangan ulama Syafie, hadiah pada hakikatnya adalah pemberian (hibah).

Oleh itu, pihak yang membuat pemberian tidak seharusnya menarik balik apa yang diberikan setelah pihak penerima menerima barang, kecuali bapa yang boleh menarik balik apa yang diberikan kepada anaknya.

Bolehlah dikatakan ia adalah sekadar hadiah semasa proses pikat-memikat dan pemberian itu sebagai satu cara untuk memikat dan menawan hati pihak yang satu lagi dengan membuat pelaburan kebendaan.

Oleh kerana pertunangan bukan perkahwinan, cuma janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh membatalkan pertunangan mereka. Ini kerana selagi akad tidak wujud, tanggungjawab dan pertanggungjawaban juga tidak wujud.

Daripada segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali dalam keadaan tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Maka tidak seharusnya seseorang lelaki itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan, kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Persoalan lain, adakah pihak dimungkiri boleh menuntut ganti rugi am akibat rasa dirinya dianiaya dan dimalukan oleh tindakan suatu pihak lagi. Peruntukan undang-undang tidak memperuntukkan perenggan berkaitan tuntutan keaiban yang boleh dituntut oleh pihak yang dimungkiri.

Asasnya tuntutan ganti rugi keaiban adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana tuntutan itu tidak diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »

Amanah perisai hindari rasuah

Posted by epondok di Februari 4, 2010

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


KAKITANGAN awam perlu bijak kendali tugas agar tidak terjebak kes rasuah. – Gambar hiasan

Memberi dan menerima sogokan didorong sifat tamak yang boleh menghancurkan ummah

HARI ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah. Ini satu contoh amalan ‘mata pencarian’ yang tidak halal dan daripada sumber haram. Malangnya, ia berlaku di mana-mana lantaran kurang keinsafan segelintir manusia mengenai akibat makan sesuatu yang tidak baik dan menjaga keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Disebabkan fitrah manusia yang pelupa, kita perlu diingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung, apatah lagi yang memerlukan wang di depan mata, baginya segala boleh saja. Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti tidak bererti, yang tinggal hanya janji yang bakal dimungkiri.

Suruhan Allah SWT supaya mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah contohnya, adalah perbuatan memberi sogokan berbentuk ‘hadiah’ sama ada wang, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lain untuk membolehkan sesuatu dihajati diperoleh. Perbuatan itu dikeji Allah kerana mengambil harta orang dengan cara mengingkari perintah-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu menge-tahui salahnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan ‘sesuatu’ sifat yang diwarisi daripada syaitan. Implikasinya juga besar iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar kerana mengharapkan sesuatu memihak kepada dirinya.

Pihak memberi rasuah tidak mengambil kira maksud hukum syarak dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hadis Baginda diriwayatkan Al-Imam At-Tarmizi bermaksud: “Daripada Abdillah Amru ia berkata: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Orang yang tidak bersyukur kepada Allah SWT juga mudah mengikut jejak langkah syaitan yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah adalah tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 172)

Antara tonggak yang boleh menghalang daripada berlaku rasuah ialah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi dan mengikuti akhlak Baginda.

Dengan sikap amanah, era kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin pada masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah dengan menonjolkan kepemimpinan amanah berjaya mendidik pihak yang dipimpin.

Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat untuk mencontohi watak Baginda yang merendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmu, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil jajahan tetapi satu dunia sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang ini menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.

Realitinya kehidupan orang tidak amanah pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju dalam menuju masa depan yang cemerlang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan.” (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bahaya langgar fitrah

Posted by epondok di Februari 4, 2010

caption image

ADA lelaki yang berkahwin dengan wanita atas pilihan keluarga namun mereka tidak menyulam perasaan cinta terhadap isteri.

ADA lelaki yang berkahwin dengan wanita atas pilihan keluarga namun mereka tidak menyulam perasaan cinta terhadap isteri. Ini disebabkan mereka lebih ‘berselera’ dengan kaum sejenis.
Malah, lebih teruk, ada lelaki bernafsu songsang ini yang beristeri dan mempunyai anak.
Melihat laporan akhbar mengenai gejala homoseksual (liwat), ia sememangnya amat membimbangkan. Golongan gay ini semakin berani dan tidak segan melakukan ‘mukadimah’ seks terlarang termasuk bercumbu di kawasan terbuka.
Malah, mereka mempunyai kelab gay yang menghimpunkan golongan yang dahagakan seks songsang untuk bertemu dan melempiaskan keinginan itu.
Homoseksual lebih kepada orientasi seksual yang berkait rapat dengan emosi yang mereka ‘cipta’ sendiri bagi menterjemahkan kebebasan serta kenikmatan yang tersasar dari agama.
Memang Allah s.w.t menjadikan makhluk berpasangan, tetapi antara lelaki dan wanita. Allah tidak membenarkan hubungan terlarang sesama jenis.
Sejarah mencatatkan perbuatan homoseksual ada berlaku. Dalam al-Quran ada menceritakan kisah umat Nabi Luth a.s yang melakukan hubungan songsang.
Manakala kaum perempuan juga mengamalkan perkara sama dan hanya berminat terhadap wanita atau lesbian.
Lebih menyedihkan, isteri Baginda sendiri tidak mengendahkan peringatannya lalu Allah menurunkan hujan batu dan batu dari tanah liat yang panas berapi serta gempa bumi dengan kekuatan bunyi yang menggegar pada waktu matahari terbit.
Melihat azab yang Allah turunkan kepada umat Nabi Luth, apakah manusia akhir zaman tidak gerun untuk melakukan perbuatan terkutuk itu? Allah berfirman yang bermaksud: “Kepada orang-orang lelaki, tidak kepada perempuan-perempuan. Memang kamu semua kaum yang melampaui batas.” (Surah al-Aaraf ayat 81) “Dan kami turunkan hujan (hujan batu) kepada mereka. maka perhatikanlah akibatnya orang-orang melampaui batas.” (Surah al-Aaraf ayat 84) “Lalu suara guruh (bunyi bumi yang gempa) menimpa mereka ketika matahari terbit.” (Surah al-Hijr ayat 73). Selain daripada azab yang menimpa kaum Nabi Luth, mirip kepada kejadian sama turut menimpa Kota Pompeii (kini satu kawasan di Itali). Kota Pompeii adalah sebuah kota terkemuka dalam Empayar Rom pada satu ketika dahulu.
Lebih 1900 tahun lalu, Pompeii adalah sebuah kota purba yang maju sehingga satu kejadian dahsyat melanda menyebabkan keseluruhan bangunan serta penduduknya tertanam lebih 18 meter di dalam lava gunung berapi berkenaan. Masyarakat Pompeii dikatakan tidak menyedari langsung letusan kuat itu berlaku yang dapat dinilai daripada raut wajah artifak yang menggambarkan mereka dalam suasana terkejut, ketakutan yang amat sangat. Kemusnahan Kota Pompeii dari muka bumi ini sudah tentu bukan terjadi dengan sengaja. Masyarakat Pompeii di katakan mengamalkan kepercayaan Mithra yang mana meyakini bahawa persetubuhan tidak sepatutnya dilakukan secara berselindung, tetapi terbuka. Nauzubillah! Sehingga pada 1594, ketika kerja menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius dijalankan mereka dikejutkan dengan penemuan artifak berupa tembikar dan puluhan tubuh manusia yang sudah membatu dalam keadaan sungguh menggerunkan. Tinggalan artifak misteri berkenaan akhirnya terjawab apabila masyarakat Pompeii dipercayai menjadikan kota itu sebagai pusat utama aktiviti pelacuran dan seks bebas. Malah, alat kelamin lelaki juga digantung di pintu utama pusat pelacuran terbabit. Sungguh mengejutkan apabila mendapati banyak sekali artifak manusia yang terawet berada dalam posisi sedang melakukan persetubuhan termasuk liwat. Demikian sebahagian peringatan yang mahu manusia kembali kepada kepada fitrah asal dan tidak terus hanyut menyimpang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sebab itu, setelah datang keputusan Kami lalu Kami jadikan yang di atasnya jatuh ke bawah dan kami turunkan ke atas mereka hujan batu dari tanah yang terbakar dengan berturut-turut.” (Surah Hud ayat 82).
Peringatan Allah itu mengingatkan seluruh manusia agar mengambil pengajaran dalam setiap yang berlaku dan kembali bertaubat agar tidak mengulangi kesilapan lalu. Malang sekali manusia tidak pernah mengambil iktibar daripadanya. Yang pasti, jika terdapat hanya segelintir golongan yang melakukan kemaksiatan maka bala akan menimpa ke atas semua tanpa mengira mereka melakukan dosa atau sebaliknya. Bagi pengamal seks songsang sebegini memang tiada penawar bagi mereka jika dijangkiti penyakit kelamin seperti kemaluan, dubur bernanah dan Aids yang akhirnya akan memusnahkan seluruh kehidupan mereka kelak. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata gejala homoseksual adalah virus yang memerlukan golongan berkenaan menjalani pakej kaunseling lengkap. “Golongan gay yang berhasrat untuk berubah hendaklah meninggalkan terus perbuatan terkutuk itu dan bertaubat kepada Allah s.w.t.
“Mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar seperti psikologi dan kesihatan dalam usaha kepada pemulihan diri yang lebih sempurna. “Namun, perkara ini berbalik semula kepada kekuatan diri sendiri menangkis perasaan serta tindak tanduk yang boleh membawa kepada perilaku yang keji dan kotor ini,” katanya.
Zamihan berkata, virus gejala gay itu amat buruk kesannya sehingga menyebabkan pengamalnya berasa ketagih dan semakin jauh dari keredaan Allah.
“Jika mereka tidak melawan perasaan itu akibatnya kita bukan saja mendapat kemurkaan Allah s.w.t, malah di kutuk oleh seluruh makhluk serta kehidupan di dunia ini.
“Terbukti segala bencana yang diturunkan ke atas manusia sebelum ini adalah berpunca daripada kepincangan yang dilakukan manusia sendiri. Mereka secara terangan melanggar peraturan dan hak yang dihadkan dalam sesuatu perkara,” katanya. Beliau berkata malapetaka akan menimpa ke atas manusia pada bila-bila masa jika manusia masih enggan meninggalkan perkara serta perbuatan mungkar. “Amat malang jika seseorang yang mengamalkan aktiviti songsang ini sudah mempunyai isteri dan anak kerana dosa yang tertanggung adalah berlipat kali ganda.
“Mereka layak adalah penjenayah besar dalam Islam kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebenar terhadap keluarga,” katanya. Justeru, pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya buat manusia selagi mereka tidak mensyirikkan Allah.
Namun taubat mesti dilakukan dengan sebenar-benarnya dengan harapan tidak mengulangi perbuatan silam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan mereka tidak menyembah sesuatu yang lain selain Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan kecuali di atas jalan yang hak dan tidak pula berzina; barang siapa melakukan perkara yang ditegah akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa di hari kiamat dan kekal di dalam azab dengan penuh kehinaan. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik maka Allah menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Allah itu Tuhan pengampun lagi mengasihani.” (Surah al-Furqan ayat 68 hingga 70).

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »