Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 1 Februari 2010

Lempar kepala babi: Polis temui petunjuk

Posted by epondok di Februari 1, 2010

SUBANG JAYA 31 Jan. – Polis Selangor sudah menemui petunjuk berhubung suspek yang terlibat dalam kes lempar kepala babi di Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, petunjuk itu bagaimanapun tidak boleh didedahkan buat masa ini kerana ia boleh mengganggu siasatan.

“Petunjuk itu diperoleh selepas kita mengambil keterangan daripada hampir 10 orang termasuk ahli jawatankuasa masjid yang menjumpai kepala babi itu serta beberapa orang awam.

“Selain itu kita juga mendapat petunjuk tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di belakang masjid itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat sempena sambutan Tahun Baru Cina di The Summit USJ di sini hari ini.

Awal pagi Khamis lalu, dua kepala babi hutan yang dibungkus dalam beg plastik bersama sejumlah wang kertas ditemui di pekarangan Masjid Jumhuriah.

Kejadian sama turut berlaku di Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa, yang terletak kira-kira empat kilometer dari masjid itu.

Kedua-dua insiden itu dikatakan berlaku sebelum umat Islam menunaikan solat Subuh.

Siasatan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh individu sama berdasarkan modus operandinya dengan melempar kepala babi dan meninggalkan beberapa helai wang kertas.

Sementara itu, pada majlis pelancaran kempen sempena Tahun Baru Cina ini, Khalid memberitahu, orang ramai yang akan meninggalkan rumah mereka diminta mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

”Polis meminta penduduk yang ingin pulang ke kampung supaya mendaftar di balai-balai polis berhampiran.

“Dengan makluman mereka, polis mudah membuat rondaan dan mengawasi kediaman yang ditinggalkan oleh penghuni sempena musim cuti kali ini,” jelasnya.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Kepala babi di perkarangan masjid mungkin diimport: Polis

Posted by epondok di Februari 1, 2010

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kepala babi yang dijumpai di perkarangan masjid Taman Sentosa dekat sini, baru-baru ini, diimport dari luar negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berkata hasil siasatan forensik mendapati kepala babi hutan itu sudah disejuk bekukan sebelum diletakkan di masjid berkenaan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Gila harta, takhta hingga lupa tuntutan agama

Posted by epondok di Februari 1, 2010

Oleh Amran Zakaria


KEMEWAHAN dunia tidak akan kekal selamanya, yang kekal hanyalah amalan mulia serta amal kebaikan yang dilakukan manusia di dunia ini. – Gambar hiasan

Ada individu permain hukum agama demi memenuhi kepuasan hawa nafsu tinggi melangit

KEMEWAHAN harta, kedudukan dan pangkat serta persaingan mencipta nama dalam dunia siber adalah antara kegilaan yang sentiasa dicari, dikejar dan diburu manusia pelbagai peringkat usia dan tahap pendidikannya. Mereka bekerja keras dengan semangat kuat dan melangit, demi memuaskan hati nafsu mereka sehingga ke titik ajal mereka.

Sering hukum agama dipermainkan demi membenarkan tindakan untuk kepentingan mereka dan kumpulan mereka. Semuanya itu penting untuk dicari sesuai dengan peluang yang ada dengan keupayaan daya tanding masing-masing.

Nescaya, pangkat dan kedudukan adalah kepercayaan untuk dibangga-banggakan bagi menunjuk-nunjuk sehingga ke peringkat egois. Harta, nama, pangkat dan status begitu dinamik dan sangat luar biasa kepentingannya kepada manusia. Memang benar harta adalah keperluan asas bagi manusia. Manusia dengan sifat fitrahnya amat suka kepada harta dan mengumpulnya.

Mereka tidak pernah berasa puas dalam mengejar harta kekayaan. Justeru harta berpotensi mendatangkan kesenangan dan kemudahan dalam pelbagai urusan manusia. Yang perlu dipelajari manusia adalah bagaimana mendapatkan harta dengan cara betul dan benar menurut apa yang ditunjukkan oleh agama. Manusia juga diajar bagaimana mengelola harta dengan benar, agar ia tidak berubah menjadi fitnah.

Tidak ada sesuatu yang dapat menghalang kecintaan mereka mengejar harta kecuali kematian. Allah merakamkan sifat kecintaan manusia kepada harta benda seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan kamu cintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.” ( Surah al-Fajr: 20)

Al-Quran menggambarkan bahawa manusia mencintai harta kekayaan melebihi kecintaan kepada anak-anak dan keluarga.

Firman Allah yang bermaksud: “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi, amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah al-Kahf: 46)

Ayat ini mendahulukan perkataan harta daripada perkataan anak-anak yang menunjukkan manusia amat mencintai harta kekayaan. Malah manusia sanggup berkelahi, bertelingkah dan berperang untuk mendapatkan harta benda dan kekayaan. Pertelingkahan ini kadangkala amat serius sehingga meretakkan hubungan saudara seagama, hubungan sesama masyarakat, hubungan kekeluargaan termasuk di antara adik-beradik dan anak dengan ibu-bapa.

Kekayaan yang dimiliki, biasanya akan disusuli dengan ujian Allah. Biasanya dalam keadaan ini banyak orang yang tidak berupaya untuk menahan ujian berkenaan. Pernah Rasulullah SAW memberitahu kepada sahabat baginda bahawa cubaan paling berat bagi Bani Israel adalah perempuan manakala cubaan paling berat bagi umat Baginda adalah harta.

Dalam hal ini, Rasulullah meminta kepada umatnya agar berhati-hati dengan harta dimiliki.

Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu supaya melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan) kami, kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (Surah al-Israk: 16)

Justeru, Islam sentiasa memperingatkan manusia akan bahaya harta. Sebabnya cukup jelas iaitu harta berpotensi menyeret manusia kepada kebinasaan di dunia dan akhirat. Harta berpotensi melalaikan manusia dari Allah. Harta berpotensi melupakan manusia dari tujuan hidupnya yang hakiki, yakni mencari kesenangan yang sebenarnya di akhirat kelak.

Memang benar kemewahan dan kesenangan mesti diterokai. Harta mesti dicari selagi kita ada usaha, tenaga, ikhtiar yang mampu untuk melakukannya. Namun jangan sekali meletakkan keutamaan dalam kehidupan melebihi daripada tuntutan agama yang diperintahkan kepada kita melakukannya.

Firman Allah yang bermaksud: “Tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia.” (Surah al-Qasas: 77)

As-Syahid Abdul Kader Audah, seorang hakim, fakih, mujahid dan da’ie yang lahir pada tahun 1906 dan pernah hidup sezaman dengan As-Syahid Hassan Al-Banna, dalam karyanya Harta Dan Pemerintahan Dalam Islam menyebutkan bahawa ‘janganlah sesekali-kali, siapapun, menganggap bahawa harta kurniaan Allah yang ada di dalam tangannya itu adalah rezeki yang Allah khaskan kepada seorang diri saja, lalu dia sanggup bersikap bakhil dan tidak mahu memberikannya kepada orang yang berhak menerimanya; kerana Allah memberi rezeki kepada umat manusia dan mengurniakan mereka kekuasaan memerintah dengan tujuan mereka tegak di atas garis suruhan dan larangan-Nya.

‘Seandainya Allah memberi lebih rezeki dan kedudukan kepada sebahagian mereka maka janganlah sesekali orang yang mempunyai rezeki lebih itu beranggapan jika dia memberi sumbangan kepada orang lain, bahawa sumbangan itu datang darinya sendiri. Dia hendaklah sedar bahawa sumbangan dan pemberian itu adalah rezeki Allah dan dia bukan memberi sumbangan bagi pihak dirinya sendiri. Dia adalah pengantara untuk menyampaikan harta amanah Allah kepada orang lain seperti dia sendiri mengambil harta kurniaan Allah itu untuk faedah dirinya sendiri.’

Berkaitan dengan takrif kebahagiaan, ilmuan Islam menyatakan bahawa kebahagiaan yang sebenar bukan terletak kepada banyaknya harta sebaliknya bergantung kepada rapatnya kita kepada Allah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »