Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Januari 2010

Insafi kematian, reda hadapi kehilangan

Posted by epondok di Januari 31, 2010

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Tangisi pemergian insan tersayang secara keterlaluan perlakuan orang jahiliah, haram

HAMPIR sebahagian besar di antara kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka yang dikasihi adalah kepulangan yang hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi.

Kematian, iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.

Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”

Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”

Sering kali apabila mengetahui mengenai sesuatu kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah kita mendoakan agar roh si mati dicucuri rahmat, keluarga dan kaum kerabatnya dilimpahi pahala yang berganda serta digantikan dukacita itu dengan sebaik-baik hiburan. Antara ucapan yang sering diucapkan ialah “mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah SWT adalah satu perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Nabi SAW: “Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Riwayat Al-Imam Bukhari).

Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Yang lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat Al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah mengurniakan rahmat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk a sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara, cuma tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga yang merencanakan kebahagiaan di akhirat sana.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Implikasi penarikan pengharaman buku Sister In Islam

Posted by epondok di Januari 31, 2010

 Nuraini Ruzi   

 

 

 Setelah buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ yang diterbitkan pada 2005 diharamkan oleh (KDN) Kementerian Dalam Negeri, SIS (Sister In Islam) tidak mengalah begitu sahaja. Buktinya, pada 15 Dis tahun lepas, SIS memfailkan permohonan bagi membuat semakan penghakiman dan menamakan Syed Hamid sebagai responden. SIS dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi meminta agar pengharaman buku tersebut disemak semula dan seterusnya ditarik balik pengharamannya.

Hasil kajian dan tulisan berbentuk esei oleh cendekiawan liberalis itu dikumpul dan disatukan dalam buku tersebut yang kononnya membincangkan isu-isu agama dan kemaslahatan ummat. Lebih menghangatkan keadaan, buku tersebut disusun oleh ahli sosiologi bertaraf Profesor iaitu Profesor Norani Othman dari Institut Pengajian Antarabangsa dan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.

SIS, dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 15 Dis tahun lepas, mendakwa pengharaman buku itu adalah di luar bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan menyalahi Artikel 8(2), 10 (1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan

SIS mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu yang pada pertimbangan mereka telah melakukan kesilapan. Mereka mendakwa pimpinan teratas dalam negeri tidak sanggup untuk menghadapai kritikan dan sindiran yang terkandung dalam buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ tersebut. Tambah mereka lagi, setiap esei kritikan dalam ‘karya agung’ itu mempamerkan hujah-hujah yang bernas dalam usaha untuk membantu memperbaiki sistem perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka mengaplikasikan liberalisme dalam tindakan mereka terhadap segala sesuatu. Jelas di sini kita lihat, alur Islam sebenar ingin diselarikan dengan fahaman liberal yang sememangnya mustahil untuk dilorongkan ke arah pembentukan akidah muslim sebenar.

Ruang penentuan menyaksikan peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail mewakili Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar dan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS. Tanpa berselindung dengan tindakan pengharaman tersebut, Noor Hishamuddin menegaskan bahawa intipati buku tersebut hanyalah sekadar kritikan demi kritikan yang hanya bertujuan untuk mencemarkan kebenaran Islam semata-mata. Hal ini kerana setelah ditelusuri, penulis esei-esei kritikan tersebut sangat dan terang lagi bersuluh sekadar mentafsir Islam mengikut fahaman mereka sendiri dan bukannya mengikut panduan yang benar mengikut syariat Islam.

Kebimbangan ini sebenarnya menghantui ramai ulama dan cendekiawan Islam kerana serangan melalui dunia perbukuan amat besar impaknya. Tidak dinafikan lagi generasi buku mula subur berkembang dalam masyarakat dan skop pembacaan pula sungguh meluas. Penghayatan pembaca akan terfokus sepenuhnya pada bahan bacaan. Serangan secara halus ini merupakan cara paling efektif untuk mempengaruhi ruang lingkup pemikiran pembaca. Bagi golongan pembaca yang memilih untuk berguru dengan buku dan tiada alternatif lain dalam menerima sesuatu input, mereka akan menerima bulat-bulat segala butiran dan maklumat yang terkandung dalam bahan bacaan tersebut.

Begitulah target SIS iaitu mempengaruhi minda masyarakat dengan membawakan sesuatu bahan bacaan yang kononnya memiliki nilai intelektual dan prestij kerana menonjolkan gelaran-gelaran tertinggi dalam bidang ilmu seperti Profesor dan sebagainya. Mereka berselindung di atas nama gerakan yang cakna hal ehwal agama untuk memesongkan akidah manusia. SIS berdiri dengan penuh gah untuk menegakkan benang yang basah. Jangan kita lupakan bagaimana mereka mahu campur tangan dalam setiap keputusan jemaah menteri, ulama dan mufti dalam menentukan keputusan berkisar tentang hukum-hakam Islam. Lihat kembali ideologi mereka tentang hukuman sebat Kartika, pembahagian harta pusaka dan sebagainya. Tindakan mereka mencerminkan tahap liberalism yang sangat tinggi menjalankan hukum agama secara membuta tuli.

Jadi secara kasarnya, penarikan pengharaman buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ akan memberikan kemenangan besar buat mereka kerana pembaca yang cetek ilmu agama pasti tersalah tafsir tentang pelaksanaan hukum-hakam Islam. Selain itu juga, dengan adanya buku tersebut dalam pasaran, kedudukan dan pengaruh mereka semakin kukuh dalam masyarakat kerana mereka sudah semakin dekat dengan lapangan paling luas untuk menyebarkan dakyah liberalism tersebut.

Memetik hujah peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail, beliau yakin buku tersebut bakal mengganggu ketenteraman awam kerana mempertikaikan hal-hal agama sewenang-wenangnya. Sebaliknya, tulisan-tulisan dalam buku tersebut bersifat menghukum dan menghentam hukum-hakam Islam yang sememangnya sudah tersedia lengkap dan tiada cacat celanya. Maka di sini kita melihat kebodohan mereka terserlah kerana tidak merujuk dengan betul sumber sahih iaitu Al-Quran dan hadis. Jika adapun diselitkan dalil-dalil dari sumber tersebut, mereka sudah pun bersedia dengan cara memutarbelitkan hujah agar sepadan dengan ideologi yang dibawa. Jadi, akidah para pembaca yang cetek dalam ilmu agama berada dalam keadaan yang sangat berbahaya.

Buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ akan menjadi senjata halus yang dapat menarik sebilangan besar golongan berintelektual tinggi tanpa fahaman agama yang sebenar. Hal ini kerana, peguam yang mewakili SIS mengatakan bahawa buku tersebut merupakan kritikan bersifat akademik dan tidak menyentuh langsung soal akidah. Jadi, dengan menyisipkan keyakinan ini, ramai golongan intelektual akan cuba untuk mendekati himpunan ‘karya agung’ ini untuk mencari kefahaman tentang Islam. Padahal buku tersebut merupakan tafsiran semata-mata tentang takrif Islam. Jika kita perhatikan, penggerak dan ahli-ahli SIS adalah dalam kalangan manusia yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Mereka inilah yang menggerakan ideologi liberalism dan menyebarkannya pada masyarakat pertengahan. Sememangnya golongan masyarakat pertengahan akan menerima apa sahaja yang dikatakan oleh golongan ‘cendekiawan’ tersebut, melainkan mereka punya pegangan akidah yang kukuh. Secara harfiahnya, kita pasti akan mempercayai golongan ilmuan dalam memahami sesuatu.

Tuntasnya, pengharaman buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ merupakan jalan terbaik untuk kita menyekat agenda-agenda SIS daripada tegar menyebarkan dakyah-dakyah mereka. Kali ini mereka memilih medium penulisan setelah bertahun-tahun lantang bersuara, selepas ini tidak diketahui medium apakah lagi yang akan digunakan seoptimumnya. Kita perlu bersedia setiap masa dengan melengkapkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat agar tidak mudah terjebak dengan manusia-manusia yang memusuhi Islam ini.

Nuraini Ruzi,

Aktivis SPAQ (Skuad Penyelamat Aqidah)

Pulau Pinang.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »