Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 November 2009

Hukuman ta’zir halang penjenayah ulangi kejahatan

Posted by epondok di November 28, 2009

HUKUMAN ta’zir ialah kesalahan yang hukumannya adalah dera, iaitu penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta’zir dalam kanun jenayah syariah tidak ditentukan dan ditetapkan Allah bentuk hukuman itu di dalam al-Quran dan hadis.

Hukuman bagi kes ta’zir ialah dera ke atas penjenayah yang sudah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan mengikut hukuman hudud atau qisas, kerana kesalahan yang dilakukan penjenayah itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Jenis serta bentuk hukuman ta’zir itu terserah kepada kebijaksanaan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah, kerana hukuman ta’zir bertujuan menghalang penjenayah mengulangi kejahatan yang mereka lakukan, bukan menyeksa mereka.

Hakim yang menghakimi kes mengikut kes jenayah syariah apabila sabit kesalahan penjenayah itu di mahkamah hendaklah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan hukum syarak yang ditentukan dan ditetapkan Allah dan RasulNya yang disebutkan di dalam Quran dan hadith – jangan diputuskan dan dihukum mereka itu tanpa merujuk hukuman Allah terlebih dulu.

Perkara ini diingatkan Allah Taala dalam firman berikut: ” Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab Al-Quran dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang ada di hadapannya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. (Al-Ma’idah: 48)

Firman Allah Taala, “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan engkau dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepada mu. (Al-Ma’idah: 49)

(Sumber: Buku ‘Qanun Jinayah Syari’yah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith’ oleh bekas Mufti Sabah, Said Ibrahim).

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »