Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 2 Februari 2010

Takutlah Balasan Allah akibat maksiat

Posted by epondok di Februari 2, 2010

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

 

MAKSIAT adalah penyebab segala kerosakan, baik di darat mahupun di laut. – Gambar hiasan

 

Isu pemanasan global merupakan musibah besar yang akhir-akhir ini menjadi ketakutan dan kebimbangan semua tanpa mengira latar bangsa, negara atau ideologi.

Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) suhu dunia diramalkan meningkat dari 1.1 darjah celsius kepada 6.4 darjah celsius antara 1990 dan 2100.

Jika ramalan itu menjadi kenyataan, bumi akan semakin panas dalam tempoh seabad lagi dan mungkin tidak selamat lagi kepada penghuninya. Ini berikutan pemanasan global mempunyai banyak kaitan dengan pelbagai bencana alam.

Kenaikan suhu boleh mencairkan ais di kutub dan meningkatkan paras air laut. Risiko banjir besar boleh berlaku jika perkara ini terjadi, malah beberapa kepulauan kecil boleh tenggelam.

Beberapa kawasan lain yang beriklim panas pula menerima taburan hujan yang banyak tetapi tanah di situ menjadi lebih cepat kering disebabkan penyejatan air yang berlaku dengan cepat.

Kerosakan akan berlaku ke atas tanaman dan haiwan menyebabkan bekalan makanan berkurangan di beberapa tempat di dunia.

Inilah antara implikasi pemanasan global yang Allah SWT datangkan akibat kerakusan tangan-tangan manusia mengaut sumber kekayaan dunia tanpa mempedulikan peringatan yang telah ingatkan di dalam al-Quran dan hadis.

Kesan-kesan itu mula kita rasai dan semakin hari kita kehilangan nikmat keselesaan dan ketenangan hidup di dunia ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memfardukan kepada kamu beberapa kefarduan, maka janganlah kamu mensia-siakannya. Allah telah membataskan kamu dengan beberapa larangan, maka janganlah kamu melampauinya dan Allah telah mengharamkan sesuatu, maka janganlah kamu merobeknya”. (riwayat al Dar Qutni).

Bahang dan Bahana Maksiat

Jika melanggar batas Allah pada hak alam semulajadi ada bahananya, bagaimana pula dengan iklim kepanasan maksiat yang meningkat lebih mendadak daripada iklim dunia ini?

Seakan-akan manusia hari ini sudah tidak takut lagi terhadap ancaman-ancaman yang dijanjikan oleh Allah. Allah SWT berfirman: Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan yang tersembunyi, kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. (al-An’aam: 120)

Sebahagian manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mengejar pangkat dan nama di dunia ini. Seolah-olah dunia ini milik mereka.

Mereka takut akan hidup miskin di dunia yang bersifat sementara tetapi mereka tidak takut akan miskin di akhirat alam yang kekal untuk mereka.

Walhal, Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah (jauhilah) dari perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling tinggi ibadahnya. Redailah dengan pemberian Allah untuk kamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya…” (riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmidzi)

Sayang sekali, tidak sedikit pun formula dan petua paling mujarab yang diberikan oleh Rasulullah SAW ini memberikan bekas dan kesan kepada hati mereka. Mereka dikhayalkan oleh kemabukan duniawi sehingga saban hari mereka menjadi penyumbang kepada risiko kepanasan suhu maksiat dunia ini.

Sedar atau tidak, hakikatnya implikasi kepanasan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia di dunia ini lebih merbahaya daripada kesan pemanasan global. Bahkan sebenarnya peningkatan suhu kepanasan dunia yang telah dan sedang menimpa umat manusia hari ini juga adalah natijah daripada kepanasan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.

Hal ini ditegaskan dengan panjang lebar oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Terdapat lima perkara yang aku berlindung kepada Allah agar kalian tidak menemuinya. Pertama, tidaklah muncul kekejian dalam suatu kaum, melainkan bermaharajalela di dalam kaum tersebut bermacam jenis penyakit yang belum pernah dialami oleh kaum sebelum mereka.

“Kedua, tidaklah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, melainkan mereka ditimpa kelaparan, kesempitan hidup dan mendapat pemimpin yang zalim.

“Ketiga, tidaklah mereka mengelak daripada membayar zakat bagi harta mereka, melainkan mereka akan dihalang daripada diturunkan hujan dari langit; jika tidak kerana binatang ternakan sudah pasti tidak diturunkan hujan kepada mereka.

“Keempat, tidaklah mereka melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah memberikan kekuasaan kepada musuh mereka, hingga musuh-musuh tersebut merampas apa yang mereka miliki.

“Kelima, tidaklah imam-imam mereka tidak menghukum dengan Kitab Allah, melainkan dijadikan kerosakan di antara mereka disebabkan tangan mereka sendiri”. (riwayat Ibnu Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar).

Ketahuilah bahawa kadar kesan negatif yang terhasil akibat perbuatan maksiat itu mengikut kadar sifat-sifat baik yang terhasil daripada ketakwaan. Sebagaimana tidak ada kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali disebabkan takwa, begitulah juga tidak ada di dunia dan akhirat kejahatan, bala bencana dan ujian melainkan disebabkan oleh maksiat-maksiat yang berlaku.

Oleh kerana itu, maksiat adalah penyebab segala kerosakan, baik di darat mahupun di laut. Termasuklah kerosakan agama, badan, penyakit dan wabak, kemusnahan tanaman dan buah-buahan, ditimpa kemarau, dilanda ketakutan, tenggelam di lautan, kemusnahan harta, diri dan sebagainya. Sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Rum ayat 41.

Maksiat juga adalah penyebab hilangnya nikmat dan datangnya kecelakaan, bala serta penyesalan ketika mana penyesalan tidak lagi berguna. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain Allah. (al-Ra’d: 11)

Maksiat juga penyebab terhakisnya iman hingga mengundang laknat dan kemurkaan Allah Yang Maha Pengasih. Bahkan mengundang kehinaan, kemiskinan dan kerendahan.

Bukan sedikit ancaman dan peringatan Allah agar hamba-hamba-Nya menghindari maksiat dan dosa kepada-Nya. Lantaran rahmat dan kasih sayang-Nya, Allah menceritakan kisah dan penyesalan umat terdahulu akibat maksiat yang dilakukan agar hamba-hamba-Nya mengambil pengajaran dan insaf lalu kembali kepada-Nya.

Di antaranya, Allah mengkhabarkan tentang peristiwa Ahli Kitab yang telah dilaknat dan ditimpa bala pembunuhan, penawanan dan kezaliman pemerintah akibat maksiat yang mereka lakukan. Mereka juga dibalakan dengan kebinasaan kampung-kampung dan rampasan harta. Firman Allah: Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu. (al-Baqarah: 49)

Sejarah membuktikan maksiat juga penyebab kehancuran umat-umat yang terdahulu dan kurun-kurun yang lepas, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 40.

Maksiat Batin

Harus kita ingat, dalam memperkatakan tentang kesan-kesan negatif maksiat, kita juga harus mengetahui bahawa maksiat itu bukan sekadar maksiat zahir yang kita lakukan seperti berzina, mencuri, menzalimi orang lain, makan dari sumber yang haram, berjudi, menjual agama kerana dunia, membelakangkan hukum Allah, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan sebagainya.

Termasuk dalam kategori maksiat atau dosa ialah maksiat batin yang kita lakukan dan ia lebih merbahaya kerana sukar dihidu. Di antaranya sifat takbur, riak, sum’ah, kikir, tidak reda dengan qada’ dan qadar Allah, tidak yakin dengan rezeki yang Allah tentukan untuk setiap hamba-Nya, merasa ragu terhadap Allah dan sebagainya.

Maka wajib bagi kita mempelajari kedua-dua jenis maksiat ini bagi mengelakkan diri kita daripada terjerumus ke lembah hina tersebut.

Kemalasan dan kejahilan kita untuk mengenal agama yang kita anuti, akan menyebabkan kita berada terus berada dalam keadaan lalai dan hanyut tanpa sedar.

Lebih malang, di akhirat kelak, kita ditahan masuk syurga Allah akibat dosa dan maksiat yang kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari.

Lihatlah seperti apa yang berlaku pada hari ini. Umat Islam ditimpa musibah apabila terdapat golongan yang berani mempersendakan agama mereka dan merobek hak mutlak Allah.

Nama Allah yang teragung dipermainkan-mainkan oleh penganut agama lain sehingga Lafz al-Jalalah (kalimah teragung) digunakan dan diberikan kepada sembahan yang batil.

Lantaran kejahilan ilmu dan kedangkalan jiwa yang tidak pernah dirawat, ramai umat Islam yang terpedaya dan tidak merasa sensitif apabila maruah dan kehormatan agama mereka dipersenda.

Lantaran kedangkalan hati juga, kita mengambil tindakan yang salah untuk menangani isu ini yang akhirnya mengundang kerugian dan keruntuhan kepada umat Islam sendiri. Kita pohon perlindungan Allah daripadanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kemampuan akal manusia terbatas

Posted by epondok di Februari 2, 2010


Menerima apa jua ketentuan Allah di situ letaknya keilmuwan, menolak ketetapan bererti kejahilan

SEPERTI biasa, sebelum menulis artikel dalam ruangan ini, penulis pada setiap Jumaat pagi kerana di Brunei Jumaat dan Ahad adalah hari libur bagi perkhidmatan awam, membaca akhbar langganan penulis, Borneo Bulletin. Di muka surat 29 akhbar berkenaan pada Jumaat lalu ada satu laporan Reuters yang menyebut Presiden Argentina, Christina Fernandez menemukan satu alternatif untuk menggantikan ubat viagra bagi kepentingan ‘urusan’ rumah tangga. Yang menjadi perhatian penulis ialah alternatif yang dimaksudkan Presiden itu ialah ‘khinzir’ sehingga membuat penulis untuk berucap qul a antum a’lamu amillah (Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?”) sepotong ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 140.

Presiden dalam laporan itu berkata: “I’ve just been told something I didn’t know; that eating pork improves your sex life…I’d say it’s a lot nicer to eat a bit of grilled pork than take viagra.” Beliau menyatakan kenyataan ini selepas beliau mengiktiraf selalu berasa seronok menjalani hujung minggu bersama suaminya selepas menikmati barbeku khinzir. Subhanallah!

Kita tidak akan membincangkan apa yang berlaku selepas itu di sebuah negara Amerika Latin, negara asal Maradona. Tetapi yang akan disentuh di sini ialah inti ucapan Presiden yakni daging khinzir sebagai alternatif padahal menurut Pencipta seluruh makhluk termasuk Presiden itu yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah didakwahkan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi � kerana sesungguhnya ia adalah kotor, atau sesuatu yang dilakukan secara fasik iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.” (Surah al-An’am: 145)

Allah SWT bersifat Maha Mengetahui dan pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu, tiada yang tersembunyi daripada-Nya. Dia mengetahui apa yang berlaku, sedang berlaku, dan yang akan berlaku. Dalam al-Quran, sifat maha tahu Allah disebut sebanyak 162 kali dan pengertian ‘ilm’ atau ‘mengetahui’ menurut ahli bahasa menjangkau sesuatu sesuai dengan keadaan sebenarnya.

Saidina Ali ra dalam Nahj al-Balaghah menyatakan: “Tidaklah ada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah meskipun setitis air, tidak pula bintang di langit, hembusan angin di angkasa, rambatan semut pada waktu malam yang kelam. Sesungguhnya Allah mengetahui daun-daun yang berguguran dan tersembunyinya gerakan mata.”

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?” difirmankan Allah untuk menolak dakwaan orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan bahawa nabi dan rasul sebelum Rasulullah beragama Yahudi atau Nasrani. Secara utuh ayatnya berbunyi maksudnya: “Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Yaakob berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.”

Pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu seperti ditegaskan dalam satu ayat yang bermaksud: “(Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi setiap sesuatu, tidakkah kamu (insaf) mengambil pelajaran?” (Surah al-An’am: 80)

Pengetahuan Allah meliputi segala aktiviti zahir dan batin. Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Bahkan Dia mengetahui segala sesuatu yang akan berlaku sebelum ia berlaku. Demikian luasnya pengetahuan Allah sehingga tidak satu makhluk pun yang boleh mengukur atau mengira ilmu-Nya. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi: 109)

Sebaliknya, pengetahuan yang dimiliki manusia sangat terbatas. Bahkan pengetahuan itu adalah kurnia pemberian Allah SWT. Kita selalu membaca sebuah ayat yang diucapkan malaikat yang bermaksud: “Maha Suci Engkau (Ya Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan, selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah: 32).

Dengan sifat manusia yang memiliki semua keterbatasan, maka sudah sewajarnya mereka tidak menyombong diri, berasa kuat dan megah bahkan meremehkan ketentuan dan peraturan Allah. Sebagai manusia, kita mesti reda dengan qada dan qadar Ilahi yang mengetahui baik buruknya apabila ia mengenai kita. Saidina Umar pernah berkata: “Inilah aku. Tidak pernah aku menuntut, malah aku menikmati apa yang sudah ditetapkan dalam qada.”

Peraturan dan ketetapan Allah dalam apa jua aspek kehidupan manusia mesti kita junjung tinggi dan menerimanya dengan keterbukaan dan lapang dada. Sebagai contoh, dalam aspek penyerahan diri manusia sepenuhnya kepada Allah ketika ditimpa musibah ada baiknya kita melihat apa yang berlaku terhadap Urwah bin Zubair, seorang sahabat Nabi. Ketika kaki beliau dipotong dan pada masa sama anaknya meninggal dunia, beliau berkata: “Yang Allah, segala puji bagi-Mu. Jika hari ini Engkau mengambil, maka sebenarnya dulu Engkau telah memberi. Jika kini Engkau mendatangkan cubaan, maka sesungguhnya dulu Engkau telah memberikan keselamatan. Engkau telah kurniakan empat anggota tubuh kepadaku (kaki dan tangan), namun Engkau hanya mencabut satu daripadaku. Engkau kurniakan padaku empat orang anak dan Engkau hanya mengambil seorang di antaranya.”

Seorang mukmin yang mampu memahami dan meneladani sifat Maha Mengetahui Allah dalam kehidupan seharian akan memiliki sejumlah karakter positif antaranya: Memiliki semangat belajar yang tinggi. Dia akan selalu haus terhadap ilmu pengetahuan kerana dia sedar bahawa belajar adalah keperluan hidupnya. Bahkan belajar adalah ibadat yang bernilai pahala; Tidak menjadi ilmuwan yang sombong kerana dia menyedari bahawa ilmunya adalah anugerah Allah yang mesti dimanfaatkan. Dia menyedari hadis Nabi bermaksud: “Siapa yang menuntut ilmu untuk bermegah-megah/menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan ilmuwan atau untuk berbantah-bantahan dengan yang jahil, maka dia di neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi); Menjadi manusia yang bermanfaat dan berguna bagi masyarakat. Dia tidak akan mensesiakan ilmunya melainkan dengan mengamalkannya seperti Baginda Rasulullah dalam doanya yang bermaksud: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, dari diri yang tidak kenyang; dan dari doa yang tidak dimakbulkan.” (Hadis riwayat Muslim)

Akhirnya, ketika kita menerima apa jua ketentuan Allah di situlah letaknya keilmuwan kita. Tetapi sebaliknya, ketika kita menolak apa jua ketetapan Allah di situlah letak kejahilan kita. Pythagoras pernah berkata: “Jika engkau tidak sanggup menahan penat belajar, engkau harus menanggung pahitnya kebodohan.” Wallahualam

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Amalan dan Doa Pilihan

Posted by epondok di Februari 2, 2010

Tutup Aurat Cegah Penyakit Kanser Kulit

Hadis Berkaitan Serban Rasulullah s.a.w

Tahnik (bercukur) bayi yang baru lahir

Amalan dan Doa Ketika Sakit

Antara kesan Solat Dalam Kehidupan

Petua Hadapi Selsema Babi

Amalan Bila Mimpi Buruk

4 Kebaikan vs 4 Keburukan

Doa Tok Kenali

Senggugut dan Darah Rendah Boleh Ganggu Kehamilan

Amalan Perempuan Mudah Bersalin

Kelapa Muda dan Serai Ubati Angin Ahmar atau Strok

Cara Mencapai Kesempurnaan Diri

Ubat Penawar Penyakit Lupa

5 Khasiat Bunga Cengkih

Petua Sembelih Binatang

Amalan Selepas Kelahiran Anak

Kajian sains: Solat rawat penyakit kritikal

Mahu Anak Lelaki atau Perempuan?

9 Sebab Kurang Ingatan

8 Ubat Kuat Ingatan

Hizb al-Bahri

Doa Nabi-nabi Dalam al-Quran

RISALAH DOA

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »