Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 November 2009

Hudud dianggap hukuman mandatori bagi pesalah syariah

Posted by epondok di November 25, 2009

DALAM fiqh Islam, istilah Qanun (kanun) atau syariah ialah perundangan Islam atau perundangan syarak termasuk di bawah perundangan ‘Undang-Undang Jenayah Syariah’ atau ‘Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah’ – undang-undang syarak bersabit dengan kesalahan yang dilakukan seseorang yang boleh didakwa di bawah kes jenayah syariah.

Ia membabitkan perbuatan atau perilaku jahat yang dilakukan seseorang untuk mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain dengan sengaja.

Jenayah mengikut takrifan fuqaha adalah khusus pada kesalahan membabitkan perlakuan seseorang membunuh atau menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan atau melukakannya yang wajib dikenakan hukuman qisas atau diyat.

Bagi kesalahan yang membabitkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jenayah yang umum, yang semua kesalahan wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta’zir.

Mengikut peruntukan hukum syarak yang disebutkan di dalam Quran dan hadis yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jenayah syariah, penjenayah didakwa apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat, atau ta’zir. Hukuman itu adalah tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah berkenaan.

Hukuman hudud adalah hukuman yang ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah suai dan dipinda. Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan hukum Allah yang sudah ditentukan dan ditetapkan Allah dan Rasul-Nya yang disebutkan di dalam Quran dan hadis adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Firman Allah SWT, “Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” – (Al-Baqarah: 229)

Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:

1. Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak.

2. Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

3. Minum arak atau minuman yang memabukkan, sama ada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.

4. Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih daripada jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

5. Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan itikad kepercayaan.

6. Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

7. Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum Allah.

(Sumber Qanun Jinayah Syariyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadis oleh Bekas Mufti Sabah, Haji Said Ibrahim).

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Sembunyi hikmat ibadat untuk lahirkan ketaatan

Posted by epondok di November 25, 2009

Oleh Yussamir Yusof

ALLAH tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hamba-Nya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil. Firman Allah, “… (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka.” – (Ali-Imran: 191)

Namun di setiap kejadian dan ciptaannya tersembunyi pelbagai rahsia dan hikmah yang sukar untuk dilihat secara mata kasar dan akal logik. Hikmah di atas ciptaannya hanya dapat dilihat secara umum tanpa penjelasan secara terperinci.

Misalnya solat, manusia tidak akan mengetahui hikmah dan kebaikannya secara terperinci. Bermula dengan hukum solat, rukunnya dan sudah pasti setiap pergerakannya juga kita tidak akan dapat mengetahuinya dengan lebih lanjut. Malahan pelbagai persoalan dan pertanyaan yang akan timbul untuk memuaskan akal.

“Mengapa solat perlu lima kali sehari?” “Mengapa ada perbezaan rakaat untuk setiap jenis solat?” “Mengapa solat Subuh di awal pagi?”

Mengapa dan terus mengapa. Akal sentiasa mencari jawapan di atas perintah ibadat yang disyariatkan Allah. Namun semua jawapan yang diberi berdasarkan kefahaman akal, ia tidak akan memuaskan sampai bila-bila. Hikmah adalah rahsia Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Bagaimanapun, Allah menjelaskan hikmah itu secara umum di dalam al-Quran. Misalnya hikmah disyariatkan solat. Firman Allah “Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat yang lain).” – (Al-Ankabut: 45)

Hikmah disyariatkan membayar zakat. Firman Allah: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.” (At-Taubah: 103)

Timbul persoalan, mengapa Allah menyembunyikan hikmah di atas ibadah yang disyariatkan-Nya. Ulama menjelaskan bahawa hikmah ini disembunyikan sebagai satu cubaan kepada hamba-Nya. Allah mencuba hamba-Nya dengan ibadah yang manusia tidak mengetahui sedikitpun mengenai hikmah pensyariatannya. Dengan cubaan ini, terlihatlah siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan menolaknya.

Andai kata hikmah ibadah tidak dirahsiakan dan akal dapat memahaminya dengan mudah, sudah pasti, manusia hanya akan beribadah kepada Allah jika sesuatu ibadah itu sesuai dengan rasional akalnya yang terbatas, dan akan mengingkari jika sesuatu ibadah itu tidak sesuai dengan akalnya. Dan ini akan membuatkan manusia menyembah akal bukannya Allah yang mencipta mereka.

Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fi al-Islam menyatakan: “Bukanlah menjadi keharusan bahawa ibadah yang disyariatkan itu perlu ada manfaat dalam kehidupan manusia dari segi material. Malahan bukan juga sesuatu yang mesti sesuatu ibadah itu boleh difahami akal yang terbatas. Ibadah adalah ujian bagi ketaatan manusia kepada Tuhannya. Jadi, jika akal dapat mengetahui rahsia ibadah secara terperinci, maka ia tidaklah dapat memberi manfaat dan makna kepada manusia terhadap konsep ibadah dan taat kepada Tuhan.”

Cukuplah seseorang mukmin mengetahui hikmah ibadah itu secara umum, dan meyakini bahawa setiap ibadah itu adanya manfaat dan hikmah yang tersendiri. Allah tidak pernah memerlukan ibadah para hamba-Nya, tetapi Allah mencipta ibadah adalah semata-mata untuk kebaikan dan manfaat hamba-Nya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertakwa umpama hati orang yang paling bertakwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku! Sekiranya orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang cacatkan apa-apapun dalam kerajaan-Ku.” – (Hadis Imam Muslim)

Banyaknya rahsia alam semesta yang tidak mampu manusia khususnya saintis menemuinya, begitu banyak juga rahsia ibadah yang tidak terjangkau oleh akal. Hal ini sebenarnya membuatkan tumbuhnya rahsia rindu manusia kepada rahsia yang tersembunyi, dalam masa sama membuatkan manusia insaf dan sedar mengenai kelemahan dirinya sendiri.

Sudah ramai manusia tersesat kerana sengaja mencari rahsia hikmah dalam setiap perkara yang disyariatkan dalam ibadah. Apabila mereka tidak menemui rahsia itu kerana akal yang terbatas, mereka mula berasa ragu-ragu di atas kepercayaan yang ada dan kemudian menjadi sesat.

Al-Imam Ghazali dalam kitabnya Al-Munqidz min adh-Dhalal berkata, “Maka sesungguhnya suatu kebodohan sesiapa saja yang mencari hikmah yang ada di sana, atau orang yang mengatakan bahawa ibadah itu dilakukan secara kebetulan dan tidak ada rahsia Allah di dalamnya.”

Oleh sebab itu, perbuatan mencari hikmah dalam ibadah dengan secara terperinci sehingga dapat memuaskan akal adalah perbuatan yang salah dan keliru. Berpuas hatilah dengan keterangan umum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, kemudian sama-sama kita katakan, “Kami dengar dan kami taat.”

Posted in Amalan Pilihan, Klinik Agama | Leave a Comment »