Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 21 November 2009

Oren perisa arak

Posted by epondok di November 21, 2009

Oleh Amir Abd Hamid

TUNJUK...Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.
TUNJUK…Subbarow menunjukkan minuman ringan berperisa arak.

KUALA LUMPUR: Luaran nampak seperti minuman ringan biasa, namun ia sebenarnya minuman berperisa arak yang kini menjadi kegilaan remaja terutama di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Mendedahkan perkembangan membimbangkan itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati minuman itu mengandungi alkohol 5.5 peratus.

Menurutnya, ramuan arak yang ditin dan dibotolkan itu menggunakan pewarna seperti warna oren, epal dan campuran buah tropika bagi menarik perhatian pembeli membelinya dengan harga antara RM5 hingga RM12 sebotol.

“Ibu bapa terutama mereka yang beragama Islam perlu memberi perhatian serius kerana peratusan alkohol dalam minuman ringan ini melebihi kandungan (alkohol) yang terkandung dalam setin ‘beer’ iaitu 5 peratus saja.

“Kajian yang dilakukan CAP mendapati lebih 50 peratus murid dan pelajar sekolah kini menyukai minuman ini. Lebih serius ia mudah didapati di pasar raya mini dan kedai serbaneka.

“Pejabat CAP dihujani panggilan daripada golongan ibu bapa yang risau dengan penjualan minuman ringan itu kerana ada di antaranya mendakwa anak-anak mereka berasa pening lalat selepas meminumnya,” katanya di Balai Berita di sini, semalam.

Selain itu, pihak CAP turut mendapat aduan daripada pihak sekolah yang mengatakan segelintir murid dan pelajar membawa minuman ini ke sekolah untuk tujuan mengadakan jamuan hari jadi.

Menurutnya, tinjauan CAP mendapati terdapat lebih 25 jenama minuman ringan berperisa alkohol dijual di pasaran negara ini.

“Undang-undang negara jelas menyatakan sebarang minuman yang mengandungi alkohol dilarang penjualannya secara terbuka kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.

“Tetapi murid dan pelajar sekolah secara biasanya tidak gemar membaca kandungan label dan terus minum sebaik saja membelinya.

“Justeru, CAP bimbang dengan perkara ini kerana ia tahap permulaan untuk mereka minum arak apabila meningkat dewasa,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ibadat haji lambang sejarah rasul, kesamarataan

Posted by epondok di November 21, 2009

Allah SWT memerintahkan supaya setiap jemaah haji berniat ihram kerana memuliakan Tanah Haram dan bumi Makkah selaku tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Mereka juga tidak dibenarkan melakukan perkara keji didalamnya walaupun melakukan perkara yang harus ketika berada di luar seperti memakai wangian, memotong kuku, memburu dan sebagainya.

Dengan memakai pakaian ihram yang sama melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan. Pemandangan ini tidak dapat dilihat pada hari-hari lain. Pakaian ini juga sama seperti kain kafan putih ketika si mati dibawa bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW memakai pakaian ihram dari Madinah dan meniatkannya di Miqat bernama Zul Hulaifah. Mereka yang berihram menuju ke Makkah yang dijanjikan keamanan oleh Allah SWT daripada ketakutan dan kelaparan. Firman Allah, “Di sana ada tanda-tanda kemuliaan yang nyata dan sesiapa yang masuk ke sana akan mendapat ketenteraman” (Ali-Imran: 96)

Tawaf di Kaabah pula adalah kerana adanya Baitullah dengan pakaian yang sama bagi mengingatkan kita mengenai kematian yang pasti bagi setiap yang hidup. Ini juga untuk menyatakan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan mereka yang bertakwa. Ada riwayat menyatakan Nabi SAW mengucup Hajarul Aswad sebelum melakukan Tawaf Qudum.

Mengucup Hajarul Aswad adalah pelengkap kepada ibadat tawaf di Kaabah kerana mengikut perbuatan Nabi SAW jika memungkinkan kita berbuat demikian. Nabi SAW mengucup sebelum bermulanya tawaf dengan meletakkan kedua bibir Baginda sambil menangis dan berkata kepada Saidina Umar yang bersamanya, “Wahai Umar, di sinilah tempat terkumpulnya dosa”. Ada riwayat mengatakan bahawa asalnya batu ini berwarna putih dan bertukar menjadi hitam dengan dosa manusia.

Selepas selesai tawaf, Nabi SAW bersolat di belakang makam Ibrahim dengan dua rakaat sunat Tawaf dan meminum air Zamzam sambil berdoa ke ada Allah SWT lalu berjalan ke Bukit Safa untuk bersai. Sai antara Safa dan Marwa adalah bagi menghidupkan peristiwa Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali bagi mencari sumber air yang diperlukan. Begitu juga berlari anak padanya seperti dilakukan Nabi SAW bagi menzahirkan kekuatan dan kecerdasan kaum Muslimin.

Doa Nabi Ibrahim ketika meninggalkan Hajar: “Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di sebuah lembah yang kering kontang di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami, semuanya agar mereka mendirikan solat dan memakmurkannya. Oleh itu, jadikanlah sebahagian dari hati manusia tertarik ke sana dan kurniakan rezeki dari berbagai jenis buah-buahan agar mereka bersyukur” (Ibrahim: 37).

Wukuf adalah salah satu rukun haji yang mesti dilakukan jemaah haji. Sejarah membuktikan bahawa hari itulah Allah SWT menyempurnakan nikmatnya kepada kaum Muslimin dan menjadikannya hari raya untuk mereka. Allah SWT berfirman, “Pada hari ini Kami sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan Aku reda bahawa Islam ialah agama bagi kamu” (Al Maidah:3).

Bermalam di Muzdalifah yang ada padanya Masyha’ril Haram, tempat berkumpulnya manusia selepas wukuf bagi menghabiskan satu malam di sana seperti yang dilakukan Baginda SAW. Suasana tenang dalam kegirangan dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT sehingga fajar menyinsing.

Melontar jamrah adalah simbolik kepada kemenangan Nabi Ibrahim dan Ismail daripada gangguan syaitan. Begitulah perbuatan yang dilakukan Ibrahim dan Ismail ketika menghalau Iblis Laknatullah.

Menyembelih korban adalah mesej bagi menyatakan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah SWT ke atas Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail serta seluruh kaum Muslimin. Ia juga bagi menghidupkan nikmat yang besar atas kejayaan dari ujian yang begitu hebat.

Di sinilah bermulanya keturunan yang membawa kepada Nabi yang terakhir (Muhammad SAW). Di sinilah Nabi SAW menghadiahkan seratus unta untuk dikorbankan serta menyembelih dua kambing untuk dirinya dan keluarga dan satu untuk umatnya.

Umrah pula adalah ibadat ringkas bagi mereka yang menziarahi Baitullah kerana tidak memberatkan bagi kaum Muslimin. Allah mengharamkan bagi mereka meninggalkan Makkah tanpa melakukan ibadat. Jadi yang lebih ringan dari ibadat haji adalah umrah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Roh pengorbanan dalam diri umat Islam kian luntur

Posted by epondok di November 21, 2009

Oleh Nazri Hussein

Contohi Nabi Ismail meletakkan perintah Allah, kewajipan taati ibu bapa perkara utama

KEHADIRAN Zulhijah yang turut dikelompokkan dalam bulan haji, umat Islam dituntut menghayati nilai pengorbanan sejati sebagai wadah untuk membina kecemerlangan diri, agama, bangsa dan negara. Islam meletakkan kepentingan umat itu perlu didahulukan daripada kepentingan puak, kumpulan atau peribadi seseorang. Firman Allah: “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah sebagai sebuah benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu ada seratus buah. Dan Allah melipatgandakan ganjaran untuk siapa yang disukai-Nya dan Allah luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” – (Surah Al-Baqarah: 261)

Sambutan Hari Raya Korban yang diraikan seluruh umat lslam sebagai mengenang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Ia mempunyai nilai pengajaran yang tidak mampu dirungkaikan dengan akal semata-mata. Sebagai orang yang beriman, kita tidak wajar melihat dari sudut kehidupan dunia yang meletakkan nilai kebendaan sebagai landasan sebenar. Justeru, perhatikan firman Allah yang menggambarkan mengenai nilai pengorbanan sejati.

“Tidak akan sampai daging dan darahnya itu kepada Allah, hanya yang sampai kepada Allah adalah takwa (kepatuhan menjalankan kewajipan) dari kamu. Begitulah dijadikan unta itu untuk keperluan kamu, supaya kamu membesarkan Allah kerana kamu telah dipimpin-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira untuk orang yang berbuat kebaikan.” – (Al-Hajj: 35)

Dalam kehidupan moden yang serba mencabar ini, konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh umat mutakhir ini. Sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anak kesayangan Baginda sendiri. Hari ini dapat kita perhatikan bagaimana roh pengorbanan dalam diri umat Islam semakin luntur dan kabur.

Anak Muslim terbiar tanpa didikan agama sehingga sanggup mencemarkan maruah lslam dengan perlakuan keji dan batil. Budaya negatif seperti merempit, pergaulan bebas, minum arak, berpakaian mendedahkan aurat seperti yang diamalkan remaja lslam hari ini tidak mungkin akan berleluasa sekiranya nilai pengorbanan untuk melihat imej lslam dipandang tinggi menjadi keutamaan.

Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah dan kewajipan mentaati ibu bapa sebagai perkara utama hingga sanggup menggadai diri sendiri dalam kesusahan, perlu menjadi iktibar sebagai cermin moral kepada anak generasi masa kini. Tanpa pengorbanan tulus ikhlas daripada ibu bapa, tentulah ramai anak yang tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam pendidikan, kerjaya mahu pun kehidupan berkeluarga.

Ibu bapalah yang bersusah payah mengorbankan seluruh tenaga, masa dan wang ringgit demi anak yang dikasihi hingga mereka mampu berdikari.

Persoalannya, sejauh manakah letaknya nilai pengorbanan dalam diri anak pula apabila membiarkan ibu bapa mereka yang tua dan uzur tinggal di rumah kebajikan. Apakah sudah hilang perasaan kasih sayang terhadap insan yang membesarkan kita dengan segala susah payah, sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Ismail yang patuh dengan suruhan dan tuntutan bapanya, Nabi Ibrahim hingga Allah mensyariatkan tanggal 10 Zulhijah sebagai takwim mengenang sirah pengorbanan yang tiada tolak bandingnya dalam kehidupan anbia.

Semua itu menjadi iktibar kepada umat lslam akhir zaman yang perlu menanamkan semangat jihad dan sanggup berkorban mempertahankan maruah lslam yang semakin diperlekeh masyarakat bukan lslam di seluruh dunia.

Kesimpulannya, umat lslam perlu menjadikan nilai pengorbanan sejati sebagaimana yang ditunjukkan Nabi dan Rasul sebagai benteng mengukuhkan cinta dan kasih sayang di antara umat lslam. Janganlah kita berbantah-bantah atau menuding jari mencari salah ketika umat lslam sedang berhadapan dengan krisis dan bencana dari Allah. Sifat dengki-mendengki, irihati, dan dendam dikikis dalam hati setiap umat agar maruah lslam kembali dihormati sebagaimana yang berlaku di zaman kegemilangan lslam dulu.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Memahami keperluan mazhab – Siri 1

Posted by epondok di November 21, 2009

Abdul Latif Rahbar

Segala puji bagi Allah ta’ala Pencipta syariah yang sempurna. Salawat dan Salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. yang telah menyampaikan syariah tersebut sebaik-baiknya.
Juga ke atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda s.a.w. yang mempraktikkannya kepada ummah yang datang kemudiannya. Dan ke atas imam-imam mujtahidin yang telah banyak berkorban dalam memimpin ummah ini dalam memahami syariah yang sempurna ini.

Pembaca yang dimuliakan, dewasa ini kita sering mendengar slogan-slogan yang memanggil kita ke arah pemahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar. Malah ramai di kalangan ahli-ahli akademik sendiri yang menyarankan agar kita mengkaji sendiri sedalam-dalamnya kedua-dua sumber asal syariah kita yang mulia.

Sehinggakan ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa al-Quran dan Sunnah adalah pedoman utama, dan tidak perlu kita bergantung atau mengikut mana-mana mazhab kerana tiada arahan spesifik daripada Baginda s.a.w. supaya kita perlu mengikut individu-individu yang tertentu dalam menghidupkan agama dalam diri kita.

Inilah slogan yang selalu kita dengar akhir-akhir ini, apabila ramai pihak melaung-laungkannya sambil menganggap bahawa bermazhab tidak akan membawa kita kepada kemajuan dan akan meninggalkan kita di bawah tempurung yang amat kecil.

Lalu mereka memberikan keizinan umum kepada semua pihak tidak kira golongan terpelajar atau tidak untuk mengeluarkan pendapat atau melakukan sesuatu amalan asalkan sumber yang didapati benar-benar sahih walaupun pendapat tersebut terang-terang berlawanan dengan pendapat yang telahpun dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid yang datang beribu tahun sebelum kita.

Ada juga dalam kalangan mereka yang mengatakan bahawa terdapat pendapat imam tidak mengikut apa yang dinyatakan dalam hadis sahih, oleh itu tidak perlu kita mengamalkannya kerana kita hanya memerlukan sumber yang kuat sahaja dalam agama kita.

Lalu mereka menolak tarawih 20 rakaat, doa qunut pada waktu subuh, bacaan al-Fatihah di belakang imam dan pembatalan wuduk apabila tersentuh dengan wanita kerana pada “kajian” mereka amalan-amalan ini tidak bersandarkan kepada hadis-hadis yang sahih.

Benarkah begitu?

Pertama sekali perlu difahami bahawa untuk mengeluarkan sesuatu pendapat dalam bidang agama kita perlulah mengetahui A-Z bidang tersebut dan mestilah diiktiraf keilmuan kita mengenainya.

Perbuatan mengeluarkan pendapat tanpa ilmu yang diiktiraf adalah salah walaupun pendapat yang dikeluarkan adalah betul.

Sebaliknya, sekiranya seseorang itu sudah diiktiraf mencapai tahap yang mana dia mampu mengeluarkan pendapat berdasarkan sumber agama, lalu dia berfatwa atau berijtihad mengenai sesuatu perkara, maka dia tetap akan mendapat ganjaran walaupun ada kemungkinan untuknya mengeluarkan pendapat yang tidak tepat dalam perkara tersebut.

Seorang yang tidak mempunyai lesen perubatan sekiranya cuba merawat pesakit adalah dikira bersalah walau sehebat manapun ilmunya dalam bidang perubatan. Sekiranya untuk perubatan jasmani kita terlalu berhati-hati, apatah lagi bidang perubatan rohani?

Perlu diingatkan bahawa yang boleh mengiktiraf seseorang untuk menncapai taraf mujtahid hanyalah golongan-golongan yangg sudah mencapai tahap yang sama. Hanya pakar perubatan boleh mengiktiraf sama ada seorang pelajar perubatan sudah layak untuk merawat pesakit atau sebaliknya.

Diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dari Jabir r.a. bahawa: “Satu ketika kami telah melakukan pengembaraan lalu salah seorang dari kami telah terkena batu lalu terlukalah kepalanya. Pada malamnya dia telah berihtilam (mimpi basah) lalu dia bertanya kepada teman-temannya: ‘Adakah kamu semua mendapati sebarang kelonggaran untukku bertayammum (tanpa perlu mandi wajib)?’”

Mereka menjawab: ‘Kami tidak menjumpai sebarang kelonggaran untukmu sekiranya kamu masih boleh menggunakan air.’ Lelaki tersebut menunaikan mandi wajib dan terbukalah luka di kepalanya lalu dia meninggal.”

Apabila kami sampai kepada Rasulullah s.a.w dan berita ini disampaikan kepadanya Baginda s.a.w bersabda: ‘Mereka (yang berpendapat bahawa dia tidak boleh bertayamum) telah membunuhnya, semoga Allah ta’ala membunuh mereka! Mengapa tidak mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya satu-satunya rawatan bagi kejahilan adalah dengan bertanya.’” (Abu Daud 1.93)

Setiap pendapat yang dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid sebelum kita seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafii dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah pendapat yang telah ditapis, dikaji dan dibahas sebelum mereka berfatwa mengenainya. Imam-imam tersebut akan terlebih dahulu mengambil kira pro atau kontra sesuatu ayat al-Quran dan Sunnah dan bukan hanya bersandarkan kepada sepotong hadis yang mereka temui.

Imam Malik misalnya tidak pernah mengeluarkan pendapat melainkan pendapat tersebut terlebih dahulu diutarakan dan dipersetujui oleh 70 ulama yang hidup pada zaman beliau.

Imam Abu Hanifah mempunyai majlis fatwa beliau yang terdiri dari puluhan ulama yang membahaskan kesemua masalah agama sebelum meluluskan sesuatu fatwa.

Kerana sifat berhati-hati inilah ulama Ilmu Rijal (ilmu berkenaan sejarah perawi-perawi hadis) sama sekali tidak pernah mempertikaikan imam-imam mujtahid dari segi kemampuan mereka berijtihad.

Posted in Fokus Isu, Klinik Agama | Leave a Comment »