Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Januari 2010

Penyelewengan Tauhid dan Nama Allah

Posted by epondok di Januari 4, 2010

Kamus Dewan Bahasa, kamus paling autoritatif mengenai bahasa Melayu menyatakan dengan jelas bahawa perkataan ALLAH bermaksud Tuhan Yang Satu dalam Bahasa Melayu. Manakala The Hutchinson Encyclopedia hlm 27 menjelaskan perkataan ALLAH ditafsirkan sebagai, “ALLAH: Islamic name for God”. Penjelasan yang sama boleh didapati jika kita merujuk kepada Encycopedia Brittanica, Wikipedia dan lain-lain sumber. Kesimpulannya, jelas bagi kita bahawa nama ALLAH dikaitkan dengan Tuhan Yang Satu, Tuhan umat Islam. Ia nyata amat berbeza dengan maksud ‘Eli atau Yehowah’ dalam konsep ketuhanan Kristian dan Yahudi.

Dari sudut bahasa apa sekalipun, kalimah ALLAH adalah kata nama khas. Ia merujuk kepada Tuhan Sebenar yang diseru oleh Nabi kita Muhammad SAW untuk beriman denganNya. Tanpa menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun. Ajaran ini selaras dengan seruan para Rasul terdahulu. Pendek kata, semua Para Anbiya AS menyeru kepada akidah mentauhidkan Allah SWT. Iaitu mengesakan Allah pada Dzat, Sifat, Af”al dan Asma’nya. Oleh kerana prinsip ini dibawa Nabi kita Muhammad SAW, maka kalimah ini menggambarkan intipati Ketuhanan yang jelas secara eksklusif milik Islam itu sendiri. Ia bukan milik sesiapa pun, samada Muslim atau kafir, baik manusia atau mana-mana makhluk di alam ini.

Hakikat ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an bermaksud : “Katakan Muhammad bahawa ALLAH itu Esa, Ia tempat tumpuan segalaNya (berdiri sendiri, tidak bergantung dengan sesiapa). Dia tidak beranak. Dan tidak pula diperanakkan. Dan ALLAH itu tidak sekufu/setara/serupa dengan segala sesuatu” (Al Ikhlas: 1-4).

Berasaskan ayat ini, golongan bukan Islam, terutamanya kristian tidak berhak mempergunakan kalimah Allah SWT sama sekali. Baik di dalam pertuturan, perbuatan mahupun terbitan mereka. Ini kerana kepenggunaan kalimah berkenaan tidak bertepatan dengan konsep tauhid yang sebenar yang melambangkan Allah SWT sebagai Dzat yang wajib ada dengan KeEsaanNya dalam Islam. Berbanding prinsip tiga Tuhan dalam tradisi kristian.

Jika golongan bukan Islam ingin mempergunakan kalimah Allah SWT, mereka perlu mengiktiraf kandungan kitab Suci al-Qur’an sebagai satu-satunya petunjuk kepada jalan ketaqwaan (Al Baqarah:2). Buangkan kepercayaan mereka kepada kitab Injil yang telah diubah atas nama pendustaan kepada Nabi Isa AS. Solanya, berbaloikah kristian katholik mengorbankan kepercayaan mereka berbanding tuntutan penggunaan kalimah Allah ini?

Bukan itu sahaja, golongan kristian juga perlu beriman dengan Kenabian Nabi kita Muhammad SAW sebagai Nabi Yang Terakhir. Dialah Allah yang mengutuskan Muhammad SAW dengan petunjuk dan agama yang benar yang menjuarai semua agama dan kepercayaan yang ada. Dan cukuplah Allah SWT yang menjadi saksi atas semua itu (Al Fath: 28). Jika kristian ‘pelahap’ sangat ingin menggunakan nama Allah SWT, eloklah mereka memeluk Islam dengan melafazkan syahadah. Mereka boleh menggunakan kalimah Allah SWT setiap masa dan ketika. Saya kira, ini boleh menyelesaikan kemelut kepenggunaan ini. Soalnya, sanggupkah mereka?Adapun hujjah sesetengah cendiakawan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah menerusi surah Az Zukhruf : 86-87 dan Al Ankabut: 63 adalah TIDAK BENAR sama sekali. Mereka tidak memahami kandungan ayat berkenaan dalam kerangka ketuhanan yang benar.

Pertama : Ayat – ayat di atas adalah uslub mujadalah. Iaitu gaya bahasa perbantahan yang berlaku antara Nabi SAW dengan golongan musyrikin tentang akidah tauhid. Buktinya Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik.(al-Ankabut 46) Jadi, uslub mujadalah tak sah dipetik sebagai hujjah kerana lafaz ini dirakam oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita bahawa golongan kafir hanya mahu berbantah-bantah, berdolak-dalik dengan ucapan. Tetapi hakikatnya, pertuturan mereka dipenuhi dengan kalimah dusta terhadap Baginda SAW. Maka benarlah kesimpulan feqhiyyah : Hakikat Lafaz yang digunakan menunjukkan maksudnya bukan menunjukkan sendi frasanya.

Kedua : Golongan musyrikin yang tidak mahu beriman dengan syariat Nabi SAW dicabar dengan hujjah logik : Siapakah yang mencipta langit bumi? Mereka mengatakan : Allah!. kalimah Allah yang digunakan disini hanya dari sudut bahasa sahaja. Ia bukan bermaksud mengiktiraf Allah Yang Esa yang diserukan oleh Nabi SAW. Atau dengan kata lain, jawapan Allah yang diberikan musyrikin disini hanya berdasarkan apa yang ada dalam zihn (kotak pemikiran) mereka sahaja. Iaitu berdasarkan kepercayaan yang diwarisi datuk nenek moyang mereka yang menyembah berhala. Bukannya satu pengiktirafan konsep ketuhanan yang sebenar yang dibawa Nabi SAW. Lantaran itu, mereka terus menyembah berhala dan menolak konsep ketuhanan (akidah tauhid) yang di bawa Nabi SAW dan meneruskan kekufuran. Ternyata, pengucapan ‘Allah’ dalam ayat ini adalah dibuat dengan nada pembohongan semata-mata. Allah SWT sendiri menyifatkan pembohongan mereka (al-Ankabut ayat 61) dengan lafaz : فأنى يؤفكون

Lafaz ini dihurai oleh Imam al-Qurtubi dengan katanya : Iaitu mengapa mereka kufur untuk mentauhidkanKu dan berpaling dari mengabdikan diri kepadaKu.” Penjelasan ini membuktikan bahawa golongan musyrikin sebenarnya tidak beriman dengan Allah SWT. Sebaliknya hanya mengungkapkan kalimah Allah untuk melepaskan diri dari kebenaran berhujjah.

Ketiga : Kita Umat Islam tidak boleh sesekali mengiktiraf golongan bukan Islam sebagai ahli tauhid rububiyyah disebabkan mereka mengucapkan kalimah Allah. Ini kerana ucapan kalimah Allah pada mereka bukan merujuk kepada Tuhan Yang Esa dengan segala sifat kesempurnaan. Sebaliknya mereka menggambarkan Allah dengan kepelbagaian prinsip KeTuhanan. Buktinya, Golongan yahudi dan kristian saling mempercayai bahawa Allah itu mempunyai anak. (al-taubah 30). Golongan yang lain pula terus mengambil berhala sebagai sembahan. Sedangkan Allah SWT membantah kenyataan mereka dalam ayat yang sama : “Demikianlah perkataan mereka Dengan mulut mereka sendiri, (Iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Melalui ayat ini terbukti kepada kita bahawa konsep syirik yahudi dan kristian jauh berbeza dengan pengertian akidah tauhid. Justeru mereka tidak berhak menggunakan kalimah Allah SWT dalam keadaan mensyirikkannya.

Keempat : Allah menjelaskan bahawa golongan yang mempersekutukan Allah sebenarnya berada diterminal kenistaan dan kekufuran. Buktinya Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang Yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) kepadaNya.” (al-Zumar ayat 3)

Jika Allah SWT menjenamakan mereka dengan golongan yang berdusta dan sentiasa kufur kepadaNya, mengapa kita ingin memandai-mandai untuk mendakwa mereka bertauhid dan ingin mengizinkan mereka mempergunakan kalimah Allah SWT. Apakah kita ingin memandai-mandai melebihi ketentuanNya.

Kelima : Allah SWT sendiri menjelaskan pendirian ketuhanan musyrikin di dalam surah Yasiin ayat 78 : “Serta ia mengemukakan satu misal Perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah Yang dapat menghidupkan tulang-tulang Yang telah hancur seperti debu?”Katakanlah: “Tulang-tulang Yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan Allah Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha mengetahui akan Segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)”

Ayat ini menjelaskan bahawa penanya soalan di atas tidak mengetahui hakikat ketuhanan dan enggan mempercayai adanya kehidupan selepas kematian. Sebaliknya mereka mengejek Nabi SAW. Lalu Allah SWT menjawab ejekan mereka pada ayat 79 surah yang sama. Adakah patut bagi orang yang berakal mendakwa bahawa penanya di atas beriman dengan tauhid rububiyyah? Ternyata ia tidak sesekali.

Keenam : Di dalam surah al-Jatsiyah ayat 24 Allah berfirman : “Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

Ayat ini jelas membuktikan bahawa golongan yang tidak menerima seruan Nabi SAW adalah golongan bukan Islam. Mereka menyangka bahawa tiada suatu kuasa pun yang boleh membinasakan mereka kecuali peredaran masa. Ertinya mereka tidak yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dan Allah menempelak kenyataan mereka bahawa kepercayaan itu adalah sangkaan yang tidak berdasarkan fakta yang benar. Adakah orang yang tidak meyakini Kebesaran dan Keagungan Allah dikira bertauhid rububiyyah? dan kita pula ingin membenarkan mereka memperkotak-katikan nama Allah yang maha suci? Nau’zubillah.

Ketujuh : Jika golongan bukan Islam mengiktiraf tauhid rububiyyah, mengapa Allah SWT mencabar mereka dalam surah al-Ghasiyyah ayat 17 -23 bermaksud : “(Mengapa mereka Yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta Bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit Bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang Bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi Bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada Yang menolaknya), kerana Sesungguhnya Engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah Engkau seorang Yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam Yang Engkau sampaikan itu). Akan tetapi sesiapa Yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar. Maka Allah akan menyeksanya Dengan azab seksa Yang sebesar-besarnya.”

Jika benar golongan bukan Islam mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah mengapa Allah masih mencabar mereka supaya menekspresi akal.? Mengapa pula mereka diistilahkan Allah dengan ‘berpaling dari kebenaran ‘ serta ‘kufur lagi ingkar’. Mengapa pula mereka dijanjikan Allah dengan siksaan yang besar. Ayat ini menunjukkan bahawa mereka sepincingpun tidak beriman ayat-ayat Allah SWT.

Sebenarnya masih banyak ayat al-Qur’an dan al-hadis yang membuktikan kepada kita bahawa golongan bukan Islam sememangnya tidak memahami ketuhanan Allah yang sebenar. Malah golongan ini mempunyai doktrin ketuhanan tersendiri berdasarkan tradisi dan kepercayaan mereka. Jika mereka terus diikat dengan kepercayaan tradisi dan mempersekutukan Allah, bagaimana bisa mungin kita katakan mereka itu bertauhid? Dan bagaimana pula kita ingin membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah dalam terbitan atau pengamalan mereka.?

Kesimpulannya, setiap nas perlu ditafsirkan mengikut metodologi yang jelas. Iaitu mengikut urutan ayat sebelum dan selepasnya, perkaitan dengan ayat yang lain samada dalam satu surah yang sama atau surah yang berbeza. Ataupun berdasarkan kepada Sunnah yang sahih lagi mutawattir dalam membicarakan isu akidah. Hal ini jelas sebagaimana yang diperakukan Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah.Hasil penjelasan ini, dapatlah diketahui bahawa ayat 86-87 Az Zukhruf dan ayat 63 Al Ankabut sesekali tidak menyatakan bahawa ALLAH membenarkan penggunaan nama ALLAH bagi maksud selain daripada Tuhan Yang Esa. Malahan tiada satu nas pun yang menunjukkan Islam mengiktiraf kesyirikkan dan kekufuran itu tergabung dengan pakej tauhid rububiyyah. Bukankah tauhid hanya satu. Tidak berbilang-bilang.

Justeru, mengapa dengan mudah kita ingin membenarkan golongan bukan Islam menggunakan kalimah suci Allah dalam kekufuran. Jika kita menggunakan ayat di atas bagi menjustifikasikan keizinan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam kita sebenarnya kita menggunakan dalil bukan pada tempatnya.Bahkan tindakan ini juga lebih bersifat mempromosi perkongsian ketuhanan Allah. Ini adalah prinsip yang bathil. Satu malaysia tidak boleh menghalalkan prinsip satu Tuhan. Tidak sesekali.

Apa yang jelas, rancangan Kristian Malaysia untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam konteks triniti tidak patut dibenarkan sama sekali. Ia menodai prinsip ketuhanan yang Esa yang menjadi teras akidah Islam. Ia juga berupaya membangkitkan sensitiviti dan amarah bangsa melayu muslim. Hasilnya kemana? Fikirkanlah.

Saya menyeru kepada semua pihak terutamanya Raja-raja Melayu agar mengembalikan diri kepada konsep ketuhanan Tauhid yang sebenar. Kebenaran Tauhid memberi momentum kepada kita untuk sentiasa memacu hidup berdampingan dengan Allah SWT. Sekaligus meraih pertolonganNya

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Majlis Ilmu Bersama Habib Umar Yaman

Posted by epondok di Januari 4, 2010

HIMPUNAN RIBUAN UMAT DI DALAM :
MAJLIS BERSAMA ULAMAK BESAR
DARI HADRAMAUT KE MALAYSIA

AL-ALLAMAH AL-HABIB UMAR BEN HAFIZ AL-HADRAMI

MASJID AL-FALAH USJ9

AHAD , 10 JAN 2010
(24 MUHARRAM 1431)
6PTG – 10 MLM ,
.
DI :
MASJID AL-FALAH , USJ 9 ,
SUBANG JAYA , SELANGOR

SELASA, 12 JAN 2010
(26 MUHARRAM 1431H)
6.30PM-10PM

DI :
PONDOK BAITUL QURRO’
SUNGAI UDANG, MELAKA

sebarang info :
013-330 9474 (imam azian)
emel : MasjidalFalahUSJ9@gmail.com

http://www.alfalahusj9.blogspot.com

.
ANDA ADALAH DIJEMPUT HADIR
& TOLONG SEBAR-SEBARKAN
.
kami mengajak anda sama-sama sebarkan maklumat ini demi kesejahteraan usaha Dakwah Islam melalui saluran2 anda : website, blog, email group, masjid2 , surau2 atau sms anda ..
semoga Allah mengurniakan ganjaran Dakwah Fi Sabilillah dan memberkatinya …

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Penghakiman hakis keistimewaan Islam

Posted by epondok di Januari 4, 2010

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Keputusan mahkamah benar gereja guna kalimah cetus kegusaran, kekeliruan masyarakat

KEPUTUSAN Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember lalu yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly adalah suatu tamparan hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai ‘agama rasmi.’ Masyarakat Islam arus perdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam.

Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon, e-mel dan surat bertanyakan kesan penghakiman itu terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari saja penghakiman berkenaan dikeluarkan, keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini dizahirkan di dalam media arus perdana dan media alternatif.

Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca atau mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka.

Malah pendirian diambil oleh umat Islam bukanlah ‘peperangan antara kitab suci’ tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warga negara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuk orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.

Walaupun usaha beberapa majlis Islam negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), gagal mencelah di dalam kes ini, usaha itu haruslah diberi penghargaan tinggi kerana khususnya majlis agama sudah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA adalah NGO tunggal berbuat demikian.

Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis agama mempunyai tanggungjawab statutori menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab majlis agama. Hanya Islam satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada agama lain disebut secara khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara. Ini adalah jaminan perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4), iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Malaysia. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama rasmi Persekutuan, iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah difahami kerana wujud peruntukan lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya:

a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam. Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan kerajaan negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam;

d) Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Penghakiman Lau itu memberi kesan ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka selagi ia diedarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ia tidak akan diedarkan kepada orang Islam?

Penerbitan itu bukan hanya diedarkan di gereja. Kenapakah pihak gereja begitu terdesak mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan? Malah kewujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya.

Enakmen yang wujud di beberapa negeri sejak berpuluh-puluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang meluluskan enakmen ini masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat negeri pula, iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak belum menggubal undang-undang sama walaupun Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri ketika menjadi Perdana Menteri, berjanji dan mengarahkan negeri terbabit menggubal undang-undang berkenaan.

Sememangnya kepentingan agama Islam sering kali dipinggirkan ketika membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu mengabaikan perkara ini? Dalam keadaan yang agak tegang ini, saya meminta kerajaan segera memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim itu, serta memohon menggantung perintah dikeluarkan.

Saya juga menyeru kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri yang belum menggubal undang-undang terbabit, hendaklah segera berbuat demikian.

Majlis Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama negeri juga perlu membuat ketetapan tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan juga boleh merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 itu.

Perkara 13 berkenaan menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal mengenai kesan mana-mana peruntukan perlembagaan ini yang sudah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Oleh yang demikian, jika Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini, mungkin akan meredakan ketegangan dihadapi umat Islam sekarang. Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang gereja menggunakan kalimah Allah kerana KDN sebagai sebuah badan kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta, iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa.

Oleh itu segala tindakan dibuat kerajaan perlu sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (seperti tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan itu mencabul ikrar yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

KDN perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia membabitkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi dalam

negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.

Posted in Fokus Isu | 2 Comments »

Dengki rosakkan perpaduan

Posted by epondok di Januari 4, 2010

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

PERBUATAN menzalimi hak dan mencemarkan kehormatan sesama umat Islam dan bukan Islam amat dilarang Allah. Perpaduan yang dianjurkan Islam mengajak seluruh umat Islam bersatu padu dan berusaha menghidupkan budaya hormat-menghormati serta amalan saling melengkapi mesti diutamakan dalam semua aspek kehidupan seharian seperti maksud firman Allah, “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga dekat, dan jiran tetangga jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri” (An-Nisa, :36).

Perbuatan zalim ditakrifkan sebagai tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perbuatan seumpama menceritakan perihal sulit kerjaya rakan sekerja di luar lingkungan tempat kerja, memburuk-buruk rakan setugas dengan niat mencemarkan reputasinya, ataupun menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjadikan rakan sejawatan diberikan tugas di luar kemampuan atau di luar bidang tugasnya.

Organisasi dan jabatan yang berjaya sebenarnya memerlukan perpaduan dan suasana harmonis yang berlangsung antara rakan sejawatan bagi membolehkan wujudnya persekitaran kerja yang mantap serta bersepadu.

Kerenah rakan sekerja antara virus paling berbahaya yang mampu merosakkan keberkesanan mana-mana matlamat organisasi sekiranya tidak segera diatasi majikan.

Keprihatinan majikan dalam memerhatikan kerenah pekerja mengikut pengurusannya wajar ditekankan agar tidak berlaku sebarang unsur penindasan, manipulasi serta penganiayaan terhadap orang bawahannya.

Allah Taala menciptakan manusia dalam pelbagai bentuk kebolehan, kemahiran yang berbeza dan sebagainya maka, menjadi tugas majikan untuk menggunakan variasi kebolehan pekerjanya

untuk menjana organisasi

selain tidak memungkinkan wujudnya persekitaran yang tidak sihat.

Allah dalam memastikan manusia tidak berlaku zalim ke atas sesama makhluknya menjelaskan dalam firman-Nya, “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan”. (al-Qasas: 77).

Sifat suka memperkecilkan kebolehan atau memperlekehkan orang lain adalah antara sifat keji yang perlu dielakkan. Barang kali terbitnya perasaan sombong, megah dan riak kerana golongan ini memiliki kelebihan yang diberikan Allah dalam takdirnya berbanding orang lain.

Sifat keji ini pasti membarah dalam diri menjadikan golongan itu lebih suka melihat orang lain dengan pandangan rendah dan hina sebagaimana maksud firman Allah, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.( Al-Hujuraat: 11).

Umat Islam perlu menyedari amaran Allah mengenai bahaya sifat mazmumah. Setiap perbuatan zalim dilakukan bakal mengundang kemurkaan Allah serta tetap diberikan balasan yang setimpal. Firman-Nya, “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (Luqman:16)

Seterusnya kehidupan kita kelak tidak terlepas dari rentetan bala Allah lantaran perbuatan menzalimi manusia lain. Perlu diingat! Doa orang yang dizalimi tidak terhijab dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, ” Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari).

Balasan bala atas orang menzalimi hak manusia lain ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya”. ( Al-Anfal: 25)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »