Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2010

Insafi kematian, reda hadapi kehilangan

Posted by epondok di Januari 31, 2010

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Tangisi pemergian insan tersayang secara keterlaluan perlakuan orang jahiliah, haram

HAMPIR sebahagian besar di antara kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka yang dikasihi adalah kepulangan yang hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi.

Kematian, iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.

Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”

Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”

Sering kali apabila mengetahui mengenai sesuatu kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah kita mendoakan agar roh si mati dicucuri rahmat, keluarga dan kaum kerabatnya dilimpahi pahala yang berganda serta digantikan dukacita itu dengan sebaik-baik hiburan. Antara ucapan yang sering diucapkan ialah “mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah SWT adalah satu perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Nabi SAW: “Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Riwayat Al-Imam Bukhari).

Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Yang lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat Al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah mengurniakan rahmat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk a sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara, cuma tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga yang merencanakan kebahagiaan di akhirat sana.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Implikasi penarikan pengharaman buku Sister In Islam

Posted by epondok di Januari 31, 2010

 Nuraini Ruzi   

 

 

 Setelah buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ yang diterbitkan pada 2005 diharamkan oleh (KDN) Kementerian Dalam Negeri, SIS (Sister In Islam) tidak mengalah begitu sahaja. Buktinya, pada 15 Dis tahun lepas, SIS memfailkan permohonan bagi membuat semakan penghakiman dan menamakan Syed Hamid sebagai responden. SIS dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi meminta agar pengharaman buku tersebut disemak semula dan seterusnya ditarik balik pengharamannya.

Hasil kajian dan tulisan berbentuk esei oleh cendekiawan liberalis itu dikumpul dan disatukan dalam buku tersebut yang kononnya membincangkan isu-isu agama dan kemaslahatan ummat. Lebih menghangatkan keadaan, buku tersebut disusun oleh ahli sosiologi bertaraf Profesor iaitu Profesor Norani Othman dari Institut Pengajian Antarabangsa dan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.

SIS, dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 15 Dis tahun lepas, mendakwa pengharaman buku itu adalah di luar bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan menyalahi Artikel 8(2), 10 (1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan

SIS mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu yang pada pertimbangan mereka telah melakukan kesilapan. Mereka mendakwa pimpinan teratas dalam negeri tidak sanggup untuk menghadapai kritikan dan sindiran yang terkandung dalam buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ tersebut. Tambah mereka lagi, setiap esei kritikan dalam ‘karya agung’ itu mempamerkan hujah-hujah yang bernas dalam usaha untuk membantu memperbaiki sistem perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka mengaplikasikan liberalisme dalam tindakan mereka terhadap segala sesuatu. Jelas di sini kita lihat, alur Islam sebenar ingin diselarikan dengan fahaman liberal yang sememangnya mustahil untuk dilorongkan ke arah pembentukan akidah muslim sebenar.

Ruang penentuan menyaksikan peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail mewakili Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar dan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS. Tanpa berselindung dengan tindakan pengharaman tersebut, Noor Hishamuddin menegaskan bahawa intipati buku tersebut hanyalah sekadar kritikan demi kritikan yang hanya bertujuan untuk mencemarkan kebenaran Islam semata-mata. Hal ini kerana setelah ditelusuri, penulis esei-esei kritikan tersebut sangat dan terang lagi bersuluh sekadar mentafsir Islam mengikut fahaman mereka sendiri dan bukannya mengikut panduan yang benar mengikut syariat Islam.

Kebimbangan ini sebenarnya menghantui ramai ulama dan cendekiawan Islam kerana serangan melalui dunia perbukuan amat besar impaknya. Tidak dinafikan lagi generasi buku mula subur berkembang dalam masyarakat dan skop pembacaan pula sungguh meluas. Penghayatan pembaca akan terfokus sepenuhnya pada bahan bacaan. Serangan secara halus ini merupakan cara paling efektif untuk mempengaruhi ruang lingkup pemikiran pembaca. Bagi golongan pembaca yang memilih untuk berguru dengan buku dan tiada alternatif lain dalam menerima sesuatu input, mereka akan menerima bulat-bulat segala butiran dan maklumat yang terkandung dalam bahan bacaan tersebut.

Begitulah target SIS iaitu mempengaruhi minda masyarakat dengan membawakan sesuatu bahan bacaan yang kononnya memiliki nilai intelektual dan prestij kerana menonjolkan gelaran-gelaran tertinggi dalam bidang ilmu seperti Profesor dan sebagainya. Mereka berselindung di atas nama gerakan yang cakna hal ehwal agama untuk memesongkan akidah manusia. SIS berdiri dengan penuh gah untuk menegakkan benang yang basah. Jangan kita lupakan bagaimana mereka mahu campur tangan dalam setiap keputusan jemaah menteri, ulama dan mufti dalam menentukan keputusan berkisar tentang hukum-hakam Islam. Lihat kembali ideologi mereka tentang hukuman sebat Kartika, pembahagian harta pusaka dan sebagainya. Tindakan mereka mencerminkan tahap liberalism yang sangat tinggi menjalankan hukum agama secara membuta tuli.

Jadi secara kasarnya, penarikan pengharaman buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ akan memberikan kemenangan besar buat mereka kerana pembaca yang cetek ilmu agama pasti tersalah tafsir tentang pelaksanaan hukum-hakam Islam. Selain itu juga, dengan adanya buku tersebut dalam pasaran, kedudukan dan pengaruh mereka semakin kukuh dalam masyarakat kerana mereka sudah semakin dekat dengan lapangan paling luas untuk menyebarkan dakyah liberalism tersebut.

Memetik hujah peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail, beliau yakin buku tersebut bakal mengganggu ketenteraman awam kerana mempertikaikan hal-hal agama sewenang-wenangnya. Sebaliknya, tulisan-tulisan dalam buku tersebut bersifat menghukum dan menghentam hukum-hakam Islam yang sememangnya sudah tersedia lengkap dan tiada cacat celanya. Maka di sini kita melihat kebodohan mereka terserlah kerana tidak merujuk dengan betul sumber sahih iaitu Al-Quran dan hadis. Jika adapun diselitkan dalil-dalil dari sumber tersebut, mereka sudah pun bersedia dengan cara memutarbelitkan hujah agar sepadan dengan ideologi yang dibawa. Jadi, akidah para pembaca yang cetek dalam ilmu agama berada dalam keadaan yang sangat berbahaya.

Buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ akan menjadi senjata halus yang dapat menarik sebilangan besar golongan berintelektual tinggi tanpa fahaman agama yang sebenar. Hal ini kerana, peguam yang mewakili SIS mengatakan bahawa buku tersebut merupakan kritikan bersifat akademik dan tidak menyentuh langsung soal akidah. Jadi, dengan menyisipkan keyakinan ini, ramai golongan intelektual akan cuba untuk mendekati himpunan ‘karya agung’ ini untuk mencari kefahaman tentang Islam. Padahal buku tersebut merupakan tafsiran semata-mata tentang takrif Islam. Jika kita perhatikan, penggerak dan ahli-ahli SIS adalah dalam kalangan manusia yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Mereka inilah yang menggerakan ideologi liberalism dan menyebarkannya pada masyarakat pertengahan. Sememangnya golongan masyarakat pertengahan akan menerima apa sahaja yang dikatakan oleh golongan ‘cendekiawan’ tersebut, melainkan mereka punya pegangan akidah yang kukuh. Secara harfiahnya, kita pasti akan mempercayai golongan ilmuan dalam memahami sesuatu.

Tuntasnya, pengharaman buku ‘Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism’ merupakan jalan terbaik untuk kita menyekat agenda-agenda SIS daripada tegar menyebarkan dakyah-dakyah mereka. Kali ini mereka memilih medium penulisan setelah bertahun-tahun lantang bersuara, selepas ini tidak diketahui medium apakah lagi yang akan digunakan seoptimumnya. Kita perlu bersedia setiap masa dengan melengkapkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat agar tidak mudah terjebak dengan manusia-manusia yang memusuhi Islam ini.

Nuraini Ruzi,

Aktivis SPAQ (Skuad Penyelamat Aqidah)

Pulau Pinang.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Lelaki makin ganas?

Posted by epondok di Januari 30, 2010

Oleh Fairuz Zaidan


ANGGOTA polis mengumpul bukti sesuatu kejadian jenayah untuk mendapatkan punca tragedi berlaku.

Faktor mental, hormon androgen, persekitaran jadi punca lelaki cenderung bertindak fizikal

LIMA hari menjengah tahun baru, negara digemparkan dengan berita kematian ngeri membabitkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Kes pembunuhan yang cukup tragis itu menyaksikan seorang daripada anggota keluarga terbabit dipancung kepala hingga putus, dua mangsa dipotong di pergelangan tangan manakala seorang lagi mati dalam keadaan pisau terpacak di dada.

Siasatan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki yang juga anggota keluarga si mati bagi membantu pihak berkuasa merungkai misteri pembunuhan empat sekeluarga itu.

Dalam kes berlainan, seorang suami didakwa bersekongkol dengan tiga lelaki lain untuk membunuh seorang konduktor bas dengan menjerut mangsa hingga mati sebelum menimbus mayatnya di sebuah taman perumahan di ibu negara.

Bukan setakat jerut, amarah si suami bersama tiga lelaki lain turut mengakibatkan mangsa dipukul dengan objek keras hingga mengalami kecederaan di kepala.

Dalam kes berasingan pula, dilaporkan perbuatan isteri menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima suaminya mengakibatkan beliau diseret beberapa meter dari kereta yang dinaiki hingga mengalami kecederaan dan gegaran otak.

Dr Azhar Zain

Melihat rentetan kes serius membabitkan pelaku lelaki sejak awal tahun ini, timbul persoalan apakah lelaki sekarang makin ganas dan rakus hingga tergamak melakukan tindakan fizikal melampaui batas?

Lebih membimbangkan, makin banyak kes serangan fizikal termasuk yang mendatangkan kematian dilaporkan membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga sendiri. Perkembangan ini pasti membuka perdebatan pengkaji sosial berhubung faktor yang mendorong pelaku bertindak ganas terhadap anggota keluarga sendiri atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pelaku.

Faktor keganasan domestik iaitu serangan terhadap anggota keluarga terdekat meletakkan institusi kekeluargaan di ambang kerapuhan. Ini kerana perilaku seperti keganasan yang membawa kepada kematian seolah-olah tidak mengenal sesiapa termasuk anggota keluarga atau insan tersayang.

Selain itu, apakah faktor tekanan hidup yang menjejaskan mental pelaku dikhuatiri menjadi punca lelaki melakukan jenayah?

Aktivis dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, jumlah kes serangan fizikal yang membabitkan mangsa dari kalangan anggota keluarga seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, membimbangkan.

“Dari aspek serangan, jelas menunjukkan pelaku tidak kisah siapa termasuk ahli keluarga sendiri ketika menyerang. Sama ada bertujuan mendatangkan kesakitan melalui serangan atau dengan niat membunuh sebagai hukuman untuk di mati.

“Ada pelbagai teori yang dikaitkan mengenai punca serangan. Ada teori mengatakan motif serangan disebabkan faktor pengaruh dadah, alkohol dan kurang siuman semata-mata untuk melepaskan diri daripada kesalahan.

“Inilah yang diperdebatkan penganalisis jenayah dan pakar perubatan di mana wujud perbezaan pendapat dalam soal hukuman ke atas pesalah,” katanya kepada XY – Ikon Lelaki.

Kata Kamal Affandi, seseorang yang memperlakukan jenayah bunuh misalnya tidak seharusnya mudah diperakui sebagai mengalami sakit mental. Sebaliknya, perlu diselidik segenap aspek termasuk penggunaan senjata jika ada dan bentuk serangan.

Beliau berkata, adalah mustahil pesakit mental mampu mengatur siri serangan termasuk menggunakan senjata seperti pisau yang jelas dilakukan dengan niat untuk mencederakan mangsa.

“Lebih-lebih lagi, spot atau tempat sasaran serangan seperti muka, tangan dan dada sebagai contoh, dilihat sebagai tempat strategik menyerang mangsa.

“Jika seseorang dikatakan kurang siuman, mengapa dia tidak menyerang dengan tangan sendiri sebaliknya menggunakan senjata?” katanya kepada XY – Ikon Lelaki.

Mengulas lanjut bentuk serangan dari aspek tikaman, Kamal Affandi berkata, berdasarkan kebiasaan, mangsa sering dibunuh dengan tikaman secara berulang seperti lima, tujuh hinggalah 13 tikaman.

Soalnya, mengapa perlu tujuh atau 13 tikaman sedangkan satu tikaman mungkin boleh membunuh mangsa?

“Jika dilihat, ada pelaku sengaja menikam mangsa bertubi-tubi walaupun mangsa sudah mati pada detik itu,” kata Kamal Affandi.

Ditanya punca penjenayah melakukan serangan bertubi-tubi, beliau berkata, ia mungkin didorong faktor kebencian dan kemarahan yang dipendam sekian lama hingga berlaku konflik lalu tercetusnya serangan keganasan.

Beliau berkata, perlakuan serangan sepatutnya dapat dikawal dengan mengkaji perilaku seseorang yang difikirkan berpotensi menyerang.

“Mereka ini seharusnya diberi bimbingan kaunseling lebih awal untuk mengawal perasaan marah dan baran. Pada satu tahap, mereka juga boleh mengatur janji temu bersama pakar psikologi dan psikiatri,” katanya.

Mengenai tempat aduan rujukan kes keganasan, Kamal Affandi berkata masyarakat boleh segera merujuk hospital terdekat selain menghubungi talian 15999 untuk mendapatkan kaunseling dan cadangan langkah susulan.

Fahami psikologi perilaku di luar kawalan

BANYAK faktor mendorong lelaki mengambil tindakan nekad mengganas termasuk memperlakukan perkara di luar kawalan seperti memukul, mencederakan dan mengakibatkan kematian.

Mengulas perilaku lelaki yang bertindak ganas dari sudut psikologi, Profesor Psikiatrik Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Azhar Zain, berkata lelaki yang memiliki lebih banyak hormon androgen berbanding wanita terdedah kepada perilaku pemarah.

Katanya, hormon androgen yang menjadi sifat semula jadi sekunder yang merangsang kelelakian seseorang antara lain mengakibatkan lelaki lebih mudah marah hingga pada tahap mampu bertindak ganas jika tidak dikawal.

“Dari sudut biologi, lelaki mudah terangsang untuk berasa cepat marah atas sebab hormon androgen yang tinggi berbanding wanita. Andai perilaku diri yang sukar bertolak ansur dan mudah marah, keadaannya bertambah parah.

“Selain faktor hormon, pembangunan persekitaran yang membentuk perilaku seseorang juga menjadi faktor yang boleh merangsang lelaki menjadi ganas seperti pengalaman ketika kecil, didikan ibu bapa serta terdedah dengan persekitaran yang tidak baik,” katanya.

Ditanya punca lelaki bertindak ganas, Dr Azhar berkata, kesempatan yang ada pada detik itu memungkinkan lelaki bertindak sedemikian hingga mencetuskan keganasan di luar kawalan.

Katanya, ditambah lagi dengan faktor lain seperti sejarah kelakuan ganas serta berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol juga mendorong lelaki menjadi ganas.

“Namun, perilaku lelaki yang bertindak ganas ini sebenarnya boleh dikawal jika mendapat kerjasama mereka sendiri. Tidak kira, diri sendiri yang mencuba untuk mengawal kemarahan atau mendapatkan rawatan secara profesional.

“Ini termasuk pengambilan ubat-ubatan, rawatan psikologi dan teknik untuk mengawal kemarahan yang prosesnya mengambil masa,” katanya.

Dr Azhar berkata, faktor personaliti, keturunan, tekanan perasaan dan gangguan mental secara susulan memungkinkan seseorang lelaki mengambil jalan mudah untuk mengekspresi kemarahan diri.

“Sebagai contoh, seorang lelaki yang menghadapi masalah kewangan, pada masa yang sama berkonflik dengan isteri di rumah. Tiba pula di pejabat dia dimarahi pengurus. Tidak mustahil punca kemarahan yang bertimpa-timpa itu boleh tercetus apabila berlaku konflik dengan rakan sepejabat,” katanya.

Ditanya insan terbaik yang boleh membantu lelaki yang dalam keadaan amarah, Dr Azhar berkata, orang yang paling dekat dan dipercayai sesuai memberi nasihat dan kaunseling untuk membina semula motivasi dan sikap positif lelaki ganas.

“Saya tidak pernah berpeluang berdepan dengan lelaki yang memiliki kesalahan serius. Sebaliknya, kes yang dirujuk rata-rata lelaki yang mencederakan orang, bergaduh dan membakar rumah pada lingkungan usia 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.

INFO: Lapan implikasi amarah…

  • Dipulau masyarakat
  • Punca pergaduhan
  • Mendatangkan konflik perceraian
  • Terdedah serangan penyakit kronik seperti darah tinggi dan sakit jantung
  • Murung dan tekanan perasaan
  • Hilang pekerjaan
  • Melakukan kesalahan penderaan.TIP: Redakan kemarahan1. Ikuti latihan dan kegiatan sukan

    Kajian menunjukkan individu yang menumpukan kegiatan luar mempunyai tekanan darah yang sempurna dan kurang berisiko mendapat sakit jantung.

    2. Ubah diet pemakanan

    Ramai pakar pemakanan berpendapat, menambah berat badan menokok beban yang lebih pada sistem biologi badan dan saraf minda. Merubah gizi yang lebih menyihatkan membantu anda lebih cergas, lebih bertenaga dan lebih berkeyakinan.

    3. Minuman secawan kopi

    Kafein adalah bahan perangsang yang dianggap berbahaya pada kesihatan. Ia boleh menyebabkan seseorang terangsang dan jika berlebihan menimbulkan keresahan, mengganggu ketenangan minda dan mempercepatkan degupan jantung.

    4. Berhenti merokok

    Individu yang berhenti merokok mendapati fungsi paru-paru menjadi lebih baik pada masa beberapa hari saja. Anda dapat berasakan pernafasan lebih licin dan selesa kerana udara meresap ke saluran darah lebih berkesan.

    5. Berfikiran positif

    Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elak daripada memekik atau bertindak garang. Kemarahan yang dilihat secara positif boleh menjadikan tekanan bertukar kepada kekuatan.

  • Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

    Aqsa yang wajib diselamatkan

    Posted by epondok di Januari 29, 2010

    Oleh Nurul Hazren Masitom


    Usaha terancang Zionis untuk roboh al-Aqsa

    MENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud ‘Masjid Paling Jauh’, terletak di Baitulmaqdis atau ‘Jerusalem’ bagi orang Yahudi.

    Masjid itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di Baitulmaqdis.

    Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj.

    ‘Qubbat As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmaqdis.

    Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran.

    Masjid al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya.

    Ia pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah. Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.

    Masjid itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M), namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.

    Gempa bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada 1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula yang kekal sehingga hari ini.

    Ketika tempoh pengubahsuaian dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur dalaman.

    Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M, mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam, Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa Palestin.

    Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid termasuk di selatan dan baratnya.

    Pada 1977, penggalian itu diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat masjid pada 1984.

    Ketika memulakan projek penggalian terbabit, Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja Baitulmaqdis).

    Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.

    Kepentingan berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak dek kerja penggalian itu.

    Malah, apakah manfaatnya penggalian itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada kepentingan langsung dari segi agama.

    Pada Februari 2007, jabatan arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa, mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan asas masjid.

    Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.

    Dalam laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008, sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah Masjid al-Aqsa.

    Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.

    Mereka menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

    Akhbar Haaretz pada 31 Januari 2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut.

    Pada Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir, bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi semua penduduk Arab dan Islam.

    Mohammad Abu Hdeib, ketua jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa, menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian damai 1994 di antara Jordan dan Israel.

    Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa.

    Dalam laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.

    Yayasan itu berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi, lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.” Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah, pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.

    Yayasan itu mendedahkan dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967.

    Ia juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.

    Ia menjelaskan bahawa projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi, Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan Israel-Amerika Syarikat.

    Penggalian terowong itu sampai ke kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad.

    Sesetengah kerja penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’ kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam masjid.

    Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke barat.

    Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.

    Amaran itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA), Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan Israel di bawahnya.

    Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid.

    “Israel perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.

    Ulasannya berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada 11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah jalan Wadi Hilwah.

    Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi ketika wanita Islam bersolat.

    Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10 meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel.

    Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu.

    Pusat Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada 2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.

    JCSER mengakui penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.

    Pusat itu juga memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan terbabit.

    Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”

    Adakah umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan? Inikah petanda akhir zaman? Itulah antara persoalannya.

    Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

    Memburu dari mana datangnya kepala babi

    Posted by epondok di Januari 28, 2010

    Kepala babi hutan yang ditemui di dua masjid di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semalam mungkin diperolehi daripada satu sumber ternakan haiwan tersebut, menurut seorang imam masjid terlibat.

     

     

     

     Menurut ketua imam Masjid Al-Imam Al-Tirmizi di Taman Sri Sentosa, Abu Bakar Yaakob babi berkenaan mungkin diperolehi daripada ladang ternakan yang terdapat di Banting atau Semenyih.

    “Babi hutan ini mungkin yang dipelihara di ladang itu. Mungkin saja, kita tak tahu betul atau tidak,” katanya yang mendapat maklumat berkenaan melalui laporan akhbar.

    Ketika ditemui Malaysiakini di masjid tersebut hari ini, Abu Bakar bagaimanapun tidak dapat memastikan tarikh dan keluaran akhbar yang dimaksudkannya itu.

     

     

     

     Babi hutan ini dibela untuk pasaran makanan eksotik,” katanya lagi dan menambah terdapat beberapa restoran yang menyediakan hidangan daripada haiwan seperti itu di kawasan berkenaan.

    Abu Bakar juga berkata pihak yang bertanggungjawab meletakkan kepala haiwan berkenaan di perkarangan masjid mungkin merancangnya dengan rapi kerana kegiatan mereka sukar dijejaki.

    “Kita tengok kerja mereka ini sangat rapi, macam sudah dirancang. Di masjid (Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya) pun seperti itu juga.

    “Setakat ini kita masih belum boleh agak siapa punya kerja sebenarnya,” katanya lagi yang tidak mahu membuat sebarang tuduhan liar agar tidak mengganggu siasatan polis.

    Selitkan nasihat pada majlis tazkirah

    Ditanya mengenai pendekatan yang diambil bagi meredakan kebimbangan ahli kariah masjid berkenaan, beliau berkata akan menyelitkan nasihat dalam majlis tazkirah yang dianjurkan.

    “Kita juga akan nasihatkan para penceramah agama di masjid ini supaya tidak menimbulkan prasangka atau tuduhan-tuduhan kepada mana-mana pihak atas kejadian yang berlaku,” katanya lagi.

     

     

     

     Sementara itu, seorang lagi imam masjid tersebut, Zulkifli Mohamad berkata masjid itu kini sedang mengambil langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

    “Kita bertemu dengan pengarah JAWI semalam dan beliau memberi reaksi positif untuk tempatkan pengawal keselamatan di masjid ini.

    “Pengawal ini untuk berkawal di waktu malam sahaja. Buat masa ini, polis juga beritahu akan tingkatkan rondaan di kawasan ini,” katanya.

    Kepala babi hutan mungkin sisa buruan

    Sementara itu, seorang pemburu pula berkata kepala babi berkenaan juga mungkin diperolehi daripada sisa buruan.

     

     

     

     Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Loo menjelaskan, walaupun pemburuan dan penjualan babi hutan memerlukan lesen, bahagian-bahagian badan binatang itu tidak sukar untuk diperolehi.

    Tambahnya, yang berpengalaman memburu babi hutan selama 20 tahun, pemburu lazimnya membuang kepala, perut dan belulang selepas binatang itu ditembak.

    Katanya, bahagian-bahagian yang tidak dikehendaki itu, biasanya dibiarkan di hutan untuk dijadikan makanan binatang liar lain, ataupun diletakkan di dalam beg plastik dan dibuang di kawasan berdekatan.

    Tambahnya, lokasi pemburuan haiwan itu termasuk di Hulu Langat, Hulu Klang dan juga Puchong.

    Babi peliharaan mudah dikenali

     

     

     

     Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kin Hee berkata, babi hutan digunakan pada kes pencemaran masjid semalam mungkin kerana jika babi peliharaan digunakan ia mudah dikenali.

    Beh menjelaskan babi dari satu-satu ladang itu boleh dikenal pasti melalui tanda yang dilekatkan di telinga binatang itu ketika ia berumur satu minggu.

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

    Hikmah dipelbagaikan amal

    Posted by epondok di Januari 28, 2010

    PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

     

    Solat adalah ibadat yang paling utama di dalam Islam. – Gambar hiasan

     

    Islam itu unik, indah dan sempurna. Maka sudah tentulah apa yang terkandung di dalamnya juga penuh dengan keunikan, keindahan dan kelebihan. Namun, tidak semua keindahan dan keunikan itu dapat dilihat dengan mata kasar.

    Ada di antaranya yang perlu diselami dengan mata hati yang hanya dimiliki oleh insan-insan yang sentiasa menjaga hatinya dari titik-titik hitam, menggilap hatinya dengan zikrullah dan disinari hatinya dengan makrifatullah.

    Minggu ini, kami mengajak pembaca menggali dan menghayati satu lagi khazanah dan hikmah di sebalik kejadian Allah yang telah dirakamkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam kalam hikmahnya:

    “Tatkala Allah mengetahui timbul dari diri kamu perasaan jemu, Dia mempelbagaikan untuk kamu amalan ketaatan.

    “Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya ke atas kamu pada waktu-waktu tertentu untuk menjadikan keinginan kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat. Tidak semua yang solat itu mendirikan solat”.

    Allah SWT dengan limpahan sifat kemurahan dan kasih sayang-Nya mengurniakan kepada hamba-hamba-Nya pelbagai amalan ketaatan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

    Tergopoh-gapah

    Ini kerana Allah mengetahui hamba-Nya akan jemu jika melakukan sejenis ketaatan kerana menjadi tabiat nafsu merasa jemu dengan mengulang-ulang perkara yang sama.

    Seorang penyair pernah mengungkapkan: “Nafsu tidak akan dapat diperbaiki apabila ia ditadbir (diatur); melainkan dengan memindahkannya atau mengalihkannya dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain”.

    Dengan adanya pelbagai amalan ketaatan yang disediakan, apabila seseorang itu jemu melakukan solat sunat maka dia boleh beralih melakukan amalan zikir. Apabila dia jemu berzikir dia boleh membaca al-Quran, berpuasa, bersedekah dan sebagainya. Zikir itu pula mempunyai bermacam-macam jenis.

    Sheikh Zarruq r.a berkata: Dipelbagaikan amalan ketaatan bagi hamba kerana tiga sebab:

    1. Rahmat daripada Allah untuk merehatkan dan memberi peluang kepada hamba-Nya menggilir-gilirkan atau menukar ganti amalan ketaatan dari satu amalan kepada satu amalan.

    2. Sebagai hujah ke atas mereka kerana tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk meninggalkan amalan ketaatan.

    3. Dengan adanya pilihan akan menetapkan mereka dengan pelbagai amalan yang melayakkan mereka mendapat kemuliaan tertentu dari amalan-amalan tersebut dan memudahkan mereka beramal.

    Orang yang jemu beramal, akan bersikap tergopoh-gapah melakukannya kerana tiada penentuan waktu beramal. Oleh itu, dibataskan pula amalan itu pada waktu-waktu tertentu, sebagaimana disebut dalam Hikam: “Tatkala Dia mengetahui di dalam diri kamu wujud kerakusan, maka Dia mengehadkannya pada waktu-waktu tertentu”.

    Bergegas-gegas dalam melakukan amalan, akan menatijahkan tiga kerosakan: Meninggalkan amal apabila dilakukan secara berterusan, berasa jemu sekalipun dia tidak meninggalkan amalannya dan berlaku banyak kecacatan dalam melaksanakan amal.

    Mengehadkan waktu-waktu tertentu bagi suatu amal, mendatangkan tiga faedah: Mengelakkan kerakusan beramal, menghalang daripada penangguhan amal dan teguh beramal.

    Jika tiada penentuan waktu, akan menyebabkan amalan tersebut dikerjakan secara sambil lewa, bertangguh-tangguh dan tidak dijaga kerana dikuasai oleh dorongan nafsu.

    Tujuan pembatasan waktu adalah membentuk keazaman yang tinggi melakukan amal dengan yakin dan bernilai seperti disebut: “Untuk menjadikan keazaman kamu itu mendirikan solat bukannya mengadakan solat”.

    Rahsia dibataskan solat pada waktu-waktu tertentu bagi melahirkan perasaan rindu kepada solat tersebut. Dengan adanya kerinduan ini, akan terhasillah dalam solat tersebut rasa khusyuk, hadir hati dan ketenangan atau disebut sebagai penyejuk hati.

    Berbeza jika solat itu dilakukan secara berterusan, maka tidak akan ada perasaan rindu kepadanya. Bahkan mengundang perasaan jemu dan mengakibatkan amalan yang dilakukan tidak sempurna.

    Maksud yang dikehendaki dalam melakukan solat ialah pergerakan hati dan bukannya pergerakan jasad semata-mata: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada luaran kamu, atau amalan zahir kamu, tetapi Dia memandang kepada hati kamu”.

    Selain itu, rahsia penentuan waktu solat adalah membentuk keazaman mendirikan solat dengan melaksanakan hak-hak zahir dan batin, dan bukan sekadar mengadakan solat. Solat sedemikian bagaikan bangkai yang busuk dan ia lebih dekat kepada azab Allah.

    Umar ibn Abdul Aziz r.a menulis kepada para pekerjanya: “Sesungguhnya pekerjaan kamu yang terpenting padaku adalah solat. Sesiapa yang memelihara dan menjaganya maka amalan yang lain akan lebih dipeliharanya. Sesiapa yang mengabaikannya, maka dia akan lebih mengabaikan amalan yang lain”.

    Di dalam Hikam seterusnya disebut: “Tidaklah semua orang yang solat itu mendirikan solat. Iqamah atau mendirikan dari sudut bahasa bermaksud menyempurnakan dan meneliti. Dikatakan, si fulan telah mendirikan rumahnya, apabila dia telah menyempurnakan rumahnya dan melengkapkan segala keperluan di dalamnya. Maka orang yang mendirikan solat ialah orang yang meneliti solatnya”.

    Tidak semua orang yang solat itu mendirikan solat. Berapa ramai orang yang solat tidak mendapat apa-apa dari solatnya melainkan penat lelah.

    Membanyakkan zikir

    Di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solatnya tidak menegahnya daripada melakukan perkara keji dan mungkar, maka tidak bertambah apa-apa pahala baginya dari Allah melainkan semakin jauh daripada-Nya”.

    Di dalam hadis lain disebut: “Apabila seseorang hamba itu mengerjakan solat tetapi tidak menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya, maka solatnya itu direnyuk seperti mana merenyuk baju yang lusuh, kemudian dicampakkan ke mukanya”.

    Sheikh Abu Abbas al Mursi r.a berkata: “Di dalam al-Quran, setiap ayat yang menyebut tentang orang yang mengerjakan solat yang dipuji, disebut dengan lafaz iqamat (mendirikan) atau yang seerti dengannya.

    Misalnya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 3: Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat.

    Doa Nabi Ibrahim a.s dalam surah Ibrahim ayat 40: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat.

    Allah juga berfirman: Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan solat, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya. (al Hajj: 35)

    Disebut orang yang melakukan solat dalam keadaan lalai dengan kalimah “Orang yang solat”, seperti firman Allah: Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (al-Maa’un: 4-5) dan tidak disebut: Maka celakalah bagi orang-orang yang mendirikan solat.

    Ketahuilah, khusyuk di dalam solat mempunyai tiga martabat:

    1. Khusyuk dengan merasakan gerun, rendah diri dan hina diri. Iaitu khusyuk bagi ahli ibadah dan orang yang zuhud.

    2. Khusyuk dengan merasakan kebesaran, kehebatan dan keagungan Allah. Iaitu khusyuk bagi Ahli Muridin dan Salikin.

    3. Khusyuk dengan merasakan kegembiraan dan penghadapan hati kepada Allah. Ini adalah khusyuk bagi Ahli Wasilin di kalangan ‘arifin. Inilah yang dinamakan Maqam Qurrah al ‘Ain (penyejuk mata hati).

    Ulama berkata: Tidak diterima solat seorang hamba melainkan setakat yang hadir hatinya. Maka ada kalanya diterima seperempat sahaja dari solatnya, ada kalanya setengah sahaja dan sebagainya mengikut kadar kekhusyukkannya.

    Perkara yang boleh membantu untuk mendapatkan khusyuk adalah zuhud di dunia. Inilah ubat yang terbesar kerana mustahil jika ada di sisimu anak perempuan iblis, bapanya tidak datang menziarahi anaknya.

    Kamu tidak akan terlepas daripada pelbagai lintasan selagi ia berada di dalam hati kamu; dan ia mengikut banyak atau sedikitnya ia berada di dalam hati kamu.

    Mustahil, pohon dunia berada di dalam hati kamu, dan kamu boleh terlepas daripada lintasan-lintasannya. Burung-burung pasti hinggap dan berkicau di atas pohon itu. Setiap kali kamu menghalaunya, ia akan pergi. Tetapi ia akan kembali selagi kamu tidak menebangnya.

    Di antara perkara lain yang membantu mendapatkan khusyuk adalah membanyakkan zikir dengan hati dan juga lidah serta sentiasa berada dalam keadaan suci kerana zahir itu amat berkait dengan batin.

    Semoga solat kita ialah solat yang diterima oleh-Nya. Sesungguhnya solat itu adalah pembersih hati dan tempat munajat serta penghubung hamba-hamba Allah yang kerinduan terhadap Kekasihnya.

    Bukalah dan bersihkanlah hati kita untuk mengenal Pemilik dan Pencipta diri kita, maka kita akan menjadi orang yang paling bahagia kerana telah dikurniakan syurga ‘ajilah di dunia sebelum dianugerahkan syurga di akhirat iaitu pertemuan dengan-Nya di alam yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

    Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

    Perancis perluas tegahan pemakaian purdah

    Posted by epondok di Januari 28, 2010

    Jawatankuasa Parlimen gesa wanita Islam elak kawasan awam

    PARIS: Sebuah jawatankuasa Parlimen Perancis yang mahu larangan memakai purdah dikenakan ke atas wanita Islam semalam turut mencadangkan agar larangan itu dikuatkuasakan di kawasan kemudahan awam, termasuk hospital dan terminal pengangkutan.

    Pada masa sama, jawatankuasa itu turut mengesyorkan agar sesiapa menunjukkan ‘amalan agama radikal’ tidak diberi kad penduduk dan kewarganegaraan.

    Laporan setebal hampir 200 halaman itu mengemukakan kaedah terperinci bertujuan menghalang wanita Islam daripada memakai purdah di Perancis. Bagaimanapun, tiada gesaan agar pemakaian purdah dianggap sebagai jenayah.

    Namun, jawatankuasa 32 anggota daripada pelbagai parti itu memberi amaran bahawa larangan sepenuhnya pemakaian purdah boleh menimbulkan masalah lebih besar dan mungkin melanggar perlembagaan.

    Ungkapan digunakan dalam laporan itu dipilih dengan berhati-hati bagi mengelak bantahan dan dakwaan diskriminasi oleh penduduk Muslim di Perancis yang kini dianggarkan lima juta orang, bilangan penduduk Islam terbesar di Eropah Barat.

    Penduduk Islam sebelum ini sudah membuat bantahan mengenai pemakaian purdah atau penutup muka, manakala perbahasan berterusan mengenai identiti kebangsaan Perancis menyebabkan penduduk Muslim beranggapan mereka menjadi sasaran kerajaan.

    Jawatankuasa itu, bagaimanapun, gagal mencapai persefahaman bentuk tindakan dan langkah boleh diambil, kecuali persetujuan bersama bahawa pemakaian purdah tidak dikehendaki di Perancis. – AP

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

    Kepala babi di 2 masjid

    Posted by epondok di Januari 27, 2010

    Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama, di ibu negara, hari ini.

    Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

    Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

    Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk ‘God’.

    Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.

    Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

    Menurut wartawan Malaysiakini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

    Wang juga dijumpai bertaburan

    Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

    Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

    Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

    Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk keping wang seringgit, lima ringgit dan sepuluh ringgit yang semunya berjumlah RM35.

    Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

    Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.

    azlan

    Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

    2 kepala babi di masjid Datuk Harun

    Posted by epondok di Januari 27, 2010

     Harakahdaily   

     

     

     PETALING JAYA, 27 Jan: Dua kepala babi dikesan dilontar di masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun di Petaling Jaya pagi ini.

    Menurut satu sumber, kejadian disedari jam 7 pagi apabila siak masjid menjumpai bungkusan mencurigakan di perkarangan pintu masuk bahagian belakang masjid.

    Pada mulanya beliau menyangka bungkusan tersebut mengandungi bayi yang ditinggalakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    Namun setelah pihak polis yang dihubungi datang menyiasat, terdapat dua kepala babi dalam bungkusan tersebut.

    Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Petaling Jaya Selatan, Ustaz Ghazali Shaari dan beberapa anggota unit amal.

    “Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini. Saya harap umat Islam khususnya bertenang dan jangan emosi dalam perkara ini.

    “Kita serah kepada pihak polis buat sisatan,” jelasnya.

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada usaha terancang oleh pihak tertentu membuat provokasi untuk mencetuskan kemarahan agama dan kaum.

    Difahamkan turut mengalami nasib sama adalah masjid Taman Sentosa.

    Selain kepala babi, 30 keping wang seringgit juga ditaburkan di kawasan masjid itu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan beberapa agensi berkaitan dilaporkan sedang menyiasat kawasan kejadian ketika ini.

    Orang ramai juga dilaporkan mula memenuhi kawasan tersebut.

    Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

    Gempa bumi antara maksiat dan hampir qiamat

    Posted by epondok di Januari 27, 2010

    Firman Allah dalam Surah An-Nahlu  45-47

    فَأَمِنَ الَّذِينَ مَكَرُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ يَخْسِفَ اللَّهُ بِهِمُ الْأَرْضَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ   أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِي تَقَلُّبِهِمْ فَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ أَوْ يَأْخُذَهُمْ عَلَىٰ تَخَوُّفٍ فَإِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ 

    Maksudnya : (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya? Atau Ia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah. Atau Ia membinasakan mereka (dan harta benda mereka) sedikit demi sedikit? Kerana sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya

    ذكر ابن أبي الدنيا عن أنس بن مالك ـ رضي الله عنه ـ أنّه دخل على عائشة هو ورجل، فقال لها الرجل: يا أمّ المؤمنين؛ حدّثينا عن الزلزلة، فقالت: ( إذا استباحوا الزنى، وشربوا الخمور، وضربوا بالمعازف؛ غار الله ـ عزّ وجلّ ـ في سمائه، فقال للأرض: تزلزلي بهم. فإن تابوا ونزعوا، وإلا هدمها عليهم . قال: يا أمّ المؤمنين؛ أعذاباً لهم؟ قالت: ” بلى، موعظة ورحمة للمؤمنين، ونكالاً وعذاباً وسخطاً على الكافرين ). فقال أنس: ما سمعت حديثاً بعد رسول الله ـ صلّى الله عليه وسلّم ـ أنا أشدّ فرحاً منّي بهذا الحديث.

    Seorang lelaki berkata kepadanya: “Wahai Ummu Mukminin; Beritahu kami tentang gempa bumi, ia berkata: (Apabila merebak perzinaan, minum minuman keras, dan memukul alat muzik; Alalh begitu murka lalu mengarahkan kepada bumi: Wahai bumi! Gempakan mereka. Jika mereka bertaubat maka  dijauhkan daripada kehancuran akibat gempa bumi, jika tidak bertaubat nescaya dimusnahkan mereka. berkata: “Wahai Ummul Mukminin; Adakah diazabkan mereka? berkata:” Ya, sebagai peringatan dan rahmat bagi orang-orang beriman, dan balasan dan seksaan serta kemurkaan kepada orang-orang kafir). Anas berkata: Aku belum pernah mendengar hadis ini selepas Rasul Allah saw.  Aku begitu tertarik dengan hadis ini.

    فعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (( لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ))

    Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah berkata: Nabi saw: ((Tidak berlakunya kiamat sehinggai ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan sehingga melimpah ruah))

    روي الترمذي في جامعه عن عمران بن حصين رضي الله عنه أن رسول الله صلى لله عليه وسلم قال: ( في هذه الأمة خسف ومسخ وقذف . فقال رجل من المسلمين : يا رسول الله ومتى ذلك ؟ قال : إذا ظهرت القينات والمعازف وشربت الخمور). وفي رواية ( إذا كثر الخبث …)

    Maksudnya: (Berlaku pada umat ini, gempa bumi, diubah menjadi rupa makhluk lain dan fitnah. “Seorang laki-laki dari kaum muslimin:” Wahai Rasulullah Allah bila berlaku perkara itu? Sabda nabi: “Apabila semakin banyak nyanyian dan alat-alat muzik dan minum arak). Dalam riwayat lain (Apabila terlalu banyak kejahatan …)

    Posted in Fokus Isu | 1 Comment »